Ahad, 28 Februari 2016

Mereka Yang Ikhlas


Alhamdulillah kerana hari ini aku dapat bersama di dalam Mesyuarat Agong Masjid Saidina  Abu Bakar As Siddiq ( juga dikenali sebagai Masjid Taman Guar Perahu ).

Walaupun aku tak layak sebagai perwakilan tetapi menjadi petugas sebagai pembantu juruvideo sudah mencukupi.

Walaupun tak banyak sangat yang aku perbuat tetapi dapat berinteraksi dengan jamaah masjid sudah cukup memuaskan hariku. 

Aku berasa amat janggal sebenarnya sebab tidak kenal sangat dengan mereka walaupun selalu berjumpa tapi aku redah jer...

Mesyuarat berjalan dengan lancar. AJK masjid memang well prepared dengan jawapan terperinci untuk setiap soalan yang dilontarkan.

"Itulah buktinya ajk masjid kita melaksanakan tanggungjawap dengan amanah dan jujur. Tak perlu gentar, berselindung atau tergagap bila nak menjawap apa saja yang ditanya..." terangku pada ibu_suri.

Kebanyakan ajk lama dilantik semula. Itu bukti perwakilan puas hati dengan hasil kerja mereka yang telah lepas.

Aku berasa gembira kerana dapat menjadi sebahagian kecil dari mereka yang ikhlas memikul tanggungjawap!

U-TURN


"Inilah yang dikatakan... kita merancang tapi Allah yang menentukan..." terang aku pada Angah pagi tadi. Dia heran kenapa aku tak balik kampung seperti yang dimaklumkan.

Aku pun tak tahu, tiba-tiba aku membuat u-turn dengan membatal semua rancangan semalam sebaik saja selesai mesyuarat ajk induk.

Petang tadi, aku bagi Viva kepada ct supaya boleh mengganti aku membawa abah ke mesyuarat koperasinya di KOMTAR, esok. Jadi... aku patah kakilah. Ke masjid atau ke kedai beli makan, terpaksa berjalan kaki. Bagus juga.... berjalan itu baik untuk kesihatan.

Lepas Isyak tadi aku ke belakang menjengah kerja-kerja ajk masakan. Jamuan para perwakilan mesyuarat. Khabarnya saiz jamuan adalah seekor lembu. 700 perwakilan dijangka hadir. 

Aku adalah ajk video shooting. Pengerusi menekankan bahawa rakaman semasa agenda perlantikan j/k sesi 2016~2018 adalah penting sebagai bahan bukti proses pencalunan dan pengundian.

"Jangan ingat mesyuarat masjid ni semuanya aman macam mesyuarat IKRAM..." ujarku pada ibu_suri.

"Kecoh macam mesyuarat Koperasi Pelaut pun ada."

Aku rasa ibu_suri boleh faham apa maksudku. Semasa dia masih kuat berjalan dulu, dia sendiri melihat depan mata bagaimana sikap perwakilan yang lantang bersoaljawap bila agenda kewangan dibahaskan.

Jumaat, 26 Februari 2016

Komitmen


28hb sepatutnya adalah tarikh yang diperuntukkan oleh pihak penjara untuk aku ziarah Akhmal. Namun, abah mertua minta aku hantar dia ke Mesyuarat Agong Koperasi Pelaut di KOMTAR. Aku angguk saja.

Entah macammana, aku diberitahu pula, ajk masjid sini minta aku membantu grup media semasa mesyuarat agong. Hmm... serba salah juga dibuatnya. Lama juga aku memikir. Akhirya aku harus berpegang pada janji awal.

29hb pula aku perlu bawa abah mertua ke Klinik Jalan Perak untuk rutin pemeriksaan kesihatan. Mengurus seorang tua yang umurnya hampir 90 tahun ini memang perlukan kesabaran yang tinggi. 

Aku rindukan mak di kampung sebenarnya. aku bercadang untuk curi masa 27hb inilah untuk balik. Jika terlepas 27hb ini, maka komitmen aku untuk balik sebulan sekali tengok mak tak tercapai.

Hari-hari lain aku terikat dengan mengambil Marissa dari tadika. Jadual yang ini aku tak boleh kata nak 'ambil cuti'. Nanti... hangin seluruh badanlah ibu_suri!

Beberapa perkara selalu bermain-main di fikiran beberapa waktu kebelakangan ini. Antaranya ialah... perlu cergas dalam kehidupan...

Rabu, 24 Februari 2016

Hutang


Inilah yang aku bimbangkan. Terasa akulah orang yang tidak bertambah amalan tetapi tempoh untuk hidup semakin berkurang.

Jarum jam tetap berpusing ke setiap nombor waktu tanpa rehat.

Kekadang seperti mahu pulang ke kampung, menghabiskan sisa hidup di sana. Di rumah usang sekangkang kera. Bersama mak yang uzur dan sendirian.

Biarlah anak-anakku mencari kehidupan mereka sendiri. Di zaman yang jauh berbeza di kala aku muda dahulu. Pandai-pandailah mereka hidup sepertimana aku dahulu mengharungi kepayahan.

