Ahad, 30 Oktober 2011

Tak Sedar Air Mata Mengalir

Foto ihsan dari sini
Bukan ibu_suri tidak pernah tanya; Bila kita nak pergi Haji?

Aku jawap; Wajib pergi Haji itu apabila kita mampu dan setelah selesaikan tanggungjawap kita terhadap yang akan kita tinggalkan. Tapi sekarang kita masih ....

"Boleh ke I pergi Haji kalau sakit macam ni?"

"Boleh!" jawap ku seperti yakin sedangkan aku sebenarnya pun tidak tahu boleh atau bagaimana nak urus ibu_suri bila berada di tempat, cuaca dan yang asing begitu. Kalau ke bilik air di R&R pun aku kena bantu, apatah lagi jika di sana.

Tapi aku tak nafikan jika ada seru Allah, apa keadaan diri kita sekalipun, Allah akan bantu. Cuma ibarat sabda Nabi; jika nak tinggalkan unta, tambatkanlah ia terlebih dulu..

Aku acapkali mendapat khabar yang rakan-rakan lamaku seorang demi seorang sudah pergi ke Baitullah. Malah ada yang dulu kaki perempuan, kaki gaduh pun berpeluang bergelar Hujjaj.

Hurmm... Aku harap sebelum mataku tertutup, aku juga berpeluang ke sana. Kata mak; bila melihat Kaabah tak sedar air mata mengalir!

Selasa, 25 Oktober 2011

Beranak Ramai Ketika Masih Muda

Foto hiasan

Bilamana Angah bertanyakan aku;

“Kalau doktor ‘ikat’ rahim Ayu lepas bersalin ni, macam mana, ayah?”

Aku terdiam juga. Kiranya Angah sudah cukup matang untuk berbincang tentang hal-hal kekeluargaan. Aku tidak boleh lagi menganggap dia seperti anak remaja. Cara aku berbual dan menasihatinya juga perlu secara dewasa.

“Paling bagusnya Ayu beranaklah selagi mampu. Sementara masih muda ini beranaklah ramai-ramai. Nanti bila agak umur 35 ke atas barulah fikir untuk ‘berhenti’. Sebab itulah Islam galakkan ibu menyusukan anak hingga anak berusia 2 tahun kerana amalan ini akan sekaligus boleh mengawal kelahiran.”

Aku teringat dahulu bila ibu_suri bertanyakan aku, aku menjawap bahawa aku nak anak ramai macam mak dan abah aku.

“Awat, abang larat nak jaga ke?”

Tapi ditakdirkan selepas Along lahir pada 1986, 11 bulan selepas itu Angah di lahirkan. Aku menyuruh ibu ‘merancang keluarga’ selama 2 tahun. Rupanya ditakdirkan Allah selepas itu ibu_suri selalu mengalami keguguran hingga akhirnya ibu_suri mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat walaupun aku tidak bersetuju kerana aku bimbang pada kesan jangka panjang.

Justeru itulah Along dan Angah amat rapat persaudaraan mereka kerana usia mereka segagan sedangkan Akhmal yang lahir pada 1993  agak berlainan zamannya dan tidak se’gu’ dengan zaman Along dan Angah. Jadinya, Akhmal lebih suka mencari kawan sebayanya. Along dan Angah sekadar berbual atas dasar keluarga.

Aku selalu nasihatkan kepada anak-anak saudaraku supaya mereka berkahwin awal dan beranak ramai ketika masih muda. Bila umur 40 tahun, anak-anak sudah besar dan kita tidak perlu bersusah-susah menjaga mereka. Bila umur 50 tahun, anak-anak ramai yang dah berkahwin.

Masa itu kita suami isteri bolehlah mengisi baki usia dengan amal ibadah tanpa perlu lagi bersusah payah memikirkan hal-hal membesarkan anak.

Ahad, 23 Oktober 2011

Terima Kasih, Bang!

Foto ihsan dari sini
Sesuatu yang bagusnya tentang sikap ibu_suri ialah - dia mudah mengucapkan terima kasih. Aku sendiripun susah untuk bersikap sedemikian. Apatah lagi kepada yang bernama ISTERI!

