Selasa, 31 Disember 2013

...?

Malam ini aku benar-benar resah. Perangai anak-anak di campur dengan sikap keanakan ibu_suri buat aku seperti hendak tinggalkan rumah dan pergi jauh-jauh. Mereka seperti tidak memahami apa yang bermain di benakku ini.

Dicampur dengan kos sara hidup yang menekan. Perjalanan pergi balik kerja yang penuh dengan kesesakan kenderaan yang membosankan.

Bunyi cengkerik yang kedengaran sayup-sayup dari luar bilik tempat aku menulis ini buat hatiku jadi sayu. Bunyi itu memberi erti bahawa duniaku sebenarnya masih berwaris.

Aku ingin tidur... seperti selalunya... melupakan sebentar sesak di dada. Dengan harapan esok yang datang mengganti semalam akan menghantar suasana baru untuk memangkinkan aku agar terus melangkah ke hadapan.

2014 semakin di ambang. Sedangkan aku masih seperti aku dulu... yang ketara berubah hanyalah warna rambut dan jarak pandangan....

Isnin, 30 Disember 2013

Jam Hijra Dan Kakcik Seroja

Aku ada beli jam jenama Hijra yang baru. Tapi ntah kenapa, bila beberapa kali memakainya rasa tak berkenan. Saiznya agak kecil dan seperti tak sesuai dengan pergelangan tangan aku. Inilah akibatnya kalau membeli melalui katalog FB tanpa melihatnya secara fizikal terlebih dulu.

Sewaktu memandu ke Tasik Mengkuang, aku berfikir-fikir; nak buat apa dengan jam itu. Takkan nak simpan saja? Atau nak jual pada orang lain?

Tiba-tiba aku teringat pada anak saudaraku - Ucop. Antara ramai anak saudaraku, Ucop ini agak lain sikit karektornya. Dia tampak matang. Menjadi pelajar terbaik di sekolahnya. Menjadi ketua kelas disamping rajin ke masjid. Dia adalah anak kepada adikku Duyah yang bertanggungjawap menjaga mak aku di kampung. Hmmm... rasanya rezeki dialah jam tangan Hijra aku ini!

Setibanya aku di Tasik Mengkuang, angin mula bertiup agak deras. Aku agak mungkin tanda hari akan hujan. Tatkala menyarung kasut usang aku, tiba-tiba talipon aku berbunyi. Hah! blogger Kakcik Seroja nak berjumpa aku. Huu.... Macam mana ni?

Aku suruh dia datang sahaja ke tempat aku berjogging ini. Boleh juga anak-anak dia melihat-lihat tasik dan bermain dengan ikan-ikan, bisik hatiku.

Seronok dapat berjumpa dengan KS walaupun rupanya datang berdua sahaja dengan suami. Walaupun asalnya aku rasa amat segan tapi sikap mereka yang santai buat aku rasa tidaklah kekok. Aku tahu mereka mahu singgah ke rumah tapi rumah aku .... alahai.... Sembang-sembang kat gerai di Tanah Liat sajalah nampaknya.

Sayangnya, aku tak bawa ibu_suri bersama tadi. Dia masih tidur semasa aku keluar. Memang, kalau ibu_suri tidur aku tak akan ganggu. Lagipun, aku lebih suka keluar jogging sendirian. Mahu tenteramkan jiwa dan rehatkan pemikiran buat seketika.

Semawa KS makan peknga. Mulanya aku ingat, akulah yang nak belanja selaku tuan rumah tapi sebaliknya KS yang bayar semua. Hu..hu.. Tengkiu sajalah!

Setelah KS pamit, aku pergi berjumpa adikku Mamat yang kebetulan datang dari kampung melihat mertuanya di Permatang Janggus. Jam Hijra itu aku kirim kepada Ucop melalui Mamat.

Jangan bagitau ibu_suri pasal jam ini dah diberi pada Ucop ya. Nanti kalau ibu_suri tanya, aku akan beritahu dia - dah dipulangkan balik pada tuannya.

Betullah tu, kan....!

Sabtu, 28 Disember 2013

Mabuk Tidur

Aku harap hasrat untuk balik kampung tertunai hari ini. Itupun jika ibu_suri sudah puas tidurnya.

Dah 2 hari ibu_suri asyik tidur. Pantang letak kepala di katil, berbunyilah dengkurnya. Aku faham, bila begini... 'mabuk' tidurnya dah datang. Aku akan tutup pintu bilik supaya kedap bunyi.

Kalau cucu menakan datang nak bermain dengan Marissa, aku suruh depa balik. 

"Opah tidur. Tak mahu bising-bising..." beritahuku.

2-3 hari sebelum itu ibu_suri lansung tak tidur. 24 jam atau 36 jam, matanya terkebil-kebil tanpa rasa mengantuk.

"Habis, ibu buat apa malam-malam?" tanya anak saudaraku.

"Berjagalah, tengok gelap." jawapku.

Manalah aku tahu apa yang dia buat sebab aku pun dah zzzzZZZZZZZ..... Kalaupun aku perasan ialah kekadang dia geletek aku. Kalau tersedar, aku marahlah juga. Tapi ibu_suri terkekek ketawa. Kekadang dia tutup hidung aku, aku bernafas ikut mulut. Bila dia tutup kedua-duanya, aku mendengus...

Memang kena banyak sabar. Bukan saja banyak tapi banyak-banyak. Sebab itu aku selalu berbisik di hati, tak ada orang lain yang mampu menjaga dia selain aku. Tidak mak atau abah dia, tidak juga anak-anaknya. Jauh sekali adik beradiknya.

Pelan aku memang nak balik kampung hari ini, tengok mak. Nak repair socket outlet kat dapur rumah mak yang dah daif. Nak belikan mak toto kecil habuan ganti toto mak sekarang yang dah kusam. Toto kecil itu mak gunakan untuk lapik punggung bila mengesot.

Mak aku memang seorang yang tinggi ketabahan dan kesabarannya. Aku rasa aku sedang mewarisi ketabahan dan kesabaran mak. 

Mak dulu sabar tatkala menjaga abah yang menghidap skizofrenia. Kini giliran aku pula menjaga isteriku yang kalau pun tidak sama tapi hampir sama sindromnya seperti abah.

Dunia ini Memang bulat, kan?

Khamis, 26 Disember 2013

Ke Johor...4

Setelah selesai mengisi minyak, bas persiaran yang kami naiki keluar dari lebuhraya menuju kedai makan. Heran juga aku. Kenapa perlu ianya keluar dari lebuhraya?

Tempat singgahan yang tercegat di depan mata aku itu seperti menggaru yakin hati. Semuanya tulisan Cina. Ini kedai makan muslim ke ni, detak hatiku?

Aku menenemani bapa mertuaku ke bilik air. Belas rasa di hati melihat dia selangkah demi selangkah membetulkan letak kaki. Daifnya bilik air di sini, bisik hatiku.

Mata aku menerawang ke serata kedai yang ada di dalam food court ini. Rata-ratanya kedai Cina. Kalau adapun cuma pekerja Melayu ( atau Indon? ) tetapi tulisan di papantanda semuanya tulisan Cina menunjukkan bahawa pemilik gerai makan ini adalah Cina. Aku tercari-cari kut-kut ada logo Halal, hemm... tiada.

Surau di sini lebih daif dari bilik air. Aku diminta menjadi imam. Saf cuma muat untuk 3 orang. Aku cuba yakinkan diri aku bahawa bilik ini adalah bersih untuk didirikan sembahyang.

Selesai sembahyang, aku bertanya samada bapa mertuaku mahu minum atau tidak. Aku order kopi o untuk beliau sementara aku sendiri memesan capucinno. Tapi sebenarnya jauh di dalam hatku cukup ragu-ragu dengan kehalalan makanan di situ.

Setelah bapa mertuaku selesai minum aku minta dia beredar dulu sementara aku masih merenung cawan kopi di hadapanku. Ntah berapa kali kopi itu aku kacau. Akhirnya aku biarkan saja. Tak sanggup rasanya untuk menghirup. Terasa bersalah pula kerana mengajak bapa mertuaku minum tadi. Muga Allah mengampuni aku.

Di satu sudut aku ternampak satu papan tanda bertulis - UNTUK PEMANDU SAHAJA. Agaknya, itu ruang makan yang dikhaskan untuk pemamdu bas yang membawa penumpangnya makan di sini.

Fahamlah aku kenapa pemandu bas ini berusaha untuk exit lebuhraya dan singgah makan di sini. Rupanya ada ubi ada batas.

Aku menaiki bas tanpa minum apatah lagi makan apa-apa.

"Mana teh tarik I?" tanya ibu_suri yang memesan sebelum aku turun.

Aku cuma diam.

Rabu, 25 Disember 2013

Nasib Anak Cucu

Lepas hadiri kenduri seorang kawan di RECSAM, aku pujuk ibu_suri supaya singgah ziarah mertua. Alang-alang dah sampai Penang, umpanku.

Sesampai di rumah mertua di Taman Buah Pala, terasa badan ini kurang selesa. Aku berbaring di lantai beralaskan tangan di kepala. Mertua dan ibu_suri berbual sambil menghadap Astro. Aku memejamkan mata. Mahu tidur sekejap. Terasa benar di usia begini, badan cepat rasa lelah.

Bila di siar berita, juruberita membaca tentang adanya rancangan berhimpun untuk gulingkan Kerajaan pada 31 Disember ini. Respon dari mertuaku seperti yang aku duga. 

"Buat apalah nak gulingkan kerajaan. Kita dah elok aman damai sekarang ni."

Mau saja aku bangun dan beritahu;

'Abah... itu semua fitnah. Depa nak berhimpun bukan untuk guling kerajaan. Depa tu berhimpun nak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan yang menaikkan kos sara hidup kita sewenang-wenangnya.

