Rabu, 31 Ogos 2011

Berlapang Dada

Alhamdulillah, blog aku dapat di selamatkan. Ianya berpunca dari entri Balik Kampung yang aku tulis di dalam Microsft Word kemudian salin ke kotak entri dalam blog. Rupanya format HTML semasa proses penyalinan itu dibuat tidak sempurna hingga merosakkan imej template sidebar di blog.

InsyaAllah, perlahan-lahan nanti aku akan bina semula template IM ini. Yang tentunya aku belajar satu perkara dalam hal ini. Selalunya, belajar melalui kesilapan lebih kuat kita ingat. Dan lagi, belajar melalui kesilapan akan mendidik hati kita untuk menerima hakikat kelemahan diri dan berlapang dada.

Apa-apapun, sebenarnya aku sedang bersiap nak balik kampung di Ipoh sekarang ni. Bersama aku selain ibu_suri adalah Along, Akhmal dan CT. Aku harap perjalanan aku ini selamat dan diberkati Allah kerana niatku untuk balik tiada lain hanya kerana ingin menziarahi mak. Walaupun cuma balik hari, aku cuba penuhkan ruang waktu yang ada untuk duduk dan dengar suara mak.

Dan seperti selalunya, melalui pengalaman aku di jalanraya, memandu jangan berada di bawah pengaruh waktu. Maksud aku, jangan hendak cepat sampai. Memandu dengan santai, berlapang dada dengan orang yang ada di dalam kereta maupun di luar kereta dan jangan makan berat semasa singgah di RnR.

Tips:
"...Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan. " (Al-Baqarah : 237) - sumber di sini.

Selasa, 30 Ogos 2011

TOLONG>>>>>@##$%^&*( .........2

Hooooooooooooooooo................................!!!!

Makin aku debug, makin menjadi-jadi pula kacau bilau blog aku ni. Sekarang dah jadi double posting yang bertindih-tindih pula...

Apa sebenarnya yang berlaku, aku pun tak faham. Walaupun cuba tukar dengan template yang lain, masih celaru...

Apa yang perlu aku buat nih!

TOLONG>>>>>@##$%^&*(

Apa jadi dengan ana punya blog? Lintang pukang...!!!

GRRRRRRRRR......!!



Raya-Raya cam ni pun mau sabotaj kaa........

Isnin, 29 Ogos 2011

Balik Kampung

Semenjak ibu_suri seperti sekarang ini,  aku jarang tinggal lama bila balik kampung. Samada Hari Raya apatah lagi cuti hujung bulan. Selalunya aku bertolak pagi dan akan balik semula di sebelah petang. Walaupun sebenarnya aku terasa malu pada adik-adik yang kekadang seperti terkejut bertanya:

“Nak balik dah? Sekejapnya..!”

Namun aku terpaksa telan. Memang aku cukup terkilan bila setiap kali aku memintanya untuk bermalam lebih lama dia tidak mahu dengan berbagai alasan yang aku kira kalau hendak diambil hatikan, memang patut.

Namun aku akur. Aku tahu ibu_suri bukan dalam keadaan dirinya sebenar 100%. Bagi adik beradik yang faham, mereka terima seadanya. Tapi sendiri aku tahu bahawa mak sebenarnya mengharap aku tinggal lama di kampung. Lebih-lebih lagi Raya begini, aku tahu mak mengharapkan aku pergi menziarahi saudara-mara yang ramainya sudah semakin uzur.

Aku anak sulong. Aku adalah antara adik beradik yang dikenali oleh saudara-mara. Sementelah dulu, akulah yang rajin bawa mak pergi melihat-lihat adik beradiknya yang jauh dan dekat.

Nampaknya, Hari Raya yang tidak lama lagi datangnya ini, seperti Raya sebelumnya. Aku bertolak pagi dan balik petang. Nak balik jauh malam seperti dulu sudah tak berani sangat. Lebih-lebih lagi dengan cuaca kurang baik dan badan juga tak secergas dulu. Cepat mengantuk dan pandangan waktu malam juga bukan jelas sangat.

Tuhan sahajalah yang tahu isihatiku ini…

Ahad, 28 Ogos 2011

Lemang YouTube

Along ada balik dari KL. Cuti seminggu, katanya. Dia ada bawa balik lemang 3 batang dan dodol satu bekas.

"Ini lemang YouTube, ayah" bagitau Along.

"Pasai apa YouTube?" Ada sedikit gelihati mendengar nama itu. Macam-macamlah anak muda zaman  FaceBook ni.

"Resipinya... Along ambik dari sana. Bos tempat kerja minta kami yang training dengan dia buat kat rumah dia."

Aku cuba mengopek buluh untuk merasa lemang buatannya itu. Aku sendiripun tak pandai masak lemang. 

"Mai ai... tebalnya buluh ni. Ini bukannya buluh lemang ni. Buluh lemang kulitnya nipis je.." gerutu aku yang terkial-kial mengopek. Maklumlah.. tenaga bukan lagi seperti zaman muda dulu.

