Memaparkan catatan dengan label saudara mara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label saudara mara. Papar semua catatan

Ahad, 5 Jun 2016

Sebelum Ramadhan...


Sebelum semalam, aku menghantar abah mertua ke hospital untuk pemeriksaan ultrasound ginjal. Ramai pulak kat sana. Menunggu parkir kosong teramatlah lama. Kesian abah menunggu. Sabar sahaja dia...

Apa rumusan pemeriksaan itu, tidaklah aku tahu. Tulisan staff yang memeriksan di borang... macam cacing. Tak reti lah aku membacanya.

Tapi biasalah abah... bila ditanya:

'Buah pinggang abah ok jer... Cuma doktor kata tak boleh minum ayaq banyak-banyak... Alaa... buah pinggang dah tua...'

Setelah selesai urusan abah, aku balik semula ke rumah dengan ibu_suri. Tak menunggu hingga malam seperti selalunya. Letih menguruskan majlis pertunangan anak Matun aritu masih belum habis.

Semalam pula, aku hadiri majlis walimah anak sepupuku - Lina di Kampung Setul bersebelah Mydin. Lebih kurang setengah jam memandu dari rumah. Agak setengah hari juga aku bersama mereka samada di rumah kenduri maupun di homestay mereka di Taman Pauh Jaya.

Diusia begini dah tiba giliran aku untuk selalu meraikan jemputan yang datang. Tidak boleh lagi seperti dulu. Selalu mengatakan sibuk dengan kerja atau urusan anak isteri sebagai alasan untuk tidak hadir.

Untungnya, sepupu-sepupuku semua amat menghormati aku sebagai saudara yang tua. Aku juga menghormati mereka. Segala kisah kelabu semasa kami masih anak-anak kami lupakan. Itu semua telah berlalu...

Muga Allah ampunkan semua dosa-dosa kami yang telah lalu. Sementelah Ramadhan pun tak lama lagi!

Sabtu, 30 April 2016

Mak Co


Tidur tadi aku bermimpikan Mak Co - satu-satunya mak saudara yang aku membesar dengan air susunya.

Mak Co adalah kakak ipar kepada abah. Tinggal tak jauh dari juga dari rumahku di kampung. Anaknya yang sulong - Jama adalah sebaya dengan aku dan kawan sepermainan yang akrab bersama Kulop dan Din. 

Mak Co lemah lembut orangnya. Asal dari Simpang Pulai. Aku selalu bermain dan tidur di rumahnya

Satu masa di bulan puasa, aku masih ingat. Aku pernah tertidur lama (kata mereka, aku pengsan) setelah balik dari mengambil kanji di masjid,

Semasa pemergiannya menemui Pencipta tatkala umurnya sekitar 75 tahun, Syawal tahun lepas, aku tak dapat pergi kerana masih kurang sihat akibat serangan Denggi. Tak boleh duduk lama jauh sekali untuk memandu.

Aku doakan muga beliau aman di 'sana'. Kenangan semasa kecil bersamanya sebenarnya dah banyak aku terlupa...

Sabtu, 15 November 2014

Mereka Tidak Tahu


Aku singgah  di rumah kakak ipar semalam melihat cucuku yang diasuhnya. Ketika ruang kosong yang ada, biras aku datang merapatkan kerusi ke sisi dan bercerita tentang bebanan yang dia tanggung selama 3 tahun isterinya itu mengidap mild stroke.

Aku dengar dengan senyum didalam hati. Kesemua yang diceritakannya itu bagi aku masih ringan berbanding apa yang telah aku tempuh dan tanggung selama lebih 7 tahun menjaga ibu_suri.

Memang betul kata-kata birasku itu. Orang lain takkan faham dengan apa yang kami berdua alami. Orang lain akan melihat isteri kami seperti ok sahaja. Sihat sahaja. Tidak ada apa masaalah yang dilihat.

Namun apa yang berlaku setelah mereka pulang itulah yang mereka tidak tahu. Kepayahan menjaga pengidap stroke yang mempunyai emosi tidak menentu ini membuatkan kami berdua selalu stress.

