Isnin, 29 Jun 2015

Raihan - Maafkan


Akhirnya aku dapat juga memiliki album Maafkan dari Raihan ini. Aku beli secara online dengan harga RM45. Ikut harga asal aku agak di bawah RM30. Campur untung dan kos pengeposan, aku kira orait jugalah.

Aku memang suka cari cd sebagai koleksi. Ini hobi aku sejak dulu lagi. Dulu, zaman remaja, zaman piring hitam, aku akan beli sekeping piring hitam disetiap kali dapat gaji. Harga sekeping masa tu lebih kurang RM10. Sekarang ini kalau nak beli (baru) boleh mencecah RM250.

Kemudian beraleh ke zaman kaset.  Zaman ini aku dah bekerja. Zaman kumpulan nasyid Arqam tengah naik. Dalam almari aku agaknya ada ratusan kaset aku beli termasuklah kaset bacaan Quran, Selawat dan ceramah (agama maupun politik). Tak tahu nak buat apa dengan simpanan aku tu. Nak buang... sayang. Nak jual... ntahlah... tengah pikir!

Sekarang... terutama sejak ibu_suri jatuh sakit dan gemarnya menyuruh aku bawanya berjalan-jalan walaupun tanpa tujuan, aku gemar kumpul cd. Masuk saja dalam kereta, akan berbunyilah pemain cd aku tu. Masa aku menggunakan Wira dulu, pemain cd aku berganti dua kali kerana rosak dek selalu guna.

Setakat ini koleksi cd aku dan melebihi 100 keping. Ada yang memang aku sayang seperti cd yang kini dah menjadi klasik - NadaMurni dan seangkatannya dengan cop OVA Production sebagai syarikat penerbitan. Sudah tentu album Rabbani (hampir ada semua volume), Raihan, Hijjaz, SaffOne (dulu dikenali sebagai Nahwan  Nur kemudian sebagai Mustika), Diwani, Firdaus, Brothers, NowSeeHeart, Soutul Amal dan banyak lagilah.

Aku juga suka beli album artis luar macam Opick, Maher Zain, Sami Yusuf dan album kompilasi Islamic Music dan Soul Of  Islamic Music.

Aku masih mencari album lama melalui grup yang menjual secara online. Jangan heran ya kalau aku katakan, piring hitam dan kaset; walaupun ramai menyangka iangnya sudah tidak popular di Malaysia namun sebenarnya masih ada penggemar dan pembelinya. Hatta walaupun kulit luarnya sudah lusuh sekalipun. Album Raihan - Syukur itu ada yang dijual dengan harga RM80.

Aku pernah pergi ke Kompleks Bukit Jambul dan terserempak dengan satu kedai yang menjual piring hitam lama. Di dalam kedai itu disediakan pemain piring hitam (turn table) siap dengan sistem audio yang hebat.

Selain album nasyid, terus terang katakan aku juga ada dan mencari album lagu-lagu biasa sezaman aku seperti Sohaimi Mior Hassan, Kembara, Kumpulan Harmoni, D'Lloyd, The Mercy's, Blues Gang, Black Dog Bone dan paling banyak ialah Alleycats (re-press album dari volume 1 hingga volume 7 kerana ibu_suri adalah peminat tegarnya.

Apa boleh buat... dah minat. Mungkin minat ini turun temurun dari abah aku yang dulu suka menyanyi di pentas dan kenduri kahwin hingga terkenal dengan gelaran - Am Sri Mersing.

Dalam masa yang sama aku juga mula berjinak menjual cd-cd yang aku terbeli tapi kemudiannya tidak berkenan. Aku dah berjaya menjual sekeping cd Nada Murni - Untukmu Rasulullah melalui promosi di sini. Ada lagi sekeping... aku ingat nak hadiahkan kepada kawan sekerja aku yang juga punyai kumpulan nasyid sendiri,

Sat lagi, otw pi rumah abah mertua untuk bawa dia pi rawatan susulan di Hospital Lam Wah Ee, aku nak putar album Maafkan. #Inikan Puasa...he..he..

Sabtu, 27 Jun 2015

Apalah Ada Pada Seketul Sabun


Aku tak tahu apa nama sabun ni. Yang aku tahu ianya adalah sabun berubat. Baunya sahaja dah cukup memberitahu. Memang tidak ada tanda logo halal. Buatan syarikat orang Cina. Rasanya sabun ni dari dulu hingga sekarang, corak di bungkusannya tak pernah berubah.