Namun bila aku makan sedikit lemang tu...hu.. memang aku akui sedapnya. Saling tak tumpah rasanya macam lemang yang Abah aku masak di kampung.

Malam, aku ajak ibu_suri mencari rendang untuk dimakan bersama lemang. Putar-putar aku di Jalan Baru, Perda. Akhirnya berjumpa juga. RM10 untuk 300 gram. Huu... mahalnya aku rasa.

Esok, ibu_suri peringat aku lagi supaya membeli 2 ekor ayam. Nak buat rendang katanya. Aku memang akui, ibu_suri pandai buat rendang. Dulu laa....

Sabtu, 27 Ogos 2011

Sebelum Rendang Di Masak

Ramai pula yang datang berjumpa aku di ofis semalam. Ingat mereka aku akan bercuti panjang. Tak kira Cina, India apatah lagi Melayu. Tak kira lelaki  mahupun perempuan. Yang sebaya atau yang muda belia. Menghulur salam dan ada yang memberi ucapan dan berdoa yang panjang. Lelaki tak mengapalah tetapi yang perempuan belum Islam... terkial-kial juga aku samada nak menyambut tangan yang dihulurkannya atau tidak.

Bila saja chime berbunyi tanda waktu kerja tamatlah sudah. Seperti selalunya aku switch off  lampu ofis dalam otakku dan switch on lampu rumah pula. Hujung minggu ini pastinya masa-masa yang paling sibuk. Kena fikir kuih Raya yang walaupun sudah dipesan melalui kawan-kawan tapi masih belum nampak di meja. Air apa yang perlu aku sediakan jika tetamu sudi berziarah. Kena cari dan basuh bekas hidangan kuih. Basuh langsir dan tukar sarung kusyen.




Rendang ayam - kreditnya di sini
Juga terpaksa fikirkan pakaian anak-anak yang masih belum berbeli. Keadaan rumah yang masih berselerak tidak berkemas. Mana ada masa kalau hari-hari kerja dihabis dengan memasak dan mengemas dapur, satu-satunya bahagian rumah yang paling aktif. Ruang tamu yang tak di lap dan bersapu apatah lagi hujan sesaja sepanjang dua tiga hari ini.

Water dispenser, paip singki, hos mesin basuh dan tangki besar di bilik mandi pun time-time beginilah baru nak bocor. Semakin dibiar semakin serius pula.

Tadi ibu_suri mula memasang angan untuk memasak rendang ayam. Akulah nanti yang terpaksa membeli ayam. Bukan dia ingat sangat apa perencah yang perlu dibeli melainkan akulah nanti yang perlu memikirkan dan membelinya. Aku harap bila Along balik esok, dia yang akan memasaknya. Kalau dia pun culas.... huuu... akulah yang terpaksa bersilat di dapur.

Aku pesan siap-siap kat ibu_suri. Kalau nak masak rendang tu biar awal-awal. Tak mahu nanti jadi macam dulu-dulu. Sibuk menjahit baju tempahan orang hingga baju sendiri tak siap. Sudahnya menjahit hingga ke pagi Raya. Orang lain seronok bergaya dengan tempahan baju raya yang ibu_suri jahit sedangkan bajunya sendiri tinggal tanpa diusik.

Apalah erti Hari Raya jikalau pun dapat banyak upah atau demi mahu menjaga hati saudara mara dan rakan-rakan namun nikmat Hari Raya tidak dapat dikecap. Aku saja sendirian solat sunat di Masjid dan ziarah jiran maupun saudara mara terdekat sedangkan ibu_suri terbaring di katil. Baru terasa letih dan lenguh.

Raya ini aku ingin lebihkan ziarah. Aku sudah ada menantu dan besan. Meriah juga rasanya. Raya kedua baru balik kampung ziarah mak. Begitulah aturcara ku selalunya sejak anak-anak sudah besar!

Jumaat, 26 Ogos 2011

Dalam Hujan Lebat

Nama aje cuti tapi penuh dengan urusan. Hujan pun hujanlah. Aku redah juga kerana tugasan ini perlu diselesaikan. Di waktu pejabat ini sahaja urusan ini boleh dilakukan.




Foto ihsan nyanyisunyi
Semalam, pepagi lagi aku sudah tercatuk di mahkamah. Lebih 'melemaskan' ialah bila ibu_suri ingin turut sama. Maklumlah, nak keluar dari kereta dalam hujan dengan langkah perlahannya itu. Nak naik tangga yang entah berapa anak. Duduk pula dalam mahkamah macam robot. Mana boleh bersilang kaki melepas lenguh atau berbual jauh sekali untuk kelebek handphone.

Alhamdulillahnya, Akhmal dibebaskan seperti yang dipakat oleh aku dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat. Itupun dengan jaminan bon RM5000. Berdegup juga jantung aku melihatkan sekeping cek dikepil bersama dokumen yang ditandatangani. Selama 2 tahun Akhmal diperintah berkelakuan baik dan melakukan program khidmat masyarakat selama 80 jam. Lama tu...keluhku kepada En Zulkifli, pegawai JKM.

