Khamis, 16 September 2021

Gelang Pink

Semalam KKM call aku supaya pergi ke Mini Stadium Bukit Mertajam untuk dipakaikan gelang pink kerana aku dianggap sebagai kontak rapat. Mujur nama Akhmal tidak disebut. Kalau Akhmal juga terpaksa memakainya makin susah aku nak hadapi keadaan ini. Akhmal baru saja nak stabil kerjanya.

Berasa seperti akan memasuki gerbang dunia baharu. 

Dah lama aku tak ke stadium ini. Dulu semasa ibu_suri masih boleh berjalan, aku kerap bersama dia ke sini untuk riadah sementara ibu_ suri tunggu di kereta. Habis riadah kami akan pergi makan; selalunya di restoran Anggerik Desa di Seberang Jaya.

Rupanya banyak kereta beratur menunggu giliran bila aku sampai jam 9 pagi. Boleh bayangkan kalau setiap hari macam ni maknanya kes Covid di Penang entah bila akan turun. Ini baru satu pusat swab test dan pemakaian gelang.


Setelah dapat gelang punk aku ters sahaja balik ke rumah.

Bermulalah kehidupan baru yang sebelum ini aku hanya membaca kisah orang di fb atau laman web.

Gelang ini sebenarnya merimaskan...




Isnin, 13 September 2021

Istriku Positif Covid 19?

Aku ingin catatkan momen ini di sini sebagai bacaan dimasa hadapan. Selain dari momen hari pertama dia diserang mild stroke yang membawa kepada bipolar disorder, ini adalah momen kedua yang benar membuat aku berasa seperti terawang awang buat seketika.

Sudah 4 hari ibu_suri tidak lalu makan. Panas badannya turun naik.

Bila aku periksa jarinya dengan oximeter masih menunjukkan bacaan 90% ke atas yang aku kira bacaan biasa bagi dia yang hampir setahun bergantung sokongan Oksigen melalui mesin.

Tapi malam tadi dan hari ini bila aku periksa sekali lagi dengan oximeter tahap oksigen dah jatuh ke 80%.

Setelah berbincang dengan Angah dan birasku aku ambik keputusan untuk memanggil ambulan.






Aku minta Angah ikut ambulan ke hospital dulu. Aku rasa tak cukup kuat kali ini untuk terburu buru menghadap semua ini. Aku ingin ambik sedikit masa bertenang.

Aku kemas dapur, mandi, salin pakaian baru dan sembahyang.

Kemudian aku ke hospital dengan kereta. Dalam pemanduan aku call Angah.

. Ibu macam mana?

' Doktor kata ibu positif Covid!

. Haa....#$@!?

Aku macam tak percaya. Covid?

Khamis, 9 September 2021

Tak Bekerja

Masuk minggu ini dah sebulan aku tak pergi kerja.

Minggu 1 emosi ibu_suri down. Merengek dan meragam hampir 24 jam dengan aku. Tak sampai hati aku nak tinggalkan dia di rumah sendirian walaupun Akhmal ada.

Minggu 2 Akhmal pula demam panas. Kekadang meracau dalam tidur. Ajak ke hospital dia ttak mahu. Bimbang takut ada covid. Tapi dari apa yang aku lihat dan check, tak ada rasanya.

Selepas Akhmal sihat aku pula rasa tak sedap badan. Seram sejuk dan kepala berat. Habis satu papan ubat Paracatemol aku telan. Selain vita C.

Baru rasa kebah, minggu ni emosi ibu_suri down balik. Kemudian badannya mula panas. Dia jadi seperti anak kecil, minta selalu diteman dan selalu rasa takut.

Aku kuatkan semangat hadapi semua ini. Aku tak peduli pasal kerja. Aku fokus pada anak istri tetapi aku lebih fokus pada  diri aku sendiri...


Ahad, 15 Ogos 2021

Mesin Oksijen

Panik juga bila tiba tiba mesin Oksigen yang istri aku guna tak berfungsi. Nasib baik pembekal cepat hantar unit gantian. 

Hampir sejam juga menunggu. Istri aku gelisah.

Rupanya pembekal juga kehabisan stok. sejak akhir akhir ini permintaan tinggi oleh pengidap covid yang balik ke rumah.

