Ahad, 29 Jun 2014

Ramadhan Pertama

Mulanya memang aku rasa amat ragu-ragu untuk mengurus Ramadhan pertama dengan kondisi badan yang tak stabil. Kekadang terfikir, kenapalah aku harus hadapi hidup yang walau tengah demam ini pun masih terpaksa uruskan ibu_suri, bukan sebaliknya dia yang urus aku?

Semalam, ziarah mertua di Taman Buah Pala ( tak jadi nak pergi ke Sungai Petani ). Itupun, kami tiba dah lewat petang . Kesian abah... aku tahu dia tunggu aku datang untuk bawanya ke pasar Batu Lanchang; beli barang dapur. Abah lebih suka berpergian dengan aku kerana aku sabar melayan kerenanhnya.

"Aku dah lama tak sembahyang Terawih." ujarnya bila selesai azan Maghrib di kaca tv. Padanya, sembahyang Terawih hanya dibuat bila di masjid sedangkan sebenarnya buat di rumah pun tak mengapa. Aku tak mahu kata apa-apa. 

Sahur aku hanya berdua dengan ibu_suri. Angah dah ada keluarga dan rumah sendiri. Along pula agaknya bersahur di Serawak, sorang-sorang juga. Akhmal? Hmmmmm....

Mujurlah hari ini hari Ahad. Hari pertama puasa selalunya aku tewas. Jadi bila ada di rumah, boleh baring kalau rasa tak larat. Cuaca pulak redup dan sejuk sebab hujan. Ah... Tuhan itu maha mengetahui atas kelemahan hambanya. Diberi ujian di sini, diberi penawarnya di sana.

Aku beritahu ibu_suri sebelum tidur semalam bahawa sahur dan iftar kami kali ini tak mahu berlebih-lebihan macam dulu. Cukuplah makan dan minum yang simple sahaja. 

Sejak bertahun-tahun inilah, aku tak pernah rasa masakan dari tangan ibu_suri sebaliknya beli di kedai. Agaknya kalau orang bertanya kepada anak-anakku, apakah masakan ibu yang paling sedap, mereka tidak ada jawapan sepertimana jawapan yang boleh aku berikan bahawa masakan emak aku yang paling sedap ialah.... semuanya!

Sabtu, 28 Jun 2014

Telan Ubat

Rasa badan ini seperti tak ok bila bangun pagi sedangkan lewat semalam seperti demam dah nak kebah.

"Ini pasal tidur dalam aircond la ni.." rungutku pada ibu_suri. Risau juga aku kalau menjelang esok aku masih tak stabil. Esok dah mula puasa. Malam ni aku dah kena fikir macam mana nak sahur. Nak kemas rumah yang masih semak.

Nampaknya aku terpaksa telan semula ubat demam dan antibiotik. Punyalah besar ubat-ubat tu. Aku tunjukkan kat ibu_suri.

"Boleh tersekat kat kerongkong ni.." getus ku. Itu baru ubat demam aku. Tak dapat kubayangkan bagaima ibu_suri yang setiap hari 2 kali kena telan ubat diabetis, hipertensi dan psikiatriknya itu yang lebihkurang 10 biji setiap kali telan.

Aku tak boleh layan badan aku ni, fikirku. Aku capai penyapu dan pencakar untuk bersihkan halaman depan rumah. Itu kawasan pertama operasiku pagi ini. Operasi yang selalu aku buat hujung minggu. Cuci longkang dan buang najis kucing yang cukup suka berak depan rumah.

Apa boleh buat. Beli rumah corner lot, memang terpaksa hadapi kerenah sampah sarap bertakung di longkang depan rumah.

Walaupun kekadang rasa marah kerana buta-buta saja kena buang sampah yang orang lain buang tapi aku cuba anggapkan ia satu kerja kemasyarakatan.

Ingat sat lagi nak ajak ibu_suri pi Sungai Petani. Nak singgah Fatimah Bakery untuk beli minyak zaitun lansung singgah ke Hasani Book Store, nak ushar CD baru Ramadhan dan Rabbani, kot-kot masih ada...

Jumaat, 27 Jun 2014

Masih Demam

Beriya-iya ibu_suri menyuruh aku rujuk semula ke klinik, semalam.