"Kalau Akhmal langgar perintah mahkamah tu, ayah pula yang akan masuk 'dalam'. Mana ayah ada duit nak bayar bon tu!" beritahu aku pada Akhmal sebaik saja memasuki kereta dalam hujan lebat itu. Aku sebenarnya resah dengan keputusan mahkamah hari ini.

Kemudian aku teruskan dengan urusan untuk ibu_suri pula. Berhujan pula aku memfotostat dokumen yang diperlukan oleh JKM. Membimbing ibu_suri di bawah payung yang tak sepadan dengan saiz tubuh ibu_suri yang XXL itu menaiki tangga dengan hati-hati takut terlicin dan jatuh juga memerlukan kesabaran dan lapang dada yang tinggi. Lama juga temuduga ibu_suri dengan pegawai JKM yang kali ini seorang wanita.

"Saya seperti tak dapat rasakan apa istimewanya anak saya dan isteri saya memegang kad OKU. Kalau dalam tv punyalah enak jajaan mereka bahawa OKU mendapat pelbagai keistimewaan tapi selama saya menjaga 2 orang OKU ni,  yang saya dapat cuma 4 dari 22 keistimewaan itu bagi anak saya dan lansung tiada bagi isteri saya kecuali pelepasan cukai."

Pegawai JKM yang tengah sarat itu mengiyakan juga kata-kataku itu.

Hujan masih juga turun menyebabkan jalan sesak. Aku perlu pula ke Plaza Tol Kubang Semang untuk klem rebat tol. Alhamdulillah, dapat rebat percuma RM160. Aku topup RM100 dan ini cukup untuk digunakan sepanjang Syawal nanti. Jam sudah pun ke pukul 5 petang.

Ingat nak balik ke rumah sebab badan kesejukan dek lembab dalam hawadingin kereta. Kepala pun mula rasa berdenyut. Tetiba;

"Abang, pi beli capati kat market Seberang Jaya tu, boleh?" Aduh...Di situ lagi teruk jem kerana Bazaar Ramadhan!

Khamis, 25 Ogos 2011

Kehidupan

Kalau semasa masih muda belia dahulu, yang selalu diangankan adalah kemewahan dalam memiliki prasarana kehidupan. Rumah yang besar dan luas, kereta yang selesa, aktiviti harian yang menyeronokkan dan kuat kerja untuk mendapat gaji dan kenaikan pangkat.

Tidak kira walaupun terpaksa membuat pinjaman. Seolah-olahnya macamlah kita ini pasti akan hidup lama dan akan boleh membayar hutang itu hingga selesai. Malah adakalanya belum pun selesai hutang lama, diperbaharui pula menjadi hutang baru. Sekali lagi, bagailah Tuhan itu gerenti akan memperuntukkan kita dengan umur yang panjang.

Hari ini, bila menghampiri kemuncak usia, baru terfikir bahawa sebenarnya bahagia dalam hidup ini terletak pada ketenangan di jiwa. Dan ketengangan jiwa itu bukan sangat terletak pada kemewahan materialistik akan tetapi sebenarnya pada budi bicara dan kesederhanaan dalam segala aktiviti harian. Berpakaian sederhana, makan yang sederhana dan perbelanjaan yang diperlukan sahaja.

Barulah mula terasa letih dengan beban hutang yang tidak putus-putus sejak usia muda. Baru tahu betapa sebenarnya, tungkus lumus kita bekerja tetapi bila dapat upah kerja habis di'sedekah'kan kepada pemiutang yang memangnya memasang pukat memperdaya kita.

Alangkah bahagianya seperti abah aku. Gaya hidupnya - ada duit baru berbelanja. Jika tak ada duit, diam sahaja sudahlah. Dengan pencarian rezeki secara harian dan tak seberapa itu dia masih boleh menyimpan. Cukup masa dia keluarkan untuk perbaiki rumah. Hantar anak ke menara gading. Kahwinkan bila sampai masanya.

Dan bila anak itu sudah mula hidup berumahtangga; dengan gaji suami isteri yang besar masih ada yang entah mana masanya pulang ke kampung berjumpa emak abah mahu meminjam wang. Hairannya, emak abah yang rezekinya bak kais ayam itu mampu pula memberi pinjam kepada anaknya. Yang anak itu pula bila sudah mendapat pinjaman entah bila pula akan membayar semula kepada emak abahnya. Maklumlah, emak abah sendiri. Bukannya bank. Seolah-olah emak abahnya pasti punya umur yang panjang untuk menanti sianak itu melunaskan hutangnya.

Agaknya, kalau ditakdirkan tiba-tiba emak abahnya menghembus nafas terkahir, bagaimana hutang itu hendak di halalkannya?

Tulisan di atas sebenarnya adalah untuk aku yang tiba-tiba teringat pada mak di kampung. Agaknya sendirian dia tidur malam ini dan bersahur nanti...

