Selasa, 19 Mei 2020

Catatan Menjelang Hari Raya...

Cuma beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Aidil Fitri. Aku ambil kesempatan ini untuk memohon maaf dari kalian atas salah silap selama kita berblogging.

Terima kasih juga kepada yang sudi memberi sumbangan kepada aku dan ibu_suri samada berbentuk wang, bahan makanan kering maupun lampin lupus untuk ibu_suri. Baik budi kalian hanya Allah yang membalas.

Sejak beberapa hari ini ibu_suri asyik mengadu sakit gigi. Hendak membawanya ke klinik gigi serba salah sebab masaalah pergerakkan dia yang terbatas. Tambahan pula nak duduk di kerusi cabut gigi klinik itu nanti aku bimbang akan jatuh. Kalau pun boleh duduk aku takut tak muat pula sebab saiz punggung ibu_suri yang besar.

Macam-macamlah yang terlintas di fikiran ini.

Aku pula sejak semalam asyik sakit tumit bila berjalan. Seperti ada duri yang mencucuk kaki. Mungkin duri yang tertusuk di kaki aku dulu tak habis dibuang keluar. Malas nak belek kaki ini walaupun ibu_suri membebel suruh aku tengok.

Akhmal dah bekerja dengan Car Wash di Jalan Baru, Seberang Jaya. Kerja cara dia la. Pergi kerja ikut suka mood dia. Aku malas nak fikir. Biarlah dia susun kehidupannya sendiri.

Esok pegawai AADK khabarnya nak datang ke rumah. Ziarah untuk beri sumbangan hari raya kepada Akhmal agaknya. Memang begitu sesekali tahunnya. Pernah pihak penjara juga datang semasa Akhmal masih dalam parol.

Hari raya ini, aku tak boleh balik kampung ziarah mak di Ipoh sebab pkpb. Nak ziarah abah mertua di belah Penang juga tak dapat sebab abah masih berada di Kampung Batu Dua, Jalan Pahang; rumah pusaka dia.

Along juga tak dapat balik kerana pkpb tidak membenarkan dia rentas sempadan.

Harap Angah dan keluarga sahaja yang akan datang. 

Aku reda sahaja dengan keadaan yang aku alami ini. Bagi aku, bila dah tua dan terpaksa pula menghadapi semua ini, aku tidak mengharapkan lebih-lebih selain apa yang ada. Berada-ada bukan lagi hasrat aku.

Tak mahu renyah renyah. Relaks sahaja. Fikir yang boleh dicapai oleh tangan...

foto Angah dan Along semasa melawat adik ipar sedang
bekerja di kilang teh boh, cameron highland.

Rabu, 6 Mei 2020

Ke Klinik MOPD

Hari ini sepatutnya jadual rawatan susulan ibu_suri di klinik mopd, Hospital Bukit Mertajam. Tapi aku tak benarkan ibu_suri bersama sebaliknya aku pergi seorang diri sahaja berjumpa doktor. Tujuan aku ialah untuk meminta penangguhan tarikh rawatan yang baru. 

Aku kurang yakin dapat menguruskan pergerakkan ibu_suri dari katil ke kerusi dan dari kerusi ke kereta dan begitu sebaliknya. Risiko jatuh seperti yang telah berlaku semasa proses ambil darah minggu lepas masih menghantui..

Rancangan aku ialah meminta doktor memberi tarikh baru; minima sebulan dari hari ini supaya sempat ibu_suri recover dirinya.

Alhamdulillah, bukan takat sebulan tapi dua bulan tempoh yang diberi oleh doktor. Yang tak bestnya, ibu_suri kena ulang semula proses ambil darah seminggu sebelum tarikh temujanji yang baharu.

" Kan istri saya dah ambil darah minggu lepas? " tanyaku pada jururawat yang bertugas menyaring kad lawatan pesakit dan memberi tarikh temujanji baru.

