Rabu, 31 Oktober 2012

Kerenah

Mengantuk sebenarnya aku ini. Tapi bagai selalunya, bukan boleh tidur sesuka hati. Bising nanti ibu-suri. Dia masih tepat berada depan tv1, menonton cerita Hindustan. Ayu sedang memasak. Dan bila begini aku bolehlah rileks dari membawa bawa ibu_suri keluar bersiar-siar. Walaupun makan di jauh malam itu tidak bagus namun begitulah hakikat fenomena di rumahku ini.

Esok aku akan memandu sendiri ke tempat kerja. Aku ada dating dengan kawanku yang akan bersara kira-kira 2 minggu lagi. Susah juga aku dibuatnya. Tak dilayan nanti dikata aku ini sombong. Tapi jika orang lain nampak aku berduaan makan, tentu teruk aku kena gosip.

Apapun, cuma 2 minggu aje lagi. Lepas tu aku tak perlu resah melayan kerenah amoi ni. Sebenarnya antara kami tidaklah ada apa-apa. Dia adalah kawan yang paling awal aku kenal bila mula bekerja di sini. Kami kerap bekerjasama dalam membuat analisa mesin yang bermasaalah. Justeru, kekerapan bekerjasama itu membuatkan kami banyak mengetahui hal peribadi masing-masing dan saling nasihat menasihati.

Dia bersara tahun ini. Aku pula akan menyusuli persaraan ini 2.5 tahun lagi. Tanda-tanda majikanku akan mengimplimentasi umur persaraan 60 tahun belum ada riak positif. Agaknya majikan aku pun tak mahu menyara orang-orang tua yang dah mula sakit lutut dan mengah bila naik tangga.


Yang kerjanya sikit tapi sembang di kafetaria berjam-jam. Yang gajinya semakin tinggi tapi dah kurang produktiviti.

Isnin, 29 Oktober 2012

Follower ke 118

Malam ini aku terpanggil untuk menulis tentang follower aku yang ke 118. Yang membahasakan dirinya Cik Wawa. Dari raut wajahmya aku kira dia masih sunti; masih jauh lagi perjalanan hidupnya.

Pola penulisannya lebih kurang seperti aku juga; lebih selesa menulis tentang diri sendiri secara telus dan jujur.

Dari nama blognya - AKU GADIS CEKAL sudah dapat di duga gaya tulisan yang bagaimana menjadi alirannya.

Berlandaskan pengalaman aku yang lebih 50 tahun hidup di muka bumi ini aku seperti faham benar rencah hidup anak seusianya. Aku menganggap apa yang dilaluinya itu jika di depani dan digarap secara tabah, berani dan positif akan menghasilkan dirinya sebagai insan yang berjaya dalam hidup, berani dan berkarisma. Yang penting dia mesti terima hakikat dirinya seperti adanya dia dan menerima hakikat bahawa kehidupan ini adalah untuk orang yang kuat asa seperti dia. InsyaAllah, Tuhan sentiasa bersama dengan orang yang tabah dan berserah kepadaNya. Pengalaman aku berkata begitu.

Maaf kerana aku menulis tentangnya tanpa izinya juga. Apapun, aku kagum dengan gadis seperti dia yang tahu bahawa dia perlu tabah jika ingin terus hidup. Dia sebenarnya matang. Aku berdoa muga di hujung perjalanannya kelak dia akan bertemu dengan cahaya yang terang.

Jika aku menjadi idolanya maka aku ingin beritahu dia bahawa selagi ada nafas kita selagi itu harapan kita masih ada. Enjoykan hidup kita dan hadapilah dunia dengan senyum dan dada terbuka.

Bak kata orang Iban - agi idup agi ngelaban!

Ahad, 28 Oktober 2012

Libang Libu


Mungkin agaknya akibat memandu kereta yang lama semalam. Kemudian tidur lewat tetapi bangun awal untuk sembahyang Subuh.

