Isnin, 12 Mei 2014

Emel

Dr Danialhttp://www.mindasuper.com/














Emel kelmarin:

From: Abu Hanifah A 
Sent: Friday, May 09, 2014 08:57

To: 'DZ CONSULTANCY'

Cc: Rusli H; abu hanifah jspt; Abi Hurairah; firdaus
Subject: RE: Minta Pandangan


Ntah macam mana, masa saya membuat 5S terhadap semua inbox emel saya tadi, saya terjumpa email di bawah ini dan tiba-tiba rasa terharu.

Sekarang ini ibu_suri alhamdulillah, banyak eloknya berbanding semasa emel di bawah ini saya tulis. Memang dari sudut kesihatan fizikal (diabetes dan hipertensi) beliau tetap sama dan susah nak di perbaiki namun dari sudut psikiatriknya boleh dikatakan ditahap mudah urus.

Cukup jika saya katakan bahawa kalau dulu seboleh-boleh saya tidak mahu balik ke rumah kerana tak sanggup nak berdepan dengan perangainya yang tidak logik dan entah apa-apa namun sekarang ini di sebaliknya. Dicampur dengan pengalaman saya bertahun-tahun menjaga beliau, rasanya saya boleh tangani emosi dia bila-bila masa dan di mana-mana saja.

Ingin ucapkan terima kasih pada DD atas nasihat lepas. Dan sekarang ini saya pula seolah-olah menjadi tempat rujukan oleh sahabat-sahabat saya yang mengalami masaalah yang hampir sama dalam keluarga mereka. Perkataan asas saya terhadap mereka ialah: pesakit ini perlukan seseorang untuk menguruskannya. Dan seseorang itu perlu kuat mental dan jiwanya. Perlu kesabaran, kepasrahan dan daya serap pada tekanan yang tinggi.

Sekarang, saya boleh :-)

Sekali lagi terima kasih pada DD!


~hafinah~




Emel sebelum itu:

From: DZ CONSULTANCY [mailto:dzcsyifa@streamyx.com] 

Sent: Saturday, May 08, 2010 14:53

To: Abu Hanifah A
Cc: Rusli H; abu hanifah jspt; Abi Hurairah; firdaus
Subject: Re: Minta Pandangan


Salam. Semoga Allah mempermudahkan.

Kes ini kes psikiatrik dan ibu suri kita anggap sebagai pesakit.

Pesakit akan terus sakit dan mendatangkan masalah malah bencana jika dibiarkan.

Ibu Suri bertindak seperti yg diceritakan kerana penyakitnya dan rawatannya tidak mencukupi.

Ya ikutlah cadangan pakar dan jika perlu pilihan ke2 diambil. Anggap ini sebagai proses rawatan ke arah seperti normal. Semoga Abu bersabar dan saya akan doakan utk Abu.


DD



Ianya bermula dari Emel yang ini:

----- Original Message -----
Sent: Friday, May 07, 2010 5:04 PM
Subject: Minta Pandangan

Salam,

Maaf kerana menguna masa DD untuk membaca dan sekaligus memerlukan pandangan ikhlas dari DD sebagai sahabat, Doktor dan pengalaman menangani insan bermasaalah saikologi seperti ibu_suri.

walaupun sebenarnya saya lebih selesa berjumpa dan berbioncang dengan DD secara 4 mata tetapi masa saya terbatas untuk berjumpa DD. jadi saya  fikir secara emel pun diharap dapat membincangkan masalah saya ini.

Tak tahu hendak memulakan cerita dari mana tentang permasaalahan saya ini.

Akhir-akhir ini jiwa saya amat tertekan dengan sikap ibu_suri yang bukan-bukan. 

1. ibu_suri beria-ia mahu buka tadika. sasarannya sekarang ialah rumah lama yang pernah disewa oleh Fairus ( mantan TKM1 ) untuk dijadikan tadika. saya diminta untuk berjumpa dengan tuan punya rumah itu yang bertugas sebagai cikgu di Sek Men Mengkuang untuk berbincang hal-hal sewaan.

