Selasa, 6 September 2016

Hujan Pagi Ini...



 Hujan masih juga luruh. Sejak Subuh tadi lagi.

Semalam Angah minta aku hantar Marissa ke Tadika Amal Rintis. 

Sejuk begini aku agak mereka masih berselimut. Dan... memang tepat bila aku menalipon Angah, dia sekeluarga baru terjaga.

Paling suka dapat hantar Marissa ke tadika (biasanya ambil pulang sahaja) ialah ibu_suri. Aku... sebaliknya. Kedamaian pagiku rasa sedikit terganggu. 

Mana tidaknya, sudah tentu bila begini, ibu_suri akan awal mandinya. Kalau dia mandi sendiri tak mengapalah tapi aku yang kena mandikan. 

Bukan soal memandikan tapi sejuknya air pagi menggigit kaki bila aku sekali akan turut basah.

Urusan Marissa juga nanti akulah yang kena uruskan. Berhujanlahlah aku nanti keluar masuk kereta.

Lepas selesai ke tadika, ibu_suri pasti nak makan. Dia takkan mahu balik ke rumah tapi nak beli makan di kedai. Berhujan lagilah aku.

Nasib baik tadi, dia benarkan aku duduk makan di kedai kegemaran aku - kedai tepi Masjid Kubang Semang sementara dia makan di kereta. Dia mau makan nasi dengan gulai daging. Lapar katanya. Serta kopi O.

Sambil aku menjamah kuih dan menghirup kopi di meja panjang, sempat juga mencuri-curi dengar perbualan orang tua lain yang turut sama minum. 

Memang ralit mendengar orang-orang kampung bersembang. Penuh seloroh dan terus terang. Tak sah pulak kalau tak di selit dengan isu politik. Biasalah.... parlimen Permatang Pauh.

Tapi pengundi sini pun dah banyak berbelah bagi semenjak sebahagian ahli PAS menyertai  Amanah. 

Kat sini, berborak pasal PKR okey tetapi pasal Amanah ianya sedikit sensitif. Malah aku agak (agak saja...) pemilik kedai ini pun mungkin masih pro PAS. 

Mengapa...

Pernah aku saja bertanya;

'Tak jual paper Amanah ke?' bila mata merayap ke pelbagai jenis akhbar tersusun di meja, tak nampak pulak yang warna oren.

'Takdak pasai nak juai arghh...' dengan nada suara yang kurang enak aku dengar. Fahamlah aku!

Tak lama selepas itu, aku perasan juga... dah lama tak lihat akhbar Harakah di meja itu.

'Harakah takda ke hari ini?' bila selalunya hari Rabu belah petang akhbar itu telah tersedia dijual di meja.

'Tak taulah... dah lama budak tu tak hantar...'

'Dah tak keluar kot. La ni orang baca kat internet saja...' ujarku. 

Pembaca internet itu termasuklah aku yang dah lama berhenti membeli bilamana merasakan bahawa pengisian oleh Harakah semakin tak bervariasi.

Paling ketara bila Ahmad Lutfi Othman sudah tidak lagi menulis. 

Selalunya, bila aku membeli Harakah, ruangan dialah yang pertama aku baca. Suka dengan gaya penulisan dan kupasannya yang berani dan luhur.

Hujan masih juga turun. Bak kata pak cik (atau abang... ntah mana satu yang patut aku gelar aku pun konpius sejak dah umur lewat 50an ini) di sebelahku...

'Hujan ni panjang, Mau sampai petang ni...'

Aku pun beredar selepas membayar harga 4 biji kuih dan secawan kopi di kaunter.

Meredah semula hujan ke kereta.

Kuntum senyum dari bibir ibu_suri yang baru sudah makan memberitahu bahawa emosinya okey di pagi ini.

Sejuk yang menggigit hujung kaki buat ianya terasa kebas tatkala menekan pedal minyak.

5 ulasan:

Kakzakie Purvit berkata...

Tanggungjawab sebagai suami, ayah dan atok belum tuntas lagi ye IM
Isu politik tu tak payah bebankan otak biarlah mereka terjun dgn labu-labunya. Cuma yg sedihnya semuanya org kita... entahlah apa nak jadi bila tiba zaman anak-cucu kita kelak.

Tanpa Nama berkata...

Salam...betul tu ...Jangan pedulikan masalah dunia bila diri masih banyak ujian. Focus dan jaga diri supaya sihat.
Dengan ujian ini melatih jiwa menjadi terang. Rajin rajin dudul berzikir memohon keampunan Allah

Tanpa Nama berkata...

Salam kenapa kena hantar cucu? Kenapa parent tak boleh hantar?

Etuza berkata...

Asalam..teman blog selamat hari raya ya...maafkan jika pernah menyakiti hati..

Rozita Ceritaita berkata...

IM, baca cerita ni hati ikut menguntum senyum... mudahnya nak buat orang lain bahagia kan...cuma nak dgn tidak je..