Selasa, 9 Julai 2019

Mertuaku

Semalam aku ziarah mertua di Taman Buah Pala, Bukit Gelugor setelah 2 minggu tak datang. Abang Lan ( aku panggil abang besar ) dengan abang Mat ( OKU ) dah ada di sana.

Aku datang bersama ibu_suri dan 2 cucuku. Aku ambil kerusi roda abah untuk bawa ibu_suri masuk ke rumah. Aku mahu ibu_suri berjumpa maknya kerana aku tahu mak lebih selesa berbual ( mencurahkan apa yang berbuku di dadanya ) kepada ibu_suri.

Bila masuk ke dalam rumah, aku lihat abah sedang makan. Aku bagi tegur abah tapi abah buat selamba sahaja. Aku tahulah, dia tak dengar teguran aku. Nak cakap kuat-kuat supaya abah dengan aku tak biasa begitu.

Mak pula duduk di katil,; seperti biuasa berkemban sahaja. Tampaklah tubuh mak yang semakin kurus dan renta. Suaranya pun amat perlahan, tak terdengar jika aku tak pasang telinga sebaiknya. 

Kasihan aku melihat mereka berdua.

Bila aku mengadap abah yang sedang menghabiskan baki makanan di pinggannya dan aku pula mengambil se cawan air dingin lalu duduk di kerusi mengadap abah, sambil berbual abah menangis.

"Terasa abah ni seperti sampah..." setelah bercerita tentang tiada siapa yang datang melihatnya sejak Khamis lalu. Abah sebik seperti anak kecil. Aku diam sahaja memerhati sambil di dalam kepala seperti rasa kosong, tak tahu / tak berani nak respon apa-apa.

Cukup jika aku katakan bahawa mertua aku ada 9 anak; lelaki 3 dan perempuan 6 + anak angkat.

Kalau selalunya aku terbaca dimedia sosial atau tv akan ibu boleh jaga 10 anak akan tetapi 10 anak belum tentu boleh menjaga ibu dengan baik, contoh itu sekarang ini nyata di depanku.

Semasa memandu balik melalui Jambatan Pulau Pinang, ibu_suri banyak bertanya akan apa yang aku bualkan dengan abah ( ibu_suri memang tidak dapat menangkap dengan cepat apa yang diperbualkan di hadapannya lewat kesan stroke. Jadi, aku terpaksa selalu menerangkannya dalam cara atau ayat yang dia boleh faham ).

Akhir penerangan itu aku katakan pada ibu_suri bahawa selagi tenaga dan kemampuan aku ada, aku akan tetap ziarah mereka setiap minggu. Menunaikan apa saja hajat mereka dan menghormati mereka walaupun mungkin sikap mereka tidak bertepatan dengan diri kita.

Menatap wajah ibu adalah pandangan terbaik selepas menatap wajah Kaabah, ujarku. Walaupun inu mertua, ianya seperti ibu aku sendiri juga.

Aku gembira dapat berbakti kepada mereka walaupun mereka atau adik beradik ibu_suri tidak perasan. Bakti aku ini ikhlas dan aku tidak mahu merosakkannya dengan menunjuk-nunjuk.

"Umur abah dah 90 tahun. Bukan lama mana sangat...." ujarku pada ibu_suri yang sebenarnya tidak boleh sangat diperbualkan dengan perkara-perkara sedih dan sayu. Nanti dia akan meleret-leret sayunya sampai ke rumah, sampai ke malam malah sampai ke esok hari.

Jumaat, 5 Julai 2019

Zaman Silamku di SRC

Tak tahu nak tulis apa sebenarnya. Tetapi disebabkan dah lama aku tidak menulis di sini, bos pulak balik awal sikit, hari ini pula hari Jumaat dimana aku tak perlu tergesa-gesa balik mengambil cucu dari Transit, maka nak juga mencatat sesuatu demi menghidupkan blogku ini.

