Ahad, 27 Februari 2011

Sesekali Aku Terkenang

Aku seperti dapat merasakan bahawa rakan-rakan jamaahku menganggap aku kini sudah futur dari perjuangan. Sejak hari ibu_suri disahkan mengidap mild stroke sekaligus memberi kesan kepada struktur emosinya, aku semakin menjauh dari program usrah, katibah malah PATT. Semua jawatan aku dalam AJK induk jamaah aku lepaskan. Seluruh masa, perhatian dan nafasku terfokus hanya kepada dunia yang aku terpaksa terjuni walaupun aku sendiri tidak pandai merenanginya.

Aku benar-benar tidak mampu menggalas amanah itu semua. Keserabutan diari hidupku yang sebelum ini ceria dan penuh warna bertukar suram dan kelabu dalam sekelip mata. Terkapai-kapai aku hampir beberapa tahun dalam merenangi keributan hidup. Suara-suara sinis yang aku dengar terpaksa aku telan walaupun pahit. Disamping tidak juga aku nafikan rakan-rakan yang begitu ambil berat, yang sanggup memberi sumbangan, datang ziarah, beri pandangan malah mengorbankan wang saku mereka sendiri untuk membawa ibu_suri berjumpa pakar MRI. Banyak nama-nama mereka itu kalau hendak disebutkan. Sentuhan ukhuwwah mereka begitu hangat dan menyenangkan.

Namun, berapa lamalah sangat hujan boleh turun. Sampai masanya akan panas juga. Berapa lamalah sangat siang akan menyuluh bumi. Tiba masanya gelap juga ia. Tidak menyalahkan rakan. Apatah lagi Tuhan.

Walaupun kini aku terasa kesaorangan, kenangan manis bersama jamaah masih tetap dalam ingatan. Sesekali bila ku imbau terasa sayu dan tersisih. Entah bilalah aku akan dapat bersama mereka kembali. Bersama untuk membina semula masyarakat hari ini yang semakin tempang.

Juga sesekali aku teringat pada gelanggang tempat aku pernah belajar tari dan buah. Gelanggang tempat aku pernah menjatuh dan dijatuhkan lawan. Gelanggang yang pernah aku bermandi seni. Berpencak peri. Selipang dan talipinggang itu sebenarnya masih kemas tersimpan si almari dan di hati!

Jumaat, 25 Februari 2011

Racau

Berjumpa doktor Psikiatrik di GH hari ini tidak seperti lazimnya yang mengambil masa agak lama. Kondisi ibu_suri yang agak ceria dan stabil membuatkan doktor memutuskan untuk meneruskan pengambilan Respiradon, Epilin dan Sertraline. Cuma tambahan satu ubat - Neurobion kerana ibu_suri merungut sakit  peha beberapa minggu ini.

"Awak kena exercise banyak, ya. Jangan duduk sahaja nanti darah awak tak jalan elok. Siapa buat kerja rumah?"


Hanya ibu_suri tersunggin senyum sambil memandang aku. Aku cuma ketawa kecil.

Sambil doktor menulis perkrespi, aku ambil kesempatan bertanya hal Akhmal yang jatuh dari motor kerana tiba-tiba dirinya menjadi tidak normal akibat diserang 'benda' itu petang kelmarin. Hingga mengakibatkan dia mengalami cedera di dagu dan tapak tangan. Ini jatuh motor kali ke 3 dalam masa sebulan. Bukan isu kecil.

"Ada kemungkinan anak saya itu tergolong dalam kategori Skizofrenia?"

"Saya tak pasti. Dia kena check dulu. Awak bawa dia ke bilik 001."

Aku terpanggil untuk bertanya bilamana aku diberitahu oleh ibu_suri ketika menunggu giliran tadi. Dia ternampak seorang budak yang tiba-tiba meracau dan berguling di lantai. Racaunya itu persis Akhmal!

Khamis, 24 Februari 2011

Di Sebalik kaca TV

Sekali lagi ingin berkongsi fakta dengan kalian semua. Terlalu banyak kepincangan

Benar kata DD, kerja kita banyak sedangkan masa kita semakin kurang. Tuhan tidak tanya apakah kita berjaya. Tuhan cuma bertanya apakah kita telah berusaha.

Jangan ditanya apa yang negara boleh beri kepada kita. Tanyalah apa yang kita boleh beri pada negara.