Aku selalunya mengalami kesakitan pada otot seperti di cucuk-cucuk, birasku pula mengalami ketat di dada (pengidap lelah). Kalau aku bila stress, akan tidur, birasku pula bila stress akan membakar rokok.

Yang sama terhadap kami berdua ialah... bila stress, kami akan curi-curi peluang - kalau aku memandu kereta sendirian, dia pula menunggang motor minum di mana-mana kopitiam.

Bukan saja orang lain tidak akan tahu malah anak-anak sendiri juga, mungkin tahu tapi tak merasai seperti apa yang kami rasai.

Namun begitu masih beruntung sebab aku ada Angah untuk sesekali meluahkan apa yang berbuku di hati. birasku pula ada anak perempuannya untuk mengadu.

Aku teringat adikku - Duyah yang menjaga mak di kampung - lumpuh sebelah kiri. Dan juga mak kepada sahabatku yang menjaga adik perempuannya di kampung yang juga dirujuk ke Unit Psikiatrik seperti ibu_suri. Tentu mereka juga menanggung  stress sama seperti kami. 

Sabar... itulah perkataan yang selalunya diungkapkan ke telinga kami. Dan kami tidak pula menafikannya!

Rabu, 17 September 2014

Pak Long

Tak tahu apa dah jadi dengan blog aku ni. Layoutnya berselerak. Tak boleh baca komen apatah lagi nak balas. Humm.. tak ngapalah... Senang-senang nanti aku belek-belek lah dia... 

Nak sambung citer yang aku tulis semalam di sini.

Jumaat yakni hari ke 3 selepas pemergian Niza. Tatkala aku memandu Viva aku balik dari solat Jumaat di Masjid Al Khairiah kampungku, aku terima sms dari adik iparku Yati memaklumkan bahawa bapa saudara ibu_suri pula meninggal dunia pada pagi itu. Pak Long adalah ipar kepada mak ibu_suri.

Berhenti kereta sekejap di pinggir jalan... berfikir. Nampaknya rancangan aku untuk balik esok terpaksa dibatalkan. Aku mesti segera balik walaupun peluang untuk melihat jenazah Pak Long memang tipis kerana kata Yati jenazah akan dikebumi selepas solat Asar hari itu juga.

Soalnya, bagaimana nak bagitau mak yang aku terpaksa bergegas balik? Tentunya yang masaalah bukan mak tapi ibu_suri yang memang lazimnya akan duduk di bilik mak setiap masa pasti akan mendengar pemberitahuan aku kelak.

"Tak pa, ayah... Ayah keluar dulu. Nanti bila Ayah dah keluar, Angah bagitau Opah..."

Orait juga cadangan tu, fikirku. Tapi ibu_suri tetap dapat mencium kelainan keputusan aku untuk balik dengan tergesa-gesa walaupun aku cuba ambil masa untuk mengemas beg dan berjumpa adik-adik serta anak-anak Niza meninggal pesan dan nasihat.

Setiap soalan ibu_suri semasa di kereta aku cuba elak dari menyentuh kenapa mesti balik awal. Aku cuma akan beritahu dia bila sudah sampai di Taiping.

"Ibu dah tahu ke ayah...?" bilamana aku menalipon Angah tatkala berada di Hentian Sungai Bakap untuk melonggarkan urat-urat paha.

"Haahh... No problem... ibu ok..." jawapku ringkas. Tak boleh cakap lebih-lebih. Bimbang nanti ibu_suri dengar dan.... tok..tek...tok..tek...

Sesampai saja di Sungai Ara, rumah Pak Long.. jam dah memasuki waktu maghrib. Tak ngapa sebab aku boleh jama' kat rumah mertua di Taman Buah Pala.

Memang berbeza dari sebelum-sebelum ini, ibu_suri agak cool. Agaknya ubat yang ibu makan setiap 2 kali sehari dan penjagaan emosinya buat ibu_suri mudah diurus walaupun dalam situasi airmata.