Ahli Parlimen dah bantah dan persoalkan isu ini di Parlimen tapi Kerajaan masih bersikap tuli. Jadinya, rakyat bercakap di jalanraya.'

Kalaulah mertua aku mengatakan bahawa mereka yang turun berhimpun itu adalah mereka yang tidak sayang pada negara sebaliknya mahu negara huru-hara, aku kira mertua aku silap.

Mertua aku sebenarnya tidak tahu bahawa menantu dan cucunya ini adalah antara mereka yang pernah sama-sama turun ke jalanraya itu.

Dalam perjalanan balik ke rumah aku beritahu ibu_suri;

"Abang tak risau tentang kita hari ini kerana kita cukup wang untuk sara diri kita berdua. Yang abang bimbang ialah nasib hidup anak cucu kita. Kalau kos sara hidup tidak pernahnya turun, bagaimana mereka akan hidup. Tahu tak semalam Angah kata apa...?

'Ayah, duit seribu yang ayah bagi semalam, hari ini dah tinggal beberapa puluh saja. Keluaq macam ayaq...'

Tu, nasib baik ada ayah dia. Nanti kalau ditakdirkan ayahnya ini mati, sapa nak support dia bila dia dalam susah?"

Geram juga aku. Tak pasal-pasal ibu_suri menjadi papan dart!

Khabar Buat Ibu

Balik kerja tadi seperti biasa bersama blogger JH yang memandu Unser warna merah. Seperti biasa juga kami mendengar rancangan ADILA dari siaran Klasik Nasional. Ntah kenapa, kami berdua sekarang ini memang suka dengar siaran Klasik Nasional berbanding Sinar FM sebelum ini.

Satu ketika juruhebah siarkan lagu Khabar Buat Ibu dendangan Loga Alleycats. Ntah kenapa hatiku tiba-tiba terusik. Lagu ini menghimbau ingatan aku pada saat-saat mana kawan ibu_suri menalipon aku bertanyakan .....dot...dot...dot...

Kemudian esok harinya aku menalipon ibu_suri. Dan ibu_suri menangis di talipon.... teresak-esak... bertanya ... kenapa aku ...dot...dot...dot...

Ntahlah... Sesekali pula bila dengar lagu ini aku terasa amat malu pada mak. Agaknya dalam senyum, hati mak ada yang terluka. Agaknya. Mak tak pernah baeritahu.

Maaf... terlalu...dot...dot...dot... semua cerita ini untuk aku paparkan. Biarkan saja ia tersorok di lipatan kenangan.

Apapun, masa yang telah berlalu tak akan kembali semula untuk dapat diperbetulkan!


Isnin, 23 Disember 2013

Ke Johor ...3

Sambung semula catatan jaulah aku ke Johor. Harap kalian tidak jemu membacanya.

Aku perasan pemandu bas - Amin mengintai panel meter berkali-kali.

"Kena isi minyak ni..." ujarnya mungkin kepada pemandu satu lagi - Hamid. 

"Tadi ada petrol station kat hentian rehat, kenapa tak singgah?" tanyaku.

"Kena singgah kat Shell."

Ooo... Mungkin syarikat bas ini hanya berurusan dengan satu syarikat minyak saja yakni Shell supaya mudah urusan pembayaran, fikirku.

Aku perhatikan meter fuel. memang semakin hampir ke paras minima. Tak lama kelihatan hentian rehat dan ada stesyen Shell. Bas membelok masuk tapi ditahan oleh pekerja Shell.

"Tangki bawah baru saja isi."

Amin kelihatannya sedikit gusar. Kemudian memandu keluar semula ke dada lebuhraya. Aku heran juga dengan kejadian tadi.

"Kenapa tak isi minyak?" tanyaku.

"Lori baru saja isi tangki besar depa dengan minyak tadi." terang Amin. Aku tak faham. Di tambah dengan bunyi derum bas buat aku tak berapa dengar penjelasan Amin. 

"Kalau lori baru saja isi minyak ke dalam tangki, kita kena tunggu lama sikit baru minyak itu akan naik ke atas dan ayaq turun ke bawah. Kalau kita pam juga minyak tu ke dalam tangki bas nanti kita dapat minyak bercampur ayaq. Rosak lah enjin bas. Kena overhaul pulak!" 

Aku semakin tak faham. Beberapa kali juga bertanya. Apa pasal pulak dalam tangki ada air? 

"Memang setiap tangki besar kat stesyen minyak ni ada air di dalamnya. Tujuan dia supaya tangki tak terapung bila minyak dah kurang. Bila minyak kurang dan lori isi dengan minyak baru, air akan bercampur dengan minyak. Kena tunggut sikit masa supaya minyak naik ke atas dan air turun semula ke bawah. Masa itu baru kita boleh pam minyak ke tangki bas."

Jenuh juga aku memikirkannya. Perlahan-lahan baru otak aku dapat menangkap maksud kata-kata dari Amin tadi.

Mungkin inilah yang berlaku kat stesyen minyak Caltex depan taman tempat aku tinggal. Heboh satu masa dulu depa kata minyak kat Caltex itu bercampur air. Beberapa pemilik motor terpaksa overhaul enjin motor mereka kerana terguna petrol yang bercampur air. Teori inilah yang sebenarnya berlaku!

Aku mendapat satu pelajaran baru malam ini!

Kegemaran Kiter...

Aku memang sejak dari dulu meminati musik. Agaknya, mewarisi darah seni abahku yang juga suka menyanyi. Cumanya, aku convert minat musik aku kepada nasyid.

Dan dari dulu juga aku meminati suara Munif Ahmad. Sebermula dia di dalam kumpulan NadaMurni hinggalah dia bersama kumpulan Hijjaz. Lagunya yang paling aku minati ialah Rindu. Cuma sekarang ini suara lunak Munif dah kurang lemak. Agaknya faktor usia. Tak sama macam Asri Ibrahim (Rabbani); makin berumur suara beliau makin mantap.



Meminati dia jugalah hingga kini aku berusaha mencari CD album siri Pelita Hidup I ~ VI dan Penawar Hati 1 ~ 7. Suaranya yang lunak membuatkan aku begitu menghayati irama dan lirik nasyidnya.

Akhill Hayy dalam CD ceramahnya bertajuk Seroja pernah mengatakan bahawa Munif Ahmad jika membawa semula lagu-lagu lama El Suraya, kadangkala lebih sedap dari penyanyi asal itu sendiri.

Baru ada 2. Dok cari lagi 4 tapi tak jumpa-jumpa...
Nak cari lagi 2 CD. Mungkin ada kat Sungai Petani...

Bila aku berada dalam kereta saja, pemain cakera padat aku mesti saja berbunyi. Habis CD, aku akan tukar kepada FM modulator. Dulu, ibu_suri merungut juga sebab kereta aku tak pernah 5 minit pun sunyi dari lagu. la ni, dia dah mangli....

Selalunya, ibu_suri akan mencecer bila aku keluar dari kedai menjinjing CD. 

"You ni tak habis-habis dengan CD."

"Habis duit pada CD tak pe dari habis pada rokok..."

Ntahlah... Mendengar lagu adalah sebahagain dari cara aku me'release' tension. Nak buat camner kalau begitu kegemaran kiter...

Sabtu, 21 Disember 2013

Al Kisah Pagi Ini...

Aku berangan-angan untuk seorang diri riadah di tasik Mengkuang. Tapi Allah tak izin agaknya, ibu_suri yang tak tidur semalaman tiba-tiba mahu ikut sama. Susah untuk aku katakan jangan; jadi aku iyakan saja.

Bila begitu, persiapan untuk dia saja akan memakan masa. Kena sediakan makan supaya selepas itu dia boleh makan ubat dan sediakan pakaian apa yang dia nak pakai.

Kena pula ke kedai tepi perhenian bas pekan Penanti untuk belikan akhbar buat pembacaannya sementara menunggu aku di kereta. Sebaik saja sudah siap memakai kasut tiba-tiba;

"Abang.... cepat sikit ya. I rasa sakit perut...!"

Uuhhh.... angin dalam badan aku mulalah nak naik. Tapi tak terkeluar sepatah pun perkataan dari mulut. Tak mahu keruhkan suasana. Lagipun aku tau, bab sakit perut ni kerja Tuhan. Dia tak kira masa dan di mana kita ketika itu. 

Aku pasrah saja tinggalkan dia di kereta. Sambil membuka lagu kat handset, aku berjalan cepat dan kekadang berlari anak. Tak ramai sangat orang sebab jam dah pun 9 pagi lebih. Memang gitulah kalau ada ibu_suri dalam agenda riadah pagi aku ini.

Lepas riadah aku ajak pergi makan. Dia tak mahu. Aku tinggalkan saja di kereta sementara aku minum. Tapi tak rasa santai juga sebab bimbang dia di kereta..... ntah apa jadinya nanti. Aku kembali ke kereta.

Sambil memandu aku terkenang hari-hari mendatang. Aku teringat mak di kampung dan teringat anak-anakku.

Dan aku juga teringat cerita kawanku di lokasi kerja semalam. Cerita dia berjaya menurunkan tahap LDLnya dari 5 kepada 3. Rupanya dia amalkan memakan minyak zaiton dah hampir setahun. bila aku tanya kenapa tak makan oat jawapnya... dia ada masaalah resdung yang kronik. Memakan oat memudaratkan dia.

Gitu pula!

Jumaat, 20 Disember 2013

Pagi Jumaat

Baru tahu rupanya Pak Hassan dah pun meninggal dunia seminggu lalu. Berita itu heboh di whatsapp tapi aku yang tak miliki kemudahan itu... ketinggalan. Aku dapat tahu pun semasa usrah tadi. Innalillah!

Pak Hassan adalah salah seorang dari rakan seusrahku di Surau Taman Pelangi. Beliau adalah imam di surau itu. Umur Pak Hassan adalah 63 tahun. Orangnya jujur dan lurus. Awalnya di disyaki menghidap sakit thyroid. Akan tetapi bila diperiksa lebih lanjut rupanya dia menghidap kanser tahap 3.