Dan pekerja mereka juga keletihan kerana selalu sangat buat servis lebih masa akibat permintaan kecemasan yang tinggi...

Yang rosak
____________

Yang baharu
______________


Sabtu, 14 Ogos 2021

Ziarah Bapa Mertua

Dah lama cadang nak ziarah mertua yang diserang stroke tapi tak dapat sebab pkp sekarang ini. 

Baru sempat ziarah sekali sahaja dengan pelepasan surat polis bulan lepas.

Bila PM kata sesiapa dah vaksin 2 dos boleh rentas sempadan, ini peluang baik.

Semalam cakap dengan ibu_suri nak ziarah abah hari ini. Tapi bila hari ini nak pergi dia tak bagi. Katanya dia tak mahu ditinggal sorang (walhal Akhmal ada je di rumah).

Susah gini...





Vaksinasi

Semalam ibu_suri terima vaksinasi pertama. Risau juga aku sebab ibu_suri ni banyak penyakitnya.

" Semua ada. Darah tinggi, kencing manis, jantung lemah, bipolar dis oder... " Jawapku bila doktor (atau pembantu doktor) bertanyakan aku perihal tahap kesihatan ibu_suri.

Janjinya nak datang pada 30hb lepas tapi tungu punya tunggu tak datang juga. 

Semalam pagi tiba tiba dapat talipon bagitau akan datang dalam masa 2 jam. Tak kelam kabut dibuatnya sebab ibu_suri tak bersedia apa apa.

"Istri saya dapat vaksin jenis apa?"

Sebenarnya aku malas nak ambil pusing jenis apa vaksin yang akan kita terima sebab kot mana pun kita kena juga cucuk tapi biasalah, anak anak dan adik beradik nanti banyak kepoh nya.

"Kalau vaksin melalui Mobile Vaccination Team ni selalunya guna Sinovek."

"Kenapa?"

"Sebab penyelenggaraannya mudah. 1 botol untuk satu jab. Kalau jenis lain boasanya satu botol untuk 2 jab."

Rigap tangan doktor dan nurse ni. Sekejap sahaja dah selesai.

Aku harap takda kesan sampingan yang akan ibu_suri alami. Renyah kalau jadi apa apa nanti. Kuat merap dia akhir akhir ini.

Letih aku!




Isnin, 2 Ogos 2021

Bila Tak Boleh Lena

Pukul 3.30am mengadu lapar. Aku antara nak tidur dan jaga, mau tak mau kena bangun setelah dia dengan suara keras minta sesuatu untuk dimakan.

Nasib baiklah masih ada belen nasi dan gulai lemak labu yang menantu aku bagi senja tadi. Panaskan dan suap dia makan.


Dipertengahan suapan aku dah mula rasa mengantuk.

' Abang nanti tolong garu p*******g ya. Gatal merenyam ni... ' sambil menunjukkan ke bahagian lampinnya.

Adoi... Bila la nak boleh lena balik ni!

Sabtu, 17 Julai 2021

D'Kashmiry

Sekarang ini istriku dah mula belajar makan dengan tangan sendiri, tak perlu disuapkan. tapi air minum masih aku yang perlu unjukkan.

Masih tetap aku kena tunggu dia hingga selesai barulah aku pula yang makan.

Sehari dua ini dia kerap pesan aku beli nasi bungkus di D'Kashmiry, jalam Permatang Nibung ini. harganya memang standard restoran nasi kandar.

Bayangkan udang besar 3 ekor. Pejam mata membayarkannya...




Setiap Hari Seperti Sama

baru selesai urus istri. Banyak ragamnya.

Teringat raya Haji tak lama lagi tapi ntah bila tarikhnya, aku pun tak pasti. 

Hari hariku berlalu terasa tiada beza. Sama. Hambar...



Sabtu, 10 Julai 2021

Megi Bujang

 2 pagi... sidia lapar. 

Apa yang ada melainkan megi bujang. suap sambil dengar lagu² Ebiet G Ade.

Kekadang beginilah. Bila dia tak tidur (sedang aku dah jauh 'berkelana' di alam fana), dia akan bangunkan aku minta makanan.

Bahu kiri mula terasa sakit kesan vaksin dos ke 2 petang tadi dewan Tapak Ekspo, Seberang Jaya...