Selalunya, pagi hujung minggulah aku punya banyak masa lapang untuk mengadap pc. Masaalah isomea menyebabkan ibu_suri cuma mengantuk dan tidur ketika hampir masuk waktu Subuh. Jadinya, selepas aku selesai solat Subuh, jika tidak ke Tasik Mengkuang untuk riadah fizikal, aku 'riadah' minda depan pc je.

Tapi, pagi ini baru jam 10, ibu_suri tersembul  di sisi aku.

" Abang tak masak hari ni? Kalau masak, abang buat errr...  ayam masak kicap, boleh?"

"Mana abang reti..." cuba untuk berdalih.

"I tunjuk la nanti cara-caranya."

Tersentutlah cita-cita aku untuk buat entri baru awal pagi tadi seperti selalunya. Aku pun ke kedai membeli bahan-bahan. Kebetulan Angah ada di rumah hari ini. Mungkin kali ini, masak sendiri lebih menjimatkan kos. 

Lagipun, memakan dari masakan air tangan ibubapa sendiri itu lebih baik dalam membantu pembentukan emosi dan rohani anak dari memakan  lauk yang dibeli; yang kita tidak tahu latar belakang si tukang masak. Sama juga halnya dengan bayi kita yang meminum susu ibu lebih baik dari minum susu formula. Agaknya, salah satu punca keruntuhan moral anak-anak masakini ialah kurangnya sentuhan nurani ibu terutama dalam bab makanan!

"Terima kasih bang sebab masak untuk I. Sedappppp....." sambil tangannya menunjukkan simbol 'good'. "Minggu depan you masak rendang pulak, ya... Dapat gaji dah, kan....."

"Haaa........!!!"

Rabu, 19 Oktober 2011

Entah Apa Yang Kita Kejar!

Seperti yang di sms, aku dan blogger JH bersama ke surau di tempat kerja untuk solat Dhuha. Disamping ianya sebagai salah satu dari mutabaah amal yang dipantau secara mingguan oleh naqib usrahku; lebih penting ianya baik untuk pengisian dalaman diriku sendiri.

Selesai solat Dhuha, aku terdengar blogger JH menalipon maknya di kampung. Hatiku tiba-tiba tergerak nak menalipon mak aku juga; bertanya khabar. Aku ni bab nak menalipon cukup malas. Tak tahu nak cakap apa. Tak heranlah masa aku masih bertunang dengan ibu_suri dulu, ibu_suri selalu merungut di dalam talipon kerana tak mahu sembang panjang-panjang dengan dia.

“Dalam surat bukan main panjang menulis.” Perli ibu_suri.

Aku gagahi juga tanganku menekan nombor talipon mak.

“Ya… Ada apa kamu nalipon ni?” Agaknya mak terasa macam pelik bila mendapat panggilan dari aku.

“Saja nak tanya khabar mak. Sihat ke?” Disamping kepalaku membayangkan mak tentunya kesaorangan di rumah. Anak-anak mak termasuk aku semuanya dah kahwin dan duduk di rumah sendiri. Abah pula dah hampir 5 tahun pergi dahulu dari kami. Pergerakan mak yang terbatas kerana lumpuh sebelah kiri badan pastinya menambah sepi hidup mak. Aku dapat tahu dari adik-adik bahawa mak selalu menangis di tengah malam selepas sembahyangnya.

Hurrmmm… Dunia ini sebenarnya tidaklah sehebat mana pun. Entah apa yang kita kejar sebenarnya, aku pun tak tahu. Seorang demi seorang sahabat dan saudaramaraku pergi menghadap Ilahi. Giliran aku juga yang entah bila.

Aku teringat sirah Nabi yang diangkat menjadi rasul ketika umur 40 tahun. Sejak itu baginda berdakwah di kalangan masyarakat Quraish hinggalah umurnya 50 tahun dimana beliau berhijrah ke Madinah. Di Madinah, Nabi lebih serius menyebarkan dakwah. Berperang dengan musuh Islam yang bukan sedikit bilangannya.

Tasik Mengkuang
Tak dapat aku bayangkan bagaimana umur Nabi yang 50 tahun itu mampu mengangkat pedang dan menunggang kuda untuk berperang sedangkan aku di usia ini pun sudah kepenatan walaupun baru sekadar beberapa meter berjogging di Tasik Mengkuang!