Sewaktu kami ziarah beliau di wad Paliatif, Hospital Pulau Pinang Jalan Perak malam Jumaat lepas, beliau memang dah sedikit nazak. Mulutnya di pasang alat bantuan pernafasan. Badannya kurus dan cengkung. Dadanya berombak-ombak menghela gelombang pernafasan. Matanya berair; agaknya menahan sakit.

Kami mengelilinginya membaca Yassin. Sanak saudaranya memang ramai yang datang mengelilingi. Wad yang memang tidak ramai pesakit itu sunyi kerana hari dah jauh malam. Khabarnya, doktor ada memberi cadangan supaya dinyahkan alat bantuan pernafasannya tapi mungkin tidak diizin oleh keluarga terdekat.

Esok paginya jam 4, beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Pagi Jumaat. Pagi penghulu segala hari.

Muga roh beliau di cucuri rahmat Allah. Al Fatihah!

Selasa, 17 Disember 2013

Ke Johor...2

Amin juga mengatakan yang syaitan iblis boleh menyerupai sesuatu. 

"Kekadang, dekat pintu tu ada kelibat lembaga. Sebab itu saya letak cermin kecil kat sini..." sambil menunjukkan cermin kecil di tepi tingkap tempat duduknya, tak jauh dari stereng yang dipegang. 

Ya... baru aku perasan ada cermin kecil melekap di cermin sisi pintu bas betul-betul bersetentang dengan pintu otomatik dimana kami semua turun naik tadi.

"Kalau saya perasan ada 'hamba Allah' tu di situ, saya akan sandarkan badan rapat ke kerusi supaya kelak nanti bila 'dia' terpandang cermin di sini dia akan terlihat mukanya sendiri. 

'Dia' sebenarnya tak tahu yang wajahnya huduh. Jadi bila diperlihatkan wajahnya dicermin ini, dia akan terkejut  dan hilang."

Dah macam sebahagian dari kepercayaan orang Cina pula, fikirku. Selalunya, di rumah orang Cina mereka akan letak cermin di pintu masuk rumah; dengan harapan kalau 'dia' nak menceroboh masuk ke rumah mereka, 'dia' tak jadi nak masuk bila terpandang cermin dan melihat wajahnya sendiri yang huduh.

Dalam hal ini aku tak ada komen apa-apa. Aku memang tak ada ilmu sangat untuk bincang pasal makhluk halus ni.

Mungkin kalau ada kesempatan aku akan bertanya pada blogger Warna Nostalgia. Blogger WN memang arif bab-bab ni. Dia pula ditakdirkan Tuhan memiliki kelebihan melihat benda-benda halus ini.

Kalau mengikut kata Amin, untuk sampai ke Johor mengambil masa sekitar 10 jam. Dari tadi aku perhatikan meter di dashboard memang tak jauh dari lingkungan 110km/jam. 

Hamid yang tidur di kerusi sebelah aku sudah jauh dengkurannya. Bas masih menyusuri lebuhraya dan kini mengekplorasi  pula negeri bijih timah dan getah asli. 


Malam-malam begini, bas dan lorilah yang menjadi pesaing bas Zarika kami ini. Sesekali mereka membunyikan hon sesama sendiri. Cara mereka berkomunikasi sesama sendiri gamaknya!...

Isnin, 16 Disember 2013

Ke Johor.... 1

Selama berpergian ke Johor, alhamdulillah segalanya ok. Walaupun sesekali rasa hilang sabar juga dengan kerenah ibu_suri, aku masih tetap boleh control diri sendiri.

Ada beberapa episod selama aku berpergian ke sana yang aku rasa boleh aku angkat menjadi bahan tulisan di blog ini.

Bas yang aku naiki adalah dari syarikat Zarika. 2 orang pemandu bas yangmana kedua mereka adalah mamak atau di sini lebih dikenali sebagai Melayu Tanjung. Seorang namanya Hamid dan seorang lagi Amin (baru memeluk agama Islam). 

Aku dan ibu_suri mendaki bas dari Seberang Jaya. Mungkin untuk memudahkan ibu_suri turun naik bas, kami di beri kerusi paling hadapan (belakang pemandu bas). Terasa gayat bila duduk di depan ini. Banyak kali aku menekan brek sendiri bila bas memotong kereta atau melalui celah kenderaan lain yang aku rasakan seperti terlalu dekat.


Semasa giliran Amin sebagai pemandu ke 2, aku mengalih duduk di tangga bas dekat dengan pemandu. Aku ingin berbual sebab jemu duduk di kerusi berjam-jam tanpa berbuat apa-apa. Nak tengok tv pun depa tayangkan CD cerita KL Zombi yang bagi aku ntah apa-apa jalan ceritanya.

Aku ralit mendengar cerita Amin. Sedari cerita bagaimana dia masuk Islam, tanggapannya terhadap orang asal Islam dan akhirnya menyorot kisah amalam kita di dunia yang akan menentukan nasib kita di alam kubur dan di akhirat.

Agak luas juga pengetahuannya tentang ilmu Islam. Aku lebih banyak mendengar dan mengiyakan. Itu salah satu dari cara aku menghargai orang-orang seperti Amin. 

Semasa asyik bercerita tentang kematian, kubur dan godaan syaitan terhadap manusia, sesekali aku melihat dia menyapu muka. Sesekali menyeka tengkuk. Aku tertanya-tanya juga dalam hari... kenapa? Dalam fikiran aku seperti mengesyaki sesuatu. Tapi dia masih terus bercakap dan aku mendengar. Tiba-tiba...

"Awak perasan tak, dalam sibuk kita sembang pasal kubur ni, apa yang ada di depan kita sekarang?"

Aku pun memusatkan pandangan kepada kenderaan yang ada di depan. Aku memang nampak kenderaan tadi tapi tidaklah aku hiraukan sangat sehinggalah bila aku perasan kali ini aku secara spontan ketawa dan menampar pipi...

"Allahu Akbar!...." getusku bila terbaca tulisan VAN JENAZAH.

"Tengok... Tuhan mahu tunjuk sama kita. Apa isyarat yang Tuhan mahu bagi tahu kita?"

Aku istighfar beberapa kali. Tak lama van itu mengambil jalan kiri dan bas yang kami naiki memintas van tersebut. Amin masih bercerita tentang kebesaran Allah terhadap insiden yang baru saja terjadi tadi. Aku sendiri pun terpana dibuatnya. 

"Ha... van tu dah tak ada sekarang. Mana dia sudah pergi?" ujar Amin, sambil menjengah ke kiri dan ke atas melihat cermin.

"Dia dah keluar... exit mana-mana kot." ujar aku meredakan persoalan yang begitu misteri jawapannya. 

Bagi aku insiden ini benar-benar mengetuk hati kecilku. Kebetulan atau memang suatu peunjuk dari Tuhan... aku tak tahu!

Khamis, 12 Disember 2013

Skudai

Sabtu dan Ahad ini insyaAllah, aku dan ibu_suri akan ke Skudai, Johor menyewa satu bas persiaran untuk hadiri majlis perkahwinan belah keluarga mertua.

Aku sebenarnya malas nak pergi. Pasti akan terasa jemu duduk berjam-jam dalam bas. Lagi pulak aku tak tahu dugaan apa pula yang aku terpaksa hadapi nanti dalam mengurus ibu_suri. Naik bas turun bas adalah masalah buat dia yang obes. Lagi pulak ibu_suri kerap suka buang air secara terdesak. 

Nak bawa kereta sendiri.. huuuu... aku bukan macam dulu, boleh memandu jauh-jauh dan lama. Sekarang ini aku mudah mengantuk bila saja memegang stereng. Setakat berulang alik Ipoh-Penang, ok lagi lah. Laluan yang sudah biasa. Tapi Johor... uh... maaflah!

Apapun, sebab dah malas nak mendengar rengekannya, aku pasrah saja. Aku ni memang jenis yang tak suka bising-bising dan berdebat.

Jumaat malam aku akan bertolak. Di sana khabarnya keluargaku menyewa homestay. Bab tempat menginap ni satu perihal juga. Tak tahulah tidur dan buang air ibu_suri nanti bagaimana. 

Bila sebut Johor, aku akan segera teringat akan sahabat sepenulisanku sewaktu aktif menulis di ruangan Taman Sains, Utusan Pelajar. Itu lebih kurang tahun 70an. Aku masa itu berjaya diterima menjadi Ahli Kelab Sains (AKS) yang ke 70. Untuk layak menjadi AKS, karya aku mestilah pernah tersiar dan kemudiannya mesti membuat satu album yang berkaitan dengan subjek sains. Album yang aku telah buat ialah tentang burung. Aku masih ingat akan moderator Taman Sains yakni Pak Matlob. Antara lain yang seangkatan aku dan berjaya menjadi penulis prolifik ialah Shahidan Mohd Noh dan Sri Diah Isma.

Aku harap kepergian aku ke Johor, mudah-mudahan ok ok saja. Malas nak fikir banyak-banyak terhadap perkara yang aku sendiri pun tak tahu akan jadi bagaimana. Aku harap, musafir selama 2 hari akan mengeluarkan aku sekejap dari semak kepala memikir pasal Akhmal. 

Rabu, 11 Disember 2013

Legowo

Baru saja balik dari bawa ibu_suri jalan-jalan di pekan Bukit Mertajam. Singgah di Restoran Popular sekadar minum-minum saja. 

Di sisi meja, ada sekumpulan anak Muda Cina, juga sedang minum sambil membelek smart phone. Yang lecehnya, sambil menolak-nolak skrin, sambil mengembot asap rokok. Angin yang masuk dari luar ke dalam restoran menghantar asap itu ke arah kami berdua. Tidak kesian agaknya mereka...