Rabu, 24 Ogos 2011

Hambatan

Beberapa hari kebelakangan ini ibu_suri kerap mengadu sakit perut. Kerap buang air besar. Pagi semalam dia mengadu pula sakit kepala sebelah kiri. Migrain barangkali. Setahu aku dia tidak pernah mengidap migrain. 

Hampir aku tidak pergi kerja pagi semalam. Namun aku gagahi juga dengan harapan sakit kepala ibu_suri cuma sementara. Aku dah tak boleh lagi nak ambil cuti kalau bukan terlalu perlu kerana cuti tinggal cun-cun untuk menghadiri kes Akhmal di mahkamah 25hb ini. Lagipun kerja di ofis terlalu banyak. Mana lagi dengan kursus Kalibrasi hari ini. Minggu depan dah nak Raya. 

Selingan dari tugasan yang ada, terpaksa uruskan mereka yang akan pergi mewakili majikanku memberi sumbangan Hari Raya ke Pusat Harian Harapan Bakti dan pesakit di Hospital Balik Pulau. Dan tadi pula dapat tahu bahawa anak saudaraku buat hal pula di tempat kerja. Pihak Sumber Manusia (HR) meminta jasabaik aku pula untuk berbuat sesuatu.




SM Ahmad ar-Rasyid
Malu pula aku dengan rakan-rakan lain. Mereka selalu bersembang tentang program iktikaf di masjid atau iftar jamaie. Aku pula di hujung-hujung Ramadhan ini bergelut dengan hal-hal duniawi. Memang cemburu namun aku pendamkan sahaja di hati. Hakikatnya beginilah apa yang mau tidak mau kena aku lalui.

Aku cuma ingin buat yang terbaik. Terbaik untuk diriku dan terbaik untuk mereka yang di bawah tanggunganku.

Aku harap isteri, anak-anak dan pekerjaanku ini bukan hambatan untuk aku mendambakan kasih sayang dan maghfirah Tuhan!

Selasa, 23 Ogos 2011

7 Sunnah Nabi

Aku jarang mengisi blog aku ini dengan tulisan bukan milik sendiri. Namun rasanya tidak mengapa jika sesekali berkongsi ilmu yang baik sebagai tazkirah bersama. Ianya kiriman dari rakan sekerja yang juga menganggotai Jamaah Tabligh. Bila diselidiki artikel ini diperolehi dari melgrup e-ballang.


Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah. Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan..dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat. Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi Sjavascript:void(0)AW itu adalah:

Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.
Kedua:
Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul, atau ayat qursi.

Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah. 

Keempat:
Jaga sholat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda. 

Keenam:
wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Ahad, 21 Ogos 2011

Cuti

Cuti aku memang banyak habisnya kerana mereka berdua. Samada atas urusan kesihatan ibu_suri atau masalah disiplin Akhmal. Bila rakan-rakan bertanya; Raya ni ambil cuti berapa hari? Aku hanya boleh menjawap; cukuplah dengan cuti umum yang ada.

Tapi bagi kawan ofisku pula bila aku bertanya tentang cuti Rayanya, dia menjawap; aku mana ada cuti. Minus lagi... ya... Asyik sakit aje...

Allah memang Maha Kaya. Mengatur sesuatu itu dengan kemampuan dan kesesuaian hambanya. Walaupun aku merasakan ujianNya pahit tetapi pahit itulah ubat yang mujarab untuk aku mencanai keinsafanku dan membuat penjajaran diri.

Buat masa ini aku masih sihat. Cumanya disibukkan dengan mengurus isteri dan anakku yang mempunyai masalah tersendiri. Sedangkan kawanku tadi sepanjang hidupnya yang masih ada terpaksa berjuang dengan diabetis. Mujur isterinya sihat dan mampu menguruskan dirinya.

Biarlah orang cuti seminggu direct Raya ini. Seharusnya aku bersyukur dengan cuti umum yang sedia ada!  Hidup ini sebenarnya tak lama. Beberapa bulan lagi akan jenguklah 1433H. Dan usia kita bertambah lagi bilangannya!

Maaf! Sebenarnya kematian itu yang semakin mengurang jaraknya untuk kita bercuti panjang!

Sabtu, 20 Ogos 2011

Bukan Mustahil...2




Foto ihsan di SINI
Menyorot sekali lagi pertemuan dengan En Zulkifli, staf Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Khamis bebaru ini. Aku diberitakan semacam ujud satu pattern kes jenayah di sekitar Bukit Mertajam.

"Di Permatang Pauh kebanyakan kes adalah melibat anak-anak bawah umur (12 tahun ke bawah). Kalau di Cerok To Kun, kebanyakannya remaja. Kalau di Perai kebanyakan orang dewasa."

Aku jadi kagum juga. Analisa oleh En Zulkifli ini aku kira elok kalau dapat dibukukan.

"Yang saya tahu kes jenayah remaja ni, banyaknya melibatkan remaja Melayu. Bangsa lain tak ada ke?"