Dan memaksa diri untuk beriadah di Tasik Mengkuang yang menyilai dek cahaya matahari pagi yang terik dan tajam menikam mata.

Badan aku terasa libang libu. Cuba tidur tapi tak cukup lena..

"Abang tak tahu pasal apa badan abang rasa satu macam..." keluhku pada ibu_suri. Namun ke dapur tetap juga. Menyediakan makanan buat ibu_suri dan anak-anak tetap jua kulakukan.

Along dan balik semula ke Gombak. Esok,  Angah dan Ayu akan memenuhi giliran untuk bermalam di rumah besan.

Tadi, aku baru saja vakum dan mop bilik ibu_suri. Aku acapkali menjaga kebersiahan bilik ini semata mau ibu_suri rasa selesa. KPI kebersihannya ialah yakin boleh sembahyang tanpa sejadah dilantai.

Rabu, 24 Oktober 2012

Ayam Berak Kapur

Ini kambing, bukannya ayam. Foto ambil kat Pulau Songsong

Aku ambil cuti 2 hari bermula hari ini. Tak tahu kenapa. Jadinya, ligat jugalah otak aku ni berfikir nak isi apa ke dalam cuti ini.

Kononnya ada banyak kerja nak buat. Hari ni rancang nak ambil ubat ibu_suri di Klinik Kubang Semang selepas riadah kat Tasik Mengkuang. Kemudian nak ambil baju ibu_suri dari kedai nyonya Penanti untuk alteration. Kemas rumah dan basuh bilik air. Malam nanti grup usrah ajak main bowling di Summit. Tak tahulah nak beritahu macamana kat ibu_suri nanti.

Esok nak hantar Kancil untuk baiki. Dah lama sangat aku biarkan kebocoran tangki minyak enjin. Selepas kemalangan dulu macam-macam masalah timbul kat Kancil aku ni. Nak selenggara elok-elok macam dulu pun dah jadi tawar hati. Tengahari, nak jenguk Akhmal di Sungai Petani. Raya kali ini beraya kat 'dalam'lah nampaknya dia.

Raya 1 aku di rumah. Seperti sebelum ini juga sebab anak-anak aku dah besar dan perlu rai mereka. Raya ke 2 baru balik kampung - Ipoh. Nampaknya, program Korban anjuran IKRAM di Ceruk Tok Kun  kali ini, melepaslah aku. 

Beriya ibu_suri nak bikin rendang ayam. Yang akan mengadap kuali tu, akulah, sapa lagi. Harap-harap gaji akan masuk sebelum Raya ni. Kalau tak, jadi macam ayam berak kapurlah aku.... terkedip-kedip kira petak siling rumah.

Ahad, 21 Oktober 2012

Syukur

Baru balik dari riadah di Tasik Mengkuang. Walaupun badan terasa amat malas untuk pergi, aku paksakan juga.

Di bilik, ibu_suri masih tidur. Aku biarkan dia begitu. Hampir 2 hari lalu dia lansung tidak tidur. Bimbang juga pada tekanan darah tingginya. Semasa pemeriksaan di klinik, bacaan sistoliknya adalah 200. Pembantu Perubatan pun terkejut dan segera menyuruh ibu_suri memakan sejenis pil untuk mengurangkan tahap tekanan. Hal itu saja memakan masa setengah hari kami di sana. Doktor tak henti-henti menjeling aku.

Akhir-akhir ini pula kerap hujan. Bila hujan begini yang membimbangkan aku ialah bumbung yang bocor. Semakin serius nampaknya. Tak tahu bila aku punyai bajet untuk membaikinya.

Tapi walau apa pun aku bersyukur atas apa yang aku ada dan lalui selama ini. Emosi ibu_suri juga semakin stabil berkat konsisten memakan ubat epilim, sertraline dan risperidone. Sebenarnya, kalau tidak kerana kesabaran yang kuat dan kental ini, sudah lama keluarga aku berantakan. Bukan mudah hendak menjaga seseorang yang mengalami bi-polar disorder seperti ibu_suri 2 tahun dulu.