Kekadang terfikir aku.. alangkah bersyukurnya aku kerana tidak menjadi perokok. Dan alangkah beruntungnya ibu_suri kerana memiliki suami yang tidak merokok. 

Cita-cita aku ialah tidak mahu mewarisi tabiat mak dan abah yang perokok. Juga lagi, cita-cita aku mahu mempertahan imej ini terhadap keluargaku. Sayangnya, kecuali Along, Angah dan Akhmal sebaliknya menjadi perokok. Puas aku nasihati..... tetap sama. Nak salahkan siapa?

Semasa memandu balik, aku teringat perbualan aku dengan blogger JH sewaktu pulang dari kerja petang tadi.

"Setiap kita pasti ada dugaan yang Allah akan bagi. kalau tidak masaalah anak macam kita, masalah suami atau isteri. Sakit.... Susah.... Rasanya ujian yang aku hadapi ringan berbanding kawan kita .... (tuuttt)... yang mendapat anak down sindrom. Yang sorang lagi tu.... (tuttt) ntah berapa kali kena bypass jantung. Kita ni kira ok juga lah...."


Aku teringat akan satu perkataan yang aku jumpa semasa membaca Harakah semalam.... LEGOWO. Mulai hari ini perkataan itu akan menjadi antara kata-kata penguat semangat dalam hidupku!

Isnin, 9 Disember 2013

Melihat Butir-butir Hujan Yang Jatuh...

Walaupun Angah menawar diri mahu tolong bayarkan bil cukai pintu di pejabat MPSP di Perda, aku menolak. Ini tanggungjawapku. Biarlah aku yang selesaikan. Tak mahu menyusahkan anak-anak. Lagipun, banyak rahsia aku yang tak sepatutnya di dedahkan kepada anak-anakku. Mereka tak perlu tahu bahawa bil cukai pintu MPSPku tertunggak sekian banyak hingga menerima surat amaran.

Aku ambil cuti separuh hari. Tak siapa tahu. Tidak Angah. Tidak juga ibu_suri.

Aku tiba di pejabat MPSP jam 2 petang. Ramainya orang. Beginilah hari-hari agaknya. Aku dapat nombor giliran yang ke...


Huuuu... kurang lebih kena tunggu giliran ke 100. Tunggu jugalah. Nak buat macamana. Lenguh duduk aku berdiri. Letih berdiri aku berjalan.

Jam 4 selesai bayar bil. Nasib baik permintaan aku untuk melunaskan minimum bayaran yang tertunggak itu dilayani. 

Aku pun menuju ke R&R Juru. Nak sejukkan minda di sana. R&R Juru adalah salah satu dari beberapa port yang aku suka lay-park bila jiwa terasa runsing. Baca Harakah sambil minum Radix dan makan 2 keping karipap gajah.

Lepas solat Asar di surau R&R, aku bergerak keluar lebuhraya. Aku nak ke Tasik Mengluang untuk riadah. Aku jangka akan tiba di sana jam 6, sesuailah masanya untuk itu. Langit gelap disertai angin. Itu tanda hujan tak lama lagi akan turun. Aku tawakkal saja.

Di Tasik Mengkuang, orang tak ramai. Angin semakin kencang dan rintik hujan jatuh di cermin kereta. Aku ambil trek pendek. Jalan cepat dan semakin cepat. Cuma pakai selipar, seluar slack dan kemeja. Itu pakaian kerja. Aku memang tak rancang untuk ke sini pada awalnya.

Sebaik selesai riadah, hujan turun punyalah lebat. Aku singgah di kedai tepi Masjid Kubang Semang. Makan sedikit nasi. Hujan masih turun dengan lebat. Sambil makan, aku renung butir-butir hujan yang berjatuhan. Teringat ibu_suri di rumah. Ntah bagaimana dia. Ntah bagaimana Akhmal....

Ahad, 8 Disember 2013

Maaf!

Maaf buat rakan-rakan blog. Sejak akhir-akhir ini keinginan aku untuk blog walking jadi tumpul. Bukan kerana jemu atau malas tapi kerana keresahan yang telah menawarkan semua itu.

Aku cuma akan pergi ke blog yang memberi komen di dalam entri blog aku sahaja. Itu pun, kekadang aku komen pendek sahaja. Yang kekadang merasakan komen aku itu macam ntah apa apa jer..

Aku pasrah pada kehidupan ini. Setiap kali aku jatuh, aku cuba bangun sesegera mungkin. Aku berazam untuk terus konsisten menjaga kesihatan, menjaga kereta dan rumah sekadar mampu dan menjaga amal serta usrahku.

Ntahlah... terasa amat bersaorangan hidup di dunia ini walaupun di celah ramai orang. 

Aku terasa mengantuk sekarang. Nak solat Zohor dulu. Di katil, dengkur ibu_suri teratur iramanya.

Kalau dizinkan Tuhan, bangun dia nanti, kami akan ke Taman Angsana, Kulim; ziarah adikku - Darul!

Pagi Tadi Dan Esok!

Entah kenapa hari ini aku berasa teramat jemu. Tapi aku tak boleh nak salahkan ibu_suri. Dia pun tentu sebenarnya tidak minta jadi begini. Dah suratanNya.

Tambah jemu ialah bila diringi dengan keresahan. Resah melihat Akhmal yang aku kira sudah berbalik ke perangai lama. Tadi mertuaku bertanya pasal dia. Aku cuba bertahan untuk tidak mahu bercerita apa-apa.

Aku teringat adikku Duyah yang dipertanggungjawapkan menjaga mak. Aku yakin, Duyah juga seperti aku... jemu. Bertahun-tahun membuat rutin yang sama tanpa sikit pun boleh lengai atau lari dari tanggungjawap. Pagi, dia akan membuat sarapan untuk mak dan sediakan ubat. Begitu juga tengahari. Begitu juga malam. 7 hari seminggu. 30 hari sebulan. 365 hari setahun. Tugasan yang tidak ada gelemer. Tiada orang tahu dan ambil kisah.

Kekadang Duyah menghantar sms kepadaku bercerita tentang mak. Aku sebagai abang sulong mahu tidak mahu terpaksa memberi respon yang positif ransangannya. Walaupun ketika ber sms itu aku sendiri berperasaan seperti dia. Jemu dan cemus.

Ntah bilalah aku boleh berasa bebas. Boleh buat hal sendiri tanpa terikat dengan ibu_suri. Boleh tidur sampai bangun sendiri. Boleh keluar dan beli belah tanpa perlu terkocoh-kocoh, bimbang ibu_suri yang tinggal di kereta mau ke bilik air atau di usik orang.

Justeru itu aku beritahu pada adik-adikku yang lain supaya jika ada pelan nak balik kampung, beritahu siap-siap kepada Duyah. Dan bila adik-adikku yang lain ada di rumah mak, biarkan Duyah pula berehat dan mereka ambil aleh tugas menjaga kebajikan mak.

Sayangnya, aku bila balik kampung, hanya balik hari. Tidak boleh bermalam kerana masaalah pada ibu_suri. Jadinya, aku hanya boleh mengarah adik-adikku menjaga mak tetapi aku sendiri tidak berbuat begitu.

Sebab itu, hujung minggu adalah masa yang aku tunggu-tunggu. Dan sebolehnya aku tidak mahu ibu_suri ikut sama. Aku mahu sendirian ke Tasik Mengkuang, riadah dan kemudiannya singgah di Masjid Kubang Semang untuk solat Dhuha dengan banyak-banyak rakaat; minum sambil baca Harakah. Kemudian barulah singgah di kedai membeli lauk dan balik rumah mengemas dapur sambil menunggu nasi yang ditanak itu masak.

Macam pagi tadi. Dan harapnya..... begitu juga di hari esok!

Khamis, 5 Disember 2013

Hari Esok

Aku masih tidak dapat mengclearkan kerja saki baki yang ada di ofis. Sekarang ini dah bulan Disember. Sasaran aku ialah nak memastikan setiap kali balik kerja, rak-rak peralatan untuk di kalibrasi, kosong. Dan esok pagi pula aku boleh membuat cleaning 5S dengan selesa. Sayangnya, aku masih terkapa-kapa. Terasa jemu dengan kerja rutin yang seperti tak berkesudahan.

Semasa turun makan aku sempat beriringan dengan seorang rakan Cina.

"You mau kerja sampai 60 ka?"

"Tak tau la. Tengok macam mana. Sekarang pun sudah rasa macam mau berhenti. Jemu dengan pressure kerja."

"Ye la... Patutnya orang macam kita sekarang rileks kat rumah. Pergi sembahyang saja atau buat charity."

Aku teringat abah aku yang walaupun udah pencen kerja sebagai buruh MBI (Majlis Bandaran Ipoh), meneruskan kerja memesin rumput dan memotong pagar di rumah-rumah taukeh Cina sekitar Taman Ipoh dan Taman Canning. Tujuannya tak lain adalah untuk meneruskan pencarian rezeki. Anak-anaknya tak banyak yang dapat membantu termasuk aku. Masa itu ada 2 lagi adik yang masih belajar malah memasuki U. Hakikat itulah yang perlu aku perhati.

Kos hidup sekarang terlalu tinggi. Tanpa pendapatan yang besar, sukarlah aku menikmati keselesaan seperti hari ini.

Apa yang akan terjadi kiranya aku telah pun mencapai 60 tahun. Atau mungkin sudah tidak mampu bekerja esok....lusa?

Ntahlah!

Rabu, 4 Disember 2013

Yang Baik-Baik Saja...

Barangkali aku perlu stop saja menulis tentang orang lain kecuali diri sendiri dan ibu_suri. Kalau pun nak tulis juga,  hanya kisah yang baik-baik sahaja.

Kerana ini jugalah sebelum ini aku telah beberapa kali menukar alamat blog. Semata-mata kerana tak mahu keluargaku malah sebahagian dari kenalan membaca tulisanku ini. Kemudiannya menceritakan secara terbuka pada orang lain. Akhirnya sampai ke telinga anak-anak atau saudara maraku. Tidak elok pula akhirnya natijah itu.

