Khamis, 29 September 2016

Bangkit


lirik

Aku kira, ini masa terbaik untuk aku susunatur semula kehidupanku.

Seketiadaan Akhmal yang aku agak paling singkat pun adalah 6 bulan akan sedikit melapangkan dada dan fikiranku.

Aku mahu bangun semula menyusun perjalanan dan ibadahku walaupun dah jauh ketinggalan dan kealpaan. 

Sebaliknya ibu_suri, seperti aku jangka... akan sedikit murung.

Pagi ini dia tidak mahu mandi seperti kebiasaannya. Teringat Akhmal, ujarnya dengan sebek bila aku bertanya.

Tak mengapalah. Memang sudah dijangka.

Aku akan harungi segalanya ini dengan tabah dan teguh. Terima kasih kepada Along dan Angah... sayap kiri dan kananku sekarang ini!

Selasa, 27 September 2016

Bukan Mudah

Aku faham. Bukan mudah untuk mengurus kebajikan seseorang yang memiliki emosi tak stabil yang salah satunya akibat serangan stroke.

Jiwa kena kuat, sabar kena tinggi, pergantungan dengan Allah kena ampuh. Paling utama... menerima takdir itu dengan hati terbuka dan bersangka baik.

Tapi sebagai manusia memang tidak akan lari dari keluh, kesah, rintih, kesal dan kekadang putus harap.

Mak aku terkena stroke sekitar 2010. Lumpuh sebelah kiri badan. Mampu mengesot sahaja kema pergi.

Adik perempuanku yang tiggal tak jauh dari rumah mak yang dipertanggungjawapkan menjaganya.

Aku tahu (malah kekadang rasa kesal, bersalah, berdosa), anak lelakilah yang sewajipnya menjaga mak (dan abah); bukan anak perempuan (kerana anak perempuan tanggungjawap utama kepada suami).

Kami ada 5 anak lelaki. Tapi melalui mesyuarat keluarga merasaakan adik perempuan ini yang sesuai menjaga mak.

Tapi walaupun dia seorang yang penyabar, runtuh juga benteng kesabaran itu. Awal awal memang penjagaannya diiringi senyum tapi selepas bertahun-tahun, dia mula 'menangis'. 

Selalu menalipon aku bila jiwanya tertekan, mengadu meluahkan perasaan.

Sama juga dengan adik ipar aku yang menjaga orangtua (tapi ini bukanlah kes kena stroke tapi uzur sebab usia). 

Sanggup berhenti kerja kerana mahu menjaga mak dan abah. Tapi masa mereka dahulu masih boleh bergerak, memasak dan ke pasar, semuanya nampak okey dan aman.

Namun bila mereka dah mula terlantar dan susah bergerak, mulalah terdengar bebelan dari adik iparku. Setiap kali aku datang menziarahi mertua, ada sahaja insiden yang kekadang aku tak sanggup nak dengar atau melihat.

Satu lagi, jangan mudah menerima aduan secara bulat dari yang dijaga jika dia mengadu yang tidak baik tentang sipolan yang menjaganya. Selidiki.

Kena fahami bahawa emosi mereka tidak menentu. Hari ini kata A esok boleh tiba-tiba berkata B.

Apapun sebenarnya... walaupun kita yang menjaga kebajikan mereka itulah selalu menjadi mangsa dimarahi atau dibenci (sebaliknya yang sesekali datang ziarah itu selalu mereka puji dan tatang), tanpa mereka sedari sebenarnya mereka memerlukan kita.

Aku bukan setakat terpaksa menjaga seorang sebaliknya 2 orang.... isteri dan anak; seorang tua dan seorang remaja.

Isnin, 26 September 2016

Biarlah Dia Menjerit



Petang semalam lagi ibu_suri beritahu aku semasa berada dalam bilik...

"Abang, nak menjerit boleh tak?"

"Errr... janganlah. Nanti jiran sebelah dengar. Depa ingat apa pulak...!"

Dada aku mulalah....dup...dap...dup...dap...

Aku kurang selesa bila keadaan ini tiba.

Aku ajak ibu_suri beli makanan di kedai simpang 4, Permatang Pauh. Heran juga bila ibu_suri cuma minta nasi dengan sayur sahaja serta sambal.

Aku ambil nasi, terung tumis dan telor masak cabai. Sayur lemak fucuk tak jual pula kali ini.