Isnin, 17 Oktober 2011

Terima Kasih!

makan di restoran Emkay Klasik, Pokok Sena.
Tak tahu nak tulis apa untuk entri kali ini. Cuma yang bermain di kepalaku ialah aku perlu kuatkan semangat untuk terus mengurus hidup sendiri dan ibu_suri walaupun aku sebenarnya terasa 'kesaorangan' sejak dia mengalami mood-disorder lebih 4 tahun ini.

Tiada pada siapa boleh aku bergantung selamanya kerana aku tahu orang lain juga punya masalah hidup yang tersendiri. Aku masih sihat dan punya waktu untuk membuat penyusunan semula aktiviti hidup. Lagipun, aku semestinya bersyukur kerana ibu_suri sebenarnya sudah banyak 'sembuh' berbanding 4 tahun lalu.

Walaupun kini ia banyak bergantung kepadaku dalam menguruskan makan, mandi dan terapi jiwanya yang kekadang dihinggapi mood yang tidak menentu, namun aku masih boleh ketawa seperti selalunya. Bila rakan-rakan bertanya; apa khabar ibu_suri? Apa yang boleh aku serikan jawapan melainkan; sihat seperti dialah! Memang, secara fizikalnya orang melihat dia sihat sahaja tapi aku sebagai suaminya tentu tahu lebih jauh dari itu.

Aku beruntung kerana punya anak yang kebanyakannya memahami dan menyejukkan hatiku. Aku juga bersyukur kerana punya kawan-kawan yang sentiasa bersedia membantu bila diperlukan.

Dan sesungguhnya aku bersyukur kepada Tuhan kerana masih sudi mendengar keluhan dan memakbul kebanyakkan doaku!

Juga, buat rakan bloggers. terima kasih kerana selalu singgah sekaligus meninggalkan komen positif sejak dari dulu hingga kini!

Jumaat, 14 Oktober 2011

Aku Sudah Hampir Lewat

Sebenarnya aku bukanlah pandai sangat tentang hal-hal pelaburan dana ni. Tapi bila sahabatku Abdul Wahab Yahya perkenalkan aku kepada skim pengeluaran KWSP untuk di laburkan ke dana Public Mutual, aku mula belajar sikit-sikit. Dialah yang jadi agen antara aku dengan Public Mutual. Banyak belajar dari dia.

Tapi bila dia mengambil keputusan untuk mengikuti misi bantuan ke Gaza dengan menaiki Mavi Malvara tak lama dulu, dia telah melepaskan dirinya dari menjadi agen. Maklumlah, ke Gaza adalah penentuan antara hidup dengan mati. Jadinya, sejak hari itu pelaburan aku diselia terus oleh Public mutual.

Kelmarin aku berbual dengan sahabat tempat kerjaku yang juga seorang ahli Jamaah Tabligh. Terus menyebut hal-hal pelaburan; rupanya dia baru sahaja lulus dari ujian untuk menjadi agen Public Mutual. Wah, panjang lebar dia menceritakan kepada aku pasal peluang pelaburan dan jika mahu menjadi agen Public Mutual ni. Katanya, semasa dia mengambil ujian dulu ada 24 orang peserta. 23 darinya adalah Cina. Dia seorang saja Melayu.

Hmmm… Aku sudah hampir lewat. Tempoh masa yang masih ada untuk melabur semakin sedikit. Kenapa tidak aku menyuruh Angah untuk melabur kerana dia sudah bekerja tetapi masih muda?

Malam tadi aku berbual dengan Angah dan menggalakkan untuk dia membuat pelaburan.

“Angah boleh buat pelaburan secara tunai. Simpan di sini lebih baik kerana duit kita akan berkembang dan insyaAllah dengan pelaburan yang bersih. Nanti, bila Angah ada cukup simpanan KWSP, boleh buat pelaburan KWSP juga macam ayah sekarang ni.”

Aku bagi pamplet untuk dia baca. Nampaknya dia berminat!

“Melabur dalam KWSP terus terang ayah bagi tahu, ada keraguan di dalam pelaburannya. Jadi, ayah galakkan Angah melabur di sini. Public Muatual baru ni ayah dapat tahu mendapat anugerah Pelaburan Syariah Terbaik.”

“Kenapa tak melabur dalam ASB, ayah! Kan di jamin kerajaan?”

