Ahad, 30 September 2012

Kucing


Menatap foto ini di laman FB Harryzan Yaakub membuat aku teringat akan seekor lagi kucing yang tidak dapat aku beri makan semasa ziarah mak di kampung bebaru ini.

Rasanya ada 2 ekor kucing yang mengiau deras dari atas atap zink rumah yang pastinya basah sebab baru lepas hujan petang tadi.

"Kucing-kucing tu lapar mak!" ujarku yang rimas mendengar bunyi kucing yang lain dari biasa sejak tadi.

"Bior nyer tu. Ntah kucing sapa tu. Keghap bebeno datang ke sini."

"Takada apa ke boleh bagi deme makan, mak!"

"Usah pedulikan. Nanti kalau kamu bagi makan, esok-esok deme datang lagi. Ada tuannya tu. Bior le tuan dia yang bagi makan." sambil tangan kanan mak susah payah menyelak lengan baju untuk dipakai tanpa dapat dibantu oleh tangan kiri mak yang sudah tidak boleh berfungsi lagi.

Aku pun ke dapur untuk mengekap pinggan mangkuk di singki. Kelihatan seperti pintu dapur mahu di buka seseorang. Aku menguak sedikit dan mengintai. Ohhh...

Aku menyeka saki baki tulang ayam dan melemparkan ke luar rumah. Kucing kelabu itu menerkam sambil memerhati keliling persis bimbang pada makhluk lain yang berkemungkinan akan merebut makanan yang digonggongnya. Bertambah-tambah kesihan aku yang baru sebentar tadi dapat makan sedap yang dimasak oleh adikku Duyah bersama ibu_suri.

Tak dapat nak bagi lagi. Itu saja lebihan yang ada. Nak bagi nasi saja aku tak pasti kucing itu akan makan atau tidak.

Akupun meneruskan basuhan pinggan dan menerapkan di sangkar. Sebaik saja kembali ke ruang bilik mak, kedengaran ngiau kucing yang satu lagi sayup-sayup di bumbung anjung rumah. 

Jumaat, 28 September 2012

Gunung Batu Kapur

Sambil berjalan keluar dari surau tempat kerja, Fendi seperti biasanya dia, bercerita tentang perspektif politiknya.

"Tengok Kelantan. Walaupun dinafikan hak petroliumnya oleh kerajaan pusat, Tuhan anugerahkan besi dan emas sebagai sumber ekonomi."

"Tapi aku bimbang juga. Di sudut jangka panjang, besi dan emas tu adalah hasil bumi tiada ganti. Kenapa tak fokus pada hasil kayu balak ke, kelapa sawit ke; yang bila dah dituai hasilnya boleh ditanam semula."

Fendi diam.

Sambungku lagi;

"Aku selalu pergi Batu 3, Tapah. Kampung bapa mertua. Aku sedih bila lalu atas lebuhraya kat Simpang Pulai atau Gopeng. Gunung batu kapurnya habis gondol dan ada yang lenyap separuh dari gunung itu. Kan gunung itu pasak bumi. Kalau habis semua itu, mana nak cari ganti."

"Aku tahu sangat, hasil besi dan emas itu bukan sangat dipunyai oleh negara kita tapi diangkut keluar oleh syarikat luar negara. Kita cuma dapat sebahagian hasil jualannya saja."


Gunung memang sinonim dengan kehidupan masa kecilku. Rumah aku di kampung tak jauh mana dari kaki gunung dan jalan keretapi. Kehidupan aku juga banyak bergantung dari hasil mendulang bijih timah dan torehan pokok getah oleh mak dan adik ke2 ku setiap pagi dan petang.

Aku sebagai anak sulong di masa itu dipertanggungjawap oleh mak untuk menjaga 5 lagi adik-adik lain; memasak, mengemas rumah, cari kayu api dan membasuh pakaian sementara mak mencari rezeki. Abah ketika itu menghidap  schizophrenia.