Selasa, 29 Jun 2021

Cucu

 Semalam, cucu-cucuku datang seperti biasanya untuk menunaikan kerinduan ibu_suri yang nak melihat mereka. 

Musim pkp ni, pembelajaran cucuku nampaknya terencat. Cucu no 2 yang baru masuk tahun 1 rasanya macam tak belajar penuh. Harapkan pdpr, macam tidak ada suasana sekolah. Kalau tahun depan masih macam ni tak tahulah akan bagaimana prestasi pelajaran mereka.

Aku rakam di sini video klip cucu-cucuku yang kesemuanya adalah anak kepada Angah. Along masih di KL, belum ada jodoh lagi. Akmal pula walaupun dah berumur 27 tahun tapi masih ting tong... perangai macam umur 17 tahun.



                                     


                      

Isnin, 28 Jun 2021

Kesempatan

Sejak 2008 aku fokus menjaga ibu_suri. Rakan taulan seperti dah lama aku tiada kebersamaan...

“Apabila anda tua, rebut setiap peluang untuk bersama rakan-rakan lama, kawan sekolah dan rakan sekerja kerana peluang itu akan berkurangan dari semasa ke semasa. Air yang mengalir ke hilir tidak balik ke hulu. Begitulah dengan kehidupan."

- TGNA...



Sabtu, 26 Jun 2021

Rindu Mak & Abah

Harap harap segeralah berakhirnya pkp. Teringin sangat nak ziarah mak di Ipoh dan abah mertua di Gelugor. 

Mak diserang stroke beberapa tahun lalu sementara abah pula beberapa minggu lalu.

Aku tahu, mereka sangat  merindui anak anak mereka dalam diam sepetimana juga aku merindui anak anakku...




Khamis, 24 Jun 2021

Vitamin C

Semenjak aku divaksinasi, aku mula amalkan pengambilan Vitamin C. 

Semuanya bermula bila aku ke farmasi di pekan Penanti untuk membeli ubat sembelit buat ibu_suri.

'Saya ada radang gusi. Apa yang baik untuk saya lakukan?'

Staf farmasi itu sarankan aku amalkan 1 biji setiap hari vitamin C. Aku teringat semasa dulu aku cabut gigi, doktor akan beri bekalan ubat tahan sakit bersama dengan vitamin C.

Rupanya banyak khasiat lain yang sesuai dengan masaalah kesihatan yang aku ada selain untuk radang gusi dan imunisasi diri.

https://jovee.id/vitamin-c/



Rabu, 23 Jun 2021

Durian

Sebab itu aku jarang beli durian. Bukan kerana tak makan tapi tak reti pilih buah yang baik. 

Kalau beli pun hanya kerana untuk ibu_suri bila dia beriya iya minta aku belikan.  Aku beli yang dah siap kupas. Mahal pun takpe janji tak terasa di 'tipu'.

Aku tak berani makan banyak atau bagi ibu_suri makan banyak. Takut perkara tak diingini berlaku sebab kesihatan kami bukanlah tip top sangat.



Selasa, 22 Jun 2021

Sajak: Doa Malam

Tuhan yang merdu

terimalah kicau burung

dalam kepalaku...



Isnin, 21 Jun 2021

Istirah

Sesekali, beruzlah itu pilihan

Merawat hati yang rawan

Jiwa yang rentan...


https://youtu.be/4tHtUu1bYwE











Bawah jejambat

Ban Busuk,

Pekan Penanti,

Kubang Semang.


Jam 2 petang

Ahad, 20 Jun 2021

Senandung Buruh Kasar KEMBARA

Masa aku sekolah rendah, bila cikgu minta aku isi borang tentang apa pekerjaan abah maka aku tulis sebagai Buruh Kasar.

Masa tu aku tak tahu bezakan antara kerja sebagai Buruh Kasar dengan pekerjaan sebenar abah aku yang hanya Buruh Bandaran.

Lagu ini selalu mengingatkan aku kepada arwah abahku...


Sabtu, 19 Jun 2021

Bersedia Untuk Ditinggalkan...

Aku selalu memberitahu istriku bahawa antara kita, tak tahu siapa yang akan 'pergi' dulu. 

Kita perlu redha dan bersedia untuk ditinggalkan...