Sekalipun terasa amat letih dan sakit-sakit pada anak anjing kakiku yang mungkin akibat dari terlalu banyak berdiri dan berjalan semasa urus jenazah Niza, aku singgah juga di rumah mak. Namun... aduhh...

"Yati pergi KL. Ada kenduri kahwin. Mak dengan abah tinggal berdua aja...." keluh mak.

Aku faham. Itu maknanya tiada siapa yang akan urus atau teman mertua aku yang sudah tua mencecah umur 80an selama 3 hari.

Jika campur 3 hari itu nanti cukup seminggu aku akan abaikan rumah dan Akhmal. 

Ya... Akhmal yang masa aku kalut dengan jenazah Niza, jiran beritahu yang dia pula ditangkap oleh polis yang membuat tangkapan rambang kerana ada kes kecurian motor di taman aku.

Rabu, 4 Januari 2012

Ujian Untuk HambaNya

jangan cepat surender pada ujian

Hari-hari yang baru lalu adalah musim ujian yang bertimpa-timpa buat keluargaku di kampung.

Niza baru saja menjalani pembedahan bengkak di usus besar oleh doktor pakar Hospital Tuanku Bainun, Ipoh. Masih sakit, katanya semasa aku menalipon semalam. Rupanya, bukan satu bengkak yang ditemui. Sebaliknya ada lagi bengkak di usus kecil, ovari dan di hati. Gayat juga aku bila mengetahuinya. Entah dimana silapnya. Mungkin pemakanan?

Beberapa hari sebelum semalam, adik lelakiku pula kemalangan kereta. Dia menalipon aku nak buat bagaimana. Aku tahu dia dalam panik. Aku menyejukkan dia dengan memberi tips. Alhamdulillah, semalam katanya kereta dia sudah pun dihantar ke bengkel yang disaran oleh insurans Takaful Malaysia. Adik lelakiku ini adalah seorang Tabligh. Dia banyak membantu keluargaku dan keluarga adik-adikku yang lain.

Kemudian pula aku dapat tahu iparku yang tinggal di Lahat juga kemalangan. Motosikalnya dilanggar oleh sebuah kereta yang terbabas kerana mengelak motosikal lain yang ditunggang oleh seorang remaja. Iparku ini patah tulang bahunya dan mengalami 7 jahitan di kepala.

Aku berbisik kepada diriku sendiri bahawa inilah antara ujian yang perlu kita hadapi sesabar dan setenang mungkin. Lain orang lain bentuk ujiannya. Aku telah pun mengharungi ujian yang getir sebelum ini dan memperakui bahawa kekuatan dalam diri adalah tangkal paling penting. Usah diharap sangat pertolongan dari orang lain kecualilah Allah.

Ujian dari Allah adalah untuk meningkatkan taqwa hamba-hambaNya yang tabah. Aku bersyukur kerana aku boleh dikatakan mampu bertahan dengan ujian-ujian yang lepas. Harap adik-adikku juga begitu. Ameen….

Selasa, 27 Disember 2011

Kolonoskopik


Apa yang diidapi oleh Niza semalam di sini hanyalah bengkak di usus besar. Pemeriksaan cara kolonoskopik akhirnya menjawab teka teki punca Niza selalu muntah dan cirit birit hingga menyusutkan badannya dengan ketara.

Aku sampai ke Ipoh Specialist Centre jam 8 malam selepas singgah dulu di Hospital Tuanku Bainun untuk ziarah mak saudara yang terlantar selama 3 minggu di wad 1C akibat kencing manis. Tampak airmata Niza yang mengalir sewaktu berbual dengan aku. Tak pasti samada kerana terharu atau menahan sakit Anak remajanya yang  bernama Manis setia menjaga Niza sejak dari pagi.

Aku terus memberinya dorongan dengan memberitahu bahawa 3 perkara penting yang perlu dia jadikan obor dalam menghadapi situasi perit ini;

1. Menerima hakikat bahawa ini ujian dari Allah.
2. Sabarlah dengan ujian ini kerana mahu tidak mahu dia mesti hadapi.
3. Bersikap terbuka dengan apa yang diterima kerana dia masih beruntung berbanding orang lain yang lebih malang dari dia.