Khamis, 27 September 2012

Haji

Dapat gaji pun takdan lekat lama di tangan. Sekejap saja dah surut bila membayar hutang Kancil, rumah, Amber Water, sumbangan kompleks IKRAM, hutang laptop dan bla..bla.. Entah bilalah nak merasa gaji bersih kekal dalam kocek. Sejak mula kerja hingga sekarang..kerja..gaji..bayar hutang... tak habis-habis.

Seorang kawanku - Osman Mydin atau lebih mesra kami panggil Mamu yang bekerja sebagai juruteknik workshop di tempat kerja yang gaji mungkin setengah dari gaji aku, bulan depan khabar akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan Haji. Aku terkenang hal ini tatkala berbual dengan sahabat baikku blogger JH


"Mungkin rezekinya lebih berkat dari kita." ujarku. Mamu seorang pengikut Tabligh yang amal ibadah dan akhlaknya memang A. Dialah peencetus idea supaya setiap kali lepas solat Asar di adalakan majlis Taalim. Aku selaku pengerusi surau sudah pasti memberi sokongan moral kerana ini agenda yang bagus. Cuma lebih kurang 10 minit saja sesi ingat-memperingati itu.

Blogger JH juga sudah pun mendaftar di Tabung Haji tapi dengar khabar gilirannya hanya akan tiba ketika umurnya 84 tahun nanti. Aduhh... Agaknya bila aku mampu untuk mendaftar nanti, entah tahun bila baru aku berpeluang pergi ya!

Kalau aku nak pergi pun satu keadaan yang aku perlu fikir ialah ibu_suri. bagaimana aku hendak membawanya pergi dalam keadaan kesihatannya yang begini?

Apa-pun, seperti sikap selaluku, biarlah masa yang menentukan. Aku cuma pasrah!

Selasa, 25 September 2012

Persepsi


Aku harap pihak penjara berusaha merujuk Akhmal ke hospital. Jari kakinya yang patah akibat kemalangan lalu masih tak baik sepenuhnya. Aku pun tak tahu nak kata apa dengan anak sorang ni. Aku pasti ini kerana dia tak makan ubat antibiotik yang diberikan oleh doktpr orthopedik mengikut jadual. 

Dokumen perubatannya sebelum ini telah aku serahkan kepada  pihak penjara. Terkejut juga aku bila pegawai penjara menalipon aku ketika makan pagi di kafetaria Isnin lalu;

"Kami rasa anak encik perlu di rujuk ke hospital"

"Kenapa?" Aku bergegas bangun mencari kawasan penerimaan tallian yang lebih baik. Hiruk pikuk orang lain berbual buatkan aku kurang selesa.

"Jari kakinya kami tengok hitam. Dia mengadu sakit."

Serta merta seolah-olah seluruh darah menyerbu ke kepala. Rasa bersalah bertimpa-timpa di dada. Seperti kebiasaan, aku menarik nafas panjang dan dalam. Walaupun sebelum ini aku terasa marah dan kecewa dengan sikap liar Akhmal tapi bila dalam situasi begini aku terasa belas.

Sewaktu aku berbincang dengan pegawai penjara tentang Akhmal, mereka melayan aku dengan baik. Persepsi negatif aku tentang penjara sebenarnya tak perlu aku layan. Aku tahu mereka juga manusia biasa. Mereka juga ada anak yang mungkin juga nakal seperti anakku yang seorang ini. Kalau pun ada di antara mereka yang tidak baik, cuma segelintir. Dan segelintir itu mungkin di pihak atasan sahaja...

Isnin, 24 September 2012

Perigi Biru

Hormat aku pada facebooker Rahman Zin yang sejak akhir-akhir ini giat 'berada' di konti FB sebagai Dj. Berbagai lagu usaha dicari demi memenuhi permintaan friend beliau. 

Aku pun yang secara kebetulan akhir-akhir ini meminati lagu Perigi Biru - M Daud Kilau (versi asal nyanyian Kamariah Noor melalui filem Bawang Putih Bawang Merah) sesaja mencuba nasib membuat permintaan. Tak sangka dengan segera lagu permintaan aku ditunaikan.

link PERIGI BIRU


Senyum sendirian aku dibuatnya sambil memutar lagu tersebut di dada FB. Kebetulan sebaik saja lagu berputar hujan pun turun lagi menyambung hujan yang turun sejak petang tadi. Bila ibu_suri melihat aku senyum di depan komputer:

"Ha... ha... senyum kat sapa tu?"