Berhenti di stesyen Caltex. Makan di dalam kereta dah memang kebiasaan. Aku buat muka tebal sahaja pada yang lalu lalang sambil memerhati.

Sehabis makan, masuk waktu Zohor. Aku singgah bersembahyang di Masjid Permatang Janggus bila ibu jawap okey atas permintaan aku itu. Aku nak rileks sekejap walau mungkin untuk 5 ~ 10 minit, memadai.

Bila selesai, aku memandu balik ke jalan yang sama aku pergi. Sesampai di gerai yang jual air teh bunga, ibu_suri menjerit sekuat hati di dalam kereta. Bingit...

Aku teguh memegang stereng. Biarkan saja perlakuan ibu_suri yang bukanlah itu pertama kali.

Jauh dalam hatiku berkata....

'Di manakah silapku ini....'

Ahad, 25 September 2016

Catatan Hari Ini...



Baru lepas memicit tangan kaki ibu_suri. Mengadu sengal sana sini.

Sari dua ini aku rasa hidup seperti ntah apa-apa. Kosong dan tak bermaya.

Jemu dan bosan melayani kerenah ke 2 mereka ini. Akhmal dengan sikapnya yang suka membawa kawan masuk ke bilik. Ntah apa dibuatnya di dalam...

Lagi sedih kekadang anak sedara sendiri pun ada sama. Yang dah kawin dan beranak pinak pun 2x5.

Hal ibu_suri satu bab juga. Asyik mau aku di tepinya sahaja. Kalau aku duduk di luar bilik sahaja, tak lama, dia akan panggil.

'Bang, buat apa tu? mai la picit tangan ni.'

Lemas tapi sekadar merungut dalam hati sahaja.

Sepatutnya di usia pencen ini, aku dah boleh senang-senang seperti kawan lain. Beraktiviti sosial, berjalan melihat saudara mara atau bertemu kawan lama. Namun sebaliknya berlaku.

Sekali lagi, aku rasa lemas, jemu dan kecewa dalam sari dua ini. Itu saja yang nak aku luahkan dalam catatan ini.

Lapar.

Nasi dah masak. Tinggal nak goreng ikan sahaja. Kalau kat Penang digelar ikan lengat. Kat Perak digelar ikan rebus.

Walaupun tak baik untuk kesihatan, itulah yang ibu_suri merengek sejak dari semalam minta aku sediakan...

Jumaat, 23 September 2016




Hari ini, khutbah Jumaat di masjid tamanku memetik ciri-ciri orang yang baik menurut Islam;

1. Yang teguh imannya kepada Allah
2. Yang menjaga hubungan silaturahim sesama mansuia
3. Yang menjaga kualiti dan menambah kuaantiti ibadahnya
4. Yang sentiasa bersyukur kepada pemberianNya
5. Yang sentiasa sabar dalam apa juga musiah yang menimpa dirinya

Aku lebih suka berbaju T dan berseluar sahaja ke masjid. 

Kekadang rasa canggung juga bila hadirin lain berjubah, berkurta atau paling tidak berbaju Melayu.

Bukan tiada itu di rumah tapi ntah kenapa citarasa aku lebih suka kepada yang biasa biasa.

Tambahan pula selalunya aku ke masjid selepas sahaja mengambil Marissa dari tadika dan kemudiannya bawa ibu_suri makan tengahari.

Lepas selesai sembahyang selalunya aku akan ke Rapis Wash, Seberang Jaya - cuci kereta. Selesai cuci kereta, aku curi peluang bersendirian minum kopi di warong berdekatan...

Khamis, 22 September 2016

Cool Ajelah!



Aku sedang mengacau bancuhan teh dalam mug kesukaanku bila ibu_suri tiba-tiba tersembul di muka pintu dapur. 

"Nak mandi..." sambil berjalan terkedek-kedek persis anak kecil baru bertatih; membawa berat badan ke bilik air. Jelas desah nafasnya...

'Tamat sudah masa bersenang-senang aku pagi ni...' getus hatiku. 

Kekadang, usai sembahyang Subuh, ibu_suri akan tidur semula. Bangun bila hampir tengahari. 

Waktu ibu_suri masih diperbaringan itulah masa emasku untuk bersendirian. 

Bila bangun sahaja sidiaku ini, aku akan menjadi sibuk semula dan kekadang bersama kekangan dan tekanan.

