Selepas hantar cucuku Qaisara ke Tadika Amal Rintis, aku bergegas ke Hospital Besar Pulau Pinang, restock ubat halusinasi ibu_suri. Ianya adalah ubat tambahan dari ubat sedia ada berikutan aduan aku pada doktor pakar semalam bahawa ibu_suri semakin ketara berhalusinasi.
Barulah aku faham fungsi setiap 3 jenis ubat yang diwajibkan oleh doktor kepada ibu_suri.
Selesai di farmasi, aku bercadang untuk singgah makan dahulu kemudian baru mengambil cucu sulongku di SRI Amal Rintis.
Aku melencong masuk ke laluan menuju astaka di belakang Stadium Bandaraya. Aku mengangkat tangan kepada pemandu kereta yang bertentangan di hadapanku tanda minta maaf dan minta izin sebab laluan yang aku masuk itu sebenarnya NO ENTRY.
Setelah parkir aku ke Gerai Jun. Masa aku selalu menghantar abah mertua aku ke Klinik Jalan Perak, bila balik dia sering ajak aku beli nasi lemak udang di sini.
Sedang aku beratur untuk pesan nasi tiba tiba seorang mami mencuit bahu perempuan muda di hadapanku mengisyaratkan dia minta belanja dia belikan makanan.
Perempuan muda itu menggoyangkan tangannya tanda tidak mahu belanja dan berlalu pergi dengan bungkusan makanannya.
Mami itu beraleh pula kepada aku;
Mamu, ceq nak beli itu boleh? sambil tangannya menunjuk ke arah takua sambal di rak makanan.
Aku angguk kepala.
Lalu dia mengambil pinggan dan mengisi dengan 4 ketul takua.
Tak sangka juga dia ambil sampai 4 ketul. Dan tak sangka juga dia tidak ambil nasi.
Lalu dia tunjukkan kepada peniaga minta bungkus.
Ah, nak bungkus pulak, getus peniaga itu
Selepas mami dapat apa yang dihajati, beria ia dia ucap terima kasih dan berlalu pergi.
Kemudian aku ambil makananku, suduk di meja agak hujung dan makan.
Sambil makan, aku perhatikan orang di keliling. Ada meja yang diduduki lelaki Cina ddan Melayu ralit bersembang. Isu besar agaknya. Ada juga Cina suami isteri juga menjamu selera.
Nampak harmoni kebersamaan rakyat di negeriku ini.
Bila teringat semula pada mami tadi aku teringat ibu_suri yang juga suka makan takua goreng dan selalu minta aku membelinya di gerai yang menjual mi goreng...