"Yop boleh cakap pada kamu begini sebab Yop dah lalui semua ini. Percayalah pada Yop, apa yang penting sekarang ialah kekuatan minda. Orang yang hebat ialah orang yang boleh lalui semua ini."

Selepas ziarah Niza, aku ke kampung ziarah mak. Adik-adik aku sepakat untuk membantu Niza membayar kos pemeriksaan di PSC yang dijangka mencecah RM2k. Dan Niza dinasihatkan untuk menjalani pembedahan di Hospital Besar Tuanku Bainun sahaja yang kosnya mungkin lebih rendah.

Isnin, 26 Disember 2011

Niza di ISC

Niza - berdiri di sebelah kiri mak

Malam tadi lagi adik perempuanku yang ke2 megirim sms bahawa dia berada di wad Ipoh Specialist Centre. Sebaik selesai  riadah di Tasek Mengkuang, aku singgah ke kedai penghawadingin untuk sevis. Menalipon suaminya - Din, baru aku tahu rupanya dia mengalami ketumbuhan dalam usus besar. Beberapa hari dia sakit perut dan apa yang dimakan akan keluar semula.

Niza adalah adik aku yang menjadi sandaran kuat untuk apa sahaja aktiviti dalam keluarga terutama bila kenduri kendara. Kerjayanya sebagai penjawat KEMAS dan aktif dalam UMNO membuatnya dikenali, bijak berinteraksi dan berketrampilan. Ada sikit-sikit mengikut jejak langkah mak aku yang juga semasa sihatnya dulu aktif dalam UMNO dan menjadi tempat rujukan jika ada masalah di kalangan jiran. 

Aku fikir, aku perlu balik untuk ziarah dia. Ini perlu sebagai sokongan moral kepada dia yang pasti terkapa-kapa dalam ruang yang tidak pernah terfikir olehnya untuk dilalui. Pasti dia terasa kesaorangan, bimbang dan tidak nampak destinasi. Aku tahu kerana aku pernah lalui itu semua.

Sampai di rumah, ibu_suri masih tidur. Untuk membangun dan memberitahunya akan hasrat untuk balik, satu hal pula. Sedari dulu Niza dan ibu_suri memang tidak serasi kerana berlainan bendera politik. Namun bagi aku, dalam keluarga mesti tidak ada sentimen perbezaan fahaman. Buang itu jauh-jauh. Dalam keluarga mesti mengutamakan pertalian darah. Berdosa jika melayan sensitiviti itu berbanding usaha menyatukan kekeluargaan.

Rabu, 14 Disember 2011

Opah vs cucu

 

Mak talipon aku 2 hari sudah. Ceria suaranya bertanyakan khabar aku. Tentu saja aku jawap… sihat! Dan lagi, dia  bertanya betul ke hasrat Angah nak buat majlis naik buai anak dia di kampung?

"Elok juga kalau kita sekalikan dengan majlis kahwin Kida. Pagi tu anak Angah naik buai buat dengan marhaban, ya!”

Angah pernah bertanyakan pada aku sebelum ini dan aku terangkan pada dia;

“Aqiqah, cukur rambut dan beri nama yang baik-baik pada hari ke 7 itu sunnah. Naik buai ni cuma adat. Utamakan sunnah. Kemudian baru fikir pasal adat. Adat ini lebih kepada hendak bergembira disamping berhimpun sesama keluarga, itu jer...”

Tapi bila sesekali fikir bagus juga jika dapat menyemarakkan semula majlis naik buai dengan iringan marhaban. Bukannya sesuatu yang lagha'.

Dapat aku bayangkan betapa meriahnya nanti penyatuan majlis cicit mak yang sulong dengan walimah Kida, anak mak yang bongsu. Atau dengan kata lain, pagi majlis naik buai untuk cucu dan tengahari majlis naik pelamin untuk opah su.