Jumaat, 18 Jun 2021

Vaksinasi Outreach buat Istriku

Aku berharap istriku juga akan disenaraikan dalam program Vaksinasi Outreach ini...

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menjalankan program ‘Outreach Vaksinasi COVID-19’ dengan menyasarkan kumpulan berisiko tinggi terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Inisiatif ini dijalankan bagi memastikan sasaran seramai 400,000 golongan warga emas dan OKU di negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19.

Klik pautan di sini...

https://fb.watch/6iCba0Z7UU/



Isnin, 31 Mei 2021

Secawan Beras

 # copy_paste #


Suatu ketika lori pengangkut BERAS tiba di sebuah kedai, ramai orang datang berebut untuk membelinya.

Maka pembeli beratur panjang giliran di kedai pedagang beras itu.

Tibalah giliran seorang WANITA TUA miskin, dengan tangan gementar ia menghulurkan gelas yang dibawanya kepada penjual beras.

WANITA TUA berkata : "Aku tidak mampu membeli berasmu, sudikah engkau bersedekah untukku dengan segelas beras saja?"

PENJUAL BERAS : "Tidak, aku tidak boleh memberimu segelas BERAS!"

Tetapi kemudian penjual beras itu menyuruh pembantunya untuk membawa sekarung beras dan mengantarkannya ke rumah wanita tua itu.

WANITA TUA tersebut menerimanya dengan mata berkaca² kerana tidak percaya apa yang telah terjadi.

Air mata bahagia mengalir deras di pipi keriputnya.

Seorang lelaki pembeli yang tadinya berdiri di belakang WANITA TUA bertanya pada si PENJUAL BERAS, "Tuan...bukankah yang diminta wanita tua itu hanya SEGELAS beras, mengapa tuan memberinya SEKARUNG beras..?

PENJUAL BERAS : "Itu kerana dia meminta sesuai dengan KEPERLUANNYA, sedangkan aku memberi sesuai KEMAMPUANKU."

"Aku melakukan itu kerana begitu pula yang ALLAH lakukan kepadaku selama ini."

"Setiap kali aku MEMINTA kepada-NYA apa yang ku inginkan, Ia selalu MEMBERIKU berdasarkan KUASA-NYA."

"Dan pemberian-NYA bukan hanya sekadar cukup, melainkan SELALU LEBIH dari cukup."

"ALLAH memberi apa yang aku PERLUKAN, LEBIH dari sekadar apa yang aku INGINKAN."

"Maka ALLAH akan mncuahkan Kurnia-Nya dan keberkatan-Nya sesuai dengan Kuasa-Nya."

Ahad, 18 April 2021

Bakul Makanan 2

 Sekali lagi, menerima sumbangan bakul makanan mewakili istriku buat kali ke2. Terima kasih pada yang memberi. 

Aku tidak dapat memanafaatkannya 100%. Istriku OKU  tidak mampu memasak. Anak aku 3 orang,  kesemua lelaki. Seorang di KL, sorang lagi dah berumahtangga. Kalau adapun yang seorang lagi di rumah bukannya pandai dan rajin memasak.

Bagai sebelum ini, nampaknya sumbangan ini bakal menjadi rezeki orang lain pula...



Khamis, 1 April 2021

Catatan Sebelum Keluar Ofis

 Ambil sedikit masa sebelum tutup pintu ofis untuk update blog yang dah lama sepi ini.

Banyak perkara yang terjadi sepanjang masa ini tak dapat aku rakan ke dalam blog ini sebagai simpanan masa depan. Entahlah... makin tumpul minat aku menulis ini walaupun rasa bersalah dan rasa rugi itu selalu membuak di hati.

Sejak tahun ini aku mengalami sakit sendir jari yang teramat. Adakah aku mengalami artritis? Bila aku ajukan kepada doktor baru baru ini dia kata bukan. Tapi aku tak yakin akan jawapan doktor sebab doktor tak check apa apa pun sebaliknya hanya memberi jawapan spontan.

Sakit sendir ini menyebabkan aku susah untuk membuat kerja dengan pantas dan sempurna lebih lebih lagi untuk mengurus ibu_suri seperti menukar lampin, membersihkan najis dia bila berak atau membersihkan badannya setiap hujung minggu seperti yang sepatutnya.