"Ada. Tu la, saya selalu kata pada remaja ni. Kamu sebenarnya semacam bodoh. Jenayah oleh kaum Cina kebanyakan melibatkan kes jual CD haram/lucah atau jual dadah. Depa dapat duit dan kaya. Orang Melayu pula kes gunakan dadah tu. Orang Cina kalau jatuh hukum mereka boleh bayar denda sebab banyak duit tapi orang Melayu? Orang Cina dapat duit dari jual dadah tapi orang Melayu melekat dengan ketagihan dadah, merosakkan diri sendiri dan tak boleh lagi lari dari ketagihan itu seumur hidup."

 "Dadah apa yang bahaya setakat ni pada remaja?" tanyaku ingin tahu juga sementelah berjumpa dengan the right person untuk menimba pengetahuan. Sebenarnya, sejak Akhmal terlibat dengan kes-kes sebegini secara tak lansung aku jadi banyak tahu dan mengalami sendiri berurusan dengan Special Branch, dengan mahkamah dan penjara. Walaupun pengalaman ini bukanlah pengalaman yang baik tetapi berguna juga untuk dikongsi dengan ibubapa yang terjebak dengan terpaksa rela.

"Pada saya la, kalau nak cerita bab dadah ni, Ganja atau Morfin lebih ok berbanding ICE. Ganja kalau dah kena cuma dia benggg... sendiri dia je. Tapi kalau terkena ICE, dia boleh melibatkan orang lain. Kaki rempit itu, kalau ikut keadaan normalnya takkan sanggup angkat motor atau berbaring atas motor laju tapi bila dah kena ICE, dia boleh buat apa saja aksi bahaya. Sama juga kalau mereka pergi ke kelab malam, Depa boleh duduk kat situ sampai pagi esoknya kalau dah terkena ICE."

Inilah hakikatnya dunia anak-anak kita yang di sebelah sini. Dunia yang tersorok di sebalik masyarakat yang sibuk dengan urusan dunia. Aku sempat melahirkan kerisauan aku dengan nasib cucu dan cicitku nanti yang aku kira jika penyakit seperti ini tidak mampu diubati akan bertambah membarah.

Apakah ubat yang terbaik untuk menyahkan penyakit berjangkit ini dan memberi jaminan bahawa masyarakat dan negara yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita nanti adalah sihat dan bertamaddun tinggi?

Khamis, 18 Ogos 2011

Bukan Mustahil

Aku diajak masuk oleh En Zulkifli ke bilik pejabatnya di dalam. Dapatlah aku merasa melalui ruang-ruang bilik yang selama ini hanya boleh dimasuki oleh mereka yang mempunyai kad  keselamatan JKM.

Ada bilik untuk anak-anak kecil siap dengan barang permainan. Ada bilik kaunseling. Cumanya, suasana di situ sunyi hening. Tidak seperti bilik ofisku yang hinggar dengan suara pekerja, mesin dan lagu latar.

3 jam aku berbual bersama En Zulkifli. Yang sebenarnya mahu memberi gambaran bahawa tujuan aku dipanggil adalah untuk melihat sendiri yang bernama waris kepada Akhmal, mendengar sendiri dari mulut aku tentang Akhmal dan mendapat maklumat kenapa dan bagaimana anak-anak remaja seperti Akhmal boleh terjebak sejauh ini.

Aku banyak berterus terang. Malah aku hampir memilih supaya pihak JKM, dalam penyediaan laporannya kepada pihak mahkamah nanti menyarankan supaya Akhmal dilanjutkan tahanannya di sana.

"Tapi kalau dia terus ditahan di sana, rekod namanya kurang baik. Kalau encik sanggup menerimanya balik 'dengan perintah', dia cuma akan dikenakan pemantauan dari JKM dan wajib mengikut program-program tajaan JKM bila diberi arahan."

Memandang jauh ke masa depan Akhmal, akhirnya aku bersetuju agar pihak JKM membuat saranan kepada pihak mahkamah di 25hb ini supaya  Akhmal di lepaskan dengan jaminan dan berHari Raya bersama keluarganya di rumah.

Aku pasrah kepada Tuhan. Bukanlah mustahil untuk dia bertukar untuk menjadi anak yang baik jika dia benar-benar mahu berubah, insyaAllah!

Selasa, 16 Ogos 2011

Lahir Tak Cukup Bulan




Along
Anak saudara aku, Fatin, baru sahaja melahirkan anak pertama setelah mengandung 7 bulan. Kecil sahaja bayinya.

Ini mengingatkan aku pada Along. Dia pun tak sabar nak tunggu cukup 9 bulan, 7 bulan sahaja dah keluar untuk melihat dunia. Air ketumban ibu_suri pecah semasa aku tiada di rumah kerana bekerja. Nasib baik adik dan adik ipar aku ada di rumah menemani. Merekalah yang uruskan.

Kerana tak cukup bulan, Along dimasukkan ke dalam ikubator. Dia pula mengalami kuning. Badannya kecil sahaja. Saiz dan beratnya setengah dari saiz dan berat Angah. Kalaulah Along lahir di bulan begini tentu aku namakan dia Ramadhan mengambil sempena bulan yang mulia dan juga nama ulama tersohor Ramadhan Al Buthi.