OFF butang lagu GEMALA HATI kalau nak tonton klip video ini

Selasa, 22 Februari 2011

Di Manakah Silapku?

Semalam sahaja Akhmal meracau sebanyak 3 kali. Sekali bila pagi. Dia ketawa sambil membilang jari. Kemudian ketawa sambil menunjuk ke siling. Mundar mandir dan ketawa melihat aku. Di bilik ibu_suri masih tidur. Angah juga. Aku sendirian mengadap fenomena yang meresahkan ini. Aku pegang Akhmal. Aku baca 3 Qul dan Kursi. Tak lama kemudian dia diam. Aku ajak dia mandi. Saranan bomoh supaya Akhmal mandi limau dan minum air penawar perlu aku buat sebelum tengahari. Alhamdulillah, selesai dengan sempurna.

Petang Akhmal buat hal lagi. Kali ini dia menangis seperti ketakutan. Menarik baju aku. Aku panggil Angah yang rupanya tidak pernah melihat kelakuan aneh Akhmal sebelum ini. Sekali lagi aku pegang kepala Akhmal dan membaca 3 Qul serta Kursi. Aku suruh Angah ambil air penawar tadi dan aku sapukan ke muka Akhmal. Meronta-ronta dia. Tak lama lepas itu aku dengar keluhan dalam Akhmal. Dan dia diam. Dari sinar matanya aku tahu, dia dah kembali ok.

Aku terduduk di kerusi. Dada aku berdebar-debar. Aku rasa keadaan Akhmal ini lebih teruk dari sebelum dia berubat dengan bomoh itu. Aku tersalah pilih bomoih ke? Bersimpang siur rasa bersalah dan teka teki itu menerjah ulu hati. Benar-benar serabut aku. Macamana nanti kalau Aku dan Angah pergi kerja? Tinggal ibu_suri sahaja yang akan melihat-lihat dia. Sedangkan ibu_suri pun 2X5?

Tengah malam ketika aku antara mahu terlelap dengan jaga, ibu_suri tiba-tiba gerak aku. Bila celik mata aku terdengar suara Akhmal memanggil...Ayah..Ayah... sambil menangis.

"Akhmal takut Ayah....!!"

"Aku cuba tenteramkan diri."

"Takpa, Akhmal tidur sini dengan Ayah."

Aku bentang toto. Aku baring di bawah bersama Akhmal. Akmal mengenggam tangan aku. Kemas. Seperti anak kecil yang dalam ketakutan. Aku baca lagi ayat-ayat suci sambil hembuskan ke pundak Akhmal. Aku cuba untuk tidak pincingkan mata. Kalau boleh biarlah Akhmal tidur dahulu baru aku. Tapi entah bila masanya, aku terlelap.

Sesekali aku terjaga bila ibu_suri menyelimuti tubuhku. Aku tahu ibu_suri masih belum tidur. Itu satu lagi masaalah ibu_suri.

"Dia meracau tadi?"

"Tak!"

Aku sikit lega. Esok macamana? Nak cuti? Nak kerja? Cuti? Kerja? Cuti..... Dan terus terlena.

Sedar-sedar jam sudah 5.50 pagi. Aku ambil keputusan untuk bangun dan mandi....

Sambil mandi aku tertanya-tanya pada diri sendiri, kenapalah Tuhan beri aku dugaan silih berganti seperti ini. Di mana silap aku sebagai hambaNya?

Dan dada aku terus berdebar-debar. Resah. Aku cuba mengingati kisah-kisah silam dan mencari kekhilafan!
 
Nasihat dari kalian dalam n3 aku sebelum ini amat bermakna dan berguna buat aku. Terima kasih. Aku perlukan semangat dan motivasi dari kalian sebenarnya. Aku terasa sendirian dalam mendepani kemelut yang tak pernah terfikir olehku sebelum ini...

Isnin, 21 Februari 2011

'Hamba Allah' Itu...

Aku pernah tuliskan di sini perihal Akhmal di kacau oleh 'hamba Allah' itu. Minggu lepas 2 kali Akhmal diganggu lagi. Fenomena yang sama. Ternampak lembaga besar bertenggek di dinding bilik tidurnya dan kali kedua dia ditindih hingga tidak bernafas seketika.