Cuma yang menyejukkan hati aku ialah bila mendengar ceramah agama yang menyebutkan bahawa sakit sakit kita semasa di dunia jika kita terima dengan hati yang reda dan terbuka akan menghapuskan dosa dosa kecil kita masa lalu. 

Harapnya begitulah sebab sejak akhir akhir ini aku kerap sangat teringat kepada mak dan arwah abah aku. Yang semasa aku masih muda dan punya kerjaya amat sedikit sangat berbakti kepada mereka. Aku terlalu sibuk dengan kehidupan aku sendiri.

Aku terasa sangat bahawa kehidupan aku ini tiada keberkatannya...

Selasa, 2 Mac 2021

Salam...

Lama dan memang jarang dah menulis. Bukan tidak ingat, bukan tidak rindu pada blog aku ini tapi keadaan diri menyebabkan kemahuan menulis itu tumpul.

Aku harap sahabat lama blogger dan sahabat blogger baruku sihat dan tenteram dalam menghadapi kehidupan yang penuh liku dan berbagai warna ini. Dan tidak lupa kepada Insan Marhaen ini.

Umur aku sekarang menghampiri 61 tahun. Warga emas dah nampaknya. Tenaga pun dah kurang. Jiwa pun dah tak cukup kuat untuk menahan segala permasaalahan. Kekadang terasa seperti badan sahaja yang memikul tanggungjawap tetapi hati terasa seperti mahu pergi jauh-jauh menyendiri.

Akhmal baharu sahaja keluar dari penjara setelah setahun di dalam. Walaupun aku tidak nampak apa-apa perubahan yang positif terhadap diri dia aku harap dan telah pun berpesan kepada dia supaya mula berusaha memperbaiki diri. Aku mahu dia boleh berdikari dan urus dirinya sendiri sebab hidup aku ikut secara naturalnya tidak lama di dunia ini.

Aku tidak mahu terlalu memikirkan pasal masa depan dia. Dia lelaki. Bak kata P Ramlee, ulat dalam batu pun boleh cari makan.

tentang ibu_suri pula semakin nanar dengan halusinasinya. Beriya iya dia suruh aku pergi buat repot kat balai polis. Dan menyuruh pergi ke pejabat lawyer supaya menyaman 'orang-orang' yang selalu dia lihat di dinding dan siling biliknya.

Mereka itu (menurutnya) telah berkeluarga di sini sejak dia masuk hospital awal tahun lalu. Mereka kawal penghawa dingin, mereka kawal almari baju.

Bila dia 'merepek' begitu aku perlu seolah memberi perhatian apa yang di katakan. Kalau aku dilihat seperti acuh tak acuh, nada suaranya akan tinggi dan mula menengking aku.

Memang susah menjaga seseorang yang menghidap bi-polar disorder ini. Tahap sabar dan tenang kena tinggi tahap super gaban.

Aku selalu teringat akan kata-kata doktor dulu semasa dia mula menghidap minor stroke dan di kesan menghadapi bi-polar. Kata doktor - istri awak ini jika tidak dijaga dengan baik, dia akan boleh jadi seperti orang yang bergelandangan di jalan raya. Bercakap seorang diri malah boleh sampai ke tahap berkeliaran tanpa pakaian.

Mengenang itulah aku cekalkan hati menjaga istriku ini. Walaupun pernah beberapa kali aku mengadu kepada doktor pakar psikiatrik akan tidak tahannya aku menjaga kerenah istriku ini, doktor menyarankan aku memberi lampu hijau untuk doktor mengarahkan polis dan pihak hospital mengambil istriku di rumah dan membawanya ke hospital sakit jiwa. 

Fuhhh...

Rasanya aku telah menggunakan seluruh masa senang, wang, tenaga dalam menjaga istriku ini. Aku selalu berdoa kepada Tuhan, jika Tuhan mentakdir antara manakah dalam kami berdua yang Dia ingin mengambil nyawa, biarlah nyawa istriku yang diambil dahulu.

Kalau aku yang pergi dahulu, siapalah yang mampu menjaganya sebagaimana aku...

Isnin, 1 Februari 2021

Nasi Goreng

Beberapa hari ini ibu_suri asyik request aku masak nasi goreng sahaja untuk sarapannya. Tak kira siang malam. Pukul 4 pagi pun dia pernah gerak aku dari tidur kerana katanya lapar dan minta aku masakkan megi atau nai goreng. Dalam pada aku merungut-rungut pun aku bangun dan ke dapur juga.