Aku pun bangun lalu bernyanyi di depan ibu_suri meniru gaya M Daud Kilau yang lemah gemalai. Kik..kik..kik... ibu_suri yang kebetulan memang digelar ibu oleh semua kawan dan anak saudaranya ketawa. Dia faham benar perangai aku yang mewarisi sedikit darah seni abahku. Senang hatiku bila melihat dia tertawa.

Sekali lagi, terima kasih buat Rahmah Zin. Paling tidak malam ini aku rasa terhibur sendiri walaupun masih sebu hidung dan seram sejuk badan. 

Teringat ubat demam yang baru aku ambil dari Klinik Utama tadi tertinggal di kereta. Masih belum di makan...

Ahad, 23 September 2012

Tanah Mak


Facebook
Masih sakit kepala dan terasa seram sejuk. Selepas kemas dapur, bawa ibu_suri jalan-jalan. Tak boleh tunjuk sangat tidak sihatnya aku ini pada dia. Nanti dia paksa aku ambil m/c esok. Aku mana reti bab ambil m/c kecuali kalau benar-benar tidak sihat dan doktor yang beri. Rasanya, tahun ini rekod m/c aku masih bersih.

Lusa akan ambil mak di Ipoh dan bawa dia ke Slim River untuk uruskan hal tanah yang telah dipajak untuk projek penanaman kepala sawit. Aku selalu peringat mak supaya sementara hayat mak masih ada, semua tanah mak yang ada entah di hutan dan bukit mana di Slim itu dijual dan hasilnya mak buatlah amal jariah sebagai bekalan di akhirat nanti.

"Kami adik beradik tak mahu sangat harta pesaka mak. Cukuplah dengan harta yang kami sendiri cari. Biarlah mak guna harta sepencarian mak dan abah dulu untuk akhirat mak dan abah." 

Begitu aku terangkan kepada ibu_suri semasa memandu tadi bila dia bertanyakan kenapa mak beria-ia peringat aku untuk ke pejabat tanah minggu depan.

Minggu depan juga aku perlu ke pejabat Ar Rahnu. Minggu depan juga aku perlu bawa ibu_suri menjalani sesi kaunseling tentang pemakanan. Minggu depan juga sepatutnya aku ziarah Akhmal di Sungai Petani. Minggu depan juga ada kenduri kahwin saudara kepada ibu_suri di Jubiee Home, Sungai Dua. Ha..ha..ha...

Jumaat, 21 September 2012

Hujung Minggu Yang Penuh

Esok,  mau atau tidak aku perlu bawa ibu_suri untuk melawat Akhmal di Penjara Sungai Petani. Dah beberapa hari membising di telinga. Alhamdulillah sebab Along sudi kirimkan sikit duit untuk biaya aku ke sana. Sejuk hati seorang ayah bila punyai anak yang memahami begini. Sesekali fikir, kenapa aku cuma dikurniai 2 anak saja. Kalau ada ramai macam mak aku di kampung kan best - 9 orang dan semuanya menjadi orang!

Ahad pula ada majlis kenduri keluarga adik ipar tak jauh dari Sekolah Permatang Tok Kandu. Itu kawasan keluarga yang kuat BN. Nak bawa ibu_suri ke sana pun perlu hati-hati juga.

Mak aku akan ke sana juga. Adik beradik dari kampung juga ramai yang akan datang. Aku suruh mereka bermalam di rumah adikku - Darul di Kulim. Mudah bagi mak aku yang separa lumpuh itu ke  bilik air dan diurus makan minumnya. Khabarnya, mereka akan buat pesta ikan bakar. Tak sabar ibu_suri yang akhir-akhir ini suka sangat hidangan ikan bakar. Terpikatnya dia itu bermula sejak aku bawa makan ikan bakar di Food Court Gelas Besar di Permatang Janggus. Seekor ikan Siakap untuk 2 orang makan sekitar RM20. Sesekali ok la...