Dia yang baru sahaja jatuh motor dengan luka di merata badannya sebelum itu perasan ada 'benda' melintas di hadapannya. Dia buat tak tahu dan terus juga pergi. Tapi tak lama kemudian dia dan kawannya, kerana mengelak anjing yang melintas jalan dengan tiba-tiba lalu terjatuh. Mengengkang dia berjalan hingga hari ini masuk minggu ke 2.

Foto kenangan semasa di Sek Tunas Bakti, Taiping.
Tak boleh jadi ni, fikirku lalu terus menalipon rakanku blogger HabunaTrading. Aku percaya dia tentu ramai kawan yang tahu dimana nak dapatkan bomoh untuk tengok-tengokkan apa yang tak kena dengan Akhmal ini.

Dan alhamdulillah, malam ini aku baru sahaja selesai membawa Akhmal ke Kulim untuk rawatan secara tradisional. Jelas di depan mata aku bagaimana 'hamba Allah' yang rupanya sudah lama duduk di dalam tubuh Akhmal itu keluar pabila dicabar supaya menunjukkan diri. Dan memang benarlah, dia keluar dan Akhmal perlahan-lahan bertukar watak yang sekejap menangis, sekejap ketawa dan sekejap geram seperti hendak bertumbuk. Tak henti-henti merangkak, bercakap tentang yang aku pun tak faham dan kekadang memegang dan membelek-belek tangan aku dan yang lain-lainnya.

Dan barulah aku tahu, rupanya selama ini aku tidak ambil berat terhadap masalaah dalaman diri Akhmal. Aku hanya tumpukan perhatian kepada pengubatan tradisional ibu_suri dan menganggap kenakalan Akhmal adalah kenakalan yang lumrah.

Rupanya Akhmal ini perlukan perhatian dan rawatan yang berterusan  jika aku ingin melihat masa depannya aman dan terurus. 'Hamba Allah' ini rupanya sudah duduk lama di badannya dan perlu dinyah secara perlahan.

Sekarang dia sedang tidur. Letih katanya. Memang.... aku sendiri pun letih!

Sabtu, 19 Februari 2011

Adinda Sayang

Seperti selalunya, sebaik berihat sekejap pulang dari kerja, aku memandikan ibu_suri. Walaupun aku tahu, mandi malam itu tidak bagus untuk kesihatan, itu sahaja masa yang aku ada. Pernah aku mandikan dia setiap pagi sebelum pergi kerja tapi sudahnya aku selalu terlambat sampai dan terpaksa scan lewat.

Aku buka pancoq  (pancur) dan letak kerusi dekat dengan kolah. Kalau dulu aku sediakan berus gigi tapi kini ibu_suri sudah boleh buat sendiri.

Sambil biarkan ibu_suri memberus gigi dan basahkan badan, aku membasuh pinggan di dalam singki. Aku bernyanyi kecil untuk hiburkan hati.

' Kain bersulam tenunan Deli
pandai bersulam pandai menari... pandai menari
adik bemuram abang pun sedih
engkau tersenyum abang bernyanyi
hanya dikau penghibur hati..'

"Abang,  I dah ok. Mailah siram I. tak sampai ni...."

Lalu, aku pun mula memandi dan menyabun ibu_suri. Maklumlah, mandikan orang dah besar. Dengan aku  aku sekali basah. Begitupun sambil siram itu aku sambung lagi dengan lirik yang kalau aku terlupa, aku bantai aje dengan  lirik sendiri.

' Suara gendang bertalu-talu
elok berdendang lagu melayu..pantun melayu
abangnya sayang adik pun tahu
cintanya abang jangan kau ragu
sepanjang masa tak akan layu..'

Akan tetapi bila tiba ntang korus;

' Oo... tanyalah bintang tanyalah bulan
agar kau.. uhuk..uhuk..uhukk...'

"Apalah abang ni. I tengok, 2-3 hari ni asyik dok menyanyi je. Ada apa-apa ka?"

Huu.. Dia dah mula la tu. Bersangkaan yang bukan-bukan.

"Tu la you... Abang muka sedih pun salah. Muka ceria pun salah. Tak mahu nyanyi you suruh nyanyi. Bila nyanyi you mula ingat serong."

Bagi aku,  biarlah ibu_suri melihat aku ceria daripada berwajah sugul. Bila aku ceria dia pun tumpang gembira. Ini mudah-mudahan membantu kesihatannya untuk stabil. Itu sudah cukup bermakna untuk aku..