Ayu - Isteri Angah, dijangka melahirkan anak sulong pada bulan 2. Kida pula dijangka melansungkan perkahwinan pada bulan 3.

Kalau arwah abah masih ada tentu lebih meriah. Abahlah nanti yang akan sibuk dengan kamera dan pasang sound system.

Ahad, 2 Oktober 2011

Doa Ini, Jika Ikhlas ...

Semasa aku dalam perjalanan balik ke kampung Khamis lalu, ibu_suri memberi amaran kepada aku supaya bila pergi ke Slim River nanti, tidak ada siapa dari adik-adikku yang menumpang kereta kami. Dia lebih senang berkereta berdua dengan aku sahaja. Aku hanya mengangguk. Hendak menidakkan pun rasanya ini bukan masa yang terbaik.

Tiba di kampung jam 4 pagi. Terus membentang toto dan tidur. Bila jam berbunyi sekitar 6.45 pagi, aku terus ambil wudhuk dan solat di atas rumah. Sambil itu aku sempat mendengar mak menalipon adik perempuan aku, Matun, yang tinggal di Lahat.

"Kamu nak pergi ke, Matun? Yop ada balik ni. Boleh le tumpang dia. Ada 2 tempat duduk kosong," tanpa sedikit pun berbincang dengan aku.

Aduh... Berdetak jantung aku dibuatnya. Aku terus membentang sejadah dan tunaikan Subuh. Di sujud terakhir aku berdoa panjang muga-muga Tuhan berikan aku jalan penyelesaian terbaik antara kehendak ibu_suri dan kehendak mak. Aku benar-benar tersepit. Tidak mahu menghampakan kedua-duanya. Tapi tidak mampu pula menolak salah satu darinya. Di luah mati mak, di telan mati bapa nih!

Termenung aku memikirkannya. Manakah yang lebih ringan mudharatnya? Tolak permintaan mak atau menidakkan kehendak ibu_suri yang separa normal ini? Umpama menarik rambut dari tepung. Rambut jangan putus. Tepung jangan tumpah.

Sewaktu mengemas kereta dan memasukkan beg utnuk bertolak ke Slim River, jam 8 pagi; tiba-tiba adik perempuanku, Niza datang.

"Yop naik kereta Ja ler... Ja tak berani naik sorang-sorang. Fobia masa eksiden hari tu tak habis lagi ni. Kalau Yop ada teman Ja, ok sikit le Ja bawa kereta. Yong sekali lerr.. Kita naik 4 orang dengan Matun."

Hah, Tuhan seperti menghantar satu peluang yang baik. Aku memujuk ibu_suri agar menumpang kereta Niza dengan alasan menemani dia, jimat petrol dan tol serta aku dapat berihat sebab kepala pun masih sakit.

Aku selalu percaya bahawa Tuhan memang tidak akan menyiakan doa orang yang ikhlas. Kalian juga mesti percaya!

Sabtu, 1 Oktober 2011

Bila Dunia Seperti Tidak Bermakna

Kepala aku masih sakit. Antara mau demam dengan tidak. Sengsaranya hidup ini bilamana diri menjadi serba tidak kena. Hanya sabar yang aku ada. Kerdilnya diri ini. Baru sakit kepala, dunia seperti tidak bermakna apa-apa. Nak buka mulut untuk masukkan makanan pun sakit. Nak sujud sembahyang apatah lagi. Ketawa pun malas.

Hari Rabu lalu aku pergi cabut gigi. Aku agak mungkin sakit gigi menyebabkan sakit kepala juga. Malamnya aku mendapat khabar Cik Lan, adik kepada mak aku meninggal dunia di Hospital Slim River kerana paru-paru berair. Bergegas balik kampung di Ipoh dengan harapan bolehlah nanti berkonvoi dengan mak untuk terus ke Kampung Pasir, Slim Village. Cik Lan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Piong. Sudah lama aku tidak ke sini. Bekas titi gantung tempat aku bermain dulu masih ada ketika melintasi Sungai Geletin yang kini sudah tidak sejernih dulu.