Tengahari ini pun dia nak aku buatkan nasi goreng untuk dia. Jadi on the way balik dari ofis, aku singgah beli nasi dan ikan goreng masin.

Balik rumah aku ambil isi ikan masin itu dan aku gaul ke dalam nasi. Aku kena hati-hati memilih menyisih tulang. Kalau tersilap makan oleh ibu_suri aku juga yang akan susah nanti.

Aku tak pandai dan malas masak sebenarnya. Setakat telor dadar boleh la. Tapi... pung pang pung pang... siap jugalah dengan berpeluh-peluh di dapur.



Yang bagusnya, habis sepinggan dibedalnya.

"Abanag tak mahu ke?" tanya dia bila nasi itu tinggal cuma lebih kirang 4 sudu. Memang macam tu la selalunya dia.

"Takk... Abang ada beli nasi lain.."

Kalau ikutkan hati, malas aku nak beli pun jauh sekali memasak. 

Malam ni dia nak makan nasi dengan lauk sardin semalam.

Esok aku cadaang nak beli udang kering. Masak nasi goreng udang kering pula, ntah apa pula rasanya nanti.

Khamis, 28 Januari 2021

Aku Sangat Lelah!

 Aku berasa amat lelah, Tuhan...



Ampunkanlah aku...


Sabtu, 23 Januari 2021

Blogger Kasim Selamat

Aku pasti blogger otai sezaman aku hampir terlupa kepada blogger Kassim Selamat@Lagenda Buta atau nama sebenarnya Jasni Ibrahim.

Beruntung rasanya bila aku bertemu semula dengan akaun fb pertamaku dulu dan boleh membukanya semula setelah bersusah payah mendapatkan katalaluan.

Yang nak aku ceritakan ialah betapa rasa teruja bercampur sayu bila terbaca semula catatan dari fb blogger Kassim Selamat ini.

Beliau adalah aktivis politik tetapi ditakdirkan Tuhan terlibat dengan kemalangan yang menjadikannya lumpuh.

Boleh ikuti salah satu kiriman fb beliau di sini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10152217975998951&id=686263950

Kali terakhir beliau menghantar kemaskini fb beliau ialah pada 2015. Kemungkinan besar itulah kiriman terakhir beliau sebelum dia pergi menghadap Ilahi.

Muga Allah rahmati beliau di sana bersama-sama dengan mereka yang soleh.

Al Fatihah!


Ahad, 10 Januari 2021

Catatan Hujung Minggu

Sebenarnya banyak perkara yang nak aku rakamkan ke dalam blog aku ini sebagai sebuah catatan, diari atau otobiografi diriku sendiri tapi tu lah... Keghairahan menulis dan peluang/masa itu semakin terbatas atau luntur.

Aku tak tahulah sejauhmana pengikut blog aku ni rajin membaca, tak jemu membaca atau meluat dah membaca cerita yang sama sahaja bentuknya dalam setiap entri post aku ini. 

Aku cuba tak mahu bersangka negatif atau setidaknya cuba menganggapkan bahawa yang sudi membaca, bacalah. Kalau tak sudi, akan tidak ada siapa siapalah lagi yang akan membaca blog. Syok sendiri sahajalah aku!

Apapun, tujuan aku menulis blog ini dulu pun hanya sekadar suka suka meneruskan hobi aku menulis. Menulis ini hobi sejak di bangku sekolah menengah rendah lagi. Bila ada medium blog, maka seperti orang mengantuk disorong bantal, sukalah sangat aku mengetuk biji biji keyboard. 

Dulu aku menulis menggunakan mesin taip, hadiah dari arwah abahku kerana aku mendapat gred 2 dalam SRP. Namanya aje gred 2 tapi tak kemana pun. Tingkatan 4 masuk sekolah menengah biasa sahaja. Bapa saudara aku ada juga bising sebab katanya dengan result SRP aku dulu tu (1975) mungkin boleh memasuki sekolah berasrama penuh atau paling tidak baik sikit dari sekolah aku semasa itu. Emak dan abah aku orang kampung. Manalah dia tahu peluang seperti itu ada kalaulah tidak ada orang lain yang tahu itu membantu.