2. ibu-suri juga menyuruh saya  menulis surat permohonan untuk membuat pinjaman dari koperasi pelaut pulau pinang ( ibu menjadi ahli ).

3. dia juga hendak berjumpa dengan Puan Aliza Jaafar - isteri Abu Urwah (YB Hulu Kelang) untuk meluahkan perasaanya tentang sikap sesetengah ahli JIM yang tidak disenangi. ahli JIM yang dimaksukannya itu ialah beberapa ahli lembaga pengarah Tadika Amal Rintis JIM SPT tempat ibu mengajar sebelum dia jatuh sakit.

4. dia juga mahu berjumpa dengan Lim Guan Eng atau Dr Mansor untuk memohon peruntukan dari kerajaan negeri bagi membuka tadika baru.

5. ibu juga pernah berjumpa dengan ketua wanita PKR Bahagian Permatang Pauh untuk meminta dibuat satu bilik khas untuk kaunseling. ibu_suri akan menjadi kaunselor dengan tujuan menolong orang ramai yang mempunyai masaalah.

Hari rabu lepas saya ada berjumpa dengan doktor psikiatrik HBPP ( ibu regular checkup di sini ). saya ceritakan masaalah ibu yang keterlaluan. dipendekkan cerita doktor pakar di situ membuat 2 pilihan;

1. tukar ubat baru dan lihat perkembangannya dalam masa 2 minggu.

2. jika tindakan di atas tidak memberi kesan positif, dia sarankan ibu di tempatkan di pusat rawatan Jalan Perak.

saya hampir-hampir setuju untuk tindakan yang ke 2 itu bila mengenangkan tekanan perasaan yang terpaksa saya tanggung selama lebih 3 tahun saya menjaga ibu_suri sejak dia sakit dan nampaknya seperti tak berpenghujung. anak-anak saya juga bersependapat dengan saya bila mereka melihatkan saya selalu mengadu sakit badan dan rasa hilang tumpuan diri bila di leteri ibu_suri.

saya pernah dibaling dengan pisau atau pinggan/cawan makanan bila masa ada isu yang dia tidak setuju dengan saya. paling baru ialah dia baling talipon rumah kerana marahkan saya lambat beri dia makan ubat.

Saya sudah 2 kali berjumpa dengan klinik panel kilang kerana mengalami sakit-sakit pada otot dada. mulanya saya tak tahu. rupanya doktor kata saya mengalami muscle pain akibat stress. '


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Tak sangka rupanya aku masih menyimpan emel ini yang akhirnya aku anggap sebagai sebuah catatan berharga.

Tak sangka sekian lama aku menjaga kebajikan ibu_suri dan mengambil keputusan yang tepat untuk terus menjaganya dengan tangan sendiri daripada menyerahkan beliau ke Pusat Rawatan Psikiatri (Pesakit Mental) di Jalan Perak.

Tak sangka hasil dari kesabaran dan ketabahan ini.... begitu manis!

Syukran!

Ahad, 11 Mei 2014

Ketidaktentuan

Bukan main beriya-iya sangat aku ini nak balik kampung, semalam. Siap sms kat Along minta top up sebab kewangan tak berapa cukup.

Aleh-aleh bila pagi, ibu_suri gerak untuk bangun Subuh kemudian bertanya;

"Jadi tak nak balik kampung ni?" Agaknya dia boeh baca gerak hati aku yang tak nampak teruja untuk balik.

Aku berdiam diri sahaja. Huk.. tidak.. Hek pun tidak... Ntah kenapa hati aku tiba-tiba seperti berada di dalam hampagas. Kosong dan sepi.

Agaknya beginilah rasanya apa yang pernah aku dengar dan baca dulu. Apabila seseorang itu mula mendaki usia tua, hatinya akan mengalami emosi ketidaktentuan dan sensitif.