Balik dari kampung ibu_suri beria-ia mahu singgah di Sungai Perak, Kuala Kangsar kerana hendak mencari kuih putu kacang. Mana nak jumpa kalau udah malam. Hujan pula terlalu lebat. Aku tidak mahu membantah kehendak ibu_suri kerana aku perlukan dia tenang dan tidak marah-marah agar aku boleh memandu dengan selesa ke Pulau Pinang dalam kesakitan kepala yang bagai nak cabut dan buang ini.

Terpaksa berhujan pula untuk membimbing ibu_suri ke kedai makan. Mahu sangat Yong Tau Fu. Dan di sepanjang jalan balik, ibu_suri tidak habis-habis memberi komen tentang adik beradikku di sepanjang jalan hingga ke rumah.

Aku anggap ibu_suri itu separa normal. Jadi, kata-katanya itu aku masukkan ke telinga kiri dan keluarkan ke telinga kanan. Cuma sebagai manusia biasa, ada juga yang singgah di jiwa.

Hurmm... Masih sakit kepala. Hari ini adalah hari ke 4 aku telan Panadol.

Sabtu, 28 Mei 2011

Alangkah Indahnya Zaman Itu!

Entah kenapa hatiku berdebar-debar sejak semalam. Hendak menulis pun persis dipaksa-paksa. Memang begitu selalunya aku ini. Sesekali, permasaalahan yang datang adalah sekaligus dan terasa seperti timpa-menimpa. Ada yang perlu aku selesaikan segera. Ada yang aku kira masa juga yang akan menentukannya.

Aku tahu bahawa tenang, sabar dan doa adalah kata kunci untuk menempuhinya. Terasa diri amat kesaorang ketika ini. Ufffsss......

Semalam aku menerima emel dari adikku di Shah Alam. Tiba-tiba teringat abah, katanya. Aku minta izin untuk rakamkan tulisannya itu ke blog SRI MERSING, blog yang khusus aku buatkan untuk keluargaku. SRI MERSING adalah nama yang aku ambil sempena lagu kegemaran abah. Abah selalu menyanyikan lagu ini jika ada jemputan di majlis kenduri kahwin. Dulu, kalau kenduri takada kugiran, tak sempoi la. Kalau tak salah, populariti kumpulan The Zurah juga berasal dari aktiviti di majlis kenduri kahwin begini.

foto sekeluaarga sekitar 70an..
Abah aku memang seorang yang biasa sahaja. Kerja dengan Majlis Bandaran Ipoh. Bila petang, dia mencari duit tambah dengan memesin rumput di rumah Cina di sekitar Taman Ipoh atau Taman Canning. Pada dia, kalau duit tinggal RM50 dalam kocek, kira dah tak ada duit lah tu. Mesti cepat-cepat cari duit tambahan lain. Dengan kerja yang begitulah dia boleh menyara kami 9 beradik. Tidak seperti aku, anaknya yang sulong ini. Duit dalam kocek tinggal habuk pun boleh rileks lagi.

Betapa indahnya jika dapat kembali hidup di zaman itu. Zaman mandi di sungai, menoreh getah dan mendulang bijih timah!

Sabtu, 7 Mei 2011

Selamat Hari Ibu, Mak!

Aku perasan, Hari Ibu disambut lebih meriah berbanding Hari Bapa. Dan aku pun tak kisah kalau keluargaku tidak menyambut Hari Bapa sepertimana mereka menyambut Hari Ibu dengan membelikan kek seperti sebelum ini.

Selalunya bila aku berjumpa atau menalipon mak, aku akan cium tangan mak dan dakap susuk tubuhnya yang semakin kering. Mak seperti selalu akan bertanya; 

Mak ketika masih kuat selalu ambil tempahan jahit baju dan buat kuih tradisional
"Ape kabo kamu?"