"Marissa tak pi tadika hari ini," ujarku sambil mencucurkan air dari cebok ke seluruh tubuh ibu_suri.

"Kenapa?"

"Ntah... Bangun lambat le tu, agaknya..."

Jawapan bagi setiap pertanyaan dari ibu_suri ini memang perlu bijaksana. Sekiranya jawapan tidak memuaskan hatinya, samada kena marah balik atau kena jawap soalan cepu mas yang lain pula. Paling minima pun...

Tiba-tiba ibu_suri menjuih bibir sambil bersuara,

Uweeekkkk....

Itu bermakna dia kurang senang dengan jawapan aku itu!

Cool  ajelah!

Isnin, 19 September 2016

Walaupun Banyak Ilham...




Ntah kenapa, aku malas nak menulis.

Bila ada mood, suasana pulak tidak memberansangkan.

Terasa rugi kerana tidak dapat merakam kisah-kisah yang berlaku dalam hidup. Ianya berlalu tanpa catatan.

Aku suka menulis dengan pen. Selalu, bila singgah ke toko buku, aku akan belek-belek jenis-jenis pen yang ada di situ. Jenama Parker, Mount Blanc... adalah idaman.

Namun, bila dah bekerja, kesesuaian menulis lebih kepada pen mata bola. Gambar di atas adalah pena mata bola yang aku suka guna dan amat sayang.

Kalau hilang, aku beli pen baru jenis yang sama. Entah berapa batang dah aku beli. Pen 2+1. Ada 2 dakwat dan 1 pensil.

Sekarang, bila dah bersara... lebih banyak menulis menggunakan papan kekunci. Kekadang, bila sesaja nak menulis guna pen, jejari berasa keras.

Aku harap, rasa malas menulis ini tidak berterusan. Terutama dalam menulis blog. Ini adalah satu-satunya medium untuk aku meluahkan apa yang ada di dalam jiwa, di dalam fikiran dan di dalam hati.

Banyak perasaan halus yang orang luar, anak hatta isteri aku pun tidak tahu tetapi tertulis di blog ini.

Beberapa kawanku selalu bertanyakan pautan blog aku ini dengan hasrat mereka mahu mengikutinya. Aku tak beritahu. Cukuplah kawan-kawan dulu yang tahu. Sejak peristiwa salah satu dari catatan aku di salin keluar lalu diviralkan di tempat kerja, aku dah serik.

Ini adalah catatan peribadiku. Sesiapa pun boleh baca jika terjumpa. Tapi baca sahajalah, ya. Jangan bawa keluar dari sini. 

Aku tak suka nak memblock seseorang dari mengakses blog aku. Biarlah ianya bebas dan telus.

Menulis adalah kegemaran sejak remaja. Seperti juga lagu. Aku tidak mahu kehilangan mereka berdua...

Selasa, 6 September 2016

Hujan Pagi Ini...



 Hujan masih juga luruh. Sejak Subuh tadi lagi.

Semalam Angah minta aku hantar Marissa ke Tadika Amal Rintis. 

Sejuk begini aku agak mereka masih berselimut. Dan... memang tepat bila aku menalipon Angah, dia sekeluarga baru terjaga.

Paling suka dapat hantar Marissa ke tadika (biasanya ambil pulang sahaja) ialah ibu_suri. Aku... sebaliknya. Kedamaian pagiku rasa sedikit terganggu. 

Mana tidaknya, sudah tentu bila begini, ibu_suri akan awal mandinya. Kalau dia mandi sendiri tak mengapalah tapi aku yang kena mandikan. 

Bukan soal memandikan tapi sejuknya air pagi menggigit kaki bila aku sekali akan turut basah.

Urusan Marissa juga nanti akulah yang kena uruskan. Berhujanlahlah aku nanti keluar masuk kereta.

Lepas selesai ke tadika, ibu_suri pasti nak makan. Dia takkan mahu balik ke rumah tapi nak beli makan di kedai. Berhujan lagilah aku.

Nasib baik tadi, dia benarkan aku duduk makan di kedai kegemaran aku - kedai tepi Masjid Kubang Semang sementara dia makan di kereta. Dia mau makan nasi dengan gulai daging. Lapar katanya. Serta kopi O.