Apa-apun jom layan klip video cucu kesayangan ibu_suri ini yang dulunya sedang belajar meniarap. Kini dia sudah pandai merangkak dan sedang belajar berdiri.

Rabu, 17 Oktober 2012

Strike


Ralit aku melihat orang lain bermain bowling yang sesekali strike dan ada juga tersangkut bola di lorong tepi pin. Rakan usrah yang sepatutnya datang jam 9.30 malam masih juga tak menampak diri. Ntah aku silap haribulan atau memang mereka tak datang, aku pun tak pasti. Nak talipon bertanya, talian Celcom aku dah disekat sebab bil tertunggak 3 bulan.

Bila Angah tanya sebelum aku keluar tadi; kenapa aku pinjam talipon dia, aku cuma jawap - talipon ayah masuk air!

"Kenapa ayah tak pi bayaq?"

Aku cuma diam. Tak perlu jawap apa-apa.

Sebenarnya dah lama aku tak main bowling kat Ampang Super Bowl, Summit ni. Teringin pula aku nak ajak Angah, Along, Akhmal, Ayu dan ibu_suri ke sini satu hari nanti. Bagi aku bemain bowling boleh dijadikan satu aktiviti luaran untuk merapatkan ukhuwwah kekeluargaan sambil melapangkan fikiran. Aku memang tak pandai menjatuhkan kesemua pin serentak malah pernah tersungkur ke lantai kerana bola melekat dijari.

Ha..ha..ha..

Selasa, 16 Oktober 2012

Fobia


Seorang lagi kawan sekerjaku bernama Azmi atau lebih biasa digelar Pak Ngah dimasukkan kehospital kerana mengalami strok hingga lumpuh seluruh badan. 

Pak Ngah memang sakit sebelum ini hingga melayakkannya mendapat pencen ilat dan berihat di rumahnya di Alor Setar. Dia dikejarkan kehospital kelmarin tapi hari ini dikhabarkan agak kritikal dan doktor menyuruh keluarga membawanya pulang ke rumah saja. Ayat doktor yang begitu secara otomatis memberi pemahaman bahawa kalaau ada sesiapa yang ingin menziarahinya eloklah disegerakan. 

Kalau tak salah beliau juga adalah setempat kerja dengan ibu_suri sewaktu aku masih baru di Hitachi (sekarang bernama Renesas). Dia adalah juruteknik di IC assembly line. Kemudian dia dipindahkan ke bahagian workshop hinggalah ke tahap beliau tak mampu lagi bekerja. Itu cerita 20 tahun dulu.

Bila aku maklumkan berita ini kepada ibu_suri, sebaliknya respon spontan ibu_suri persis anak yang takut pada gelap malam.

"Abang, I takuttt... " sambil dia memegang dadanya sendiri. 

" Tak ada apa-apa la... Itu dah takdir untuk dia. You nak risau tak tentu pasal pula buat apa.. "

Aku faham. Bagi orang yang sakit seperti ibu_suri, berita negatif seperti ini memang mengfobiakan. Terasa seperti gilirannya pula semakin dekat. Seperti pula gilirannya itu berada di mana-mana di sekelilingnya.

Justeru itu tidak semua berita kurang enak boleh disampaikan kepada ibu_suri secara straight foward, begitu saja. Aku selalu pesan pada anak-anakku agar berhati-hati dalam hal ini. Dan kerap juga berlaku; berita kematian atau sakit kawan dan saudaranya tidak aku beritahu ataupun beritahu setelah beberapa hari berlalu.

Perkara yang sama juga mak aku alami dan lakukan terhadap abah aku semasa abah aku masih dalam rawatan dari skizofrenia, dulu!

Isnin, 15 Oktober 2012

Curcuma domestica Loir


Bukan main beriya ibu_suri menyuruh aku menalipon Angah yang masih berada di Ipoh supaya bawa balik kunyit yang subur dan lebar daunnya di belakang rumah mak.