Semasa aku sedang makan nasi lemak yang diberi oleh salah seorang guru tadika di sebelah ofis ku tadi, aku teringat zaman sekolah aku di tingkatan 4 dan 5 sekitar tahun 1976 dan 1977. Bagi akulah, kalau ditanya era mana yang kalau diminta untuk kembali semula ke belakang, aku akan memilih zaman sekolah menengah ini. 

1977 adalah tahun mula-mula seluar hijau diperkenalkan menggantikan seluar panjang warna putih. 1977 juga adalah tahun dimana aku dilantik sebagai pengawas perpustakaan. Aku memang suka dengan buku dan stationary, jadi pelawaan oleh cikgu Maznah Ismail yang incharge perpustakaan masa itu aku terima. Merasalah aku memakai tali leher. Lencana pula bagi pengawas perpustakaan akan dipinkan di sebelah kanan baju.

Di tahun ini aku ke sekolah menaiki basikal. Masa tu handle basikal jenis tinggi yang aku panggil handle chopper. Di tengah handle itu pula ada carrier kecil dengan pengepit untuk meletakkan buku yang tak muat beg.

Aku ada grup studi masa itu. Namanya JASS diambil sempena 3 lagi nama sahabatku... Junidal Amri, Samsuri dan Shamsuddi. Kami memang selalu bersama. Shamsuddi adalah pelajar pintar, ketua kelas semasa tingkatan 4 dan mendapat SPM pangkat pertama. Khabarnya selepas tamat belajar dia menjadi doktor.

Antara ke tiga-tiga sahabat aku ini, Junidal Amri adalah sahabat aku yang paling akrab. Berambut kerinting dan antara pemain hoki sekolah. Bapanya adalah pemilik kedai kopi di Stesyen Keretapi Ipoh masa tu. Jadi, kerap jugalah aku lepak dengan dia di sana.

Kebetulan Masjid Negeri dekat sahaja di situ. Grup kami selalunya buat studi grup di perkarangan masjid. Nama aje studi. Bacanya entah banyak mana, selebihnya sembang atau tidur...hehe

Samsuri ini pendiam sikit. Macam akulah agaknya. Yang istimewanya dia ni boleh faham dan tahu cakap Tamil sebab dia tinggal di kuarters LEB ( kalau tak silap aku la. Kalau sekarang ni TNB. ) Dia ni peminat Dhalan Zainuddin. Kalau kat fail cap crocodile dia tu memang akan dibalut dengan poster Dhalan Zainuddin di kulit luar.

Samsuddi pernah datang ke rumah aku bersama anak isterinya semasa Hari Raya satu masa dulu tetapi aku tidak ada kerana aku dah bekerja di Pulau Pinang.

Aku mula mengasah bakat menulis di zaman inilah. Masa ini ada Utusan Pelajar. Aku tak pernah miss membelinya. Bila dapat sahaja, helaian pertama yang aku buka ialah ruangan Taman Sains kelolaan Pak Matlob. Aku masih ingat nombor keahlian kelab atau AKS aku masa itu... AKS 70.

Aku juga pernah menulis di majallah sekolah bernama TERAS. Pernah memenangi peraduan menulis sajak yang bertajuk BISMILLAH dan dan menyertai pertandingan bahas ainter-class serta berlakun dalam taridra.

Aku dipilih menjadi ketua kelas semasa tingkatan 5. Pendiam dan pemalu macam aku ni pun boleh jadi ketua. Masa mula-mula aku kena berdiri di depan kelas memberi taklimat, berpeluh-peluh rasanya...

Hah...hah.... Terlupa pula nak habaq. Sekolah aku tu ialah Sek Men Raja Chulan, Ipoh. Dekat dengan Maktab Perguruan Ipoh dan Stesyen Radio Malaysia Ipoh.

Ah... manisnya kenangan itu. Terhibur sekejap hati ini bila menulis dan mengingati semula zaman-zaman remaja itu...