Pergi dengan Kancil ibu_suri itu sajalah nampaknya. Walaupun kondisi Kancil itu sejak kemalangan dulu tak berapa stabil, aku pandu juga. Nak pinjam Viva Angah selalu pun segan pula. Maklumlah, kereta orang. 

Apapun, aku memang dah setkan minda aku ini dengan program hujung minggu yang begini. Aku ambil sikap berlapang dada melayani kerenah ibu_suri. Bagi aku, selagi aku sihat, poket ok dan kereta ok, aku akan ikut saja asalkan emosi ibu_suri stabil.

Seperti biasa juga, aku akan kemas dan lap bilik bagai rutin selalunya. Aku mau bilik aku yang tak seberapa ini dalam keadaan bersih dan sejuk mata memandang. Dah letih dengan rumah yang kelam kabut semasa anak-anak aku masih kecil dulu.

Harap juga aku dapat luangkan masa untuk berjamaah di masjid dan beriadah di Tasik Mengkuang. Tuhan... Beri aku ketenangan dan keterbukaan di sepanjang hujung minggu ini!

Mulut Orang

Dalam perjalanan membawa anak saudaraku Yanti sekeluarga ke Penang Sentral, sempat suaminya Zam bertanya;

sumber
"Akhmal macam mana, ayah?" Memang hampir kesemua anak-anak saudaraku di sebelah ibu_suri memanggil aku - ayah.

"Ntah, ayah pun tak tengok dia lagi."

"Dia kena tahan di mana?"

"Kat lorong kita."

"Haa.... Macammana depa kata dia kena tangkap kat Sg Petani? Ada yang kata kena tangkap kat Bertam!"

Aku ketawa saja. Memang dah biasa dengar mulut orang yang begini. Dulu masa Akhmal kemalangan motor dan patah jari kaki; ada orang kata dia patah pinggang.

"Kamu tahu dia kena tahan dengan siapa?" tanyaku menguji sejauh mana Zam tahu cerita lanjut tentang penahan Akhmal.

"Ntah...!"

Aku diam saja sedang sebenarnya Akhmal ditahan bersama kawannya; anak polis yang tinggal selorong dengan rumah aku juga. 

Memang aku tak beritahu sesiapa pun hal Akhmal ini hatta keluarga mertua jauh sekali keluarga aku di kampung. Aku dah malas nak bercerita. Lagipun, aku tahu, lambat laun mereka akan tahu atau bertanya sendiri.

"Ayah nak biarkan dia duduk di dalam ke kali ini?"

"Ayah punya prinsip, Zam; kalau ayah tak tahu keputusan yang bagaimana ayah nak ambil, ayah biarkan masa yang menentukannya. Begitu juga dengan kes Akhmal kali ini. Sementara dia masih dalam proses menunggu perbicaraan, ayah cuma berdoa muga-muga Allah berikan ilham apa yang akan ayah perbuat... Kalau Zam tanya ayah sekarang pun, ayah tak ada jawapan."

Selasa, 18 September 2012

Blog

Kekadang terfikir aku tentang blog aku ini. Seperti ntah apa-apa. Asyik-asyik berkisar kisah ibu_suri dan anak-anak saja.

Bila dibanding dengan blog rakan-rakanku yang lain banyak menulis tentang kegiatan mereka dengan masyarakat. Hidup mereka tampak penuh warna warni dan mempunyai pengisian yang matang. Sesekali terasa malu dan rendah diri.

Namun hakikatnya dunia aku kini begini. Terpaksa memberi banyak masa kepada menjaga ibu-suri dan anak. Aku tidak pandai mengolah penulisanku kepada penceritaan yang hebat sebaliknya aku lebih puas menulis apa yang sebenarnya berlaku di sekelilingku.

Aku bercita-cita untuk menjadikan blogku ini sebagai kutub khanah bagi segala pengalaman hidup. Yang mana bila satu hari nanti aku sudah tiada lagi, anak dan cucuku boleh menyingkap kembali sejarah hidup ayah atau datuknya melalui blog aku ini.