" Sebenarnya kunyit yang mak tanam tu sama je dengan kunyit kita ni. Mak beli benihnya dari kedai juga. Bezanya tanah tempat kunyit mak tu ditanam lembab dan teduh. Pasal tu kunyit mak nampak subur dan daunnya lebar. Tanah kat rumah kita ni tanah campuran batu. Kita pulak penyegan nak siram selalu. Itu pasal kunyit kita kemetot jer... " terangku pada ibu_suri yang kekadang memang sukar memahami atau menerima hakikat sesuatu sejak mengalami sindrom mood dis-order ni.

Lagipun, kalaulah kunyit atau nama saintifiknya Curcuma domestica Loir yang hidup segan mati tak mahu kat laman sekangkang kera depan bilik aku ni hidup subur pun bukan sangat akan kami guna untuk memasak kerana kami banyak dari selalunya makan atau beli lauk dari kedai. Saje je ibu_suri ni berangan nak ada taman herba depan rumah tapi tak punya daya untuk mengusahakannya.

Dah lama dia tak usik pokok limau purut, pokok halia, pokok daun karipulai disamping pokok bunga kerak nasi dan pokok krismas. Malah pokok tanduk rusa dan pokok periuk keranya pun sudah lama mati tak terlayan.

Pokok langsuirnya pula memang sengaja aku biarkan berjemur di belakang rumah hingga mati kerana terpengaruh dengan kata-kata bomoh yang pernah merawat ibu_suri dulu bahawa pokok jenis itu yang aku kutip benih dari celah-celah pokok kelapa sawit di Mengkuang Titi dulu adalah tempat makhlok halus menumpang dan tak elok ditanam depan rumah.

Yang hidup subur di belakang rumah aku ni hingga tak boleh dibendung lagi cuma daun pandan atau Pandanus Odorus. Kalau ada sesapa nak ambil, ambillah. Aku dah tak kisah!

Ahad, 14 Oktober 2012

Puncak Himalaya

Lanskap depan Penjara Sungai Petani

Sebenarnya aku masih letih dek seharian memandu, semalam. Pagi riadah mingguan di Tasik Mengkuang. Bawa ibu_suri bersama agar dia dapat menghirup udara baru dan berjemur di bawah cahaya matahari pagi. Asyik memerap saja di rumah kurang sihat untuk kulit.

Tengahari kami ke Sungai Petani, ziarah Akhmal. Terkilan juga kerana kaki Akhmal masih tidak dirawat oleh doktor hospital. Secara baik aku tanya pegawai penjara, kenapa? Rupanya pihak penjara menunggu perpindahan dokumen perubatan dari Hospital Seberang Jaya ke Hospital Sungai Petani. Itu mau makan beberapa minggu kalau tidak bulan. Tika itu nanti Akhmal dah dipanggil semula ke mahkamah. Ntahlah..

Balik, seperi biasa ibu_suri suruh drive ikut jalan jauh. Aku pujuk dia agar balik saja untuk sembahyang dan rehat. Aku curi tidur hingga menjelang Maghrib. Belas juga dia kepada aku walaupun dia sendiri tak boleh nak picing.

Selesai Maghrib dia push aku bawa dia jalan-jalan lagi walaupun bila aku bertanya ke mana, dia cuma hinggut bahu. Aku pun cari akal untuk selesaikan urusan perbankkan kemudian singgah makan di gerai Mee Pokok Ceri kat astaka tak jauh dari Masjid Seberang Jaya. Memang diperakui mee gorengnya sedap.

Balik menjelang 10 malam kerana itu masa Angah dan Ayu balik bersama Marissa. Sambil ibu_suri bermain dengan Marissa yang tak berapa mahu sangat dengan orang selain mamanya, Angah berbual dengan aku perihal dia nak balik kampung Ipoh esok. Memang, berbanding ziarah orang tua ibu_suri di Penang, Angah lebih suka ziarah mak aku di kampung.