Sambil aku menjamah kuih dan menghirup kopi di meja panjang, sempat juga mencuri-curi dengar perbualan orang tua lain yang turut sama minum. 

Memang ralit mendengar orang-orang kampung bersembang. Penuh seloroh dan terus terang. Tak sah pulak kalau tak di selit dengan isu politik. Biasalah.... parlimen Permatang Pauh.

Tapi pengundi sini pun dah banyak berbelah bagi semenjak sebahagian ahli PAS menyertai  Amanah. 

Kat sini, berborak pasal PKR okey tetapi pasal Amanah ianya sedikit sensitif. Malah aku agak (agak saja...) pemilik kedai ini pun mungkin masih pro PAS. 

Mengapa...

Pernah aku saja bertanya;

'Tak jual paper Amanah ke?' bila mata merayap ke pelbagai jenis akhbar tersusun di meja, tak nampak pulak yang warna oren.

'Takdak pasai nak juai arghh...' dengan nada suara yang kurang enak aku dengar. Fahamlah aku!

Tak lama selepas itu, aku perasan juga... dah lama tak lihat akhbar Harakah di meja itu.

'Harakah takda ke hari ini?' bila selalunya hari Rabu belah petang akhbar itu telah tersedia dijual di meja.

'Tak taulah... dah lama budak tu tak hantar...'

'Dah tak keluar kot. La ni orang baca kat internet saja...' ujarku. 

Pembaca internet itu termasuklah aku yang dah lama berhenti membeli bilamana merasakan bahawa pengisian oleh Harakah semakin tak bervariasi.

Paling ketara bila Ahmad Lutfi Othman sudah tidak lagi menulis. 

Selalunya, bila aku membeli Harakah, ruangan dialah yang pertama aku baca. Suka dengan gaya penulisan dan kupasannya yang berani dan luhur.

Hujan masih juga turun. Bak kata pak cik (atau abang... ntah mana satu yang patut aku gelar aku pun konpius sejak dah umur lewat 50an ini) di sebelahku...

'Hujan ni panjang, Mau sampai petang ni...'

Aku pun beredar selepas membayar harga 4 biji kuih dan secawan kopi di kaunter.

Meredah semula hujan ke kereta.

Kuntum senyum dari bibir ibu_suri yang baru sudah makan memberitahu bahawa emosinya okey di pagi ini.

Sejuk yang menggigit hujung kaki buat ianya terasa kebas tatkala menekan pedal minyak.

Isnin, 5 September 2016

Tribulasi...

Kekadang aku berasa seperti amaat kecewa. Kesaorangan...

Kenapalah di usia begini aku masih tepaksa memikul beban mengurus anak yang bermasaalah dan istri yang tidak mampu berdikari. Sedangkan sepatutnya aku sudah boleh 'merdeka' dengan beraktiviti.

Cemburu bila melihat dan mendengar sahabat-sahabat yang bebas ke sana kemari bersama dengan aktiviti ngo atau kemasyarakatan.

Sabtu lepas aku ke daurah IKRAM di IPG Tengku Bainun. Aku perhatikan mereka dengan segala kesayuan. 

Terasa diri ini amat kerdil berbanding mereka yang begitu ceria dan cergas dengan tugasan dan becok bercerita tentang penglibatan mereka.

Aku juga kekadang rasa terpencil bila membaca wasap dari grup adik beradikku. Mengetahui mereka selalu balik kampung dan bermalam sedangkan aku tidak boleh begitu.

Mereka akan ngeteh bersama malah raya akan datang ini dah rancang untuk membakar lemang bersama.

Aku selalunya balik raya ke2 dimana lemang atau rendang memang kalau ada, aku cuma makan sahaja..

Dah lama aku tak balik beraya pada hari pertama bersama mak. Bersembahyang sunat di masjid kampungku sendiri yang masa dulu aku selalu mengetuk kerantung dan menjadi muazzin.

Aku juga rindu dan tidur d sebelah mak yang hanya boleh mengesot sahaja sekarang ini. Nak bawa mak berjalan-jalan ziarah saudara mara sementara hayatnya atau hayat aku masih ada.

Tak dapat... tak dapat aku nak realisasikan semua itu kerana kekangan yang aku alami sekarang.

Cuaca redup setelah berhenti hujan.... dan sunyi buat aku mengeluh sendirian...