Aku ada muatnaik pasal sabun ini ke status aku di Facebook tapi ringkas sahaja. Tidak memperincikan kisah apa sebenarnya di sebalik kenapa aku beriya membelikan sabun ini di pasaraya sini.

Abah Mertuaku memang selalu ambil peluang bila aku ada, meminta bawakan dia ke kedai kegemarannya untuk membeli barangan dapur walaupun cuma hendak beli satu jenis barang sahaja.

Satu hari lepas Jumaat dia ajak aku ke Hujung Pasir, Tanjung (George Town) untuk belikan sabun di atas. Sayangnya, stok di kedai itu dah habis.

"Sabun ini ada la...," lalu perempuan Cina separuh umur itu mengambil seketul sabun cap 999 dan unjuk kepada abah yang duduk di kereta kerana tidak berupaya untuk keluar dek kaki yang dah  tak lagi kuat.

Tampak rasa kehampaan di wajah abah. Abah tak ada pilihan melainkan beli juga sabun 999 itu - 3 ketul.

Hari Rabu lepas, semasa aku ziarah abah yang sekarang ini lebih banyak baring di katil kerana jelas uzur sejak keluar dari hospital; aku jenguk bilik mandi abah. Aku terpandang rak sabun abah yang comot dan bersepah.

"Sabun abah dah nak habis ni...." ujarku sambil membasuh bekas sabun abah dan menyusun seperti mana sepatutya ia di letakkan. 

"Tak ada sabun baru ke?"

"Ada... cuba cari dalam laci..." sambil memuncungkan mulut mengarah ke almari yang berada di sebelah katil abah.

"Tinggal satu ni jer abah..." beritahu aku. Abah tersengih saja.

Kesian pulak aku. Abah dah tak boleh nak aku bawa berjalan ke kedai macam sebelum ini. Abah dah dua tiga kali jatuh di bilik air kerana kakinya mudah terkendon. Malah untuk pergi bersembahyang Jumaat juga aku nasihatkan dia tak perlu pergi sebab lebih banyak mudaratnya.

Jadi, bila petang tadi aku ke Pasaraya Billion di Seberang Jaya, selepas belikan lampin jenis seluar untuk abah, aku teringat sabun abah yang cuma tinggal seketul terakhir itu. Aku segera ke rak sabun dan alhamdulillah.... rupanya sabun yang abah suka guna ketika mandi itu ada di jual di sini.

Gembira rasanya hati ini dapat belikan untuk abah. Mungkin orang lain akan berkata.... apalah yang nak digahkan pada sabun semurah ini sampai nak muatnaik ke Facebook. Namun, pada aku... murah di mata orang tetapi mahal di sisiku kerana telah dapat membuatkan dadaku terasa lapang dan senang!

Rabu, 24 Jun 2015

Minum Yang Banyak

Kelmarin, aku bawa abah mertuaku untuk rawatan susulan di Hospital Lam Wah Ee. Dia terpaksa berjumpa dengan dua orang doktor yakni Dr Loke - pakar tulang dan Dr Lau - pakar organ dalaman.

Sesuatu yang menjadi 'kehairanan' pada beberapa orang yang aku jumpa selama aku menjaga abah di hospital ini ialah.... ramainya orang yang sakit hinggakan wad dikhabarkan telah penuh.

Ada seorang Benggali aku jumpa semasa menaiki lif berkata;

"Memang heran la. begitu banyak hospital kerajaan, hospital swasta... lagi tara cukup!"

"This shows that ada ramai orang sakit, sekarang," balas aku yang secara otomatis tetiba sedikit cakap orang putih.

"Ya la..." Benggali tu mengangguk. "Ini semua pasal makan la. Kita punya makanan kebanyakannya junk food."

Dan lepas itu kami diam. Memang, bila disebut bahawa punca segala penyakit adalah dari makanan dan cara kita makan, maka perbualan terhenti dan tidak dapat nak diperpanjangkan lagi kerana fakta itu telah menjadi noktah.

Di bilik 105, abah ditanya oleh Dr Lau;

"Macam mana makan dan minum awak? Ada ok?"

"Ok... Cuma dia selalu mau berak dan kencing. Tengok kaki dia bengkak sebab banyak jalan." aku menjawap bagi pihak abah. Kalau abah yang jawap silap haribulan lain soalan lain pula jawapan dan meleret-leret pula.