Bila Marissa merengek mau tidur, ibu_suri tiba-tiba bangun dan tarik tangan aku;

"Jom bawa I ronda-ronda. Boring la.. Marissa dah tidoq!"

"Apa ibu... kesian kat ayah!" ujar Angah. Aku malas banyak cakap, meminta kunci. Bawa Viva Angah lebih relaks rasanya berbanding Kancil aku yang dah tak berapa best akibat kemalangan dulu. 

Sememangnyalah menjaga kebajikan isteri yang mood dis-order ini memang perlukan kesabaran yang tinggi malah lebih tinggi dari puncak Himalaya. Tuhan ingin menduga aku, sebenarnya!

Rabu, 10 Oktober 2012

Fisherman

Sudah 2 minggu aku tidak menjenguk Akhmal di Penjara Sungai Petani. Bukan main lagi merengeknya ibu_suri yang amat rindu kepada Akhmal. Ok la... hujung minggu ni kita pi tengok dia, ujarku.


Batuk ibu_suri dah reda. Aku belikan dia Fisherman untuk dikemam bila saja tekak  terasa gatal.  Walaupun harganya agak mahal berbanding Strepsil atau Nano tapi ianya sugar free.

Aku pun tak tahu sebenarnya apa tindakan selanjutku terhadap kes Akhmal. Mungkin benar kata JH, dalam kes Akhmal ini tindakan aku lebih kepada by default. Sebenarnya fikiran aku pun dah buntu. Kerapnya Akhmal ini keluar masuk lokap buat aku seperti dah mangli. Samada biarkan dia di 'dalam' jika itu hukuman mandatorinya atau bebas dengan ikat jamin atau dengan pengawasan JKM bersama khidmat masyarakat; pada aku sama pro dan kontranya.

Ada juga terlintas di hatiku untuk membawa hal ini ke perbincangan bersama rakan usrah namun tak pasti sejauhmana kewajarannya.

Apapun, aku tidak putus-putus berdoa yang terbaik buat Akhmal. Dan ibu_suri pula yang tadinya ini mengadu sakit kepala pula buatkan aku berfikir bahawa sebenarnya aku mesti kuat dan teguh dalam memikul kesemua tanggungjawap ini. Bukan mudah sebenarnya menjaga 2 orang yang berlainan bentuk OKU ini. Pastinya, aku mesti menjaga diriku supaya nanti aku akan mampu menjaga mereka berdua.

Apapun, aku perlu tenang dan tabah dalam perjalanan hidup ini. Aku buat yang terdaya olehku. Aku adalah aku seadanya ini. Aku umpama Fisherman yang mungkin dihidupkan oleh Tuhan untuk merawati mereka selagi hayat ada!

Isnin, 8 Oktober 2012

Hari-Hari Terakhir Lelaki


Aku menghadiri jamuan meraikan persaraan rakan sekerjaku - Bahyah di kafetaria. Tak sangka rupanya dia dah mencapai umur persaraan. Cepatnya masa berlalu.

"Bila saya semak purata umur staf saya; lebih 50% adalah melebihi umur 45 tahun. Maknanya kalau nak dikira setiap bulan akan ada staf saya yang bersara," terang Azhar - GM bahagian QA department yang makan semeja. 

Aku sendiri pun kalau nak dikirakan hanya ada beberapa tahun sahaja bekerja di sini. Lepas tu aku tak tahu nak buat apa. Ramai yang suruh berniaga tapi aku bukannya ada pengalaman malah minat pun tak ada. 

Bila  dikenangkan tak sangka juga aku boleh bekerja hingga 30 tahun. InsyaAllah, tahun depan aku akan dapat sijil pengiktirafan dari majikanku bersama wang penghargaan yang aku agak RM1500 dan cuti 2 hari.