Bila jam 8 pagi, aku pergi mandi persis mandi wajib. Mencuci diri dengan sebersih-bersihnya. Itu memang salah satu dari fe'el aku jika berada dalam suasana tertekan atau tak keruan. Aku ajak ibu-suri jalan-jalan makan pagi di Seberang Jaya. Kemudian isi petrol, pam tayar, cuci kereta dan ke bengkel tayar... periksa tayar yang sebenarnya dah lama aku perasan ditusuk paku.

Tapi hati aku sebenarnya tak henti-henti teringatkan mak di kampung. Aku masih ingat emel dari adikku bebaru ini yang mengimbau kebiasaan aku menghantar kad ucapan Hari Ibu di setiap tahun. Tetapi sejak ibu_suri jatuh sakit, kebiasaan itu sudah terhenti.

Sempat hantar lagu ini ke FB keluarga ku: Keluarga Opah Sawi;



Tapi bila kemudiannya menonton kuliah UAI di sini, hmmm....?? Ntahlah, samada aku akan balik siang nanti seperti cadangan ibu_suri atau pi riadah saja..... aku fikir sat lagi ajelah. 

Jumaat, 9 Mei 2014

Berteduh

Selalunya, selepas bawa ibu_suri pergi minum, dia akan suruh aku balik ikut jalan jauh. Baginya jam 12 tengah malam belum lagi lewat.

Bila tiba di rumah, ini masa aku berpeluang buka laptop untuk layari FB dan jenguk blog. Dan ibu_suri hanya berbaring di katil. Sesekali aku buka youtube, untuk diperdengar mana-mana ceramah yang aku kira dia suka dengar. Ada perancangan untuk beli bluetooth speaker untuk ibu-suri satu hari nanti. Bolehlah dia dengar ceramah itu dengan lebih jelas di tepi telinganya.

Bila lama sangat suasana pakum dalam bilik, ibu_suri akan memanggil aku menyelimutnya. Sebelum itu, dia akan mendepang tangannya tanda minta di peluk. Aku memeluknya dengan ikhlas. Aku tahu, kelikhlasan itu akan dirasainya jauh ke dalam dada sekaligus mendamaikan jiwanya.


Aku faham perasaannya. Seharian duduk di rumah tanpa mampu berbuat apa-apa aktiviti apatah untuk keluar rumah berjalan-jalan, tentulah dia mengharapkan bila aku berada di rumah, membawa dia bersiar-siar melihat dunia luar.

Rasanya, aku beruntung kerana aku masih sihat dan boleh pergi kerja, boleh berjumpa kawan-kawan di luar dan boleh beriadah di hujung minggu.

Akan tetapi dia lebih beruntung kerana mempunyai aku yang insyaAllah akan tetap setia menjaganya tatkala dia uzur dan boleh diharapkan untuk menjadi tempatnya berteduh.

Ternyata, hari ini aku telah membuktikan segala kata-kataku padanya satu waktu dulu:

'Aku tidak tahu untuk menyatakan kasih sayang ini secara lisan atau perbuatan. Tapi satu hari nanti engkau akan dapat lihat betapa kasih sayang aku adalah sebuah kesetiaan.'

Khamis, 8 Mei 2014

Kerana RahmatNya!

Hari ini tiba-tiba naqib bagitau, usrah kensel kerana bilik usrah diguna oleh grup lain di minit-minit terakhir. Sedangkan aku dah pun keluar rumah setelah meninggalkan ibu_suri di rumah kakaknya yang juga menjaga cucu-cucuku.

Jadi....? Huh, kesempatan ini aku ambil untuk rileks-rileks kat Makbul. Kebetulan, laptop memang ada aku bawa. 

"Ada wi fi ka kat sini?" tanyaku dalam pelat Bangla pada pelayan di sini. Bangla tu geleng-geleng kepala. Koman lah Makbul ni!

