Di rumah, bila hari cuti kerja, aku cuma makan, tengok tv, telusuri facebook atau tidur. Suatu aktiviti yang tidak menyihatkan rasanya. Anggota badan aku berasa 'lembik' terutama lutut.
Tak macam semasa masih ada ibu_suri, aku sentiasa ada kerja yang kena buat. Pagi pagi tentu saja urus lampin ibu_suri, bagi mandi, basuh dan sidai pakaian serta buatkan makanan dia. Sekarang semua itu tidak ada lagi. Aku ada terlalu banyak masa kosong.
Tiba tiba semalam aku teringat;
Why not aku kembali menulis? Suatu bidang yang amat aku minati semasa masih belajar di Sekolah Menengah Raja Chulan, Ipoh dulu.
Bermula dari tingkatan 4 bilamana abah aku belikan mesin taip kerana lulus cemerlang dalam SRP, penulisan adalah sesuatu yang amat aku minati. Zaman aku rajin membeli dan membaca majallah Bujal, Utusan Pelajar, Dewan Masyarakat, Geli Hati dan beberapa majallah lain. Bukan sahaja karya-karya bilis aku pernah terbit di majallah tersebut malah pernah tersiar dalam radio Ipoh hingga heboh kawan-kawan abah aku mengatakan aku dah masuk radio. Sengeh aje abah aku bila dia bercerita hal itu kepada aku. Bangga betul nampaknya dia walhal bukannya apa sangat.
Aku pun dah lama tak membaca. Habis kuat dulu pun membeli dan membaca Harakah 2X seminggu. Bila akhbar fizikal dah mula luput ditelan digital, lansung dah tak membaca.. Ditambahan pula sekarang aku dah di tahap terpaksa memakai cermin mata... lagi la malas. Penat pupil mata aku mengembang dan menguncup bilamana menatap biji biji huruf yang semakin samar dengan agak lama.
Tadi aku minta semula laptop yang aku beri pada Angah dulu untuk kegunaan cucuku belajar semasa pendemik. Aku harap aku dapat mengasah semula bakat menulis aku kembali seperti dahulu demi mengisi masa terluang. Setidak-tidaknya, ada kerja yang aku buat daripada membuntang sepanjang hari.
Kesian AKU......!!