OFF butang muzik GEMALA HATI di sidebar jika mahu dengar lagu ini...

Jumaat, 18 Februari 2011

Walaupun Bukan Sengaja

Aku teruja untuk berkongsi klip video ini kerana pengajarannya amat besar.

Ertinya, dalam apa sahaja tindakan yang hendak kita laksanakan perlu berfikir jauh terlebih dahulu.

Mak aku pernah beri nasihat kepada aku satu ketika dahulu begini;

"Kita jangan selalu sangat berpegang pada falsafah melihat kepada yang positif terlebih dahulu. Adakalanya sesuatu tindakan yang kita hendak buat perlu menimbang kepada kesan negatifnya."

Selasa, 15 Februari 2011

Asalkan Cek Mahu Saja

Acapkali aku mengeluh di hati; " Alangkah baiknya kalau ibu_suri ada kad itu."

Hendak berterus terang kepadanya, takut pula berkecil hati. Setahu aku sejak dari berkahwin hingga kini dia masih tidak meyakini setiap keikhlasan aku. Selalu sahaja meragui. Payah kalau begini.

Tapi memang rugi. Rugi. Justeru itu aku mesti mencari masa yang sesuai untuk membuat saranan. 

Bila singgah di RnR cuti Raya Cina bebaru ini, parkir semua penuh. Aku menunggu di tepi menanti yang kosong.

"Parkir sana kosong. Kalau you ada kad kuning macam Akhmal, tentu kita senang-senang boleh parking."

Kemudian bila ibu hendak ke bilik air pula, ibu_suri selalu merungut kerana aku tidak dapat membantunya. Takkan aku nak masuk sama ke bilik air perempuan. Nanti dituduh menceroboh pula.

Aku selalu terpandang ke bilik air yang selalunya berada hampir dengan pintu masuk. Bilik air itu memang sesuai dengan dia. Tandas mangkuk, ada pemegang memudahkan dia untuk bangun. Luas pulak tu. 

Tapi aku hanya boleh merenung. Tidak layak untuk aku bawa ibu_suri ke sana kerana ibu_suri tiada kad kuning itu.

satu tahap ibu_suri terpaksa menggunakan kerusi roda

"Mau tak kalau abang tanya kat Jabatan Kebajikan Masyarakat, kut-kut you layak untuk dapat kad OKU tu. Senang la nanti kita parking dekat dengan pintu masuk RnR. You tak perlu berjalan jauh kemudian sakit kaki atau terjatuh. Mudah ke bilik air dan abang boleh teman dan bantu you. Dan kalau tak salah, depa bagi sikit  RM kat you setiap bulan sebagai imbuhan. Dengar khabar, kerajaan Penang pun akan bagi imbuhan kat OKU juga macam imbuhan kat warga emas tu."

"I boleh dapat ke?"

"Eh, kita cuba minta la.. Asalkan cek mau saja...."

Aku dah nampak tanda positif kemahuannya itu. Bijak tak aku melobi secara tak disedari?

Isnin, 14 Februari 2011

Iftirash

sumber: emel ( tanpa edit )
kiriman: Umar Ismail

Kebanyakan kita tidak mengetahui kebaikannya dari segi kesihatan. Kalau kita lihat gambarajah reflexology dibawah, bila dalam iftirash ini, kaki kanan kita dapat tekanan di bahagian atas kaki dan kaki kiri kita dapat tekanan bawah & tengah kaki. Duduk iftirash ni memberi 'tekanan reflexology' yang menyeluruh. Tapi bagi orang yg tidak menegakkan kaki kanan, mereka hanya mendapat 'tekanan reflexology' utk sebahagian tubuh sahaja (tidak meliputi bahagian - Brain, Neck, throat, heart, voice sinus, pituitary glands, etc spt dalam gambarajah). Ini merugikan!!

Eloklah kita cuba duduk secara iftirash yang sempurna semoga kita dapat pahala kerana ikut sunnah dan juga kesihatan yg menyeluruh melalui 'indirect reflexology excersize' utk bahagian kritikal - brain, neck, throat, etc...

iftirash

Dari Abu Hamid al-Sa`idi ra., katanya:

“Aku melihat Nabi Muhammad saw…..Apabila Baginda saw duduk pada rakaat yang kedua (Untuk membaca tahiyyat awal), ia duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (Duduk iftirash)…..”
Hadith shohih riwayat Bukhri.