"Abang demam lagi ni.." sambil menyentuh belakang tangannya ke tengkukku.

Aku faham sangatlah akalnya tu. Tapi memang aku rasa sekejap ok, sekejap tak ok, badanku ni. Jadi, aku gagahi juga pergi ke klinik pada jam yang sama aku pergi semalam dengan harapan aku akan berjumpa dengan doktor yang sama. Doktor itu seorang perempuan Cina dan masih muda, Baik orangnya.

"Awak tak demam pun!" ujarnya sambil menekan pengesan suhu badan ke dahiku. 

"Tapi saya rasa tak stabil. Batuk dan sakit kepala."

Hari ini hari Jumaat. Alangkah baiknya kalau cuti begini aku manafaatkan dengan pergi ke rumah mertua untuk membawanya bersama bersembahyang Jumaat di masjid. Tentu sekali dia suka kerana dia terlalu uzur untuk pergi sendiri menaiki motor C90 Hondanya.

Namun sampai masa ini ibu_suri nampaknya masih nyenyak tidur. Dan selalunya aku tak akan ganggu tidurnya sehingga dia bangun sendiri. Aku tahu dia baru saja dapat melelapkan mata setelah sepanjang malam matanya tak boleh pejam.

Sebenarnya kepala aku masih berdenyut dan mata aku terasa stress. Tak tahulah di masjid nanti, aku boleh bertahan atau tidak untuk menunggu waktu masuk, khutbah dan seterusnya berjamaah.

Sat lagi nak pergi beli moi kat astaka depan taman. Tekak ini masih belum boleh terima makanan berlauk seperti yang selalu aku makan. Tose semalam pun aku tak mampu habiskan. 

Payahnya kehidupan ini....huh...!

Khamis, 26 Jun 2014

Demam

Cuti sakit hari ini. Sengsara sungguh rasanya demamku kali ini. Dicampur dengan bibir yang pecah akibat menggunakan berus gigi yang rosak dan kembang. Nak makan cukup menyiksakan.

"Wow.. you punya tonsil bengkak dan merah." Beritahu doktor semasa aku pergi ke Kilinik Utama, Bukit Mertajam. Aku dapat cuti sehari. Yang paling suka ialah ibu_suri, Suka kerana aku akan berada di rumah.

Tidur pun rasa tak selesa. Nak tidur di luar ibu_suri tak bagi. jadi aku terpaksa tidur di bilik dengan suhu sejuk oleh pendinginhawa. Terasa bagai berlawan panas dalam badan dengan sejuk di luar.

Memang, seharian aku lebih banyak baring. Keadaan rumah yang semak buat aku tambah sakit. 2~3 hari lagi nak puasa. Kerja di pejabat ada banyak. Kerja di rumah juga banyak. Aku sorang saja nak kena pulun semua ini. Aduhai...

Sabtu, 14 Jun 2014

Menjadi Batu

Surau RSM,

Rasanya,selama aku diamanah untuk mengepalai jamaah surau, ini adalah keputusan yang paling lama untuk aku putuskan. Lama kerana ianya terlalu sensitif. Terlalu kontroversi.

Tidak seperti keputusan untuk mengizinkan kuih bulan jenama x dijual di koperasi. Atau isu mengadakan ruang solat tambahan untuk muslimah ketika Subuh Ramadhan.

Keputusan yang ini mengambil masa lebih sebulan. Aku terpaksa lebih dulu berdepan dengan pandangan pro dan kontra dari sahabat ajk. Menelaah fatwa JAKIM dan kenyataan KKM. Membaca tulisan-tulisan dalam web dan blog secara profesional dan bukan emosi.

Justeru aku adalah key person yang dipercayai oleh wakil dari pihak Sumber Manusia untuk memberi kata putus maka aku perlu berhati-hati dan berpijak di atas padang fakta dan bukan yang samar-samar.

Aku tahu keputusan yang aku buat samada Ya atau Tidak akan menerbitkan polimik di kalangan pekerja lain samada yang Islam atau Belum Islam.