Aku aktifkan simkad talipon kepada broadband daily ( RM5/hari ). Walaupun guna untuk hanya 2-3 jam, aku tak kisah. Janji, aku damai di sini dengan dunia aku sendiri.

kredit

Teringat aku semasa ke KL 1 Mei bebaru ini. Sampai di UTC jam 4.30 pagi. Terdapat beberapa insan gelandangan tidur di kaki lima. 2 perkara yang timbul di pemikiran. Pertama, aku rasa bersyukur kerana sekoman-koman aku pun, aku ada pekerjaan baik, ada isteri dan anak-anak serta nampak masa depan. Kedua, sebaliknya aku rasa kagum melihat mereka. Kelihatannya sihat walaupun makan tak teratur. Tidur mereka kelihatannya cukup lena walaupun hanya berbantalkan lengan dengan sesekali mengibas nyamuk yang mencari makan. Sebaliknya, ada terkadang aku sendiri tidak dapat lelap mata terutama pabila dirudung keresahan.

Sebenarnya, kita hidup ini kerana rahmat Tuhan. Tanpa rahmatNya, apa sangatlah kita!

Teringat ketika melayari FB tadi, kanak-kanak Syria terbunuh dalam keadaan amat memilukan.Kita cuma boleh berkata.... kasihan!

Rabu, 7 Mei 2014

Perjalanan Pagi

Sudah 2  hari aku pergi kerja sendiri. Sesekali seronok juga memandu sendirian. Dengar lagu kegemaran sendiri melalui koleksi CD aku yang memang ada banyak. Membawa kereta dengan kelajuan sendiri. Aku keluar awal dari rumah. Bila awal keluar, jalan tak sibuk dengan simpang siur anak-anak yang ke sekolah.


Aku suka memakir kereta di petak yang paling hujung. Tujuannya untuk ambil kesempatan morning walk. Nasihat ini aku ikuti dari seorang production engineer - Mr Lee Kok Foo satu masa dulu. Katanya, bukan senang kita nak ada kesempatan untuk senaman pagi kalau tak buat begini.

Sampai ke tempat kerja juga awal. boleh mengeteh dengan kawan-kawan sebelum benar-benar masuk bilik kerja. Topik pagi ini ialah bagaimana bahayanya menunggang motor di Jambatan Pulau Pinang ketika angin lintang bertiup. Ujarku, dulu kat jambatan ada di pacakkan tolok angin untuk melihat kelajuan dan arah angin. Namun sekarang sudah tidak ada lagi.

Aku dah puluh tahun tak naik motor melalui jambatan Pulau Pinang. Kalaulah ditakdir terpaksa bermotor, mau 'khatam' satu Quran dibuatnya sementara nak sampai ke seberang sana.

Aku balik lewat tadi kerana sempat berbual dengan seorang technician di kafetaria. Ramai menggelarnya Mat Lintang. Dia ini seorang yang lain. Memang dah lama aku teringin nak berkongsi emel-emel aku dengan dia di blog ini tapi tak berkesempatan. Juga aku nak berkongsi tulisan-tulisan aku melalui emel ( masa tu blog masih belum aku teroka jadi banyak menulis di dalam emel saja ). Tulisan aku tentang pengalaman berkonvoi ke Taman Negara. Kalau tak silap ada 22 siri...

Selasa, 6 Mei 2014

Penang White Coffee

Bila Akhmal mengadu sakit gigi, ibu_suri kalut suruh aku carikan ubat. Aku yang tengah sedap meletak kepala di bantal, kalau boleh tak mahu berenggang dari kenikmatan itu.

'Biasalah dia tu. Sat lagi hilanglah...' ujarku sambil mata tetap pejam.

Sebenarnya sebelum ini pun dia pernah mengadu sakit gigi dan aku dah bawa ke klinik. Doktor Cina yang masih muda itu beritahu bahawa tidak ada gigi yang rosak. Akhmal mungkin mengalami ketumbuhan geraham bongsu.