Aku juga sebenarnya berpendapat bahawa menulis pengalaman hidup yang sebenar lebih memberi kesan mendalam kepada pembaca berbanding penulisan yang berpaksikan yang elok-elok saja. Aku tak reti berpura-pura. Aku menulis seperti mana yang aku rasai dan lalui.

Kalau ada diantara pembaca blog aku yang rasa bosan dengan topik-topik stereotypeku ini, terpulanglah. Aku akui akan kegersangan itu.

Apappun, aku amat menyayangi blogku ini dan berharap ianya akan terus relevan walaupun Facebook dan Twitter semakin mengambil alih minat rakan blogger yang seangkatan aku dan mula mensawangkan blog mereka.

Aku baru saja membeli laptop baru menggantikan laptop dulu yang hilang dicuri sesaorang. Kini aku boleh menulis blog di sisi ibu_suri; tidak seperti sebelum ini yangmana ibu_suri selalu merungut kerana meninggalkan dia sendirian di bilik sedangkan aku di ruang tamu mengetuk biji-biji huruf yang kekadang hingga dinihari.

Isnin, 17 September 2012

Cuti

sumber
Hari ini aku lebih banyak beraktiviti di rumah. Setelah semalam ibu_suri seharian tidur, malam tadi dia tak boleh picing mata. Jam 2 petang baru dia kelihatannya lena. Memang begitu ibu_suri sejak menghidap mood dis order ni - insomnia.

Malam tadi aku bangun jam 4.30 pagi untuk turut sama berqiamullalil di masjid. Memang best. 3 saf, kira ramai juga. Jam 8 aku pergi ke Tasik Mengkuang untuk riadah. Tak seramai semalam. Cumanya, matahari cukup tajam sepenggalah. Menikam mata dan kulit.

Lepas beli lauk untuk makan tengahari, aku balik. Di rumah cuma tinggal kami berdua. Angah dan Ayu balik ke rumah orang tua mereka di Bukit Tengah. Akhmal, ntah apa nasibnya di penjara Sungai Petani. Beria-ia ibu_suri minta tengok dia di sana tapi aku mengelak dengan alasan mahu bincang dulu dengan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Sebenarnya budget aku tak berapa cukup untuk ke sana. Aku tahu, ke sana nanti mesti Akhmal minta duit untuk beli itu dan ini. RM50 belum tentu cukup.

Aku dah biasa dengan sunyi rumah yang begini. Mungkin kerana ujian hidup yang aku tempuhi bertali arus di masa-masa lalu menyebabkan abu lebih seleas dengan kelapangan yang jauh dari hiruk pikuk. 4 hari bercuti sejak hari Jumaat seperti terasa singkat. Esok akan kembali bekerja.

Dan 4 hari cuti ini membuatkan aku terfikir, akan beginikah situasi aku bila bersara nanti? Ntah kenapa, datang wajah mak ke dalam dada. Berbanding aku, mak tentu lebih sepi kerana sendirian di rumah tanpa abah. Sendirian urus diri yang separa lumpuh. Khabarnya,  bila malam mak selalu menangis!

Ahad, 16 September 2012

Lemang Dan Rendang

Seharian semalam membawa ibu_suri ke majlis perkahwinan saudaranya di Sayong, Kuala Kangsar. Mulanya mereka ragu-ragu samada ibu_suri tiadakah masaalah untuk dibawa kemajlis seperti itu? Aku ambil sifir yang mudah saja bahawa selagi emosi ibu_suri dijaga, insyaAllah semuanya akan ok. 

Untuk itu semua keperluan dan kemahuannya aku penuhi. 28 tahun aku hidup bersamanya, tahu benar ya dan tidaknya. Tanpa segan silu aku pimpin tangannya bila berjalan atas tanah yang tidak rata dan mengambil makan minumnya serta  menemaninya ke bilik air. Walaupun ramai mata memandang aku ambil sikap selamba. Ini semua memang sudah biasa dan tanggungjawap aku bernama suami untuk tegar.