Aku tidaklah rasa kelat kerana selama aku bekerja di sini aku sempat memberi khidmat kemasyarakatan seperti menjadi pengerusi dan imam surau. Juga membantu hal-hal kebajikan rakan-rakan. Ramai di antara mereka yang merujuk kepada aku akan sebarang hal berkaitan peribadi dan kekeluargaan. Aku pun memang suka berkongsi pengalaman walaupun kekadang pening juga dibuatnya.

Walaupun aku selalunya dikategorikan oleh rakan-rakan sebagai individu yang pendiam, slow dalam tindakan serta terlalu lembut dalam mengambil tindakan namun itulah aku dan semampu itulah yang aku berikan untuk masyarakat di tempat kerjaku ini.

Sesekali fikir tak sabar rasanya menanti hari persaraanku ini. Letih dah bekerja. Anak pun dah besar dan berdikari. Tak ada yang perlu aku hambat lagi melainkan memenuhi keperluan hari-hari terakhir seorang lelaki. Mengisi baki usia dengan sesuatu yang aku suka dan ingini; yang dulu terpaksa aku pendamkan kerana mengutamakan keperluan anak dan isteri.

Ahad, 7 Oktober 2012

Pancit


Semalam aku balik kampung. Mak beria-ia benar mahu aku temani dia menyelesaikan isu tanah 3 ekar yang pajakkan oleh adiknya kepada pengusaha kelapa sawit. Kata mak, dah banyak bulan hasil perkongsian tidak dibayar.

Dalam perjalanan ke Slim River tiba-tiba tayar kereta pancit. Huu.. Memang susah hati dibuatnya sebab nak mengurus mak yang lumpuh sebelah badan dan ibu_suri perlukan kesabaran dan kekuatan. Mujurnya hal ini berlaku di stesyen minyak.

Berpeluh-peluh juga aku. Nasib baik salah seorang pekerja minyak yang aku agak dari Bangla dan seorang polis trafik membantu. Aku cuba rilekskan perasaanku kerana aku tahu perkara utama yang perlu ada dalam usaha kita menangani apa juga permasaalahan ialah ketenangan berfikir.

Alhamdulillah, dalam setengah jam proses menukar tayar gantian selesai. 

Dalam kereta aku beritahu kepada mak;

"Mujur saya tergerak hati nak tengok tayar tadi di Petronas. Kalau dibuatnya pancit masa di lebuhraya, naya kita."

"Syukur pada Tuhan." sela mak.

"Sebenarnya mak, pada pengamatan saya, adanya mak dalam kereta ini membuatkan Tuhan menggerakkan hati saya untuk singgah di Petronas dan check tayar kereta tadi. Hal begini pernah terjadi masa radiator Kancil saya bocor dulu. Masa itu saya bawa ibu-suri. Kalaulah dibuatnya radiator saya bocor tanpa saya ketahui di tengah jalan gelap....!"

Ya.. memang aku percaya Tuhan itu mengasihani hambaNya yang ikhlas berbuat sesuatu dan memberi yang terbaik. Rahmat yang diberinya kepada aku tadi bukan sangat kerana aku tapi kerana adanya mak dan ibu_suri yang kurang upaya!

Khamis, 4 Oktober 2012

Guruh


Baru balik dari usrah. Aku lihat ibu_suri wajah bersahaja duduk menonton tv. Setelah selesai meletak beg dan makan, aku membuka laptop.

"Hmmm... Tak habis-habis dengan laptop dia." Seperti merungut terhadap Angah. Ayu sibuk membasuh dan mengekap pinggan mangkuk.

Tak lama..

"Abang, simpan mug minuman ni." sambil menyua mug ke arah aku. Aku bangun lalu membasuh di singki dan meletak di rak. Kembali semula mengadap blog di laptop.

Tak lama..

"Abang, ubat I..." Aku mengangkat tangan memberi isyarat tunggu sekejap.

"Sikit-sikit tunggu sekejap. Kalau dah mengadap laptoppp..."