Biarlah aku simpan kisah-kisah pilu hidup ini di lipatan sanubari sahaja. Blog ini hanya tempat aku rakamkan kisah-kisah seharianku dan ibu-suri. Kisah yang baik-baik sahaja. Atau paling tidak gaya menulis yang elok-elok sahaja.

Ntah kenapa di tempat kerja tadi aku terasa amat malas sekali. Resah masih menguliti tangkai hati. 

Mulanya aku merancang nak ambil cuti separuh hari. Tapi akhirnya aku ambil keputusan untuk pergi kerja lewat; singgah di klinik Kubang Semang untuk ambil ubat terbaru ibu_suri. Tahun ini rasanya aku berjaya pecahkan rekod mempunyai lebihan cuti tahunan. Kalau tidak, selalunya cuit aku minus.

Aku masih memikirkan ke mana nak aku bawa ibu_suri bercuti hujung tahun ini. Rengekan ibu_suri supaya kami pergi bercuti seperti mana tahun-tahun sebelumnya buat aku rimas.

Mungkin aku akan ke Perlis? Ntah kenapa aku suka pergi Perlis. Bagi aku, negeri itu damai dan jauh dari hiruk pikuk kesibukan.

Atau mungkin juga ke Negeri Sembilan. Aku teringin nak singgah makan di gerai yang menjual gulai lemak cili padi!

Sekadar angan-angan di malam begini sementara menunggu ibu_suri bagi signal untuk keluar jalan-jalan. Huuu... dah jam 12 lebih ni. Terasa mengantuk!

Selasa, 3 Disember 2013

Keras Kerak Nasi

Sepanjang hari ini aku asyik resah. Fikiran aku berkisar pada Akhmal. Selalu tertanya-tanya dalam diri, dimanakah silapku selama ini?

Semalam dia mengamuk selepas aku menegurnya membawa ramai kawan (hampir 15 orang) berkerumun di rumah semasa aku keluar bawa ibu_suri jalan-jalan. Dalam belasan kawannya itu ada seorang perempuan. Perempuan ni pun satu. Tak tahu ke bahawa dia mengundang bahaya pada diri sendiri...

Tatkala aku memandang wajah Akhmal aku dapat lihat matanya yang tidak bersinar. Aku dapat merasakan sesuatu.

"Akhmal dah kena apa?" tanyaku pada kawannya.

"Tak ada apa-apa pak Cik..."

Aku hanya mencebik bibir. Aku tahulah... anak aku. Aku bela dia sedari tapak kakinya 2 jari tanganku.

Aku berdoa berdoa panjang di setiap kali sujudku pada Maghrib tadi. Hanya pada Tuhan aku serahkan semuanya.

Semalam juga, hampir dia hendak mencederakan Vivaku tanda marah. Nyampang, kawan-kawannya menyabarkan dia.

Tapi aku tetap bersikap cool. Tadi, aku bercakap dengan dia seperti tidak berlaku apa-apa.

"Habis dah rajuk dia?" tegur ibu_suri sebaik saja aku menaliponnya samada mahu aku belikan makan malam atau tidak.

"Ala... keras-keras kerak nasi. Api jangan dilawan dengan api. Hangus kita nanti...." jawapku.

"Heran... seharian ini kerja dia asyik tidur je..."

Aku diam. Aku rasa aku tahu sebabnya kenapa jadi gitu. Tapi aku masih berharap yang andaian ku itu silap!

Ahad, 1 Disember 2013

Doakkan Aku

Aku terpaksa menulis dengan cepat kerana ibu_suri dah bising suruh bawa dia jalan-jalan. 

Dah lama sangat rasanya tak menulis. Banyak kisah hidup yang tak dirakam. 

Tadi pagi aku riadah di Tasik Mengkuang. Awal aku sampai. Leceh juga kalau awal di sini sebab orang amat ramai hingga nak berjalan cepat pun bagai tersangkut. Dan lagi, bila ramai begini tak terelak untuk terpandang perempuan Cina yang memakai seluar pendek dan ketat. Hooo... Hooo.... Hooo...

Kali ini aku tidak berjogging sebaliknya berjalan cepat sahaja. Tak banyak peluh yang keluar. Tak puas rasanya.

Lepas riadah aku singgah di Masjid Kubang Semang untuk solat Dhuha. Kali ini, lepas Dhuha aku banyak berdoa untuk Akhmal. Di beberapa hari ini Akhmal benar-benar buat hal yang amat meruntun perasaanku. Benar-benar buntu aku dibuatnya.

Aku juga buat kesilapan dalam membelanjakan duit gajiku kali ini. Akhirnya, baki gaji aku tinggal sedikit sedangkan bulan baru saja memasuki Disember. Banyak perkara luarjangka berlaku yang memaksa aku membelanjakan duit gajiku.

Sayangnya, semua ini tak dapat nak aku kongsikan dengan ibu_suri, teman perkongsian hidup ini sekian lama. Aku terpaksa redha dengan sendirian aku mengharungi kepayahan ini.

Maaf.... ibu_suri sedang mengira jarum saat dari angka sepuluh... takat ini saja. Doakan aku...

Jumaat, 29 November 2013

Re-union IKM KL

Rasa amat seronok kerana dapat mengumpulkan rakan-rakan lama semasa belajar di IKM KL tahun '81~'82 dulu. 5 orang semuanya. Berjumpa di kantin Masjid Seberang Jaya.

Ada yang dah berubah susuk badan tapi perangai masih sama macam dulu. Tak henti-henti ketawa kami berderai mengenang kisah lama.

Tapi yang pastinya, kalau yang dulu seorang playboy tapi kini ada yang dah jadi YDP sesuatu pertubuhan. Yang dulu dikatakan kaki surau namun hingga kini masih ditakuk lama.

Kami dulu sesama belajar di jurusan elektronik radio/tv di sana tapi aleh-aleh kerja ada yang jauh menyimpang dari apa yang dipelajari.

Aku masih ingat kata-kata Dr Mahathir satu ketika dulu bahawa mahasiswa jangan ingat bahawa kerja baru mesti yang berkaitan dengan pembelajaran dahulu. mahasiswa mesi bersedia menerima apa saja bentuk kerja setelah menjadi graduan.

Kami ber5 adalah Aku, Bukhori Ghazali, Abdul Rahim Romli, Mohd Salleh Osman dan Abdullah Halim. Kemudiannya aku diminta untuk menghubungi kawan-kawan lain. Kami bercadang untuk membuat re-union kali kedua.

Ya lah... yang tinggal cuma kenangan. Ianya tak akan dapat diputarkan kembali. kenangan itu walaupun semasa realitinya amat pahit tapi bila menjadi kenangan rupanya ia teramat manis...

Khamis, 28 November 2013

Ntah Dan Ntah Tidak...

Atas usaha Angah, akhirnya aku dapat memiliki sebuah Viva 1000 EZ (A) baru. Ia dikeluarkan atas nama menantuku - Ayu. Lapang sikit rasanya pemanduan yang selama ini agak stress jika menggunakan Kancilku yang kurang stabil sejak kemalangan di Tanah Liat tahun lalu.

Sebenarnya yang lebih perlu ialah untuk membawa ibu_suri ke hospital atau klinik dan juga untuk dia bersiar-siar. Selain itu mudah untuk balik ke kampung ziarah mak.

Aku masih ingat lagi akan hadis ini:

" Rasulullah s.a.w bersabda. Maksudnya;

Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa..."

Walaupun Along beriya menyarankan aku mengambil Saga kerana ia lebih relevan dengan saiz ibu_suri yang agak XXXL namun aku lebih suka pada kereta keluaran Perodua. Khidmat lepas jualannya bagi aku lebih praktikal, mudah dan mesra berbanding Proton.

Di usia begini, tiada apa lagi yang hendak aku hambatkan melainkan hanya memanafaatkan apa yang ada sahaja. Cita-cita hanya mahukan kesihatan yang baik, anak-anak yang menggembirakan dan jauh dari beban hutang.

Beban hutang? Hemmm.... Viva tu 9 tahun lagi baru nak habis. Ntah dan ntah tidak la...

Rabu, 27 November 2013

Habbatus Sauda

Seperti yang aku rancangkan; gaji hujung bulan ini aku akan mulai beli Habbatus Sauda sebagai makanan tambahan. Habbatus Sauda adalah penawar segala penyakit kecuali mati; begitu sabda nabi.

Aku singgah kat Ayam Ori, Kubang Semang. Mulanya aku ingatkan nak beli jenis yang sama seperti blogger JH biasa beli yakni dalam bentuk kotak. Memang ada tapi keluaran PharmaNiaga.

"Satu jenis saja ke?" Aku bertanya pada gadis yang jaga kedai yang sarat dengan pelbagai makanan kesihatan Halalan Toyyiba ini.

Segera dia keluarkan beberapa jenis botol. Ada yang kecil ada yang debab. Aku belek-belek jenamanya. Haa... Halagel. Terus aku tertarik.

Aku masih ingat bahawa pengasas Halagel dan HPA adalah sahabat baik. Mereka saling berusaha memartabatkan produk kegunaan Muslim.

Sebotol berkuantiti 60 biji berharga RM30 sementara kuantiti 120 biji berharga RM50. Fikir punya fikir aku ambil sebotol berkuantiti 6o biji.

"Cuba try dulu..." fikirku.

Aku pernah beritahu pada kawan-kawan secara berseloroh bahawa aku sekarang ini makan seperti orang kaya. Semuanya berharga mahal. Selepas habis oat bran yang aku makan sekarang ini aku bercadang nak beli BG22 pula. Kalau tak salah aku, yang ni lagi nala punya harga...

