Jumaat, 29 Julai 2022

Hidup Semakin Pendek

Lama sungguh aku tidak menulis. Lebih lebih lagi semenjak ibu_suri sudah 'tiada'. Aku lebih banyak berfacebook, sesekali tengok tv atau dengar muzik.

Aku tak tahu samada blog aku ini masih disinggahi pembaca terutama rakan blog yang semasa dengan aku. Rasanya ramai yang dah gantung 'keyboard'. Faktor mata atau otak yang semakin malas berfikir.

Khabar aku sekarang ialah usia yang semakin tua ( 62 tahun ), tenaga yang semakin kurang, mata yang semakin rabun dan lebih banyak duduk di rumah. Bapa dan mak mertua sudah tiada. Tinggal mak sendiri di kampung yang juga semakin kurus dan berulang-ulang cakapnya.

Along masih tinggal di KL, belum lagi ada jodoh. Angah masih dengan 3 anaknya dan aku setiap hari akan mengambil 2 yang perempuan itu balik dari sekolah. Akhmal yang boleh dikira baru berkahwin tinggal di rumah mertuanya dan sesekali balik melihat aku yang bersaorangan di rumah.

Aku dah malas nak kemas rumah. Malah bilik aku sendiri agaknya dah sebulan tak dikemas. Terasa macam dah takada apa yang perlu dibuat, dibimbangkan atau disegerakan. Bila macam ini, terasa hidup takada "fun". 

Dulu merungut rungut aku bilamana balik kerja terpaksa hadap ibu_suri yang basah lampinnya. Atau bila cuti perlu mandikan ibu_suri secara menyeluruh. Setiap masa makan kena fikirkan apa yang perlu aku sediakan dan suapkan. Rupanya, bila tidak ada dia dan aku dah tak punya apa apa beban dalam hidup, terasa sunyi dan kosong pula.

Ramai kawan-kawan suruh aku berkahwin lain sebagai pengganti teman hidup. Ntahlah, tidak teringin pula rasanya. Mungkin 32 tahun aku hidup bersama ibu_suri membuatkan aku rasa seperti canggung jika hidup pula dengan orang lain. Lagipun aku pernah berjanji dengannya malah dengan diri aku sendiri bahawa istriku hanya satu; itulah yang pertama dan terakhir...

Malah sepatutnya, inilah masa terbaik untuk aku menikmati hidup yang bebas dengan sedikit rezeki yang ada. Masa semakin pendek!


( lagu kegemaran masa sekolah menengah rendah )