Tapi tak sangka juga sepanjang jalan ke sana banyak pula bendera. Ngalahkan suasana pilihanraya jer... Tak henti-henti mullut ibu_suri pot-pet. Dan lebih mengujakan bila salah seorang dari saudara ibu_suri yang tinggal di Kampung Pauh beria-ia mengajak untuk singgah ke Majlis Jamuan Hari Raya oleh JKKK. Huu... memang Tuhan mau menguji kebijaksanaan dan kesabaranku menjaga ibu_suri. Sepanjang jalan ke situ, bendera warna biru dan merah putih sesaja.


"Tak salah aihh... Kita pergi untuk makan. Depa pun orang Islam juga. Saudara kita tu. Politik tanggungjawap kita masa pilihan raya je. Sekarang masa untuk kita tunaikan tanggungjawap sebagai saudara seagama dan makan.."

Bila ibu_suri kata tak mahu turun kereta dengan alasan tak larat nak berjalan lagi, aku uruskan dia makan di kereta. 

Dan aku sudah tentu cari lemang dan rendang. Memang, rendang dan lemang masakan orang kampung di sini terbaiikkkk.....

Jumaat, 14 September 2012

Di Balik Tirai Besi

Aku menguak pintu bilik mahkamah II dengan perasaan hambar. Aku kira hadirku ini hanya sekadar satu paksaan dari naluri seorang ayah demi mahu menunjukkan bahawa aku masih ambil peduli terhadap Akhmal. Kepedulian ini kerana aku tahu ini tanggungjawap seorang yang bernama ayah. Namun jauh tersorok di sudut hati aku sebenarnya seperti rasa kosong. 

Akhmal di iringi polis ke lokap mahkamah

"Kamu mengaku bersalah?" tanya pembantu majestrit, seorang wanita berbangsa Cina. Kertas Pertuduhan dibacakan dengan jelas memberitahu bahawa ketika Akhmal di tahan tak jauh dari rumah didapati memiliki 0.1 gram syabu.

Akhmal angguk. Apa lagi yang boleh dikatakan.

"Awak akan ditahan hingga 2hb November atau jaminan RM4000 hingga keputusan air urin awak diterima."

Aku menarik nafas panjang bila mendengar RM sebanyak itu. Huu.. kalau RM400 pun aku rasa berat inilan tambah satu lagi kosong. Lagipun, sesekali fikir biarlah dia disimpan kat 'dalam' tu buat sementara waktu. Selamat sikit buat sementara waktu dan muga-muga dia insaf bila mrasai perit jerihnya duduk di balik tirai besi.

Sekarang ini yang berputar dalam kepalaku ialah bagaimana nak memberitahu ibu_suri. Pasti dia kan menitiskan airmata.

Aku? Ah.... Kalau aku pun macam ibu_suri, apa cer...!

Khamis, 13 September 2012

Param

Aku menjenguk keluar bila terdengar suara memberi salam. Rupanya si Param, kawan Akhmal.

"Betul ke Akhmal kena tahan?"

Aku angguk. Param adalah satu-satunya kawan yang aku kira rapat dengan Akhmal. Sering ambil peduli pasal Akhmal walaupun aku perasan Akhmal selalu juga berkasar dengannya.

"Saja saya nak confirm dengan pak cik. Saya pun baru tahu dari kawan-kawan."

Bagus juga dia. Tidak sekadar percaya pada cerita orang lain sebaliknya memastikan kesahihan berita itu dari aku, ayah si Akhmal.

"Ditahan sebab apa?"

"Polis jumpa sepeket syabu kat badan dia."

Param terdiam.

"Tak apalah. Itu yang dicarinya, itulah yang dia dapat. Kita tengok macam mana dulu. Tadi dia dibawa ke mahkamah untuk dapatkan perintah mahkamah. Lepas itu air kencingnya akan diuji dimakmal."

"Jangan dia kena hantar ke pusat Serenti aje dahlah pak cik!"