Semalam aku diberitahu oleh adik lelakiku Abi Hurairah, dia disahkan positif Covid19. Allahu, selama ini mendengar orang lain sahaja yang kena, hari ini tiba-tiba adik sendiri pula yang disahkan selepas menjalani swab test di tempat kerjanya. Sekarang beliau menjalani kuarintin sendiri di rumah sementara mendapatkan arahan selanjutnya dari pihak hospital.

Adik aku ini seorang yang rajin ke masjid. Maklumlah, masa belajar di ITM dulu dia ada mengikuti Jamaah Tabligh. Sekarang ini pun dia masih ikut juga walaupun tak sekerap masa belajar dulu. Dia sanggup ambil cuti 3 bulan untuk menunaikan syarat bermusafir ke India. Seorang yang baik, bertanggungjawap terhadap keluarga dan selalu balik kampung ziarah mak aku yang sekarang ini kian uzur.

Tentang aku pula, aku tak pasti bagaimana masa depan aku. Kekadang mahu sahaja aku berhenti kerja kerana sesekali berasa amat stress dengan kerja dan keletihan ini. Aku tahu performance aku dah tak seperti dulu. Ada kerja-kerja yang tak dapat aku buat se 100% mengikut piawaian yang bos aku kehendaki. Tapi kalau berhenti nak sara hidup diri dan istriku bagaimana? Sedangkan gaji sebulan RM1k tolak socso/epf pun tak cukup. Selalu minta top up dari anak-anak. Kekadang ada juga kawan-kawan yang sudi membantu beri sumbangan.

Untuk istriku ini sahaja, bulanan membayar alat bantuan Oksijen RM350 sebulan. Kos biaya letrik semakin menaik sejak dia menggunakan mesin ini + penggunaan penghawa dingin. Semua itu mencecah RM200 sebulan. Nasib baik hutang rumah dan kereta dah selesai. Haa... tu tak termasuk lagi maintenance kereta, insuran/roadtax. Selaluya bila aku keputusan wang aku pasrah sahaja kepada Tuhan.

Ibu_suri tak tahu semua kesusahan ini. Dia tak boleh tahu sebab akan tambah kusut kepala aku jika dia bertanya itu ini dari pagi sampai ke malam. Jenuh nak cari jawapan balas yang boleh dia fahami dan memuaskan hati.

Entah apa pula yang terjadi pada Akhmal di penjara Penang, aku pun tak tahu. Sejak dia kena tangkap awal tahun lepas aku lansung tak jenguk dia. Tawar sungguh hati aku ini. Aku agak sekarang ini mungkin dia berada di penjara Jawi. Mungkin juga dia dijatuh hukum selama 5 tahun dan sebatan. Mungkin sahaja.

Sesekali terbayang dibenak aku, jikalah ditakdirkan aku melawat dia di penjara nanti mau bergantang-gantang maki dia kepada aku sebab tak pernah ambil tahu pasal dia selama di penjara reman di Penang atau pun penjara tetap di Jawi. 

Sekali lagi, aku serah semua ini kepada Allah. Aku tak mahu beratkan dadaku ini yang memang dah sarat dengan bebanan. Esok punya cerita, esoklah aku fikir dan aku hadap.

Untuk sekarang ini aku terasa lapar dan nak pergi makan sekejap. Nak makan apa, entahlah. Takada menu dalam kepala.

Kelmarin aku pergi ke klinik setelah lama aku ponteng. Doktor tegur aku kerana hampir setahun aku tak buat appointment. Dah setahun? Aku macam tak sangka selama itu.

Tapi pemeriksaan tekanan darah dan gula pada aku kira ok lah dari apa yang aku jangka. Sudah tentu kalau tanya pendapat doktor dia kata tahap gula dan bp aku tinggi.

Aku sekarang ini amalkan minum teh bunga ratu pari dan minyak zaitun. Aku memang tak boleh nak buang sikap minum 3in1 100% jadi aku perlu dapatkan alternatif lain. Dalam masa yang sama cuba kurangkan kekerapan 3in1 itu.

Sebenarnya, aku menulis ini di ofis kerjaku. Datang sekejap untuk selesaikan satu dua perkara mustahak!

Doakan aku ya sahabat... Jika masih ada yang follow!