" Memang setiap kali jumpa doktor kena ambil darah dulu! "

Aku rasa pelik dengan jawapan itu. Aku bukannya baru membawa ibu_suri ke klinik. Dah lebih 10 tahun sejak 2008. Aku agak ini mesti kes kertas keputusan ambil darah minggu lepas tidak sampai ke tangan doktor tadi. Aku perasan bila aku bagitahu doktor bahawa ibu_suri terjatuh semasa ambil darah minggu lepas doktor bertanya sekali lagi pada aku... istri awak ada ambil darah?... sambil dia membelek-belek buku catatan rawatan yang semakin tebal di depannya.

Kemudian dia meminta aku keluar dahulu sambil melihat dia berlalu ke bilik sebelah.

Pasrah sahajalah walaupun aku agak kurang senang. Kalau boleh aku nak elak dari ulang alik ke klinik seperti ini kerana risiko ibu_suri yang semakin tidak kuat lutut dan bertambah berat badan. Ini tak masuk jadual lawatan susulan ke klinik Kesihatan Mental di Hospital Besar Pulau Pinang pada bulan tujuh nanti.

Teringat aku akan iklan jualan alat yang boleh membantu kekuatan lutut untuk bangun. Alat itu akan di bungkus ke lutut. Ia banyak digunakan oleh pekerja yang selalu mengangkat benda berat.

Sementara menunggu tadi aku ada juga terbaca poster yang tertampal di papan kenyataan klinik tentang menggalakkan senaman untuk menguatkan otot. Ya... agaknya dek kerana ibu_suri kurang bergerak ( asyik berbaring di katil ) menjadikan otot kakinya semakin lemah. Aku berangan untuk membantu ibu_suri bersenam otot dalam tempoh ke tarikh rawatan yang baharu ini nanti.

Agakkan aku ini dikuatkan dengan pengalaman aku menjaga abah mertua di Hospital Lam Wah Ee dan juga menjaga ibu_suri di wad 10. Bila lama berada di wad dan tiba masa untuk discaj, akan ada pakar fisioterapi yang datang dan mungkin ( kerana aku belum pernah terjembong dengan pakar ini ) akan mengajar ibu_suri senaman ringan melonggarkan otot dan mungkin cara turun katil yang selamat.

Sambil menunggu tadi juga aku sempat melihat seorang tua bertongkat, sebaya arwah abah aku yang baru sampai dan mencari tempat duduk. Dia akhirnya melabuhkan punggungnya di kerusi yang bertanda pangkah. Kasihan pula aku. Nak aku berikan tempat duduk aku, dia jauh di hadapan. Lelaki India yang berada di sebelahnya seperti rasa kurang selesa.

Orang tua... aku fahamlah. Tapi aku pun tak berbuat apa-apa.

Muga kalian sihat semuanya dan patuhi arahan PKPB sekarang ini. 

Mujur Pulau Pinang semakin menuju ke kategori zon hijau. 

Tapi kenyataan dari Menteri Pertahanan ini agak menggusarkan kita juga. 2 tahun bukan jangka masa yang sedikit. Bolehkah kita bertahan dengan disiplin norma baharu?




Harap semuanya baik baik sahaja. Dan semuga kita semua akan sihat dan menjalani hidup yang selesa. Tolong doakan kesihatan ibu_suri juga, ya!

Isnin, 4 Mei 2020

Catatan Ramadhan ke 11

Hari ini Ramadhan ke 11. Selamat berpuasa sahabat blogku yang masih ingat akan aku. Muga kita berjaya melaluinya hingga ke fajar Aidil Fitri.

Aku sihat sahaja. Ramadhan kali ini, aku pun tak tahu kenapa, tidak sangat terasa letih sebermula dari hari pertama lagi. Tahun tahun sebelum ini selalunya minggu pertama agak longlai sebelum menjadi kebiasaan.

Sekarang ini dah masuk ke fasa 4 PKP. Aku dah mula datang ke tempat kerja sejak Sabtu lepas. Semenjak kawalan pergerakan dilonggarkan oleh pihak penguatkuasa yang menjaga jalan raya di pekan Penanti. Segan kepada majikan yang masih membayar gaji walaupun dah sebulan lebih aku duduk sahaja di rumah. Aku faham, bos aku pun tentunya ada masaalah kewangan untuk membayar saraan kerana bisnesnya tidak bergerak.