Giliran aku pula terdiam. Dah letih sebenarnya dengan kerenah Akhmal ini. Biarlah masa yang menentukan kesudahan kes Akhmal kali ini. Aku pasrah saja.

"Kamu tak kerja ke?"

"Nak pi kerja la ni, pak cik. Masuk pukul 11.30 malam."

Sempat aku ucapkan terima kasih atas ambil berat dia terhadap Akhmal. Sebenarnya, bukan semua kawan Akhmal ini tak berjenis. Ada yang okcuma cara mereka bermuayashah itu mungkin tak sama dengan zaman aku 30 ke 40 tahun dulu!

Rabu, 12 September 2012

Surat Buat Naqib

Naqib,

sumber
Maaf kerana malam ini aku tak dapat nak hadir usrah.  

Aku tahu ini usrah pertama selepas sebulan kita bercuti lewat Ramadhan. Usrah ini penting seumpama tiang-tiang yang akan menegakkan jamaah. Penting dalam menyebarkan kefahaman dan menegapkan keyakinan pada kesatuan ummah. Penting untuk membina kekuatan dalaman diri dan kekuatan ibadah.

Tapi malam ini aku benar-benar minta maaf. Bukan kerana aku terpaksa lambat untuk ke usrah seperti selalunya lantaran balik lewat dari kerja yang jauhnya berbelas-belas kilometer dari rumah dan mengharung puluhan kereta yang berasak-asak. Juga bukan kerana terpaksa uruskan dulu keperluan makan dan mandi ibu_suri sebelum aku berpergian.

Malam ini aku sebenarnya tidak dapat hadir kerana menerima sms dari Akhmal baru sebentar tadi. Akhmal sekarang ditahan polis dan kini berada di IPD Perda. Aku percaya kau maklum hal ini. Bukan baru sekali. Dah banyak kali hingga aku sendiri jadi mangli.

Namun bukan sangat aku tak hadir usrah kerana nak tengok Akhmal di IPD. Aku dah suruh Angah pergi kerana ke IPD itu seperti sudah cuak rasanya. 

Aku tak hadir usrah malam ini kerana aku masih belum malah tidak tahu bagaimana nak beritahu ibu_suri berita ini.

Naqib,

Maafkan aku. Bagi aku, siapa yang memakan garam dialah yang mengetahui bagaimana rasa masin. Siapa yang mempunyai isteri separa normal seperti aku ini, dialah yang lebih mengetahui serba salah bagaiamana untuk menyampaikan berita pedih tentang anak tanpa menggugat emosi halus seorang ibu_suri!

Sekali lagi maaf yangmana aku memilih untuk tidak hadir ke usrah hari ini demi mudah-mudahan akan dapat hadir usrah di hari-hari esok!

Wassalam.

Selasa, 11 September 2012

Masih ada Aku...

sumber

Semalam, baru selesai bawa ibu_suri ke Klinik Kesihatan Kubang Semang untuk pengambilan sampel darah, pemeriksaan darah tinggi dan diabetis. Terkejut Pembantu Doktor itu bila melihat bacaan tekanan darah ibu_suri mencecah 200 dan berat badan bertambah 4 kg. Usahkan doktor, aku pun sebenarnya pening memikirkan hal ini sejak dulu lagi...

Seorang makcik tua masuk ke bilik doktor dan mengadu;

" Kepala saya pening dan mata berayaq."

"Awak ada darah tinggi ke?"

Geleng kepala. Akan tetapi sebaliknya bila doktor periksa;

"Mak cik, darah makcik tinggi ni! Mack cik pergi jumpa nurse di luar sana ya. Ambil berat badan dan tinggi mak cik."

Terasa belas pula di hatiku ini. mak cik yang aku kira lingkungan 70an yang mungkin selama ini merasa dirinya sihat tiba-tiba baru tahu ada darah tinggi. Lebih kesiannya, mak cik itu seperti datang bersaorangan. Mana warisnya?

Aku memandang ibu-suri. Setidak-tidak, ibu_suri masih ada aku untuk membantunya dalam segala hal!

Doktor mengarahkan ibu-suri mengambil sebiji pil dan kemudiannya berehat untuk selama 1 jam sebelum diambil semula bacaan tekanan darah.

