Khamis, 25 November 2021

Keikhlasan...

Menonton video ustaz Samsuri Ahmad ini, aku berani mengatakan bahawa aku telah cukup ikhlas mengahwini istriku dan setia hingga keakhir hayatnya walaupun terpaksa meniti pelbagai keperitan jiwa raga.

Banyak yang telah aku rakamkan kisah pahit manis perasaanku selama bersama ibu_suri tetapi lebih banyak yang cuma aku sahaja yang tahu dan simpan kemas kemas jauh ke lubuk hatiku tanpa sesiapa pun tahu melainkan Tuhan yang Esa.

Hari ini walaupun ibu_suri telah tiada, yang mungkin secara fizikalnya beban yang aku pikul dalam menjaganya sudah tiada, pergi bersama dia tetapi dia meninggalkan aku rasa sepi dan kesaorangan.

Bila aku rasa rindu aku ziarah pusaranya. Walaupun aku rasa sebak tapi aku cuba menahan kerana tidak mahu menangis di sisinya.

Aku tidak mahu mengadu akan kesunyian yang aku tanggung tetapi berdoa muga kuburnya diluaskan dan disinari cahaya oleh Allah.

Aku cuba melapangkan dadaku melepaskan dia pergi...


Foto ini kuambil semasa menziarahinya semalam...



Kesunyian dan kesepian ini tidak dapat di hilangkan walaupun oleh anak dan cucuku.

Benarlah kata blogger Mama Moden:

Isteri yang kematian suami masih boleh hidup sendiri tetapi suami yang kematian istri akan mengalami ketidaktentuan.

Ramai kawan kawan malah mak aku sendiri menyuruh aku mencari pengganti namun buat masa ini aku rasa biarlah aku sendirian.

Aku pernah memberitahu ibu_suri bahawa jika dia tiada lagi aku cuba untuk tidak mencari pengganti.

Apapun, aku masih berlapik kata... itu hanya Tuhan yang menentukan!

Rabu, 24 November 2021

Hari Tua

 Lama tak menulis. Harap sahabat blogger semua sihat.

Semakin masa berlalu aku semakin merasa sepi. Anak dan cucu tidak dapat membantu sepi ini. Terasa seperti mahu sahaja kembali pulang ke kampung dan menghabis sisa hidup di sana. Tetapi bila berada di kampung terasa pula ingin kembali ke rumah aku di sini sebab di kampung sunyi, tiada kawan atau suasana semasa aku kecil dulu sudah tiada. Rumah kayu dan pokok sudah tidak ada lagi. Semuanya berganti dengan rumah batu oleh generasi baharu.

Rupanya beginilah rasa hidup di hari tua. Sunyi. Seperti sunyinya dunia blogging sekarang ini. Ramai blogger lama menggantung keyboard mereka...

Selasa, 9 November 2021

Biarlah Ayah Berehat

Malam ini aku tidur di ofis kerja aku. Ntah kenapa aku tega berbuat begini. Yang mungkin pada sesetengah orang merasakan aku tidak sepatutnya berbuat begini.

Sebenarnya aku sudah terlalu letih. Letih dengan sikap A. Sedari kecil aku menjaga dia apa kerenah yang dia tidak buat terhadap aku. Malam ini sekali lagi yang mencabar aku selaku seorang bapa.

Aku pun tak tahu kenapa aku ambil keputusan keluar rumah. Mula ingat nak terjah lebuhraya sahaja balik kampung dan menenang diri disamping mak buat 2~3 hari. Tapi bila terfikir maslahat lain, aku bawa sahaja kereta ikut rasa. Terfikir isi minyak dulu.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk pergi ke pejabat. Samada tidur atau sebaliknya itu biarlah masa yang tentukan. Esok pagi jika aku rasa ok, aku balik rumah. Mandi, salin pakaian dan pergi kerja. Jika tak ok...ntah!

Apapun aku nak rehat. Tak mahu susahkan fikiran, bimbang pada perkara yang tak tercapai oleh tangan. Apa nak jadi esok aku serah pada Tuhan.

Malam ini kalau boleh aku nak tidur di lantai sahaja. Harap aku lena hingga Subuh tanpa ada gangguan /$#@%.

Pasrah. Muga esok apa yang akan berlaku aku hadapi dengan tenang. Aku dah cakap kepada Along dan Angah bahawa ayah sekarang sudah tidak punya tanggungjawap berat lagi sebab semuanya telah pergi bersama ibu_suri.

Hal anak-anak ayah, biarlah anak-anak ayah yang urus sendiri. Kamu semua sudah besar dan matang sepatutnya.

Sekarang masa untuk ayah 'rehat' dan buat apa yang ayah rasa baik untuk diri ayah. Ayah mahu nikmati masa masa yang ada ini dengan sebaiknya dan dengan cara ayah.

Biarlah ayah bawa dan urus diri ayah. Jika ayah ada masaalah yang berat dan perlukan bantuan kamu, ayah akan beritahu.

Tapi seboleh-bolehnya, ayah tidak mahu menyusahkan kamu semua....anak-anak ayah!

Sabtu, 6 November 2021

Sindrom Parkinson

Aku tak ingat tarikh bila video ini aku ambil. Yang pastinya ialah ketika aku menghantar dia ke rawatan susulan di unit Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang. Masa itu Covid 19 belum menyerang negara kita.