Aku terlalu banyak berhutang dengan Tuhan dan perlu cepat mencari bekalan untuk melunaskannya!

Selasa, 23 Februari 2016

Jangan Ada Benci


Ya lah... Aku pun tak reti nak gaduh gaduh dengan orang. Kalau orang buat tak tahu kat aku, aku diam jer...

Pernah masa kerja sebagai pustakawan masa umur belasan dulu ataupun kerja kilang, aku di marah depan orang ramai oleh pelanggan; aku tidak pun menaruh dendam atau tarik muka masam.

Pernah instructor yang mengajar aku masa di IKM dulu berkata:

"Kamu ni... bila saya marah pun kamu senyum..." sedangkan aku tak perasan pun begitu...

Pernah aku di perli atau diperlekeh oleh kawan di depan kawan-kawan lain semasa breaktime di tempat kerja, aku tak membalas dengan kemarahan. Habis kuat pun aku menyepikan diri buat sementara waktu untuk menghilangkan rasa tersinggung. Selepas itu aku cuba melupakan.

Mungkin itu kesan didikan oleh mak semasa kecil dulu. Mak selalu kata: musuh jangan dicari... 

Lagipun, buat apa nak gaduh atau tak bertegur sapa dengan orang. Kita juga yang akan rugi.

Tapi bukan mudah juga. Akan ada orang yang mengatakan kita ini bodoh kerana terlalu baik. Hingga membiar diri diperkotak katikkan.

Isnin, 22 Februari 2016

Jemu Memandu

Kekadang, berasa jemu membawa kereta. Mahu saja rasanya duduk sahaja di belakang sorang sorang sambil memerhati keliling alam.

"Nak kemana kita ni?"

"Entah!"

Begitulah setiap hari. Membawanya keluar dari rumah adalah agenda wajib. Kalau aku ada kerja nak dibuat di luar, dapatlah 2in1. Kalau takada, makan angin ajelah.

Memandu pula tak boleh laju. 50km sejam pun dia dah membising. Di highway, mana boleh seperlahan itu, kan!

Memang aku faham, terperok sahaja di rumah membosankan. Tapi merayap tanpa tujuan juga membosankan.

Aku selalu istilahkan ini sebagai merendek. Rendek, kalau dalam bahasa Tamil maknanya 2. Kalau di kampung, masa kecil dulu, merendek diistilah sebagai pasangan yang berduaan di taman bunga.

Kekadang dek lamanya memandu, habis juga satu takat minyak di panel meter. 

Justeru kerap memandu, kereta aku yang baru berusia 3 tahun dah mencecah 70 000 km. 

Untuk serapkan kebosanan, aku yang sememangnya gemar dengan musik akan memastikan ada koleksi cd atau kaset dalam dashboard.

Banyak kalanya ibu_suri tak kisah. Namun bila suaranya agak keras minta aku buka radio atau tutup sahaja, terpaksa juga akur.

Dulu ibu_suri memang boleh memandu. Tapi sejak sakit, aku melarangnya. Dia mudah marah dan tak sabar.

Sabtu, 20 Februari 2016

Rindu Seorang Ayah


Semalam, majlis akad nikah Wani - adik Ayu berlansung di Masjid Perda.

Aku tidak sempat ke sana sebaliknya terus sahaja ke rumah Ayu terletak tidak jauh dari bulatan Bukit Tengah, bersebelahan kilang rempah Allagapa.

Bila waktu sembahyang Jumaat hampir masuk, aku mengajak Angah pergi ke masjid bersama.

Berjalan kaki dengan Angah seperti merasai satu kemesraan baru seorang ayah dengan anak.

Memang sudah lama aku tidak berjalan bersamanya sejak dah menjadi dewasa.

Selesai sembahyang, aku ajak Angah singgah minum di gerai berdekatan. Bukanlah dahaga sangat; cuma ingin mencuri kesempatan untuk berbual berdua.

Sebagai seorang ayah, aku mahu dengar apa yang ada di dalam kepala dan dadanya. Mungkin memberi nasihat dan mungkin juga akan mendapat pengajaran dari apa yang diceritakan.

Aku lupakan sekejap ibu_suri yang mungkin akan menyoal nanti.... buat apa kat masjid sampai pukul 3 baru balik ni?

Manalah dia tahu kerinduan seorang ayah itu bagaimana. Seperti juga, manalah aku tahu kerinduan seorang ibu terhadap anaknya itu bagaimana. Pasti ada yang tidak sama, kan!

Rindu seorang ibu boleh dibaca melalui keluhan namun bagi seorang ayah... rindunya jauh tersorok di balik ketawa.

Jumaat, 19 Februari 2016

Pelukan Suami



Beberapa kali ibu_suri meminta aku memeluknya.

"Teringat Akhmal..."

Aku tahu dari pembacaan bahawa wanita memang suka dipeluk oleh suaminya sebagaimana anak suka dipeluk oleh bapanya.