Ahad, 24 November 2013

Abang Beca

Aku baru balik dari kampung. Hadiri majlis perkahwinan anak sepupuku, Jama di RPT Sentang, Batu Gajah. Mahu pula  si Akhmal ikut bersama. Selalunya payah  untuk dia begitu.

Tak sangka, rupanya di sana aku bertemu dengan rakan-rakan sekampung. Bukan main rabungnya kami berbual kisah-kisah lama. Terlupa sekejap ibu_suri yang terkonteng-konteng makan bersaorang di meja sedang aku pula berbual di sudut lain sambil menjamah cendol S M Nor, aksesori selain nasi minyak yang amat sedap. Kemudian ibu_suri tak segan silu meminta aku tambah rendang daging ala-ala rendang tok yang memang terkenal di Perak.

Sambil DJ memainkan lagu-lagu mengiringi majlis, aku terpikat dengan satu suara yang aku kira dinyanyi oleh yang hadir secara karaoke. Lagu Abang Beca. Memang sedap patah-patah lirik yang dialunkan. Patutlah sedap alunan lagu itu. Rupanya yang menyanyi secara karaoke itu adalah M Rizal. Dah tua rupanya dia... Kening pun dah putih!

Selesai kenduri aku terus ke rumah mak. Adikku Mamat tengah sibuk membetulkan arial tv. Rupanya mak beli tv baru menggantikan tv lama yang dah rosak. Tv LED tu...

"Awak nak try dapatkan siarah TV Al Hijrah untuk mak." beritahu Mamat. Selain Duyah yang ditugaskan menjaga makan minum mak, Mamat juga orang kuat keluarga kami yang ambil berat hal-hal kebajikan mak seperti ke klinik atau bawa mak berjalan-jalan ziarah saudara mara. Aku memang salute  pada mereka berdua ini. Muga-muga Syurgalah buat mereka!

Seperti biasa, bila aku ziarah mak aku akan penuhi setiap masa aku dengan membersih dapur. Selalunya mak akan meminta aku membaiki mana-mana alatan eletrik yang tak berfungsi. Sedari dulu mak memang pandai mengambil hati anak-anaknya berdasarkan apa yang anak-anaknya mahir lakukan.

Seperti selalu juga aku cuma balik hari, tak bermalam di rumah mak. Kondisi ibu_suri yang tidak betah bermalam di tempat kecuali hotel atau rumah sendiri buatkan aku bersiap-siap balik selepas Maghrib. Aku harap mak faham dan tak berkecil hati!

Selasa, 19 November 2013

Izzack - Mahir Melapah dan Muay Thai

Bebaru ini sebuah klip video tentang seorang budak yang mahir melapah lembu korban bertebaran di FB. Anak itu bernama Mohd Izzack, anak saudara kepada ibu_suri yang tinggal selang beberapa rumah saja dari rumahku.


Tak heranlah bagaimana dia begitu tangkas melapah yang jika aku sendiri sebenarnya terkial-kial. Bapa dan bapa saudaranya mempunyai kandang lembu dan selalu mengambil upah menyembelih dan melapah. 

Bapanya yang aku  panggil Zam mempunyai lesen menyembelih. Dan Izzack adalah anak sulong dari 3 orang anak-anaknya yang kesemua adalah lelaki. Mereka selalu memanggil aku dengan panggilan Tok Ayah. 

Izzack, disamping pandai melapah juga pandai dalam seni Muay Thai. Boleh ikuti FB Izzack di sini.

Izzack (kanan) dan adiknya

Ziarah Blogger Warna-Nostalgia

Bila dapat tahu blogger Warna-Nostalgia di wadkan di Hospital Pantai Bayan baru, aku segera mengajak blogger Jendela Hatiku menziarahi. Khabarnya dia mengalami sakit lutut yang teramat hingga terpaksa berkejaran ke sana.

Seronok bila dapat bertemu dengan rakan seperjuangan yang dah lama tak bersua empat mata. Sekadar hanya membaca di FB dan blog sahaja.

Kami dulu sesama aktif menubuhkan kumpulan nasyid Muhajjir. Blogger WN adalah pemain bonggo dan pencipta lagu. Dia juga sesekali menjadi vokalis. Sementara aku menulis lirik dan bersama blogger JH sekadar menjadi suara harmoni.

Bercerita tentang kenangan masa lalu memang mengujakan. Seperti mahu kembali semula ke zaman silam dan menikmati detik-detik kembara kami membuat persembahan ke serata tempat sedari Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Kiri: blogger WN dan JH

Sempat kami mengingat semula nasyid pertama kami: WARNA KEHIDUPAN ciptaan blogger WN dan lirik oleh aku sendiri yang masa itu mengguna nama samaran - hafinah. Nasyid ini menceritakan tentang jenis remaja yang suka membuang masa berpeleseran. Ilhamnya aku dapat ketika menunggu dalam kereta sementara ibu_suri shopping kat Kamdar, Pekan Baru, Ipoh.

Kemudian teringat lagu KU POHON HIDAYAHMU yang liriknya aku tulis sempena vokalis kedua kami dimasa itu - Mohd Radzi terlantar di hospital.

Di bawah ini adalah nyanyian semula oleh blogger WN yang aku ambil dari FB beliau. Lagu ini bertajuk IBU ciptaan blogger WN sementara liriknya oleh vokalis ke 3 kami - Azim.


Didoakan muga blogger WN segera sembuh dan kembali menjalani kehidupan dunia bagai sediakala....

Ahad, 17 November 2013

Usaha Bilisku...

Seperti biasa, riadah di Mengkuang Dam tadi. Mulanya, ingat tak mahu berlari sebaliknya jogging sahaja. Sakit pergelangan kaki dan lutut mungkin disebabkan itu agaknya. Akan tetapi, bila dah terasa dalam badan mulai panas dan ringan, jogging juga akhirnya. Banyak peluh keluar baru berasa puas.

Bulan lepas aku timbang badan, berat dah turun dari 77.7kg ke 75kg. Tak pasti sejauhmana tepatnya alat timbang di klinik ofis aku tu. Namun ia masih jauh dari sasaran yang di sarankan oleh pakar pemakanan yakni 65kg sesuai dengan BMIku yang sepatutnya.

Aku memakai kemeja T hitam dengan gambar PRAY FOR PALESTIN. Sebolehnya aku mahu selalu memakai kemeja T macam tu sebagai usaha bilisku mengingatkan mereka yang memandang akan kesengsaraan yang ditanggung oleh saudara seIslam kita. Sayangnya, aku cuma da sehelai tu saja.

Sementara riadah itu aku teringat bahawa kempen untuk Palestin lagi dah sejuk sekarang ini. Agaknya, bila Israel menyerang Palestin dan ramai terbunuh, barulah kempen itu panas kembali.

Aku perasan, semasa melalui jalan masuk ke trek jogging ada beberapa orang Cina sedang memegang poster dan tabung. Sekilas pandang, mungkin kutipan itu untuk mangsa bencana taufan Haiyan.

"Good morning. You are collecting for Philipines?"

"Yes..."

"Aha...  No wonder. Why no wording in Bahasa Malaysia. Mainly Chinese dan a little bit English only.." tegurku sambil pergi ke tabung.

Beriya-iya terima kasih dari mereka yang aku kira mewakili NGO. Aku pasti mereka juga perasan akan kemeja T yang aku pakai. Boleh kira, kita ini teman seperjuangan... agaknya begitu bisik hati mereka.

Tadi, aku terjumpa klip video ini dalam FB. Juga boleh baca catatan di sini. Baik untuk dijadikan iktibar. 



Jumaat, 15 November 2013

Sateh

Aku rasa, disiplin aku dalam menjaga pemakanan dah mula kendur. Tak boleh jadi ni... Aku perlu set back dan buat pembetulan.

Aku perlu kawal kegemaran memakan cucur yang kekadang berminyak disamping kawal memakan makanan bersantan/kelapa.

Tadi, beriya-iya ibu_suri suruh aku belikan sateh. Arghhh.... penyumbang kolestrol juga ni.

"Hari ni hari jadi Angah. Kita beli sateh dan makan sama-sama..."

Bab tarikh hari lahir ni, ibu_suri memang seorang pengingat. Aku sendiri tak pernah ambil tahu. 

"Angah beli sorang 10 cucuk. Ayah punya tak payah la..." ujarku.

Iye ke aku tak mahu makan sateh ni?

Khamis, 14 November 2013

Laaa...

Ntah kenapa, aku asyik ingatkan hari ini hari Jumaat je. 

Pergi kerja aku memilih memakai kemeja T merah berbanding seragam kerja. Di tempat kerja, aku menyusun tugasan kerja seolah-olah akan keluar awal tengahari kerana nak pergi ke masjid. Balik pula aku suruh ibu_suri kejutkan aku jika terlajak tidur esok pagi untuk pergi riadah.

"Eh, pasai apa abang nak pi jogging. Bukan kerja ka esok....?" Laaa....

Alhamdulillah, aku mampu berpuasa Isnin dan 2 hari Asyura. Hari pertama dan kedua terasa perit juga tapi hari ini terasa okay saja. Malah, badan terasa ringan dan seronok bekerja.

Aku masih teringatkan adikku Napi. Cadangan dari kalian semalam amat aku hargai. Akan aku rundingkan dengan adik-beradikku yang lain. Terima kasih untuk itu.

Tadi juga aku berpeluang berbual dan memberi pandangan pada kawan sekerja yang anaknya menghidap Autisme. Dia begitu gabra dan terasa seperti seorang yang begitu malang. Aku tepuk belakangnya dan berkata bahawa setiap dugaan yang Allah turunkan pada kita itu mempunyai hikmah yang hanya kita akan nampak setelah melaluinya dengan sabar dan tawakkal.

Sebenarnya, semakin ramai generasi baru menghidapi masaalah pembelajaran atau learning disability. Kerajaan pula pada pandangan aku terlalu lambat membuat sesuatu untuk menyediakan prasarana khusus untuk anak-anak yang bermasaalah sebegini. 