Apa yang nak aku tunjukkan di dalam babak awal video ini ialah ibu jari tangan ibu_suri yang bergoyang di luar kawalan dia.

Keadaan ini berterusan walaupun selepas aku adukan kepada doktor. Doktor sarankan dia makan ubat urat saraf namun sindrom ini masih sama sehinggalah pergerakkan luar kawalan itu merebak hampir ke seluruh jari tangan kirinya.

Sampai ke satu tahap dia tidak boleh lagi memegang pinggannya sendiri ketika makan. Maka setiap kali dia nak makan aku perlu memegang pinggannya sehinggalah dia selesai makan.

Nasib baiklah ianya berlaku pada tangan kiri. Kalaulah di tangan kanan lebih susah dia sebab tidak boleh menyuap malan atau memegang apapun kerana semuanya akan terjatuh.




Jumaat, 5 November 2021

Hari Ulangtahun

Semalam, 4 Nov adalah tarikh ulangtahun ibu_suri.

Seperti biasa, sibuklah fb ulangtayang momen momen tarikh itu diraikan secara simple di kalangan aku dan cucunya.

Mungkin aku pernah rakam momen itu di dalam blog ini di tahun tersebut tapi tak mengapalah jika aku rakam sekali lagi untuk tatapan kalian.

Kalian boleh lihat sendiri bagaimana respon ibu_suri yang pernah mengalami minor stroke yang sekaligus memberi kesan kepada emosi dan karektornya...

Tahun 2015...



Tahun 2018...



Khamis, 4 November 2021

Cendol pekan Bukit Mertajam


Kalau ibu_suri teringin nak makan cendol,memang aku bawa ke kedai ini. Kedai ni bertempat di area bangunan MARA, pekan Bukit Mertajam. aku nanti beli semangkuk, tatang pi masuk dalam kereta dan teman dia makan sampai habis.

Ibu_suri tak boleh pegang mangkuk dengan baik sebab beberapa jari tangannya mengalami sindrom parkinson kesan terlalu lama dan terlalu banyak makan ubat.

Maka, aku kena pegang hingga dia selesai makan.

Lenguh tangan belah kiri, tukar ke tangan belah kanan. Walaupun ada orang perhati, aku buat tak tahu je...

Rabu, 3 November 2021

Senyap Yang Tak Boleh Diabaikan...

Pagi ini, buka saja fbku terpapar ulangan posting ucapan selamat hari lahir ibu_suri kepada saudara dan sahabat kami yang lahir di bulan November ini...




Sesekali rasa terubat juga perasaan kehilangan ini.

Silap juga dulu, aku tak muatnaik banyak-banyak foto ibu_suri semasa hayat dia.

Mungkin keistimewaan perempuan, ibu_suri memang ingat kesemua tarikh lahir adik beradiknya, anak buah malah kawan-kawannya.

Aku saja yang tak pernah ambil kisah bab tarikh lahir ni. Kadang kadang nampak rasa  kecil hati dia bila dia tanya:

Esok hari apa?

Aku jawap:

Hari Rabu...

Senyap ja dia. Senyap yang tak boleh di abaikan.

Maka bila begitu aku perasanlah...

'Selamat menyambut hari jadi, istriku...'

'Nak bagi hadiah apa?'

Adoi... ni yang buat aku 'susah hati'. Bercakap bab hadiah hari lahir ni aku bukan reti sangat. Tambah-tambah lagi perempuan. Hendaknya pulak istriku. 

Selama hidup aku sejak kecil di kampung tak pernah kenal bab selebret hari jadi. Bila datang Penang sahaja budaya ini aku kenal...

Isnin, 1 November 2021

Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung...5

lets end my journey. 

nanti malam boleh update semua entri ini ke dalam blog sambil baca baca kisah lama bersama isteri yang telah aku tulis sejak 2009. 

Memang beruntung kerana dilahirkan pada tahun 60an. Dapat merasai banyak nikmat perisian hidup...

https://hujan-petang.blogspot.com/search/label/ibu_suri?m=0





Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung...4

port terakhir singgahan. flush apa yang patut dan jama' mana yang masih dalam waktu

teringat di satu masa lalu, kereta aku dilanggar oleh pemandu mabuk tak jauh dari sini.

walaupun kereta remuk teruk mujur aku tidak apa apa. berkat dengar nasihat ibu_suri supaya aku memakai tali keledar walaupun asalnya aku malas nak pakai.







Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung...3

mendengar lagu dari penyanyi berdarah arab ni selalu mengingatkan aku pada abah.

muga abah, adik adikku 3 orang dan ibu_suri damai di alam barzakh sana...




Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung Semalam... 2

RnR sungai perak bukanlah port singgahan favourite aku tatkala otw balik atau pulang dari kampung. lebih suka singgah RnR gunung semanggol ni cari mi kari. tapi disebabkan aku dah makan tadi, aku minum sahaja di sini.

kereta nampak macam banyak tapi hakikatnya tak ramai yang dine-in.



aku ni kalau singgah mesti duduk minum paling kurang setengah jam.


Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung Semalam...1

Teringin singgah sini. Lama tak makan ikan patin. Suka bahagian ekor, RM9 sekali dengan nasi. rasanya murah sikit dari masa aku pernah makan bersama istri dulu...

Betul la Hanz Kebek Kebek . makan sendirian ni rupanya kurang nikmat...