Sementelah sekarang ini, anak-anak hampir tidak lagi bersama ibu_suri. Kehidupannya kini sepi. Kalau sewaktu masih sihat dulu, dia begitu aktif ke sana ke mari dengan rakan NGO maupun politik, kini semua itu tidak lagi mampu dihadiri.

Kekadang dia tertanya: Masihkah kawan-kawan mengingatinya?

Aku sesekali teringat mak di kampung. Mak tentu lagi sunyi. Sudahlah adik beradik dan kawan-kawan, seorang demi seorang dijemput Ilahi. Anak-anak pun dah tua dan ada yang uzur dan 'pergi'.

Inilah kitaran hidup!

Justeru itu, setiap kali ibu_suri meminta aku memeluknya, aku layan sahaja dengan ikhlas hati dan cuba memahami...

Rabu, 17 Februari 2016

Sambal


Selepas mendapatkan stok baru ubat untuk ibu_suri di Hospital BM, aku singgah sekejap di WU. Hantar wang kepada kawan ku - Heri Sukani yang tinggal di Sumatera Barat. Minta dia belikan beberapa keping cd dan kaset Ebiet G Ade.

Terasa lapar, aku terus ke Jalan Permatang Rawa, beli nasi. Seperti biasa, beli bungkus dan makan di tepi Masjid Kubang Semang. Oleh kerana ibu_suri susah nak berjalan keluar, kami makan dalam kereta sahaja.

"Abang beli nasi lauk apa?"

" Kari ikan."

"Ada boh sambai tak?"

Aku melepas nafas dalam yang kecil.

"Aritu, abang beli nasi bubuh sambal, komplen... Mana ada orang makan nasi kuah kari dengan sambal. Sekarang, tanya pulak pasal apa tak bubuh sambal?"

Diam.

"Nak sambal gak ke?"

"Ye laa..."

Dengan berat aku keluar dari kereta menuju kedai makan. Takkan nak minta sambal aje kat kedai ni?

Mau tak mau, aku beli jugalah sebungkus lagi nasi. Sambal bungkus asing.

Masuk dalam kereta, aku keluarkan pinggan dan sudu ,(semua itu memanag sentiasa ada dalam kereta )  bukakan bungkusan nasi dan letakkan sambal. Aku ikut makan sama. Perut aku memang berkeriut sejak kat BM lagi.

Sayup-sayup terdengar suara imam mengetuai jamaah bersolat Zohor. Kata ustaz, kalau perut terasa lapar dan makanan memang dah tersedia, harus makan dulu.

Lupa


Entah kenapa, akhir-akhir ini aku kerap lupa dalam sembahyang. Lupa rakaatlah, lupa duduk antara 2 sujudlah.  

Tak pasal-pasal kerap kena buat sujud sahwi.

Sebab itu sekarang ini aku rasa bimbang bila singgah solat di masjid atau surau di stesyen minyak, orang lain yang masbuk ikut belakang. 

Janganlah pula nanti, aku terlupa jalan balik ke rumah... dahlah. Tu baru ya...

Isnin, 15 Februari 2016

The Zikr


Itu adalah beberapa keping album The Zikr yang aku kumpul semasa aku aktif bernasyid dulu. Masih tersimpan dalam keadaan baik. 

1. ALBUM KENANGAN - 1993
2. ANTARA 2 CINTA - 1993
3. SECERAH PAWANA - 1994

Ahli kumpulan The Zikr adalah Nazri Johani, Mohd Salleh Ramli, Abu Bakar Mohd Yatim dan Azahari Ahmad.

Antara lagu yang aku paling suka dengar ialah :

: Semangat Waja
: Isteri Solehah
: Allah Is Calling

Alunan suara, alunan irama, perkusi dan liriknya yang indah begitu menyentuh jiwa yang lembut. Aku agak... sebelum mencipta lagu, tulis lirik dan membuat rakaman, mereka ni sembahyang sunat 2 rakaat dulu!

Lagu Wahai Kekasih dan Tika Abuya Pulang agak kontraversi liriknya. Lagu Tika Abuya Pulang tidak dimasukkan ke dalam cetakan semula dalam bentuk cd oleh Inteam Records.

Apapun, kesemua kaset The Zikr ini amat aku sayang dan selalu dengar. Sukar ditemui lagi lagu-lagu baru yang seindah dan mengesankan seperti lagu-lagu The Zikr, sekarang ini...

Khamis, 11 Februari 2016

Ntah...



Dah seminggu tak menulis...

"Kenapa?"

Ntah...

"La... Kata, menulis itu adalah minat utama."

Betul!

"Takada bahan ke?"

Banyak...

"Habis tu?"


# senyap


"Hari ni tak ambil Marissa dari TAR?"

Tak... Dia ponteng. Lambat bangun.

"Habis... Nak buat lepas ni?"


# senyap


Ah... solat Dhuha lagi baik...

Selasa, 2 Februari 2016

...


Seminggu dua ini memang aku berasa resah, jemu dan tak terurus. Nak salahkan siapa? Nak mengadu pada siapa?

Kekadangnya, aku bersujud panjang... bercakap dengan Tuhan. Mohon diberikan hidayah dan kekuatan.