Rabu, 13 November 2013

Santau?

Aku bukan kepalang terkejut bila mendapat tahu adik lelakiku - Napi, kemungkinan besar disantau.

"Saya batuk darah. Bila rujuk hospital, doktor kata saya sihat. Tak ada apa-apa masalah." terang Napi.

Nampaknya ahli keluargaku sekarang ini mulai mengalami gangguan kesihatan atau lebih tepat dugaan Tuhan seorang demi seorang.

Bermula isteriku di serang stroke yang membawa kepada gangguan emosi/mental, emakku pula lumpuh sebelah kiri badan. Kemudian adikku Darul yang tinggal di Kulim kemalangan yang membawa kepada keadaan tidak stabil pada fizikal diri. Kemudian adik perempuanku Niza disahkan menghidap kanser usus yangmana sekarang dalam proses kimoterapi.

Kini Napi pula seakan tidak percaya aku, berkemungkinan besar disantau. Kata Napi, santau itu dah lama mengena dirinya cuma baru sekarang ini terasa.

Tadi sewaktu menaliponnya, dia memendekkan perbualan kerana katanya dia terasa lemah dan mahu baring.

Bagai terasa diri ini mahu terbang ke kampung bagi melihat keadaan diri Napi yang sebenar. Aku kira, napi tak boleh dibiarkan lama dan mesti dirawat segera. Bagaimana....? Aku tak tahu. Dalam bab santau-mantau ini aku terlalu baru.

Aku teringat blogger Warna-Nostalgia yang pernah mengalami keadaan ini lewat isterinya yang meninggal dunia juga dipercayai kerana santau. Akan cuba minta pandangan beliau.

Aku harap aku dapat berbuat sesuatu untuk adikku! Doakan untuk kami... ya!

Selasa, 12 November 2013

Coolent Oh Coolent!

Betul ke bahawa radiator kereta sepatutnya diisi 100% dengan coolent bukan sebaliknya dicampur dengan air biasa?

Aku ke stesyen Mobil dekat Kubang Semang untuk isi minyak Kancil tadi. Seorang pekerja di situ meminta aku membuka bonet kerana nak memeriksa enjin.

"Pak cik, air radiator pakcik dah mati. Nak kami flush untuk pak cik?"

"OK juga." sementara dalam hatiku berkata... memang dah lama tak tukar air radiator ni.

Di satu sudut mereka pun membuka penutup radiator dan menyedut air keluar. Sambil seorang lagi membawa 2 tin coolent dari dalam dalam bilik kaunter.

Setin demi setin dituangkan coolent itu ke radiator. Lansung tidak dicampur dengan air biasa. Tak cukup lagi ditambah setin demi setin hingga akhirnya berjumlah 8 tin. Satu tin berharga RM18. Aku naik rimas. Setahu aku selama ini aku cuma masukkan setin coolent dan selebihnya air biasa.

"Dah siap pak cik. Nanti, kalau coolent dalam tangki simpanan ni kurang pakcik topup dengan air mineral atau air bateri. Jangan guna air paip ya!"

Terkial-kial aku menyeluk kocek kiri dan kanan, depan dan belakang. Tak sangka, habis duit tunai yang ada di tanganku. Ntah dimanalah dosaku hari ini hinggakan Tuhan kifarah ia dengan harga coolent Kancilku!

Isnin, 11 November 2013

Antara 2 Cinta

Aku berpuasa sunat hari ini. Percaya bahawa berpuasa juga salah satu cara terbaik menjaga kesihatan. Lagipun, di usia perak sebegini, ibadah sunnah seperti ini udah sepatutnya menjadi rutin sejak lama.

Khabarnya, Rabu dan Khamis ini (9 dan 10 Muharam) elok juga berpuasa sunat. Aku harap aku mampu melaksanakannya.

Janganlah ketawa kat aku ya... Aku tahulah, puasa sunat pada kalian adalah kebiasaan. Tapi pada aku tadi, ditempat kerja, terasa cukup perit nak mempertahankannya hingga waktu berbuka. Kebiasaan minum sementara menunggu chime masuk kerja berbunyi dan kebiasaan turun minum di kafetaria sebelum tunai solat Asar bagai menyentap-nyentap nafsu.

Aku teringat esok ada usrah di Suaru Taman Pelangi. Aku harap ibu_suri tak menghalang untuk aku pergi. Minggu lepas kan... aku ditugaskan oleh naqib untuk bagi tazkirah. Nak tahu apa tajuk tazkirah yang aku sediakan hari tu? Antara 2 cinta... 


Ya... Aku bernasyid di depan mereka. Dalam surau tu. Nasib baik lah tak datang taufan Haiyan...!

Ahad, 10 November 2013

Padi Djarum

Tak semena-mena saja Ct datang terkocoh-kocoh.

"Awat hang ni? Dari mana?" heran ibu_suri bila melihatkan Ct menggendong sesuatu.

"Ini untuk ayah. Ini untuk ibu. Yang ini untuk makan. Sedap kek ni?" ujar Ct.


Aku memegang bungkusan yang Ct beri. Terorak senyum yang spontan. Hati berasa senang.

"t beli kat Indon. Baru balik ni. Mamu yang ajak t pi sana. Tak plan pun." terang Ct sambil bergegas keluar ke pintu. Ada kereta persis Sportage menunggu depan pagar rumah. Kemudian berlalu dipandu Ct.


"Pandai pulak dia pilih kaler ini..." kataku pada ibu_suri. Hah... kaler hijau tua. Walaupun sebenarnya aku kurang minat kaler itu tapi sebab ianya pemberian ikhlas Ct, aku senang hati menerimanya. Terasa berbalas segala penat lelahku yang pernah menjaga Ct samada ketika dia masih kecil dulu mahupun ketika di hospital dulu.

Begitu mudahnya lembut hati seorang tua seperti aku ini!

Catatan Pagi Ini...

Walaupun hujan rintik-rintik, aku tetap pasrah memandu ke Tasik Mengkuang untuk rutin riadah mingguan. Aku mesti berdisplin dalam menjaga kesihatan diri.

Masih ada ramai orang yang kebanyakannya Melayu dan Cina. Aku ambil trek yang pendek. Hari ini aku rasa cukup fit untuk berjogging.

Sambil jogging, aku teringat ajakan adik beradik supaya mengikuti mereka ke Johor Bharu sempena majlis perkahwinan saudara abah mertua bulan depan. Semalam aku rasa setuju untuk pergi demi mahu menggembirakan hati mertuaku. Tapi pagi ini aku berfikir dari sudut lain pula - mana betah ibu_suri duduk dalam bas begitu lama. Kemudiannya tidur dan ke bilik air yang ntah bagaimana rupa kemudahannya itu kelak. Sedangkan balik ke rumah aku dikampung pun mutakhir ini hanya balik hari kerana ketidakselesaan dalam serba serbi. Hurrmmm...


Habis riadah aku singgah tunaikan Dhuha di Masjid Kubang Semang lansung singgah isi perut dengan Radix, cucur kodok kegemaranku sejak kecil dan baca akhbar di kedai bersebelahan.

Terasa betapa berharganya kehidupan yang masih berbaki ini. Akan aku cuba penuhi ia dengan segala yang baik tanpa perlu menghambat kemewahan dunia.

Tiba-tiba teringat sahabat yang pastinya sudah pun berada di Serdang. Khabarnya ada pertemuan dengan sekalian Ahli Teras IKRAM.  Aku rindu pada itu semua sebenarnya!

Tengahari ini nak beli kari kepala ikan dan ulam-ulam sahaja untuk makan tengahari. Balik nanti cuma tanak nasi saja bercampur daun pandan. Pasti wangi!

Sabtu, 9 November 2013

Dunia Ini Bulat

Ada kat rumah mertua di Taman Buah Pala sekarang ini. Ziarah mingguan adalah hampir mesti kerana aku dapat rasakan betapa mereka amat menanti-nanti kehadiran kami mengisi kesunyian jiwa dan rumah mereka. Selalunya bila bersalaman dengan bapa mertua, dia akan mengalirkan air mata dan sebek.


Akan begitu jugalah aku satu hari nanti. Dunia ini bulat. Usah sombong dengan sihat dan segar kita hari ini. 

Seperti juga (kini dinamakan) Taman Buah Pala ini. Dulu hanya berupa perumahan di satu lorong jalan yang rumahnya amat buruk dan bocor sana sini bila hujan. Takkan ada harga jika mahu dijual. 

Hari ini, mereka persis orang kaya. Rumah gantian 2 tingkat dapat secara percuma ini, kini harga semasa menghampiri 1 juta. Kalau dulu mereka tampak miskin, kini mereka bagai orang kaya. Dan ramai pula anak-anak dan saudara mereka selalu bertandang.

Jika Aku Terkesut

Jika diizin Allah, dalam seminggu dua lagi aku akan dapat kereta baru. Angah yang uruskan pembeliannya. Aku cuma bayar bulan-bulan.

Aku ambil Viva model lama walaupun Angah dan Along suruh ambil Saga. 

"Viva murah sikit. Lagipun ayah bukan nak pi mana sangat. Sekadar nak bawa ibu pi klinik dan jalan-jalan saja. Ayah pun dah tua. Kalau boleh tak mahu hutang sana sini dah," terangku.

Kekadang rasa beruntung juga bila dapat anak yang memahami dan sanggup bersusahpayah untuk ayahnya. Bila tidak ada mereka sesekali, terasa sunyi.

Aku teringat mak di kampung. Pastinya mak lebih lagi sunyi sebab abah sudah tiada lagi untuk menemani. Tapi mak masih boleh berbangga kerana punyai 8 orang anak yang aku kira tidak lari dari tanggungjawap menjaga mak. Jiran-jiran sekampung juga berpendapat begitu.