56 tahun usia ini berlansung dengan penuh tribulasi seperti tak sempat bernafas dengan panjang...

Ahad, 4 September 2016

Kolar Biru



Dah 2 hari Akhmal bekerja memotong pagar di kondo Mutiara, Perda. Sepipu dia... Eli yang kebetulan bekerja di sana mendapat kontrak itu dan beri kepada Akhmal untuk handle 100%.

Satu yang positifnya dia ini ialah rajin bekerja pabila kerja itu sesuai dengan dia. Tak perlu sangat kejut dari tidur bila pagi, dia sendiri akan bangun.

Tapi tulah... dia bukan jenis suka kerja terikat dengan waktu pejabat. Jauh sekali cara kerja kolar putih.

Aku risau juga bila dia buat kerja. Lingkuplah pagar tu, fikir aku kekadang. Sebabnya, aku selalu tengok dia repair motor bila ada yang tak kena. Katuk sana, baling sini...

Juteru itu aku jarang tanya, jauh sekali nak tengok tempat kerjanya. Biarlah dia urus sendiri... fikirku.

Udah sampai masanya dia urustadbir kehidupannya sendiri. Sudah tentu dengan cara dialah. Cuma kalau tak betul sangat dari pandangan mata aku, aku tegurlah sesikit. Itu pun, kena tahu bila dan bagaimana nak menegur.

Yang sedihnya (tapi bukanlah mengharap sangat), bila dapat duit upah... boleh habis sekelip mata. Beli kasutlah... perbaik motorlah...

Ingatkan legalah aku... sehari dua tak perlu bagi duit poket.

Paling tak best (sangkaan 'jahat' aku ajelah), dia pi enjoy dengan kawan-kawan dia. Makan-mamakan atau hu ha hu ha!

Namun pernah juga dia teringat nak beli makan untuk ibu_suri. kekadang KFC. Kekadang sateh...

Jadilah. Aku pun tak mengharap apa-apa sangat.

Bagi aku, dia mahu pergi kerja, rasai penat jerih mencari wang, mengisi masa dengan sesuatu yang berfaedah dan tidak berpeleseran... Dah seribu rahmat!

Jumaat, 2 September 2016

Minyak Serai Wangi


Pagi ini hujan. Sejuknya menikam hingga ke tulang.

Akhmal tak balik sejak semalam. Ntah kemana dia pergi. Wasap hanya di baca tapi tak berjawap. 

Itulah anak... top up kita yang bagi duit membeli. Nak call atau wasap kita cuma bila dia memerlukan. Tapi sebaliknya bila kita memerlukan dia.

Aku baru saja selesai mengurut kaki ibu_suri. Dia selalu mengadu sakit-sakit. Justru itu, minyak hangat memang selalu ada tersimpan.

Minyak hangat ini pada aku, buat syarat ada sahaja. Bukan sangat meredakan jauh sekali menyembuhkan sakit. Sekadar kelegaan dari sudut psikologi.

Kalau membeli, aku suka minyak hangat yang mengandungi ramuan serai wangi.

'Sakit kaki you ni disebabkan 3...

1. berat badan yang terlalu
2. sebab angin dalam badan. darah tak boleh mengalir dengan lancar
3. sebab daging atau lemak tebal menindih urat saraf.

Jadi... kalau urut sepanjang hari sampai minyak habis berbotol pun, kaki you ni masih akan sakit.'

Begitulah bebelan aku selalunya. 

Bukan mudah nak urut tubuh atau kaki seorang obes macam ibu_suri. Banyak kederat kena guna. Hingga lenguh-lenguh tangan. Sampai sakit pinggang. Sampai aku yang terk*nt*t-k*nt*t... bukannya dia.

Ramuan paling baik kena ada ialah kesabaran dan keikhlasan. Kalau tidak ikhlas mengurut, ibu_suri akan tahu dan tegur....

'Tuu.. tuu... tak ikhlas le ngurut tu...'

Apapun... dia adalah istri. Kalau bukan suaminya yang mengurut, siapa lagi...

Hari ini hari Jumaat. Aku tak pergi riadah sepertimana kelmarin. Bukan apa, bimbang mengantuk bila di masjid... solat Jumaat nanti.

Dah berusia begini, selepas riadah badan akan berasa terawang. Selalunya, aku akan tidur sekejap lepas Zohor. Jangan pula masa dengar khutbah...