Tapi ibu_suri tidak peduli. Di rengkuhnya juga aku supaya bangun. Dalam keadaan mamun begitu aku capai kunci kereta dan memandu ke arah Seberang Jaya. Dalam kepala aku ialah 7E. Dan bila di situ, yang ada cuma ActiFast. Aku sebenarnya kurang gemar pada perubatan cara beli pil di kedai seperti ini.


Akai dialah tu... Terlanjur dah keluar, mesti singgah minum dulu. 

Kat Makbul ni, minum yang paling aku suka ialah Penang White Coffee. Bukan suka sangat pada kopi itu sebenarnya tapi lebih kepada bentuk awan larat pada cawan yang diguna untuk hidangan. Cawan klasik ini membuatkan aku teringat pada abah dan Pekan Slim dimana aku selalu dibawa untuk minum kopi dan makan roti canai. Abah akan menuangkan kopi o ke atas piring yang dalam lekuknya supaya cepat sejuk. Kemudian menghirup kopi dari bibir piring itu. Macam satu nikmat nampaknya.

Ntah kenapa aku tetiba rindu pada tawa abah dan loghat Peraknya yang kekadang aku sendiri walaupun anak sulongnya....tak faham. Muga Allah rahmati abah di alam barzakh sana!


p/s:
Untuk abah, aku ada buatkan satu blog khas dinamakan Sri Mersing.

Isnin, 5 Mei 2014

Sri Tambang

Walaupun hujan renyai-renyai malam ini, ibu_suri tetap tagih janji nak makan mee udang di Medan Selera Sri Tambang, Titi Timbul, Sungai Dua. Sebenarnya, janji tu dia yang buat. Nak makan mee udang, pintanya semalam. Aku angguk je. Malas nak bangkang. Tau sangat fe'el dia. Aleh-aleh aku pula yang dikatanya berjanji. Iye lah tu....

Aku pilih 8 ekor udang. Bila ditimbang harganya RM32. Kalau sekilo RM120.  Berkerut juga dahi tuaku ini mendengarnya. Tapi aku memang dah keluarkan duit siap-siap dari mesin atm Agro Bank sebelum datang tadi. Arif sesangat.


4 ekor untuk nasi goreng dan 4 ekor untuk mee kuah. Aku makan sana ikit, sini sikit. Memang selalunya gitu. Kalau menu yang mahal macam gini, selalunya aku pesan tak banyak untuk 'sep bajet'. Makan juga tak banyak untuk beri peluang pada ibu_suri makan sepuasnya. Kalau tak puas nanti, dia akan minta datang lagi ke sini. 

Tapi katanya.... ah, tak best la. Mee udang kat Pulau Sayak lagi best. Aku sengih saja sambil dalam hati berkata... nak ke Pulau Sayak tu pun bukan sikit duit dan masa juga.

Tapi selalunya kalau ibu-suri kata tak best pada sesatu makanan tu, memang tak bestlah. Lidah dia memang pakar dalam menilai kesedapan sesuatu makanan. Kalau bilamana dia makan dan no komen ertinya makanan itu just nice. Kalau senyumnya panjang dan tekun menjamah itu maknanya sedap. Siaplah kau... akan ada permintaan untuk datang kali ke 2.... ke 3 hingga rasa jemu.

Ahad, 4 Mei 2014

Pewangi

Semalam dah kemas depan rumah dan ruang tamu. Depan rumah adalah tempat parkir kereta. Ruang tamu pula adalah sudut ibu_suri selalunya berehat sambil tonton tv tatkala aku di tempat kerja.