Namun sekarang badannya kurr... semangat. Nak belikan seluarnya di pasaraya biasa memang susah nak dapat.

Kata orang, lahir pada usia kandungan 7 bulan lebih selamat berbanding 8 bulan. Aku tak pasti pula yang itu!

Isnin, 15 Ogos 2011

Kad Raya




kad Raya kiriman Rabbani beberapa tahun lalu

Sudah masuk Ramadhan ke 15. Begitu cepat jarum jam berputar. Bloggers sudah mula menulis tentang persiapan Hari Raya. Shopping langsir dan baju Raya. Tetiba ibu_suri malam tadi bertanya tentang kad Raya.

"You rileks je. Tahun ni tak hantar kad Raya ke?"

Ntahlah. Aku dah kurang mood untuk menghantar kad Raya seperti masa aku di awal-awal 40an dulu. Lagipun saudaramara yang dulunya selalu aku kirimkan kada Raya seorang demi seorang sudah tiada lagi di dunia ini. Kalau adapun, sudah terlalu uzur dan ada yang teruk nyanyuknya.

Bagi aku rasanya untuk tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, fokusku adalah kepada amal ibadah. Kuih Raya, baju Raya dan kad Raya hanya sampingan. Raya ini persiapan aku simple sahaja. Lagipun, aku hanya tinggal berdua dengan ibu_suri. Tanggungjawapku kepada anak-anak hanya sekadar pemantauan. Tidak lagi perlu memikirkan secara berat tentang makan minum dan pakai mereka. Hatta zakat fitrah pun mereka lunaskan sendiri!

Sabtu, 13 Ogos 2011

Yang Penting Ialah SIKAP

Berbuka puasa hari ini ada CT bersama kami. Bila ada CT, anak dan cucu saudara yang lain pun bertandang sama ke rumah. Meriah juga rasanya. Tapi, kena tahan sabar la sikit dengan kerenah cucu saudara. Masih kecil dan lesek belaka. Balik mereka nanti, terpaksalah aku sapu dan lap semuanya.

Pun bagiku yang penting ialah ibu_suri. Tersunggin senyum dan tawa yang panjang. Ditambah dengan petang tadinya kami sempat ziarah Akhmal yang masih di sana. Terubat sedikit rindunya yang sudah seminggu lebih tidak berjumpa.




Agama itu persis landasan yang melorong kita tepat ke destinasi.
Aku sempat menasihati Akhmal tadi bahawa dalam hidup ini sebenarnya bukan pelajaran itu yang teramat penting. Yang penting dan paling power adalah sikap kita. Kalau sikap kita selalu positif, disenangi orang dan sentiasa mahu memajukan diri, insyaAllah dunia ini luas untuknya hidup mencari rezeki dan kehidupan. Namun jika bersikap buruk, saling menyalahkan orang lain dan leka dengan dunia sendiri; biar gaji berjuta-juta pun orang akan benci dan akhirnya terjerumus di jurang kesenangan sendiri.

"Ayah dah berusaha dan hampir keletihan menjaga kamu. Sekarang ini, semuanya terpulang kepada kamu. Jika kamu ingin berjalan di jalan yang lurus, ayah akan bantu kamu walau seburuk mana kamu sekalipun. Tetapi jika kamu masih tega dengan jalan yang bengkang bengkok, terpulanglah kepada kamu. Cuma ayah nak bagi tahu kamu, walaupun kamu hanya anak angkat ayah, ayah tak pernah jaga kamu seperti bukan anak ayah. Malahan, ayah jaga kamu lebih berhati-hati berbanding Along dan Angah."

Khamis, 11 Ogos 2011

Biarlah Mereka Belajar...


Tahun ini kali pertama aku tidak bayarkan fitrah untuk 2 anakku – Along dan Angah. Fikirku, mereka sudah cukup dewasa. Angah sudah berkahwin. Pastinya tanggungjawap dia pula membayar fitrah untuk diri dan isterinya - Ayu. Along pula sekarang ini sedang menjalani OJT ( On Job Training ) di IT Support, bahagian pentadbiran KLMU dan mendapat elaun bulanan.

Terasa ringan pula bahuku. Walhal bukan banyak manapun kalau aku yang melunaskan fitrah mereka. Mungkin terasa ringan itu bukan sangat dinilai dari sudut keluarnya wang.  Tetapi kerana berkurangnya beban dari tanggungjawap sebagai ayah.

Waktu yang paling afdhal melunaskan zakat fitrah ialah sebelum berdirinya Solat Sunat Hari Raya. Waktu wajib mebayar pula ialah pabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari 1 Syawal.

Waktu sunat pula ialah di sepanjang bulan Ramadhan. Selalunya aku mengambil waktu ini untuk membayar zakat fitrah keluarga supaya tidak lupa kalau berlengah-lengah.

Kalau selepas solat sunat hari raya baru nak bayar jatuh makruh pula. Lagi teruk kalau lepas terbenam matahari satu Syawal. Dah jadi haram pula.