Cuma sunyi mak selain tanpa abah pastinya kerana pergerakan yang terbatas. Hanya mengesut dalam kawasan bilik. Tapi mak seorang yang cekal. Berdikari dalam mengurus diri walaupun serba payah. Masuk hari ini aku agak dah 3 tahun mak mengalami lumpuh sebelah kanan.

Aku harap aku tidak begitu. Tak dapat kubayangkan bagaimana penjagaan terhadap ibu_suri jika aku pula yang terkesut-kesut. Mak adalah idolaku sejak dulu!

Khamis, 7 November 2013

Cinta Pertama

Dalam perjalanan balik kerja, aku sempat dengar ruangan ADILA di Radio Klasik. Satu kisah dari pengirim tentang kenangan cinta pertamanya buat aku senyum sendirian.

"Benarlah kata orang, tempat jatuh lagi dikenang," ujarku pada blogger JH yang tekun mengemudi stereng Unsernya. Dalam hatiku menyambung hakikat bahawa walaupun beberapa kali kita jatuh cinta, cinta yang pertama akan tetap diingati.

Tak ketinggalan juga aku. Tapi tak dapat nak kutulis sekarang ini sebab waktu dah lewat. Lagipun suasana sekeliling aku tak meransang aku untuk mengarang semula kenangan lama itu.

Aku mengantuk. Semasa memandu balik dari klinik 1 Malaysia di Perda tadi pun beberapa kali ibu_suri menegur aku yang seperti mahu pejam.

Barang diingat, aku ke klinik1 Malaysia tadi bukan kerana bawa ibu_suri pergi rawatan tapi sebaliknya untuk periksa tahap tekanan darah tinggi aku. Doktor mengarah aku membuat pemeriksaan 2 kali seminggu untuk selama 1 bulan!

Wi Fi

Nampaknya, aku boleh ucap bye..bye.. kat Celcom brodband yang dah aku langgan sekian lama ini. Cuti panjang Deepavali baru ni Along langgan Streamyx Wi Fi. Haa... Satu rumah boleh layari internet dalam bilik masing-masing.

"Ayah... Udahnya, Angah dengan Ayu tak sembang. Dok layan talipon je..." Ujar Angah tadi.

"Haaa... Sikit hari Marissa pun join sama. Hangpa cit cat dalam Facebook jer walaupun dok dalam satu bilik.." balasku.

Streamyx itu sebenarnya milik Along. Dia langgan semasa masih student dulu dengan pakej student untuk RM68 sebulan unlimitted. Susah payah dia pindahkan alamat Streamyx itu dari KL ke rumah aku ini. Dia nak tukar ke U-Mobile sebab mudah di bawa berjalan.

"Kalau on modem 24 jam pun tak apa, kan ayah....?" Tanya Angah.

"Ye la.. tu. Habis bil letrik?" Tanyaku pula, "Silap haribulan masa kita tak ada di rumah dan tinggal ibu sorang-sorang... berasap modem tu, sapa yang nak tengok?"

Apa yang kurang enak pula ialah, Akhmal dah mula panggil kawan-kawan dok depan pc sama. Inilah yang susahnya dengan anak aku yang sorang ni. Aku bimbang, kelak.. semakin ramai kawan-kawannya berlunggok di rumah aku semaa-mata kerana mahu tumpang sekaki wi fi aku nih!

Bukan kedekut... Masaalahnya nanti ialah hilang privacy aku terutama ibu_suri...

Khamis, 31 Oktober 2013

Ambil Bau Saja

Walaupun aku tak berapa pasti sejauhmana tahap kecergasanku untuk hadiri kursus ISO 197025 di Hotel Vistana, Bukit Jambul, aku gagahi juga memandu. Tidak pernah jejak kaki ke hotel ini, buat aku agak canggung. 

Kelas juga hotel ini. Bilik kursus aku ialah Room 2. Sampai saja, belum mula kursus, trainer - Ms Channal dah ajak kami makan pagi. Ahh... macam mana nak diet kalau begini? Makanan semuanya meransang nafsu. Manis-manis belaka.

Kursus mula 9 pagi. 10.30, tea break. 12.45 makan tengahari. Kepah, ayam goreng, sateh, sotong.... aku ambil bau saja. Petang, 3.30 tea break lagi. Sandwich cheese, cake aku jamah serba satu tak berani tambah.

Kursus ISO ini terlalu banyak terma-terma yang berbelit-belit. Hendaknya dalam Bahasa Inggeris pula. Sesekali seperti kelabu penglihatanku. Menguap ntah berapa kali. Nasib baik juga Ms Channal pandai buat lawak walaupun sesekali nampak macam lawak 'bodoh'. Aku beberapa kali terkena. Ini semua gara-gara bila sesi berkenalan, aku sebut akan hobiku - menulis dan dengar lagu.

"Wahh.. You are creative person..."

Satu perkara yang aku belajar dan boleh digunakan bila ada program perkhemahan atau bengkel ialah Blow blowing game ( lebih kurang gitulah namanya kot!). Ini adalah satu cara untuk memecahkan kumpulan yang ada supaya menjadi kumpulan baru yang lebih adil dan tidak berpuak.

Esok ada satu hari lagi kursus. Kali ini ianya lebih tough sebab khabarnya akan ada banyak nombor berbanding huruf. Calculation lah tu.... Huuuu.....

Rabu, 30 Oktober 2013

Rapuhnya Kehidupan

Esok aku ada kursus 2 hari di Hotel Vistana. Jumaat cuti ganti Deepavalli. Bermakna, dah seminggu aku tak menjenguk ofisku. Ntah jadi apa agaknya.

Aku tak tahu sampai mana kemampuanku untuk terus bekerja. Adakah mampu hingga ke umur 60 atau terpaksa berhenti rehat di pertengahannya.

Aku masih teringat kata-kata doktor yang memeriksa laporan kesihatanku pagi tadi di Klinik Utama, Bukit Mertajam;

"You just 53. Still early to have all these sickness. Just imagine. For next 20 years you have take all these  pills."

Pasrah sajalah. Walaupun dah terlambat tapi belum terlalu lewat untuk menjaga kesihatan dan menikmati kehidupan yang baik.

Aku terbayang wajah mak yang lumpuh sebelah badan. Adikku Niza yang mengalami kanser usus. Kakak ipar yang mengalami kanser payudara. Semua mereka sebenarnya berhadapan dengan dugaan yang lebih berat berbanding aku.

Juga, aku teringat abah. Setelah seminggu keluar dari hospital kerana kegagalan buah pinggang, abah pergi menemui Tuhan buat selamanya.

Begitu rapuhnya kehidupan yang bernama manusia ini!

Selasa, 29 Oktober 2013

Allah Lebih Tahu

"Teruk jadi orang sakit macam I, ya!" ujar ibu_suri tatkala aku membantunya bangun dari tenggongan. Selepas menarik flush, bantu pula dia keluar dari pintu bilik air. Ujar ibu_suri tadi itu tidak berbalas.

Aku tahu sukarnya ibu_suri menggunakan tandas tenggong namun untuk buatkan tandas duduk memerlukan kos agak tinggi. Anak-anakku tetap mahu tandas asal ini dikekalkan.

Sambil mengelap kawasan-kawasan basah di tubuh ibu_suri sekali lagi dia bersuara;

"You baik ya. Tak pernah merungut jaga I yang teruk macam ni..." Sekali lagi aku diam. Aku menarik nafas panjang. Apa yang boleh aku perkatakan lagi. Berhadapan dengan orang yangbermasaalah seperti ibu_suri ini memerlukan skill  membaca emosi, sikap diplomasi dan membujuk. Tak guna marah atau paksa. Takkan menelurkan apa-apa malah menambah kusut.

Alhamdulillah, tekanan darah ibu_suri menurun dari 200/100 kepada 150/90. Pada aku, itu bacaan yang normal bagi dia. Bacaan tekanan darah aku pula turun dari 160/100 kepada 130/90.

"You kalau tak mahu jaga makan tak mengapa. Abang akan jaga pemakanan abang." ujarku yang sebenarnya sedikit mengenen sambil secawan oat bercampur susu Omega itu aku hirup perlahan-lahan.

Menjaga pemakanan ibu_suri ini memang sulit. Sesulit menjaga emosi dan kehendaknya. Mungkin benar agaknya. Allah menjodohkan aku dengan ibu_suri kerana Allah tahu hanya insan yang tinggi sabarnya saja yang betah menjaga beliau!

Kalau Masuk Wad

Memang jadi teramat payah rasanya bila kedua suami isteri sakit serentak. Hendaknya seperti aku ini, dalam pada sakit kepala dan rasa tak stabil pergerakan badan, masih terpaksa uruskan keperluan ibu_suri dan menyejukkan rengekkannya.

Aku tidak boleh beritahu banyak akan apa yang aku rasa. Tak boleh bercerita secara jujur sangat juga. Akibatnya, ibu_suri akan terasa sedih dan emosinya pula terganggu. Ia benar-benar mengharapkan aku sihat dan boleh menjaga dia sebaiknya. Dan dia akan terasa bersalah bila aku sakit, dia tidak dapat pula menjaga aku sebaiknya.

Justeru itu aku perlu tunjukkan 'segar'ku pada dia. Apa saja yang dia mahu aku buatkan, aku akan kata ok dengan nada ceria.

Hari ini saja ntah berapa kali dia terkucil dan bertaburan sepanjang jalan ke bilik air. Aku dah naik tak kisah. Lantaklah... Aku cuci sekadar yang aku terdaya sahaja.

Malam ini dia mengadu sakit kepala dan tidak mahu makan. Bimbang pula aku sebab Dr Azlina pernah berpesan;

"Kalau terasa pening atau nak muntah, terus pergi hospital, ya!"

Esok ibu_suri akan membuat pemeriksaan tekanan darah. Bagaimana agaknya kalau pihak klinik memaksa ibu_suri masuk wad?