Terbaru, ibu_suri semakin sukar berjalan. Sebelum itu ibu_suri memang mengalami masaalah sakit lutut. Tidak mampu berdiri lama.

Musim PKP pula membuatkan ibu_suri terperap di katil 24 jam, tidak lagi dapat aku bawa berjalan-jalan setiap malam seperti kebiasaan. Berat badannya semakin naik. Mandi pun terpaksa duduk di kerusi roda.

Rabu lepas aku bawa dia ke Hospital Bukit Mertajam, jadual ambil darah. Semasa turun dari kereta dan naik ke kerusi roda memang dah terasa bermasaalah untuk berdiri. Selesai ambil darah, ibu_suri kembali ke kereta. Semasa bangun dan hendak mengalih punggung dari kerusi roda ke kerusi kereta, ibu_suri terjelepuk jatuh ke atas jalan raya.

Aku memang tak boleh berbuat apa-apa melainkan menjaga kepalanya supaya tidak terhantuk ke kereta atau ke kerusi roda.

" Mau panggil orang tolong ka? " seorang wanita Cina bertanya pada aku.

Aku angguk.

Sekejap sahaja ramai staf hospital lelaki mengelilingi kami berdua.

" Saya tak mampu nak angkat dia. "

Dipendekkan cerita, ramai yang cuba mengangkat ibu_suri tapi tak berjaya. Tak bergerak pun.

" Istri saya OKU mental. Ada masaalah nak berkomunikasi dan berfikir secara cepat dan logik, " terangku.

" Takpa.. takpa... "

Ada yang memberi cadangan membawa stretcher, guna kain yang khas untuk mengangkat pesakit dan ada juga yang mencadang membawa ambulan.

Nasib baik ada seorang yang agak muda dan berbadan besar, memakai baju seragam berwarna hijau muda datang kepada ibu_suri. Di masa ini pada aku, aurat sudah menjadi nombor dua. Yang penting ialah memastikan keselematan ibu_suri.

Airmata ibu_suri dah mula mengalir. Dia dah mula putus harap. Sikap ini menambah sukar nak membantu dia.

" Pegang tengkuk saya dengan ke dua tangan kamu.  Bila saya tarik, kami tolak dengan kami kamu bangkit. Cuba... cuba... "

Bila terangkat sahaja punggung ibu_suri dari jalan, aku dan beberapa orang lain menampung punggung ibu_suri membantunya bangun. Seorang lagi masuk ke dalam kereta membantu.

Akhirnya, selamat ibu_suri ke dalam kereta.

Aku tidak terus balik ke rumah sebaliknya bawa ibu_suri berjalan-jalan melihat bandar Perda, Seberang Jaya dan Permatang Pauh yang dah sebulan lebih tidak dilihatnya. Tujuan aku ialah untuk mententeramkannya yang mula gelisah kerana ternyata dia sudah ke tahap tidak boleh berdiri lagi.

Aku pun tidak tahu nak buat bagaimana. Berfikir dan cuba mencari solusi. Susahnya sebab ibu_suri sendiri yang tidak boleh mengusahakan diri sendiri untuk berbuat sesuatu untuk dirinya.

Makan tak boleh kontrol. Minum juga. Bila aku suruh buat senaman, ada la 1~2 round, kemudian dia tak mahu. Mengadu sakit sana sini. Aku pun bukannya larat juga.

Entahlah, aku harap sahabat blogku semua doakanlah yang baik-baik buat kami berdua.

Di bawah ini ialah klip video cucuku yang ke3 - Uwais Rizqi. Cucu alaf baru. Yang menjadi kerinduan dan penghibur hati ibu_suri selalu.

Semakin cerdik dia sekarang...



Selamat berpuasa dan menjalani ibadah. Jaga kesihatan ya!