Aku telah dipilih oleh musyawarah semalam supaya melibatkan diri dalam Unit Media pada pra PRU kali ini. Aku akur pada keputusan jamaah. Aku tahu mereka membuat keputusan itu berlandaskan minat aku yang suka menulis dan kekangan terhadap masa kerana menjaga iibu_suri. Juga kerana sikap aku yang lebih suka bekerja di barisan dalaman berbanding di barisan hadapan.
Aku dimaklumkan tarikh akhir pembubaran Parlimen ialah bulan April. Dan paling lewat ialah pada bulan Jun ( 2 bulan tambahan dari tarikh luput ). Sekarang kita memasuki bulan Mac. Tidak lama sangat lagi.
Dalam masa yang sama ibu_suri seperti menggigit kekuatan pembabitanku dalam kerja besar dan mencabar ini. Bila aku terlebih sikit menghadap komputer dan kurang beri perhatian kepadanya, dia akan mendengus dan membentak;
"Kalau macam ni, abang toksah pi mesyuarat tu la."
Memang kekadaang seperti mahu merampus juga. Arghhh... tak mahu susah susah lah. Rileks kat rumah tidur lagi bagus. Itu tak boleh, ini disungut.
Aku teringat kata-kata - isteri jangan terlalu mengongkong aktiviti suami. Jika terlalu dikongkong, suami akan mencari jalan keluar ikut pintu belakang. Aku setuju sangat dengan pendapat itu. Dan kekadang, syaitan itu menjentik-jentik perasaanku supaya berbuat begitu.
Tapi aku tahu, apa guna aku berdegar-degar bercakap tentang pengislahan masyarakat jikalau isteri sendiri pun tak terkampoi.
Aku pun tahu, seorang suami yang baik dengan isteri lebih Nabi sukai. Sabar dan buatlah mana yang terdaya, kan! Allah lebih tahu segala yang ada di dalam hatiku ini. Aku pasrah saja terhadap apa yang akan berlaku esok. Buat saja semampu boleh.