Hari ini aku kemas pula dapur dan bilik tidur. Dapur adalah tempat aku selalunya menyediakan makanan dan ubatan untuk ibu_suri sementara bilik pula adalah sudut ke 2 untuk ibu_suri merehatkan badan. Gitulah aku di setiap hujung minggu. Menggilir sudut-sudut rumah yang aku perlu kemaskini. Minggu depan mungkin meja dan bilik sterika baju.

Rumah aku tidaklah sehebat rumah rakan blogku yang aku ikuti lewat tulisan dan gambar yang dipaparkan mereka. Dapur dan ruang tamu aku biasa-biasa saja. Sebab itu aku rasa segan bila ada rakan blog yang mahu mampir.

Tiba-tiba datang ide pula nak letak pewangi di ruang tv. Dalam kereta dan bilik tidur memang dah lama ada. Semua ini aku sediakan agar dia selesa. Bila dia selesa, emosinya akan stabil. 

























Rumah ini sekarang, memang aku sorang saja yang selenggara. Nasib baiklah, aku memang terdidik dari kecil tugasan mengemas rumah dan menjaga adik-adik yang ramai. Itulah sebab agaknya, Allah jodohkan aku dengan ibu_suri yang memang pandai memasak tapi segan nak kemas rumah. 

Nampaknya, anak-anak aku tidak mewarisi kelebihan aku ini. Kesian isteri mereka kelak...

Sabtu, 3 Mei 2014

Kopi O Kaww...

Bila dah cuti, beginilah. Kalau boleh, ibu_suri mau aku bawa dia jalan-jalan dari pagi sampai malam. Jenuh juga aku nak kelepiaq (beralasan). Rumah perlu di kemas juga. Akhmal, perlu dijenguk-jenguk juga.

Lepas saja Maghrib, aku baring atas sejadah. Memang selalunya aku begitu. Meluruskan pinggang, ujarku pada ibu_suri bila dia bertanya kenapa tak mahu baring di katil. Aku pernah terbaca akan salah satu tabiat Professor Di Raja Ungku Aziz yang juga begitu.

Bila baring dalam keadaan badan letih, sekejap aje dah 'ghaib'. Bila jam 10 malam, ibu_suri gerak untuk bawa dia jalan-jalan lagi. Punyalah ketat dan liatnya rasa badan untuk bangun. Pelupuk mata bagai kena gam, tak boleh nak buka.

"Nak ke mana kita ni?" tanyaku sebaik tiba di simpang jalan keluar. Otak aku hampir jadi gurun kerana ketandusan idea.

"Kulim. Kat Abang E Capati." jawapnya.

Kami sesama pesan capati. 2 keping pada aku dah mengenyangkan. Entah kenapa akhir-akhir ini aku tak boleh makan banyak.


























Dan entah kenapa juga, aku sekarang ini lebih suka minum kopi o berbanding teh o.

Sejak aku mula mengawal pemakanan, aku beraleh dari minum teh tarik 3 in 1 kepada teh o. Akan tetapi oleh kerana bancuhan teh o yang selalunya tak sama rasa oleh pekedai (sekejap kelat sekejap terlalu manis) buat aku menukar kepada kopi o.

Hendaknya pula kopi o itu yang betul-betul kaww....

Lensa Itu

Aku perasan beliau ini ke sana sini asyik ambil gambar. Kawan aku bagitau, dialah Pak Malek - orang lama. Tak sangka pula gambar aku pun di rakam sama. Entah bila masa dia menghala lensa ke arah aku.




Ini adalah kali ke 4 aku ke sini. 3 kali aku datang bersama kawan-kawan atau paling tidak dengan Along. Tapi kali ini aku datang seorang saja. Banyak pengalaman yang aku timba dan rasai sendiri selama bersama di jalan raya. 

Justeru itu aku akan cuma ketawa bila ada rakan-rakan yang berkata begitu dan begini berdasarkan pemerhatian mereka dari zon selesa. Tak perlu buang masa berpatah hujah kerana aku memang tak pandai pun. Aku cuma buat apa yang aku fikir baik dan sekadar terdaya!