"Jangan kasi dia minum banyak...aaaa..."

"Bukan ka more drink is better for health?"

"Yes but not for him because his kidney is fail. Kalau minum air banyak dan kidney dia tak boleh proses dengan sempurna mengakibatkan air banyak bertakung dalam badan dia. Dan ini boleh buat badan dan kakinya bengkak air."

Mulut aku serta merta jadi bulat menandakan aku baru faham. Minum air banyak baik untuk semua orang yang sihat tetapi tidak untuk orang seperti abah. 

Dan mungkin juga seperti mak aku di kampung...

Sabtu, 20 Jun 2015

Kanji Masjid Kepayang

 

Aku berada di Ipoh. Tujuannya ialah memenuhi giliran menjaga mak di kampung. Kami adik beradik yang tinggal jauh membuat jadual menjaga mak sebulan sekali.
 
Adik-adik yang lain mungkin tidak ada masaalah untuk bermalam di rumah mak dan boleh melihat mak 24 jam tetapi tidak dengan aku. Keadaan kesihatan dan kepayahan mengelola kebajikan diri ibu_suri buat aku selalunya siang sahaja di rumah mak tetapi bermalam di hotel. Hotel yang selalu menjadi pilihan ialah Hotel Fair Park. Ianya tak jauh dari kampung. Bilik pula selalunya aku sewa yang berharga RM100 ke atas. Kekadang pihak hotel membuat promosi. Seperti malam ini, bilik yang berharga RM200 diberi diskaun 40%. Wah... sakan lah aku dan ibu_suri... enjoy dengan katil saiz permaisuri sorang satu.
 
Pertama sekali bila sampai rumah mak, sudah tentu aku peluk cium tangan dan pipi mak. Kemudian aku tanya mak;
 
'Ada sesiapa boleh ambil kanji kat masjid?'
 
'Tak mandang orang yang boleh di suruh pegi ngambik kanji tu.. Semuanya habis dah belajo jauh...' ujar mak merujuk pada anak-anak saudaraku yang rata-ratanya sudah belajar di IPT. Dah besar-besar mereka tu.
 
Jadi aku terus capai cerek 'keramat' mak dan bergegas ke masjid. Takut nanti melepas untuk merasai kanji masjid yang memang lejen rasanya sedari aku kecil lagi.
 
Makanya, berbuka puasa aku tadi asyik mengadap kanji saja. Tak sentuh makanan lain hingga tegak lah badan aku menahan kenyang perut. Aduhai...
 
Istimewanya kanji di kampung aku ni dicampurkan dengan kacang tanah. Memang sejak dari zaman aku kecil hingga sekarang, rasanya sama walaupun tukang masaknya dah bertukar beberapa tangan.
 
Berbuka esok pun aku akan cari kanji masjid. Agaknya, kesedapan kanji ini adalah kerana keberkatan sipolan yang bersedekah. Atau mungkin juga keberkatan anak-anak muda yang bergotong-royong memasaknya.

Tak Dan Nak Ligan

Kalau nak dikira, memang tension la nak ligan kesemuanya oleh aku sorang je.

Apa nak makan aku kena fikir. Nak hidangkan, kemudian kemaskan.

Tengah panaskan lauk, ibu_suri terjerit minta aku bersihkan dia di tandas. Kenalah padamkan api masakan dulu.

Kekadang baru nak letak punggung di kerusi terdengar ibu_suri terjerit di sakat Akhmal di dalam bilik. Memang susah hati dibuatnya sebab Akhmal dan ibu_suri bukanlah ada pertalian darah.
 
Akhmal boleh aku katakan sedari kecil punyai karektor yang tidak dapat bezakan antara gurau dan rasa hormat pada orang. Bagi dia gurau walaupun sebenarnya itu sudah berlebihan.

Kekadang menggerutu aku seorang diri melampiaskan sesak di dada.

Aku dah kurangkan menjenguk mertua di Taman Buah Pala. Biarlah ketika aku tidak ada, kakak dan adik ibu_suri yang kelola mereka berdua. Mereka pun satu hal juga. Tak pernah sepakat adik beradik.

Okeylah... ibu_suri dah panggil sejak dari tadi. Tak tahulah apa halnya. Memang selalu gitu, bila dipanggil dia mahu segera di hadiri...