Aku mula membayar sendiri zakat fitrah diri ketika berumur 22 tahun. Maka di umur anak-anakku sekarang, memang selayaknya mereka memikul sendiri tanggunjawap ini. Biarlah mereka belajar sebagaimana aku dulu diajar oleh abah!

Isnin, 8 Ogos 2011

Setelah Kenyang

BW pagi ini menemukan aku kepada banyak blog yang bercerita tentang menu berbuka puasa. Ada yang siang-siang lagi merancang untuk membeli di Bazar Ramadhan. Tidak kurang yang memasak sendiri dengan 2-3 resipi yang anggun. Alhamdulillah, waimma cara sekalipun, begitulah rezeki yang Allah tentukan buat hari ini. Syukran!

Ini mengingatkan aku pada kelmarin. Perbualan aku bersama rakan sekerja sementara menunggu masuknya waktu Zohor.

"Apa tujuan kita berpuasa?"

"Untuk sama-sama merasa bagaimana kesusahan orang miskin yang kekadang tiada wang untuk membeli makanan."

"Tapi perasan tak orang kita. Bila berbuka saja penuh makanan di meja. Kekadang, dapat jemputan buffet pulak di hotel. Adakah orang miskin pernah mempunyai harapan untuk hidangan semacam tu? Kemana perginya tujuan asal berpuasa kalau angan-angan kita nanti untuk berbuka dengan bermacam kuih dan lauk? Orang miskin mana merasa yang macam tu."

Ya tak ya juga. Kemudian, selepas kekenyangan dengan pesta hidangan, mata mula rasa mengantuk. Akhirnya, ketika bersolat terawih pun boleh tersengguk.

Sebenarnya, kekenyangan adalah antara 10 faktor yang boleh menumpulkan minda.

Ahad, 7 Ogos 2011

Sahur Kesaorangan

Baru selesai masak lauk untuk sahur nanti. Idea masak lauk kali ini datangnya dari resepi blogger Mama Moden di FaceBook. Memang lauk kegemaran ibu_suri semenjak 2 menjak ni ialah gulai ikan sardin. Ini dah masuk 3 kali selama 7 hari berpuasa.

Entah apalah rasanya. Aku masak cincai aje. Ala koboi. Esok pagi selalunya aku bangun jam 5. Sempat perangat nasi dan goreng telor separuh masak. Makan berdua dengan ibu_suri bagi aku lebih mudah, tenang dan santai. Tak bergelut semacammana anak-anak masih bersekolah dulu. Nak bangunkan mereka saja jenuh ulang alik ke bilik. Nasib tak baik, komplen pulak sebab lauk yang aku hidangkan tidak menyelerakan. Aku pun naik cemus nak sediakan. Balik-balik ayam..ayam..ayam...

Tak seperti ibu_suri yang setiap kali berbuka dan sahur akan selalu menyebut nama anak-anaknya. Hinggakan aku dah tak ada idea nak memberi jawapan yang bagaimana. Beginilah agaknya perasaan makku dikampung. Yang mempunyai 8 orang anak tetapi di hujung usia, sahurnya kesaorangan adanya...

Sabtu, 6 Ogos 2011

Terkanja!

Terkanja juga aku bila pergi ke sini aku diberitahu bahawa Akhmal tidak ada. Dia berkemungkinan masih berada di sana kerana urusannya belum selesai.

"Lain kali talipon tanya dulu, encik. Kan menyusahkan bila begini." ulas pegawai wanita yang menjaga kaunter.

"Manalah saya tau prosedur begini, cik. Sepatutnya pihak cik lah yang beritahu saya, orang awam. Takpalah! Terima kasih banyak-banyak. cik!"

Aku tak mahu panjangkan cerita. Aku bimbang ibu_suri akan buat kecoh. Jadinya, aku beredar cepat-cepat. Agak kecewa juga aku. Sejam perjalanan dengan kos tol dan minyak serta berasak-asak dengan trafik, aleh-aleh gagal mempertemukan Akhmal dengan ibu_suri yang saban hari menangis rindukan Akhmal.

Aku pun menalipon pihak di sana. Memang Akhmal masih di'simpan' sementara proses pemulangannya selesai.

"Encik jangan bimbang. Dia selamat di sini. Kami sentiasa menjaganya dengan baik. Encik jangan ragu-ragu dengan perkhidmatan kami."

Pelik juga aku dengan jawapan panjang lebar pegawai polis yang bertugas menjaga sel. Aku cuma bertanya samada Akhmal berada di sana sahaja. Tidak terniat pun untuk mempertikaikan kredibiliti mereka dalam menjaga kebajikan tahanan. Aku tersenyum sendirian!

Jumaat, 5 Ogos 2011

Gear 3

Aku beli 2 jenis lauk sahaja di kafetaria tempat kerja. Angah balik lewat kerana OT. Rancangku sampai di rumah sekitar 7, masih sempat untuk tanak nasi, hidang dan berbuka ber2 dengan ibu_suri.