Baru semalam saja aku nekad memecah kebuntuan yang sekian lama membelenggu dada dan membuat aku bagai tertekan juga. Keputusan membenarkan pihak koperasi menjual produk Cadbury. Keputusan ini aku buat setelah meyakini kenyataan JAKIM, KKM, meneroka panorama pasaraya secara rawak dan mencanai pandangan dari kawan-kawan yang sedikit terbuka cara fikir mereka.

Aku yakin, keputusan yang aku buat ini betul. Bermakna, aku bersedia menghadapi  segala kemungkinan serangan pandangan atau kritikan dari kawan-kawan lain, jika ada.

Surau RSM,

Kalau setakat nak mentadbir kamu dengan sekalian jamaahnya yang mungkin sekadar ratusan orang pun bagai nak rak otak di kepala, ntah bagaimanalah aku jika dimahukan untuk menjaga sebuah syarikat, sebuah negeri apatah lagi sebuah negara!

Tapi kekadang fikir bagus juga dengan kontroversi begini. Banyak benda baru yang aku belajar dan pelajari.

Betul juga bak lagu Sweet Charity ini, menjadi batu mungkin lebih baik. Tak banyak dosa!




Isnin, 9 Jun 2014

Ombak

Blog, 

Maafkan aku kerana lama menyepi. Bukan kerana rajuk. Bukan  juga malas. Tidak juga dek tandus ilham. Hakikat kehidupan yang walaupun pahit terpaksa juga berhadapan.

Ketiadaan laptop yang aku sayang buat aku seperti kesaorangan. Ada pun desktop, dah lama anakku ambil dan letak di bilik bujangnya. Biarpun dah beberapa kali aku minta untuk letak semula di meja ruang tamu supaya boleh diguna bersama; dan dia berkata.." Ya!".... Cuma  'ya' yang tiada titik.

Hari ini aku ambil cuti kerja separuh hari. Tak siapa tahu sekalipun ibu_suri. Aku ingin sendirian. Ntah kenapa aku terasa amat hiba mengenang pantai hidup yang tak henti-henti dihempas ombak. Sepi dan sakit. Imbauan pandangan ke laut lepas seperti tidak pernah bertepi. RnR Juru itulah tempat aku mencari damai. Sambil baca Harakah, sambil minum Radix dan makan karipap gergasi kegemaran. Kemudiannya aku menulis sesuatu di dalam buku nota merah, buku nota kesayanganku itu.

Masa ini aku menulis di cc Forty4.com, tak jauh dari Mini Uptown, Perda. Tak tahu bila pula aku dapat menulis lagi. Tak tahu bila... hinggalah laptop itu dapat aku tebus dan letak semula dimeja cermin, posisi selalu aku mengetuk biji-biji huruf, memintal perasaan menjadi perkataan.

Letihnya aku menjaga kerenah anak-anak dan ibu-suri buatkan aku kekadang seperti mahu menangis.

Semalam, mak aku datang dari kampung. Kesian mak... Bila perlu ke bilik air, mengesot-ngesot mengheret sebelah lagi tubuhnya yang lumpuh. Aku dan adikku - Darul lah membersihkan tubuh keringnya dari najis. Memakaikan semula baju dan seluarnya. Terasa begitu bertuahnya aku kerana dapat menyarung baju ke badan mak, saling tak tumpah seperti mak menyarung baju ke badan aku semasa aku kecil. Kalau tidak kerana lelaki, sudah lama airmata ini gugur ke pipi.

Blog, 

Aku juga sudah lama tidak menulis puisi sepertimana ketika aku remaja dulu yang begitu prolifik. Sesekali mak bertanya, kamu tak menulis lagi, Toha? (Itu nama timanganku di kampung). Aku cuma diam. Diam kerana jawapannya sudah ama lenyap dicelah-celah ombak yang menghempas pantai tanpa henti itu.

Kekadang terasa amat malu. Di usia separuh abad ini masih tak henti-henti mengeluh tentang pantai. Tentang ombak. Akan tetapi kekadang aku juga bersyukur kerana pantai dan ombak itulah yang telah banyak menyedar dan memahamkan aku tentang Tuhan dan kehidupan maknawi!

Pantai dan ombak itulah sebenarnya yang membentuk aku menjadi seorang lelaki yang bernama ayah dan suami!