Malu pada menantu jika biarkan ibu-suri terus mengomel aku ambilkan ubat dan secawan air. Kemudian bersila kembali menyambung catatan di blog Hujan Petang. Tapi...

"Abang, jom masuk bilik. Main komputer dalam bilik lah.."

Susah payah aku bangun dan setting semula laptop di bilik.  Jarum jam bergerak pantas.

"Abang, baju I kat luar tak gantung balik."

Aku mula mendengus. Nak keluarkan perkataan kemarahan dari mulut memang tak boleh.

"Ooo... main komputer takpa. I suruh sikit nak marah dah..." Aku bingkas bangun. Bimbang juga akan meletup kemarahannya. Aku terpaksa pendamkan kelat di hati. Kemudian duduk semula untuk menyiapkan suntingan klip video untuk lagu sisipan blog.

"Bila nak tidur ni?"

Aku tengok jam. Memang pun.... dah 1.30 pagi. Hujan mula turun dengan lebat. Mesti tiris lagi bumbung rumah aku ini.

"Esok jangan merungut dengan I kalau lewat bangun pi kerja ya..!" 

Tajam muncung ibu_suri. Aku cepat-cepat meletak noktah pada tulisanku. Guruh berdentum sahut menyahut. Tak mahu pula nanti guruh itu hinggap di katilku ini.

Memang payah kalau punyai isteri yang terlalu banyak bergantung pada suami hatta untuk mengambil secawan air. Semasa dia sihat dahulu tak pernah aku terfikir akan ter'beban' begini!

Rabu, 3 Oktober 2012

Titik-Titik Ujian

Aku sebenarnya masih berasa kurang sihat walau sudah seminggu lebih. Sementara menunggu tiba waktu Zohor semalam, aku tidur sebentar. Nikmatnya tidur walau berbantalkan lengan; 20 minit terasa seperti lama.

Selesai Azan, aku yang sudah tawar dengan sikap bertolak-tolakan untuk menentukan imam, terus ke hadapan dan.... Allahuakbar!

Terasa nikmatnya sembahyang ketika itu walaupun sebenarnya bangun dari rukuk dan sujudku sudah tidak secergas dulu. Aku bacakan doa ( doa itu sahaja yang aku hafal pun ) dengan jelas setulus hati agar dapat didengari tiap patah ungkapan oleh makmum di belakangku.

Selepas makan beberapa ketul kuih di kafetaria diiring secawan white coffe dari vending machine, aku memasuki semula ke lokasi kerja. Dalam perjalanan itu aku ternampak seorang rakan Cinaku berjalan terhinjut-hinjut dari arah depanku.


"Apa sudah jadi dengan you punya kaki. Main bola punya pasai ka?"

"Bukanlah. Sakit sebab high uric acide."

Aku segera menukar tone suara gurau kepada suara bersahaja.

"You salah makan ke?"

"Taklah. I sudah jaga makan tapi mau sakit juga boleh buat apa!"

"Ya la... Bila I tengok you macam ni I pun naik risau. Tak tahu nasib I nanti macam mana." terangku sambil berjalan menuju ke lokasi smock.

Aku jadi insaf bila melihat rakanku tadi itu. Dulu dia seorang yang cergas dan ceria, kini seperti tempang kakinya dan matanya juga seolah-olah lebam kena tumbuk.

Bersyukur aku kerana di sebalik permasaalahan hidup yang aku lalui, aku masih mempunyai tahap kesihatan yang boleh dikira baik.

Kurang sihatku hari ini cuma setitik dari ribuan titik-titik ujian yang Allah turunkan ke atas hambaNya sebagai pengukur kesabaran dan tahap iman kita!

Selasa, 2 Oktober 2012

Makan Malam



Sementara menanti nombor giliranku naik ke skrin digital Agro Bank Taman Selat, aku berbual dengan Angah tentang masa depan Marissa. Rekabentuk dalaman Agro Bank ini memang tampak profesional dan amat aku senangi.