Khamis, 18 Jun 2015

Nombor siapa?

Beberapa hari ini aku kerap dapat miscall dari nombor ini - 03  78824341. Bila aku return call, tak berjawab.

Aku sememangnya sedang menunggu panggilan dari sesaorang, jadi tidaklah mengesyakki apa-apa yang tidak baik. Tapi musykil juga sebab panggilan ini menggunakan nombor talipon rumah/pejabat sedangkan rata-rata orang sekarang guna talipon bimbit.

Aku pun cuba googgle no ini. Ternyata memeranjatkan dan merisaukan aku.

Aku tak pasti kenapa dia call dan bagaimana dia boleh dapat nombot aku.

Nak blok nombor dia dari masuk ke talipon aku pun aku bukan reti sangat...

Entah apalah yang dia buat kat talipon aku ni..

Rabu, 17 Jun 2015

Ramadhan Ini


Dah nak masuk Ramadhan.

Terasa cepat benar masa berlalu. Ramadhan adalah bulan di mana aku menerima tawaran MSS dulu. Maknanya, hampir setahun dah aku tak bekerja.

Ini akan menjadi pengalaman pertama aku menjalani ibadah puasa di rumah sahaja. Tak dapat aku bayangkan. Lain juga berpuasa masa kerja dengan tanpa kerja. Selalunya, di hari-hari awal bulan puasa, aku seakan mahu tewas menahan pedih perut yang kosong.

Aku harap aku takkan habiskan banyak masa dengan tidur sebaliknya isi dengan ibadah yang walaupun sedikit tapi ikhlas dan rendah diri.

Aku pun sebenarnya tak perasan esok bermulanya puasa hinggalah ibu_suri memberitahu malam ini aku kena pergi bertarawikh.

Aku menulis blog ini di Klinik Kubang Semang... sementara menunggu giliran ibu_suri berjumpa dengan doktor pakar - Azlina.

Nampaknya, selepas aku tengok mertua selepas ini, aku kena tengok-tengok dapur. Bersihkan dan 'top up' barangan runcit. Aku berazam untuk berbuka dan sahur ala kadar sahaja.

Lebih tumpukan pada ibadah. Aku harap ibu_suri juga begitu. Muga Ramadhan ini dapat menambahbaik kesihatan dan amalan kami!

Isnin, 15 Jun 2015

Manja


Semalam, anak kepada arwah adikku - Niza (foto - kiri), mendaftar diri di Politeknik Seberang Perai. Aku sebagai bapa saudara yang paling tua dan tinggal dekat pula dengan Permatang Pauh tentulah selayaknya merai kehadiran dia di kawasan parlimen yang sentiasa 'panas' ini.

Nama timangannya - Manja. Aku taklah rapid sangat dengan anak-anak Niza ni sebab ramainya perempuan.

Dia ambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Mendapat rakan sebilik yang aku kira boleh dijadikan sahabat; berasal dari Bertam.

'Kita boleh jadikan semua orang sebagai kawan tapi untuk menjadikan ianya sebagai sahabat,  carilah orang yang baik akhlaknya.'

Itulah satu-satunya pesan aku kepada Manja.

Aku memang cukup bimbang dengan perkembangan senario akhlak anak-anak remaja Islam di sini sekarang ini. Ramainya dah jadi cacamerba.

Mungkin benar kata-kata Dr MAZA yang aku terbaca tadi bahawa;

'Mungkin keberkatan dari Allah sudah semakin hilang dari bumi kita ini!'

Sabtu, 13 Jun 2015

Hakikat

Aku dah mula terasa pancit dalam keselaluan berulang dari rumah ke Penang menjenguk abah. Pagi atau tengahari pergi, tengahmalam baru balik. Masuk hari ini, dah 11 hari aku begitu.

Mulanya, aku bercadang untuk rehat sekejap di rumah barang 2 hari ini. Kemas rumah dan selesaikan banyak kerja yang tertunggak seperti bayar bil, pos barangan melalui Pos Laju dan dapatkan dokumen tertentu Akhmal dari pejabat berkaitan.

Along pula sekonyong-konyongnya alik dinihari tadi. Balik dari rumah abah mertua, aku tunggu Along di Penang Sentral. Dari jam 1 hinggalah jam 3 pagi, baru bas ekpres itu sampai.

Maknanya, sat lagi, aku kena juga bawa Along jengok abah dan mak.