Tapi hari Jumaat memang standard dah. Trafik di jambatan Pulau Pinang kalau hari biasapun jem teruk. Tambah lagilah di bulan puasa kerana pekerja balik serentak untuk berbuka.

"Huu.. Terasa jemu dan lambatlah balik hari ni!" getus aku pada blogger JH yang banyak kali terpaksa menekan brek.

Tup!tup!.. dah masuk hari ke5 puasa kita. Cepat sungguh jarum jam berputar. Minggu depan akan berakhir 1/3 Ramadhan yakni fasa Rahmat. Gear amalan sepatutnya hampir memasuki gear 3. Berbahagialah bagi mereka yang konsisten dengan Terawih, Tadarus, Tahajjud dan Sedekah. Tapi bukanlah noktah bagi mereka yang masih merangkak.

"Kenapa you lambat balik. Dah nak berbuka ni.." tegur ibu_suri. Aku bergegas mencapai periuk dan menuang 3 pot beras ke dalam periuk. Aku bilas 3 kali barulah menyukat air lebih sedikit dan menanak. 10 minit lagi masaklah tu, bisik hatiku.

Dalam masa menyediakan pinggan, mangkuk dan gelas air, aku berfikir pula untuk lauk sahur nanti.

Aku teringat perbualan aku dengan kawanku yang mengalami ketumbuhan lemak dalam jantung. Setiap insan itu diuji Allah berdasarkan kemampuan masing-masing. Aku diuji dengan masalah kesihatan ibu_suri. Itupun aku kira lebih bernasib baik berbanding dia yang diuji Allah hatta untuk berjalan beberapa meter pun sudah tercungap.

Khamis, 4 Ogos 2011

Tangguh

Sewaktu aku solat Dhuha di surau tempat kerja tadi, beberapa kali Angah menalipon. Dia tidak biasa ke mahkamah. Tak tahu nak mula dari mana untuk mencari di mana Akhmal dibicarakan. Aku tak dapat pergi kerana standby untuk audit SIRIM di ofis aku.

"Setahu ayah di Mahkamah II. Cuba tanya kat kaunter sebelah kanan. Di sebelah kiri kaunter bayaran ikat jamin"

Tak lama kemudian talipon aku berbunyi dari nombor tak bernama.

"Ayah! Ayah kat mana?" itu suara Akhmal.

"Tempat kerja!"

"Aaa... Ayah tak payah mai la. Kes Angah tangguh sampai 25hb."

"Ada kat mana ni?"

"Dalam sel bawah Mahkamah II."

Rupanya laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada mahkamah belum siap. Mereka cuba hendak menolong Akhmal dalam kes ini.

Sesekali aku terfikir. Tindakan aku mendaftarkan Akhmal kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejurus sahaja aku mendapat pengesahan dari Pusat Didikan Disleksia Taman Titiwangsa agak tepat. Banyak kes yang berlaku terhadap Akhmal ditolong oleh Jabatan Kebajikan. Tapi sampai bila? Nasib tidak selalunya akan baik.

Aku menghadapi ujian seperti ini sejak sudah lama. Jadinya, aku sudah dapat meyerap keresahan dan kebimbangan ini. Dan boleh bersikap tenang hingga tiada sesiapa pun di surau itu tahu sebenarnya aku sedang memikirkan tentang Akhmal yang sepatutnya menghadapi pertuduhan dan hukuman.

Nampaknya Akhmal terpaksalah melalui hari-hari Ramadhan di sana semula.

Selasa, 2 Ogos 2011

Ramadhan...2

Sebenarnyalah, gear 1 Ramadhanku kali ini sedikit hambar. Walaupun di hari pertama dan hari kedua ini aku tidak terasa letih,namun seperti merasakan serabut dan perlahan sahaja perjalanan ke hadapan. Tidak lancar.

Aku rindu hendak berterawih di masjid tapi keadaan ibu_suri membuatkan aku benamkan saja hasrat itu. Bila aku beritahu yang Khamis ini aku tidak boleh nak hadir ke mahkamah untuk mengikuti perkembangan kes Akhmal, airmata ibu_suri sudah berjurai.

"Takpa. Angah nanti ambil cuti tengok dia." Angah cuba memujuk.

"Ibu rindu kat dia.." dan menangis teresak...

Aku pun terasa amat rindu kepada mak. Namun tidak nampak ruang untuk balik. Balik Angah ke kampung Ahad lepas memberitahu bahawa Adik aku di Shah Alam ada balik. Mereka yang lain juga ramai yang pulang bila dapat tahu Mak Yang aku meninggal 2 minggu lalu. Cuma aku sahaja yang tidak sampai.

Aku masih mengharapkan agar sempat melihat, memeluk dan mendengar suara mak yang begitu besar pengorbanannya mengasuh kami adik beradik terutama ketika abah dengan tiba-tiba mengidap skizofrenia.

Ramadhan ini mengingatkan aku pada kampunglaman. Lebih-lebih lagi bila terdengar lagu-lagu NadMurni di corong Sinar FM sewaktu balik dari kerja bersama blogger JH.