"Kalau boleh kamu usaha cari kerja yang jenis office hour. Sekarang ni kamu dengan Ayu balik 10 malam tiap-tiap hari. Cuti pula tak sama. Kamu hari Ahad, Ayu hari Isnin. Cuba bayangkan bila anak kamu berumur 5 tahun, 6 tahun atau belasan nanti. Dia akan terbiar di waktu siang. Jauh malam baru kamu balik. Masa kamu bersama dia pendek."

Angah seperti biasa diam mendengar.

"Satu hari nanti mau tak mau Ayu kena berhenti kerja untuk jaga anak-anak kamu. Kalau ikut kata doktor dulu maksima Ayu boleh bersalin cuma ada 3 kali secara operation. Maknanya jika ada rezeki kamu, kamu akan ada 4 orang anak."

"Paling baik cuba usahakan paling minima makan malam bersama-sama. Masa makan itulah masa terbaik untuk kamu mendengar luahan hati anak dan isteri kamu. Jangan marah-marah masa makan sebaliknya masa itu masa terbaik untuk memberi nasihat."

"Kalau pun Ayu tak sempat memasak kerana kerja, beli lauk pun tak apa. Masak nasi sendiri, hidang dan makan bersama. Jangan amal sorang makan depan tv, sorang lagi makan di dapur dan sorang lagi makan masa lain."

"Air tangan mak yang memasak untuk anak-anak lebih baik. Bila mereka besar nanti mereka boleh bercerita tentang sedapnya masakan mak mereka. Tak ada siapa yang mengatakan masakan orang lain lebih sedap melainkan masakan mak merekalah itu."

Sebenarnya, berbanding Along; Angah lebih beruntung kerana banyak nasihat dan pengalaman hidup aku, aku pindahkan kepada dia. Along itu perlu mekanisma lain pula untuk aku bercerita bila sampai masanya!

3005....Ah! nombor aku dipanggil!

Isnin, 1 Oktober 2012

Alitea


Angah mengeluh sambil meletakkan barangan dapur yang baru dibelinya dari Tesco. Walaupun aku selalu menegur akan habitnya membeli barangan di Pasaraya milik Yahudi itu namun alasannya mudah - di situ harganya murah.

"Ayah selalunya beli ni berapa harga?"

"RM17++" ujarku yang baru saja membelinya di pasaraya Billion, Seberang Jaya Sabtu lepas. Itu pun kira nasib baik aku masih ingat harga kasar pek Alitea itu sedangkan selalunya aku main cekuh dan bayar saja tanpa ambil pusing berapa harganya.

"Hah... la ni berapa ayah tau? 19 ringgit 5 kupang!" tajam muncung Angah.

Ha..ha.. Hati aku ketawa. Angah ni memang berkira sikit bab duit hatta caj seringgit bila keluarkan duit dari ATM yang berlainan nama bank dengan bankkad.

"Kan semalam baru saja pembentangan bajet. Subsidi gula dikurangkan 20 sen. Hang nampak apa yang ayah nampak?"

Aku  teruskan juga membalikkan telur mata kerbau di dalam kuali. Nak letakkan atas roti ala-ala burger, gitu. Sejak petang tadi ibu_suri tak makan kerana tidur yang lama. Lepas makan nanti baru boleh dia makan ubat sambil bermain dengan Marissa, cucu kesayangannya itu.

Kerajaan pun bijak. Diletupkan di tv akan sekalian pemberian BRIM, tambahan elaun persaraan, pemberian one off untuk yang bergaji RM3000 tetapi tidak terhadap cukai yang naik atau pengurangan subsidi pada taukeh besar yang diturunkan. Bimbang aku akan masa depan anak dan cucuku jika barangan seperti mustahil akan turun harganya sesuai dengan kemampuan pengguna.

Angah ini baru mula untuk pandai shopping barangan dapur. Dulu dia tak pernah ambil pusing melainkan Along!