Dan jawapan aku pun standard je. Baik masa tengah hujung bulan, baik tengah serabut dengan odit, baik tengan tension dengan hal-hal keluarga maupun ketika sakit yang orang luar tidak nampak; aku akan jawap; 

"Baik khabar, mak?"

Bagi aku mak adalah orang paling akhir untuk aku mengadu susah. Mak adalah orang terakhir untuk aku melampias keluh kesah. Cukuplah untuk aku membebankan perasaan mak sebelum ini. Mak sudah cukup tua untuk memikirkan puah-paih kehidupan anak-anaknya. Berilah peluang untuk mak berihat. Perjalanan meniti hari-hari tuanya ke satu takdir yang cuma Allah yang mengetahui sudah cukup mendebarkan buat mak. Sepatutnya kitalah yang kini selalu memberi khabar gembira kepadanya. Melontarkan kata-kata yang lembut dan baik ke telinganya. Bertanya khabar dan kesihatannya selalu. Dan melemparkan senyuman manis dan ketawa yang hormat kepadanya.

Berilah mak kita peluang untuk menghirup udara yang bersih dan persekitaran yang kondusif. Sesungguhnya sudah puluhan tahun mak bergelumang dengan jerih perih menungkah badai kehidupan. Letih dan lelah mak jelas terlihat di kulit dan gigi mak.

Mak yang tetap akan datang meraikan apa saja majlis kelolaan anak-anaknya walau dimana pun diadakan sekalipun dengan kepayahan berkerusi roda.

Cukuplah setakat itu buat mak. Biarlah hari ini kita berdikari mengharungi erti hidup ini. Ucaplah Selamat Hari Ibu buat mak. Walaupun sekadar ucapan, aku pasti mak sudah pasti gembira seperti juga aku gembira bilamana melihat ibu_suri dan anak-anak ketawa.

Apa-apapun, esok aku akan balik kampung jumpa mak. Secara kebetulan lansung nak pulangkan semula bekas hantaran kepada adik sekaligus mengedarkan kad jemputan kahwin Angah.

Aku cuma ada mak sahaja. Abah sudah tiada. Masa yang tinggal sedikit ini aku akan guna sebaiknya untuk mak. Aku tidak mahu lagi berasa sesal sepertimana kelalaian aku selalu menziarahi abah di kala aku tengah kalut-malut berdepan dengan ketidakbiasaanku berhadapan dengan kondisi ibu_suri yang mengalami bipolar dis-order akibat angin ahmar! Terkesan aku dengan tulisan blogger SUDAIS bila melawatinya di sini tadi.

Ahad, 27 Mac 2011

Tekanan

Bagaimana agaknya sikap kalian bila berada dalam tekanan yang memuncak?

IM hadiri satu majlis perkahwinan semalam. Bukan orang lain, saudara ibu_suri. Kira saudara IM jugalah. Majlis dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Tu pun, kira ratus orang juga yang datang. 

Penang memang musim hujan yang tak menentu. Semalam, hujan sedari pagi hingga petang. Urusan menyiapkan khemah kenduri jadi serba basah. Lauk pauk yang di amanahkan kepada orang lain untuk memasak masih belum sampai. Majlis tahlil yang bermula jam 11.30 sudah berakhir. Bila dijemput mereka ke meja untuk jamuan, cuma yang ada lauk pauk. Nasi?

Ketika itu aku sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena. Aku terus ambil inisiatif mengelola hidangan meja. Mujur ada nasi rupanya. Masih panas. Hmmm.... Aku mengaut nasi dan isi ke dalam pinggan demi pinggan. Bila nasi di situ habis aku memberitahu tuan rumah.... nasi dah habis!

Tuan rumah masuk ke dapur dan bertanya isterinya... Mana XXXX tak sampai lagi ni. Dok  'on the way' dari tadi?

"Tak tahulah bang....Hujan macam ni lambat sikit kut. Sabaq la..."

"Aku dah agak dah.... aku dah agak dah...." suaranya tinggi sambil menepuk dahi dan terus tumbang!

Kelam labut aku dan beberapa orang menguruskan dia.

