Rabu, 6 Mei 2020

Ke Klinik MOPD

Hari ini sepatutnya jadual rawatan susulan ibu_suri di klinik mopd, Hospital Bukit Mertajam. Tapi aku tak benarkan ibu_suri bersama sebaliknya aku pergi seorang diri sahaja berjumpa doktor. Tujuan aku ialah untuk meminta penangguhan tarikh rawatan yang baru. 

Aku kurang yakin dapat menguruskan pergerakkan ibu_suri dari katil ke kerusi dan dari kerusi ke kereta dan begitu sebaliknya. Risiko jatuh seperti yang telah berlaku semasa proses ambil darah minggu lepas masih menghantui..

Rancangan aku ialah meminta doktor memberi tarikh baru; minima sebulan dari hari ini supaya sempat ibu_suri recover dirinya.

Alhamdulillah, bukan takat sebulan tapi dua bulan tempoh yang diberi oleh doktor. Yang tak bestnya, ibu_suri kena ulang semula proses ambil darah seminggu sebelum tarikh temujanji yang baharu.

" Kan istri saya dah ambil darah minggu lepas? " tanyaku pada jururawat yang bertugas menyaring kad lawatan pesakit dan memberi tarikh temujanji baru.

" Memang setiap kali jumpa doktor kena ambil darah dulu! "

Aku rasa pelik dengan jawapan itu. Aku bukannya baru membawa ibu_suri ke klinik. Dah lebih 10 tahun sejak 2008. Aku agak ini mesti kes kertas keputusan ambil darah minggu lepas tidak sampai ke tangan doktor tadi. Aku perasan bila aku bagitahu doktor bahawa ibu_suri terjatuh semasa ambil darah minggu lepas doktor bertanya sekali lagi pada aku... istri awak ada ambil darah?... sambil dia membelek-belek buku catatan rawatan yang semakin tebal di depannya.

Kemudian dia meminta aku keluar dahulu sambil melihat dia berlalu ke bilik sebelah.

Pasrah sahajalah walaupun aku agak kurang senang. Kalau boleh aku nak elak dari ulang alik ke klinik seperti ini kerana risiko ibu_suri yang semakin tidak kuat lutut dan bertambah berat badan. Ini tak masuk jadual lawatan susulan ke klinik Kesihatan Mental di Hospital Besar Pulau Pinang pada bulan tujuh nanti.

Teringat aku akan iklan jualan alat yang boleh membantu kekuatan lutut untuk bangun. Alat itu akan di bungkus ke lutut. Ia banyak digunakan oleh pekerja yang selalu mengangkat benda berat.

Sementara menunggu tadi aku ada juga terbaca poster yang tertampal di papan kenyataan klinik tentang menggalakkan senaman untuk menguatkan otot. Ya... agaknya dek kerana ibu_suri kurang bergerak ( asyik berbaring di katil ) menjadikan otot kakinya semakin lemah. Aku berangan untuk membantu ibu_suri bersenam otot dalam tempoh ke tarikh rawatan yang baharu ini nanti.

Agakkan aku ini dikuatkan dengan pengalaman aku menjaga abah mertua di Hospital Lam Wah Ee dan juga menjaga ibu_suri di wad 10. Bila lama berada di wad dan tiba masa untuk discaj, akan ada pakar fisioterapi yang datang dan mungkin ( kerana aku belum pernah terjembong dengan pakar ini ) akan mengajar ibu_suri senaman ringan melonggarkan otot dan mungkin cara turun katil yang selamat.

Sambil menunggu tadi juga aku sempat melihat seorang tua bertongkat, sebaya arwah abah aku yang baru sampai dan mencari tempat duduk. Dia akhirnya melabuhkan punggungnya di kerusi yang bertanda pangkah. Kasihan pula aku. Nak aku berikan tempat duduk aku, dia jauh di hadapan. Lelaki India yang berada di sebelahnya seperti rasa kurang selesa.

Orang tua... aku fahamlah. Tapi aku pun tak berbuat apa-apa.

Muga kalian sihat semuanya dan patuhi arahan PKPB sekarang ini. 

Mujur Pulau Pinang semakin menuju ke kategori zon hijau. 

Tapi kenyataan dari Menteri Pertahanan ini agak menggusarkan kita juga. 2 tahun bukan jangka masa yang sedikit. Bolehkah kita bertahan dengan disiplin norma baharu?




Harap semuanya baik baik sahaja. Dan semuga kita semua akan sihat dan menjalani hidup yang selesa. Tolong doakan kesihatan ibu_suri juga, ya!

5 ulasan:

Nor Azimah Ali berkata...

Semoga dipermudahkan urusan IM menjaga ibu suri ye. Kami teman pembaca hanya dpt tumpang simpati.

Etuza berkata...

Asalamualaikum..banyakkan bersabar, doa pada Allah kita tidak berdaya melainkan memohon kesembuhan dari Allah. Tiapa manusia ada ujian

Warisan Petani berkata...

Semoga diberikan kesembuhan buat ibu_suri

Umialya berkata...

Bangga dengan IM - begitu baik menjaga ibu suri

Yaya Azura berkata...

IM pun jaga diri. IM kena sentiasa sihat utk jga ibu suri. Selamat berpuasa IM.