Terfikir aku, cuma baru 11 hari, aku dah rasa letih. Belum sebulan. Belum setahun tu...

Namun hakikatnya, memang aku berasa letih dan perlu rehat sekejap. Tolaklah kos tol dan petrol, kepedulian terhadap kesihatan diri dan ibu_suri juga perlu diambil kira.

Kaki ibu,_suri juga membengkak dek lama sangay duduk di kerusi selama menjaga abah.

Biarlah ahli keluarga abah yang lain ambil peranan sekejap. Walaupun mereka amat rapuh dalam ertikata membina kesepakatan keluarga namun ini adalah hakikat.

Hujung minggu selalunya ramai yang cuti bekerja. Anak abah ada 9 orang dengan puluhan cucu dan cicit. Keluarga besar tu...

Jumaat, 12 Jun 2015

Solat Jumaat Tanpa Abah


Hari ini, aku solat Jumaat tanpa abah mertua bersama.

Semasa iktikaf, aku teringat cerita abah semasa masih di hospital:

'Aku mimpi, badan aku ditimbun dengan duit. Aku suruh depa ambik duit ni dari aku. Aku tak mahu.

Aku nak keliling aku lapang, dada aku lapang. Aku tak mahu duit. Duit dah tak bermakna bagi aku.'

Walaupun itu hanya mimpi tetapi iktibarnya amat menyentuh hati kecilku...


Rabu, 10 Jun 2015

Banyak Sabar


Alhamdulillah, selera makan abah dah bertambah dan boleh suap sendiri.

Segala tiub dan beg/botol cairan udah tidak dperlukan lagi.

Mudah sikit kerjabuat aku selama menjaganya sepanjang siang.

Terus terang aku katakan, bukan mudah untuk menjaga kebajikan yang 100% bergantung pada kita yang menjaga. Kena banyak sabar, kena pandai saiko dan redha.

Kena menjadi pendengar yang baik dan setia serta memberi jawapan atau penerangan secara paling lembut dan mudah dia fahami.

Aku rasa puas hati pada diri sendiri kerana dapat menjaga abah. Tidak bekerjanya aku, aku menafaatkan sebaiknya untuk abah.

Jika diizin Allah, esok abah dah boleh balik.

Next ialah... ujian Allah yang kedua... menjaga dia dan mak di rumah...

Isnin, 8 Jun 2015

Jikalau Tak Boleh Menjadi Penawar

Hari ini lengkap seminggu abah di wad. Bermakna dah seminggu juga saya menunggu abah sepanjang siang.

Tak terasa masa berlalu. Tengah malam baru balik rumah selepas orang ganti datang untuk 'pass the baton'. Esok pagi datang balik. Bila sampai rumah... boomm...

Tak apalah kan... Demi niat ikhlas nak menjaga abah walaupun sekadaf taraf mertua.

Cuma yang sedapnya, ada pulak suara-suara kurang enak mengkririk cara saya dan beberapa anak saudara mengurus syif sesiapa yang nak jaga abah.

'Uh... Kalau tak boleh jadi penawar, janganlah jadi racun'

Bukan orang lain tu. Adik beradik sendiri.

Aku rasa bersyukur sebab insiden seperti ini tidak terjadi di kalangan adik beradikku dalam menjaga mak yang separuh lumpuh di kampng.

Jumaat, 5 Jun 2015

Kicap Takdak Ka, Bang!


Akhirnya, petang ini aku berjaya pujuk ibu_suri naik bersama aku ziarah abah di wad 302, Hospital Lam Wah Ee. 

Dah 2 hari dia teman aku menunggu abah tapi aku di atas sementara dia tinggal di dalam kereta di parkir.

Seronok abah bila melihat anaknya datang berjumpa dengan berkerusi roda.

"Wah.. wad abah macam bilik hotel.." ujar ibu_suri dengan wajah ceria.

Kebetulan sampai, masa untuk sarapan petang. Abah tak lalu makan banyak. Aku suap 2 sudu moi, dia dah tak mahu.

"Tak ada selera. Tawaq..." merujuk pada rasa moi. Ha.. ha.. Namanya pun makanan hospital.

Bila di 'offer' kat ibu_suri... apa lagi.. rezeki dia lah.

"Kicap tak ada ke, bang?"

Sekali lagi.. ha..ha.. Bertuahlah kalau hospital ni ada sediakan kicap...