“Ayah dah lama tak melabur dalam ASB. Ianya macam KWSP juga!”

Selasa, 11 Oktober 2011

3 Hari 2 malam

Esok adalah permulaaan untuk Akhmal menjalani tempoh jam program Khidmat Masyarakat mengikut perintah jatuh hukum yang diputuskan oleh mahkamah di sini. Program motivasi selama 3 hari 2 malam di Pulau Pangkor adalah program penilaian tahap sikap dan prestasi Akhmal. Selepas penilaian ini mudahlah untuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat meletakkan Akhmal seterusnya ke program khidmat masyarakat yang lain.

“Boleh ke Akhmal ni, ayah. Angah tengok penuh dengan ceramah je..”

“Lantak dia lah. Nak buat macam mana. Itu proses yang dia kena lalui. Kita kena beri kebolehpercayaan pada dia.” Jawabku tanpa mahu memberatkan fikiran sendiri dengan permasaalahan yang abstrak.

Walaupun sebenarnya semalam Akhmal dah dapat kerja dengan Pizza Hut di Kompleks Bukit Mertajam tapi aku nasihatkan dia supaya utamakan program ini dulu. Kerja boleh dicari lain.

“Kalau tidak, samada Akhmal akan dirujuk semula ke mahkamah kerana engkar perintah atau ayah yang masuk ‘dalam’,” ugutku dengan cara paling halus dan lembut.

Akhmal diam. Aku tahu dia sedikit kecewa tapi apa nak dikata. Itulah hakikatnya hukuman dari apa yang telah dia lakukan selama ini. Ini pun dah dikira hukuman paling ringan.

Kecewa Akhmal atau resah Angah; hati aku sebenarnya lebih renyuk dari hati kedua-dua mereka. Tapi setelah bertahun-tahun aku tempuhi pelbagai tribulasi dalam membesarkan anak-anak serta menjaga isteriku; hati dan jiwa ini rasanya sudah cukup teguh, jiwa ini sudah cukup cekal dan pasrahku pada Tuhan sudah cukup bulat.

Aku selalu katakan pada Akhmal… walaupun kamu anak angkat ayah, ayah jaga dan sayang kamu kekadang melebihi anak dari darah daging ayah sendiri.

Tak pasti samada dia faham atau tidak ketulusan hatiku ini!

Ahad, 9 Oktober 2011

Dulu Perasaan Mak, Sekarang Perasaan Aku


Dah 2-3 minggu desktop aku problem. Terpaksa curi-curi guna pc ofis untuk update blog. Dan tak berpeluanglah nak layari blog politik untuk ketahui perkembangan terkini Malaysiaku kini.

Aku minta Along balik seawal mungkin jika ada budget.  Tup! tup! Semalam dia terjengul depan pintu. Bawa desktop. Baru nampaknya.

" PC ayah Along nak amik bawa balik KL. Ayah guna yang ni la. Bagus sikit. Along pasang dan setup sendiri."

"Along dah habis praktikal ke?"

"Haah... Ni tengah sibuk buat report."

"Along minta kerja kat sini la. Kerja 7E ke, Mc donald ke sementara dapat kerja baru?"

Diam. Hmm... Aku tahulah anak aku yang sorang ni. Memang dah jatuh cinta kat KL. Mungkin hidup dan matinya di KL la. Nak bising-bising pun tak ada gunanya.

Aku sendiripun habis je belajar di IKM, KL terus datang ke Penang tanpa sempat balik kampung. Berkahwin dan agaknya akan mati di sini. Bagaimana perasaan aku sekarang terhadap Along begitulah agaknya perasaan mak terhadap aku.... 30 tahun dulu.

Redhai sahajalah. kalau dah Allah tetapkan rezekinya di KL, tiada siapa boleh menahan. Asalkan sempurna perjalanan hidupnya ke masa hadapan, itu sudah Alhamdulillah bagiku.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Sepatutnya Bukan Dunia yang Di Buru!

“Tak boleh ke kita beli rumah baru? Rumah yang kecil sikit sesuai untuk kita berdua.” getus ibu_suri tatkala melihat deretan rumah teres baru siap di sepanjang jalan balik dari Hospital Besar Pulau Pinang. Semalam adalah rutin pemeriksaan susulan ibu_suri di Unit Psikiatrik. Doktor pakar menyarankan ibu_suri menghadiri sesi kaunseling tentang penjagaan pemakanan.