Pengajaran hadith:
  1. Disunatkan duduk iftirash pada tahiyyat pertama.
  2. Duduk iftirash juga disunatkan semasa duduk antara dua sujud dan ketika duduk istirahah iaitu duduk sesudah bangkit dari sujud yang kedua (Mustika Hadith)
  3. Amalan duduk iftirash adalah sunnah Rasul saw dan apabila kita mengamal dan menyampaikannya kepada orang lain untuk mengamalkannya adalah mendapat pahala dan keberkatan dari Allah SWT
  4. Amalan-amalan Rasul saw adalah bercahaya dan boleh mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT

Sabtu, 12 Februari 2011

Balasan Dari Tuhan?

Dia menderumkan motornya. Meluncur dari dalam rumah menerobos keluar pintu terus ke luar rumah.  Kasar. Menderum lagi memecah sepi malam. Marah betul Dia. Entah pada aku atau pada Angah. Puncanya, beg kawan Dia yang tersimpan di bilik, Angah ambil dan simpan.

"Mana ayah tahu Dia bawa kawan tidur dalam bilik?" soal Angah.

"Ayah bela Dia dari tapak kaki 2 jari. Sekilas ikan di air ayah boleh agak jantan atau betina."

Tak lama aku terima sms dari Dia. Merajuk. Katanya   tak usah peduli lagi pasal Dia. Biar Dia bawa diri.

"Sapa tu?" tanya ibu_suri.

"Ah.. tak ada apa. Dia pesan tinggalkan duit belanja untuk Dia pi kerja esok." aku beri daleh lain. Aku tak mahu ibu_suri tahu. nanti jadi lebih kusut.

ilustrasi namanya sendiri di kemeja T
Aku tak dapat pincing mata semalamam kerana resah yang menggila. Bimbang tentang semuanya.

Itu cerita malam semalam. Tapi petang tadi;

"Angah, Dia ada balik ke rumah?"

"Ya. Dia jatuh motor, ayah!"

"Macam mana boleh jatuh?"

"Katanya, Dia mengelak anjing yang tiba-tiba melintas. La ni Dia pi hospital ambil ubat dan surat cuti sakit. Tak pi kerja hari ini."

Aku merenung panjang. Memerhati apa yang ada di sebalik peristiwa yang telah berlaku. Susahnya membesar anak. Agaknya, beginilah susahnya mak dan abah aku membesarkan aku dahulu...

Rabu, 9 Februari 2011

InshaAllah

Semasa blogwalking  ke The Unique Blog aku jumpa pulak video klip Maher Zain. Kali ini lagu InshaAllah versi Melayunya begitu menghiburkan.

Tak pasti samada lagu ini sudah keluar di pasaran. Namun untuk masa ini kalian boelhlah klik di bawah ini dan menghayati melodinya. Muga-muga memberi inspirasi baru dalam mendekatkan diri kepada Allah. Begitulah aku, yang meminati seni lagu ini sejak dari bangku sekolah mewarisi minat abah aku. Bila resah atau sepi, aku akan mendengar lagu-lagu yang berlirik positif demi mengembalikan semula keyakinan diri atau melampias keresahan yang menggigit jantung hati.




Isnin, 7 Februari 2011

Takziah Buat WN!

Dapat tahu, blogger Warna Nostalgia (WN) kini berada di Hospital Pantai, Bayan baru, Pulau Pinang kerana demam bercampur bengkak di tangan. Aku ingin ucap takziah buat beliau dan berdoa muga beliau terus tabah menjalani kehidupan yang semakin petang.


Warna Nostalgia
WN adalah antara beberapa sahabatku yang akrab. Kami dan blogger Jendela Hati sama-sama menyertai  Jamaah Islah Malaysia, menubuh kumpulan nasyid Muhajjir dimana WN adalah pemain bonggo dan juga menyertai Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia. Beliau juga aktif  sebagai AJK surau di flat kediamannya.

WN juga seperti aku. Pernah melalui saat getir dan perih dalam menjaga isteri mulanya dahulu yang mengalami apa yang diistilah sebagai buatan orang yang dengki. Selepas isteri mulanya meninggal dunia, hidupnya kini terurus dengan kehadiran isteri baru.

Istimewanya WN ialah beliau dikurniakan oleh Allah kelebihan untuk melihat makhlok yang di luar dari alam nyata yang kita manusia tidak boleh melihatnya.