Khamis, 4 Jun 2015

Malas!



Nak tulis blog pun malas.. Letih...

Dua harian jaga abah mertua di Hospital Lam Wah Ee. Semasa di sana rasa ok.. malah tak sedar masa berlalu dari pagi, petang hingga malam. Balik rumah rasa amat mengantuk.

Esok pergi lagi, agaknya.

Abah nampaknya ok. Dia di dapati mengalami ulcer dalam usus kecil. Buah pinggangnya juga ada masaalah.

Mak dah berkerusi roda. Cakap pun sukar difahami.

Begitulah pusingan hidup kita ini... Satu hari nanti aku juga akan macam tu.

Selasa, 2 Jun 2015

Seorang Abah


Dapat panggilan talipon dari anak saudara - Liza, abah mertua terjatuh di bilik subuh tadi.

Seperti yang aku tulis sebelum ini, jumaat lepas abah demam. Aku nasihatkan dia solat Zohor saja di rumah atas sebab keselamatan diri.

Abah aku dah tua. Hampir 90 tahun usianya. Tapi dia seorang yang berhati keras. Agaknya kesan dari kerjanya dulu sebagai SC di zaman penjajahan orang putih.

Nak dibawa ke hospital, dia tak mahu. Aku katakan pada anak saudaraku,  cuba pujuk untuk ke Hospital Lam Wah Ee. Anak cucu dia ramai. Tentu boleh bantu sorang sikit untuk bil perubatan. Lagipun, LWE taklah mahal macam Hospital Pantai sebab LWE lebih berkonsepkan hospital kebajikan. Penderma paling banyak untuk membina hospital ni dulu ialah Boon Siew.

Jumaat aritu, dalam demam, abah terpaksa pergi juga ke Johor menaiki bas sewa khas. Berpapah papah aku bawa dia menaiki tangga bas. Memang ketara lemah tenaganya. Tapi dek semuanya telah dirancang dia gagahkan diri.

Agaknya, balik dari sana, kesihatannya makin merudum. Orang tua biasalah... lambat kebah.

Beriya-iya ibu_suri suruh aku ke rumah abah. Minta aku pujuk abah ke hospital. Pendekatan aku ni selalunya lembut sikit kerana aku berpegang pada konsep bahawa batu boleh dilekukkan dengan titisan air... bukan dengan penukul.

Tapi tu la.... ibu_suri pun sejak malam tadi tak boleh tidur. Memang kekadang dia didatangi insomia.

Tengoklah tu... dalam dok tulis, dia dah berdengkur!

Namun... hati kecil aku berbisik... Eloklah aku pergi tengok abah walaupun sebenarnya disamping ibu_suri perlu tidur; aku juga sedang menunggu satu urusan lain yang tak kurang mustahaknya untuk diselesaikan.

Isnin, 1 Jun 2015

Marah

Entah kenapa di hujung hari ini, aku jadi marah.

Marah pada Akhmal yang tetap degil dengan membawa kawan-kawannya masuk ke rumah... masuk ke bilik. Teguran aku bak mencurah air di daun keladi.

Dan ibu_suri pula, sejak jam 5, lepas solat Asar suruh aku bawa dia jalan-jalan sampailah jam 8 malam. Balik... aku ingat nak tidur saja tapi habis Isyak, dia paksa aku bawa jalan-jalan lagi. Jalan tanpa tujuan. Aku tahu, dia jadi begitu sebab marahnya dah 2~3 hari tak dapat tengok cucunya.

Susah aku nak terangkan pada dia bahawa tak elok kalau selalu sangat pergi rumah menantu. Ibarat... jauh bau wangi, dekat bahu tahi, ujarku.

Tapi... bercakap dengan orang yang dikuasai emosi ini memang payah. Ada kalanya ibarat baling bola ke dinding. Melantun kena ke muka sendiri.

Mereka saja yang boleh marah. Boleh bebal. Marah aku?

Sebab itu aku nak tidur je sekarang. Aku tak mahu fikir banyak-banyak. Lantak deme ler.... aku nak lampiaskan semuanya pada bantal dan dengkur ku.

Muga bangun aku esok pagi badan kembali segar untuk solat Subuh di masjid.

Terasa ketat dan kelatnya hidup yang mau tidak mahu terpaksa juga menjaga insan OKU yang tidak stabil emosi...