Memaparkan catatan dengan label Akhmal kes B. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhmal kes B. Papar semua catatan

Selasa, 27 Januari 2015

Episod Hidup


Buat sementara waktu, Akhmal dibebaskan dengan ikat jamin RM yang agak banyak juga. 

Semasa dalam perjalanan balik, berbagai nasihat aku hamborkan kepada dia. Tak tahulah sejauhmana ianya hinggap ke hati atau sekadar masuk telinga kiri dan tembus ke telinga kanan.

Aku tak beritahu 100% apa yang berlaku pada ibu_suri. Malah atas kes apa Akhmal ditahan dan bagaimana dia boleh dibebaskan juga aku tak bagitahu. Susahnya kepada aku juga jika dia tahu. 

Cuma yang dibagitahu, 30hb Mac nanti Akhmal kena naik sekali lagi ke mahkamah.

Huh... macam nilah episod kehidupanku menjelang hujung waktu!

Isnin, 26 Januari 2015

Biar Keadaan Menentukan


Jam 9 pagi nanti aku perlu ada di Mahkamah Bukit Mertajam, Jalan Betek. Pertuduhan akan dibacakan di depan Akhmal dan hukuman akan ditentukan oleh majistret.

Cuma ada 2 hukuman sahaja selalunya... A atau B. Tapi mana-mana keputusan pun aku masih tak ada idea nak buat macammana.

Walaupun aku dah biasa dengan hal sebegni sebelum ini namun untuk kali ini aku masih seperti rusa masuk kampung layaknya.... terpinga-pinga.

Selalunya, bila terumbang ambing begini, aku biarkan keadaan yang menentukannya nanti...

Sabtu, 24 Januari 2015

Hikmah Di Sebaliknya


Dari satu sudut lain aku terfikir, dengan 'tersimpan'nya Akhmal buat sementara waktu di IPD Perda, aku dan ibu_suri sedikit bebas bergerak. Aku tak perlu memikirkan apa yang akan berlaku di rumah sepeninggalan aku tiada. Bila aku dan ibu_suri mahu balik, tidak lagi menjadi perdebatan otak.

Apa yang nak aku sediakan untuk makan tengahari juga tidak menjadi kerenyahan. Jika setakat untuk isi perut kami berdua, goreng nasi lebihan semalam pun dah mencukupi.

Duit belanja yang selalu aku beri pada Akhmal juga boleh dijimat untuk beberapa hari. 

Itulah hikmah di sebaliknya apa yang berlaku malam semalam yang kemudiannya apabila kes B yang disabitkan oleh polis didapati positif. 

Dia akan dihadap ke Mahkamah Bukit Mertajam, isnin ini. Aku diminta hadir oleh Sarjan Munah yang memegang fail Akhmal. Mahkamah Bukit Mertajam itu seolah tempat aku 'wajib' hadir di setiap tahun. Tak jauh dari mahkamah itulah Kompleks Sukan MPSP, lokasi rutin aku untuk riadah.

Agak ringan sikit otak dan dalam rumah terasa tenang tanpa hiruk pikuk suara Akhmal serta kawan-kawannya. Itu pun setakat menjelang hari Isnin. 

Jumaat, 23 Januari 2015

Jalan Berliku


Aku memaksa diri menyarung sut senaman. Memandu di celah-celah kesibukan kenderaan yang berebut ke tujuan sendiri. Persis aku yang mahu ke Kompleks sukan MPSP, Bukit Mertajam untuk meriadahkan diri seperti yang sepatutnya aku amalkan demi kesihatan yang panjang, mudah-mudahan. 

Aku ingin damaikan hatiku dengan keheningan pemandangan di trek sukan. Aku ingin segarkan jiwaku dengan nyaman udara dan hangat mentari yang menerbitkan peluh ke dahi. 

Aku ingin mencari sesuap ketenangan hati. Menilai diri yang terasa seperti terlalu banyak dosa dan kesilapan, kelalaian dan kealpaan.

Pekerja yang mencuci trek dan padang aku renung jauh-jauh dan dalam-dalam. Alangkah damainya, aku lihat. Berbual sambil menghayun mesin menebas rumput dan blower. Encik Fauzi yang aku kenali 2 hari sudah juga kelihatan khusyuk menyeret langkah. Beberapa orang Cina seusia malah yang lebih tua dari aku yang memang rutin di sini juga kelihatan aman damai.

Aku menarik nafas panjang. Kesihan pada ibu_suri di rumah yang aku kira semakin sulit kesihatannya. Lelah dada aku mengenangkan Akhmal yang ntah bila akan sembuh dari segala kebejatan hasil tangannya sendiri.

Aku tahu, aku tidak ada pilihan lain melainkan rengkuh perjalanan ini secekal hati!

Rempuh ajelah!

Aku pun tak tahu; nak menulis, otak rasa buntu. Tak menulis hati seperti mahu meluahkan sesuatu.

Ntahlah, Akhmal...

Ayah tak salahkan polis tu semua. Seramai hampir 10 orang itu hanya menjalankan tugas. Masuk ke bilik kamu, memeriksa segenap penjuru bilik persis apa yang yang tonton di kaca tv. Memeriksa setiap komponen motor kamu juga seperti yang tonton dalam drama di kaca tv juga. Luluhnya hati ayah ini ayah pertahankan.

Walaupun ayah tahu kamu memang dah lama tinggalkan sikap buruk mencuri motor itu; dan mengikut keterangan polis, nama kamu di'petik' oleh seorang rakan kamu yang ditahan sebelum itu, ayah tetap bimbang. Polis... kamu pun tahukan. Tak dapat bukti A dia akan cari bukti B. Dan bukti B itulah yang membimbangkan ayah.

Ternyata benarkan, bila kamu akhirnya ditahan juga kerana bukti B itu positif. Yang kemudiannya kamu merayu pada ayah meminta tolong. Luluhnya hati ayah, siapa yang tahu... kamu? Resahnya hati ayah, kepada siapa ayah nak mengadu? Pada ibu kamu?

"Kenapa muka you satu macam jer..." sambil merenung aku yang baru sudah menyuap mi hailam; yang lalu di kerongkongku seperti ranting-ranting kayu; "teringatkan Akhmal yer...?'

"Arghh... takdalah..." lalu membuat senyum menyembunyikan semuanya.

Ntahlah, di IPD esok nanti macamana ayah nak lalui. Rempuh sajalah. Walaupun ini bukan pertama kali malah dah acapkali ayah ke IPD tapi untuk esok ayah benar-benar seperti tak terdaya...

Salah ayahkah semua ini? Atau salah ibu? Atau bukan salah sapa-sapa?