Apa-apa pun, kita sebagai penggiat dunia blog, marilah sesama berdoa muga beliau akan terus sihat dan dapat kembali meneruskan amal ibadah disamping terus berblogging. Sekalipun kita tidak dapat menziarahinya di hospital, memadai dengan menziarahinya di sini.

WN, Agi idup Agi ngelaban!

Ahad, 6 Februari 2011

Berikan Aku Peluang

Tuhan,
maafkan aku jika aku bersalah
meminggir suruhanMu sedangkan ia tiada ruksah
bukan aku tidak mahu
cumanya aku kalah.

Tuhan,
berilah aku sedikit waktu lagi
untuk memperbaiki lagi kelemahan dalam diri
kerana aku tidak betah menemuiMu
dalam keadaan aku compang camping begini.

Tuhan,
berikanlah aku peluang
untuk aku kembali ke dalam diri
menilai erti duniawi
menilai makna diri.

Aku cuma minta kasih sayang
aku cuma minta cahaya panduan
aku cuma minta jalan pulang
sekadar itu, tak lebih tak kurang.

Bukan minta waktu seratus
apatah lagi seribu tahun!

Jumaat, 4 Februari 2011

Ketika sedang makan bersama ibu_suri di kedai depan tokong Cina pekan Kepala batas, talipon aku berdering oleh sms dari F.

"Tak ada ceramah politik ke kat Seberang? Aku nak pulihkan kebolehpercayaan pada PR ni. Rasa macam dah nak luntur."

Aku pun tak pasti. Raya Cina gini ada ke ceramah? Atau YB semua pun nak ambil peluang untuk berihat?

Selepas bertanya pada beberapa kawan termasuk blogger HabunaTrading, aku membalas sms  F;

"Setahu aku tak ada. Hang pi la dengar kuliah Dr Danial kat Tapian Gelanggang Batu Uban Ahad ni jam 3 petang. Boleh la gilap hati yang serabut tu."

Begitu hebatnya pengaruh media hingga boleh menggoyahkan pendirian seorang yang tegar dengan sesuatu badan politik atau fahaman macam F. Tak heranlah kalau kerajaan kita ini  hari ini beria-ia benar hendak menggubal akta media siber dengan alasan untuk mengawal salah penggunaan media siber oleh pelayarnya.

Namun  dalam ketika yang lain aku tak rasa pelik pula sebab jika pergantungan kita kepada dunia itu melebihi pergantungan kita pada Rab, maka bukan setakat terjahan media. Kalau dilonggokkan RM atau perempuan di depan mata, buang serban atas kepala pun boleh terlupa.


Semasa membancuh KH Kopi untuk sarapan pagi tadi, aku tiba-tiba teringat lagu Apek dan Marjina. Manusia ini kalau rapuh pendirian macam Apek tu, sanggup dikelabui mata dengan wang emas dan di tonton merata-rata. Di suruh lompat pun, lompatlah walaupun sebenarnya perjalanan itu tak kemana!

Khamis, 3 Februari 2011

Manalah Aku Tahu

Aku masih ingat lagi semasa mak aku melahirkan adik aku yang ke 4 - Napi. Masa itu mak masih di Hospital Bersalin, Ipoh. Jadi, tugas aku menjaga adik-adik lebih besar kerana 100% aku bertanggungjawap terhadap mereka. Opah aku hanya datang melawat bila dia lapang.

Aku pun masak untuk makan tengahari. Seperti biasa, sayur aku cari di belakang rumah. Belukar di belakang rumah aku memang kaya dengan tumbuhan sayur yang meliar. Ikan pula aku beli dari Cina yang aku gelar Pendek. Dia akan datang menjaja bila tengahari.

Dah siap memasak dan bagi makan adik, aku pun pergi tengok mak di hospital. Aku bawa bekal lauk, sayur dan nasi untuk mak.

Aku sebenarnya tak tahu sehinggalah bila mak aku dah sihat dan sedara mara datang ke rumah. Mak aku pun bercerita dan aku terdengar dari atas rumah;

"Bertuahlah si IM tu. Kamu tahu ... dia bawak sayur pucuk ubi untuk aku di hospital tu. Mana la boleh orang dalam pantang makan pucuk ubi."

Bila dah kahwin begini barulah aku faham kenapa mak aku kata begitu.

dah berkeluarga pun Napi ini, sekarang!