Setengah hari juga di klinik itu sebelum bergegas ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mengambil stok baru ubat Psikiatrik.

Aku ambil offday sebenarnya. Offday yang aku klem dari kerja lebih masaku selama membuat persiapan odit minggu lalu.

Hujan terlalu lebat. Khabarnya, rumah mak mertuaku di Taman Buah Pala banjir kilat kerana longkang tidak mampu menampung air yang mencurah melebihi kadar biasa...

Namun aku bersyukur kerana kelihatannya selama ini aku masih mampu menampung dan menyerap segala tekanan hidup walaupun pernah terfikir untuk lari jauh-jauh dari semua ini...

Isnin, 10 September 2012

Selepas Odit

Syukur, odit yang berlansung dari Isnin hingga Khamis minggu lepas telah aku lepasi dengan selamat. Hampir setiap hari sebelumnya, dengan sedaya upaya aku cuba untuk menyempurnakan segala tata kerja. Balik lewat malah Sabtu dan Ahad juga datang bekerja walaupun bergantang-gantang rungutan ibu_suri.

Sebelum odit

Pastinya di celah-celah kesibukan itu tidak aku lupa bermunajat kepada Allah; satu-satunya teman paling setia yang aku ada; supaya pertama sekali aku diberi ketenangan dan ketenteraman tatkala proses odit berlansung. Aku percaya kunci pertama kejayaan bilamana berdepan dengan auditor selain persediaan yang rapi dan doa yang tulus ke hadrat Tuhan ialah ketenangan dalam menjawap setiap soalan mereka.

Alhamdulillah, tidak ada CAR mahupun OFI yang diberikan kepadaku. Semua soalan dapat aku jawap dengan tenang dan semua evidence dapat aku kemukakan. Huu... satu pengalaman yang getir tetapi manis bila dikenang.

Sehabis saja odit, aku terasa teramat lega persis baru keluar penjara. Ramai kawan-kawan memberi tahniah. Tapi jauh di sudut hatiku mengakui sebenarnya elemen kejayaan odit ini ialah kerana sistem fail yang telah dibina oleh bos aku sebelum ini begitu berkesan. Aku cuma menyambung isi sistem ini sahaja. Segala maklumat kalibrasi disimpan dan dipantau secara komputerism. Dengan sekali klik, semua data dapat dicari.

Selepas odit

Selesai saja odit, aku sujud syukur di surau. Letih seperti tiba-tiba baru terasa. Dalam ingat nak rehat seketika  akhirnya terlelap jua...

Ahad, 2 September 2012

Kidungmu

sumber

Sejak lepas Raya aku bekerja setiap hari untuk menyelesaikan kerja-kerja tak siapku menjelang odit ISO9001/TS16949. Terasa amat letih. Balik rumah jauh petang dengar pula bebelan ibu_suri. Lepas mandi dan sedikit rehat, aku terpaksa bawa ibu_suri siar-siar yang kekadang tanpa tujuan demi untuk melampiaskan jemunya yang duduk seharian di rumah. Aku mengerti kebosanannya itu yang kekadang mencapai tahap gaban.

Terasa aku mahu sangat mencapai umur 55 tahun supaya dapat bersara dan rehat saja sambil membuat kerja-kerja amal yang aku minati. Begitu kekadang celoteh oleh perasaan aku yang bersimpang siur di dada. Along dan Angah sudah boleh berdikari. Cuma Akhmal sahaja yang masih memberatkan pemikiran dan meresahkan perasaanku saban saat lantaran masa depannya yang masih berbalam. Pasrah saja pada Tuhan.

Semasa memandu tadi aku mendengar lagu Tiada Lagi Kidungmu dari Sinar FM. Tetiba aku terkenang senyum dan tawa kecil abah! Agaknya seperti inilah dulu perasaan abah dalam memelihara kami 7 beradik hingga dewasa seperti hari ini.

Abah... Aku teramat rindu zaman kecilku yang lalu itu. Zaman yang tidak akan berpatah lagi...........