“Rumah kita yang ada ni dah cukup bagus. Kita dah duduk lama di sini. Jiran pun ok. Taman kita tu hampir 95% Melayu. Kalau kita beli rumah baru belum tentu kita dapat suasana yang macam sekarang ni.” Aku cuba mengelak.

Aku faham kenapa ibu_suri mempunyai keinginan begitu, sesekali. Malah aku sendiri beberapa kali pernah menyuarakan perasaan yang sama kepada anakku. Cumanya, aku bukanlah cukup berada untuk membeli rumah satu lagi. Rumah yang ada pun masih berbaki hutangnya.

Mungkin bukan sangat kerana rumah tetapi ialah lantaran perasaan. Adatlah pada yang bernama insan. Cepat jemu pada sesuatu yang sama setelah beberapa lama. Mungkin ibu_suri;

  1. Ingin masuk ke suasana baru. Persekitaran baru dan jiran-jiran baru.
  2. Bukan sangat kerana rumah sekarang ini besar tetapi kerana keluarga kami yang semakin mengecil.
  3. Ingin keluar dari kehidupan lamanya yang penuh rencam dan ingin membina suasana baru dengan semangat baru.
  4. Rumah baru mungkin boleh diisi dengan citarasa yang baru samada di sudut material atau rohaninya.
Apa-apa pun, bagi aku itu cuma aliran nafsu yang tak akan habis-habis mengalir dan mengalir. Sepatutnya di usia begini kami fikirkan bagaimana untuk memperbaiki amal ibadah, menyelesaikan hutang sesama manusia dan membulat fokus untuk menambah pahala.

Sepatutnya di usia begini kami lebih ingat pada mati bukannya pada dunia yang juga satu hari akan hancur juga bersama kami!

Selasa, 4 Oktober 2011

Jika Di takdirkan Ayah Tiada Lagi

Apa yang aku harapkan di kehidupanku di hari esok ialah bebas dari belenggu hutang, sihat dalam menguruskan diri sendiri serta mudah untuk meneruskan aktiviti kemasyarkatan.

Puluhan tahun aku hidup membina keluarga sendiri, rasanya semakin tiba masanya untuk aku melepaskan anak-anakku membina kelansungan hidup mereka sendiri. Tidak perlu lagi aku susah untuk memikirkan tentang apa, bagaimana dan ke mana halatuju mereka. Biarlah mereka cari sendiri setelah ilmu dan pengalaman aku terapkan kepada mereka sejak kecil

Yang masih menjadi tanggungjawapku sehinggalah nafas yang terakhir hanya nasihat dan doa dari yang bernama ayah. Itu aku tahu dan insyaAllah, tidak akan putus dari nuraniku.

Yang selalu menjadi kebimbanganku ialah ibu_suri;

“I tak mahu you sakit. I sakit tak apa..” begitu kata ibu_suri semalam bila melihat aku tidak seaktif selalu mengemas rumah sejak beberapa minggu ini. Dalaman rumah kusut masai.

Tanpa pengetahuan ibu_suri dan aku sendiri, Angah semalam mencantas hampir gondol pokok kasturi dan bunga ros kesayangan. Ini membuatkan ibu_suri membebel sepanjang hari; bukan kepada Angah sebaliknya pada aku.

Menjadi semakin bertambah lesu jasadku dan ditambah dengan rohaniku yang seperti hilang motivasi.

"Ayah tak tahu siapa yang boleh jaga ibu semacam yang ayah jaga jikalau ayah tiada lagi nanti!” keluhku pada Angah beberapa hari lalu.

Ahad, 2 Oktober 2011

Doa Ini, Jika Ikhlas ...

Semasa aku dalam perjalanan balik ke kampung Khamis lalu, ibu_suri memberi amaran kepada aku supaya bila pergi ke Slim River nanti, tidak ada siapa dari adik-adikku yang menumpang kereta kami. Dia lebih senang berkereta berdua dengan aku sahaja. Aku hanya mengangguk. Hendak menidakkan pun rasanya ini bukan masa yang terbaik.