"Abang memang macam tu. Bukan boleh tertekan sikit...!"

Masa majlis perkahwinan anaknya lelakinya tahun lalu juga begitu. Dia tumbang lansung terhantuk ke mesin basuh. Terpaksa digegaskan ke hospital kerana mulut berbuih. Aku ambil alih tugasan sebagai tuan rumah untuk menyambut tetamu yang datang.

Jumaat, 31 Disember 2010

Tanda Sayang

Semalam aku balik kampung. Tengok mak lansung uruskan majlis merisik adik yang lebih mesra digelar Mak Su. Dah besar rupanya adik aku ini.. Akan dipinang orang. Malah tak sangka juga, bakal jadi inspektor polis rupanya. Tak sangka aku, dalam keluarga besarku ini ada juga yang akan memasuki bidang anggota beruniform. Tumpang bangga!

Mak Su

Mujur ibu_suri agak mudah diurus. Itupun segala keperluannya aku dahulukan baru uruskan hal lain. Mandikan dia, pakaikan baju, sisirkan rambut, beri makan ubat.

Semua hampir semua adik-adikku balik samada dari Selatan maupun utara.

 "Ini adik kita yang terakhir. Yop kalau boleh nak hadir di dalam semua urusan berkaitan perkahwinannya. Lagipun abah dah tak ada. Mak pula tak mampu berjalan. Yop rasa bertanggungjawap atas semua urusan."

Aku sempat jumpa satu-satunya kawan abah yang masih ada di kedai Mee Kari tepi Sungai masuk kampung. Sunnahnya, tanda kita sayang pada arwah ibubapa kita yang telah pergi, kita perlu rajin ziarah saudara mara dan kawan-kawan mereka yang masih hidup.

"Sorang je?"

"Sorang aje le. Mana ada kawan aku. Habis semua menginggal. Aku ni ditakdirkan Tuhan masih sihat ni pasal aku selalu mengayuh basikal ke sana ke mari."

Aku maengangguk kecil. Betul juga kata pak cik tu.

Isnin, 20 Disember 2010

Fatihah Buat Kak Lah

Khamis lalu aku dikejutkan dengan berita sepupu ibu_suri meninggal dunia di Sungai Ara. Kak Lah memang akrab dengan ibu_suri sejak dari zaman remaja mereka lagi. Kak Lah selalu membantu suaminya berniaga di kantin USM. Aku pernah beberapa kali minum di kantin beliau.

Sesuatu yang hebat dengan Kak Lah ialah dia seorang yang sabar dan ....

".. Dia pun sorang yang punya hati yang terbuka. Sebab itu dia boleh kekal bersama suaminya hingga sekarang.." ujarku pada Pak Long, bapa Kak Lah.

Dia bukan sahaja bersikap terbuka menerima kenyataan untuk bermadu bersama isteri kedua suaminya seorang Pattani malah madu ketiganya seorang Kemboja. Boleh tinggal serumah dan bekerja bersama di kantin. Huu.. bukan calang-calang hamba Allah Kak Lah ni, fikirku.

Madu Kak Lah memeluk ibu_suri sebaiknya saja dapat berjumpa. Dengan rembesan airmata dia menceritakan saat-saat akhir mereka di sisi Kak Lah.

"Badannya berpeluh-peluh meminta maaf pada abang. Lepas dia mengucap Allahuakbar, dia pun pergi.."

Satu-satunya yang aku perhati Kak Lah ini sedari aku kenal dia ialah dia selalu bertudung labuh, murah senyum dan bersahaja perilakunya..

Jenazah Kak Lah di mandikan di Masjid Al Huda Sungai Ara

Alangkah bahagianya dunia ini kalau semua isteri dapat mencontohi keterbukaan hati seperti Kak Lah. 

Al Fatihah buat beliau yang kini bersemadi di Tanah Perkuburan Orang Islam Bukit Jambul. Hilang sudah satu contoh isteri yang begitu baik dan menerima pujian tinggi dari suami dan bapanya sendiri.