Tiba di kampung jam 4 pagi. Terus membentang toto dan tidur. Bila jam berbunyi sekitar 6.45 pagi, aku terus ambil wudhuk dan solat di atas rumah. Sambil itu aku sempat mendengar mak menalipon adik perempuan aku, Matun, yang tinggal di Lahat.

"Kamu nak pergi ke, Matun? Yop ada balik ni. Boleh le tumpang dia. Ada 2 tempat duduk kosong," tanpa sedikit pun berbincang dengan aku.

Aduh... Berdetak jantung aku dibuatnya. Aku terus membentang sejadah dan tunaikan Subuh. Di sujud terakhir aku berdoa panjang muga-muga Tuhan berikan aku jalan penyelesaian terbaik antara kehendak ibu_suri dan kehendak mak. Aku benar-benar tersepit. Tidak mahu menghampakan kedua-duanya. Tapi tidak mampu pula menolak salah satu darinya. Di luah mati mak, di telan mati bapa nih!

Termenung aku memikirkannya. Manakah yang lebih ringan mudharatnya? Tolak permintaan mak atau menidakkan kehendak ibu_suri yang separa normal ini? Umpama menarik rambut dari tepung. Rambut jangan putus. Tepung jangan tumpah.

Sewaktu mengemas kereta dan memasukkan beg utnuk bertolak ke Slim River, jam 8 pagi; tiba-tiba adik perempuanku, Niza datang.

"Yop naik kereta Ja ler... Ja tak berani naik sorang-sorang. Fobia masa eksiden hari tu tak habis lagi ni. Kalau Yop ada teman Ja, ok sikit le Ja bawa kereta. Yong sekali lerr.. Kita naik 4 orang dengan Matun."

Hah, Tuhan seperti menghantar satu peluang yang baik. Aku memujuk ibu_suri agar menumpang kereta Niza dengan alasan menemani dia, jimat petrol dan tol serta aku dapat berihat sebab kepala pun masih sakit.

Aku selalu percaya bahawa Tuhan memang tidak akan menyiakan doa orang yang ikhlas. Kalian juga mesti percaya!

Sabtu, 1 Oktober 2011

Bila Dunia Seperti Tidak Bermakna

Kepala aku masih sakit. Antara mau demam dengan tidak. Sengsaranya hidup ini bilamana diri menjadi serba tidak kena. Hanya sabar yang aku ada. Kerdilnya diri ini. Baru sakit kepala, dunia seperti tidak bermakna apa-apa. Nak buka mulut untuk masukkan makanan pun sakit. Nak sujud sembahyang apatah lagi. Ketawa pun malas.

Hari Rabu lalu aku pergi cabut gigi. Aku agak mungkin sakit gigi menyebabkan sakit kepala juga. Malamnya aku mendapat khabar Cik Lan, adik kepada mak aku meninggal dunia di Hospital Slim River kerana paru-paru berair. Bergegas balik kampung di Ipoh dengan harapan bolehlah nanti berkonvoi dengan mak untuk terus ke Kampung Pasir, Slim Village. Cik Lan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Piong. Sudah lama aku tidak ke sini. Bekas titi gantung tempat aku bermain dulu masih ada ketika melintasi Sungai Geletin yang kini sudah tidak sejernih dulu.

Balik dari kampung ibu_suri beria-ia mahu singgah di Sungai Perak, Kuala Kangsar kerana hendak mencari kuih putu kacang. Mana nak jumpa kalau udah malam. Hujan pula terlalu lebat. Aku tidak mahu membantah kehendak ibu_suri kerana aku perlukan dia tenang dan tidak marah-marah agar aku boleh memandu dengan selesa ke Pulau Pinang dalam kesakitan kepala yang bagai nak cabut dan buang ini.

Terpaksa berhujan pula untuk membimbing ibu_suri ke kedai makan. Mahu sangat Yong Tau Fu. Dan di sepanjang jalan balik, ibu_suri tidak habis-habis memberi komen tentang adik beradikku di sepanjang jalan hingga ke rumah.

Aku anggap ibu_suri itu separa normal. Jadi, kata-katanya itu aku masukkan ke telinga kiri dan keluarkan ke telinga kanan. Cuma sebagai manusia biasa, ada juga yang singgah di jiwa.

Hurmm... Masih sakit kepala. Hari ini adalah hari ke 4 aku telan Panadol.