Khamis, 31 Disember 2015

SELIPAR TUAN YANG BASAH

#foto sekadar hiasan#

Zohor kelmarin, Tuan membawa aku ke masjid. Walaupun masjid itu dekat sahaja, namun Tuan aku berkereta ke sana.

Selalunya Tuan lebih suka berkemeja dengan seluar panjang ke masjid tapi entah apa mud Tuan, hari ini memakai kain.

Sesampai di masjid, Tuan menanggalkan aku dan meletakkan di atas rak. Tuan menuju ke kolah untuk berwuduk. Wuduk di rumah tadi dah batal kerana terkentut semasa memandu kereta.

Tuan memang lebih suka berwuduk di kolah daripada menggunakan pili. Ambil berkat dari lebihan air wuduk jemaah sebelum ini, katanya.

Selesai wuduk, Tuan melangkah ke ruang solat.

Allahu Akbar... Tuan memulakan dengan sunat Tahyatul Masjid. Sedaya upaya Tuan menjaga khusyu' namun khusyu' tuan banyak kalinya diganggu oleh bayang-bayang dunia.

Tuan tidak ada masalah untuk ruku' dan sujud. Hanya ketika hendak bangun untuk berdiri dari sujud sahaja. Justeru itu, Tuan lebih suka mencari posisi yang berdekatan dengan tiang.

Usai solat berjemaah, Tuan berjalan keluar. Sambil itu bersalaman dengan jemaah lain yang ada di antaranya adalah jiran.

Sesampai di rak, Tuan termanggu sekejap...

'Eh... mana selipar aku. Tadi aku letak di sini?'

Beberapa kali Tuan mengingatkan kembali sambil memerhati keliling.

Laa.. macam mana boleh ada kat sana, dengus hati Tuan dengan rasa kesal. Seliparnya berada di tepi dinding tandas dalam keadaan lenjun basah.

'Agaknya ada orang guna untuk pergi tandas atau berwuduk kat pili...' teka Tuan.

Tuan pun mahu tidak mahu menyarung kaki walaupun dalam keadaan basah sambil tertanya-tanya lagi di dalam hati...

'Boleh ke kita guna selipar orang lain untuk ke tandas atau ambil wuduk tanpa minta izin? Kalau tuan selipar itu tak kisah, tak apalah. Kalau tuan selipar itu kisah?'

Tuan berjalan menuju ke kereta. Walaupun hatinya cuba untuk memaafkan sifulan yang 'meminjam' seliparnya tapi sesekali terbit juga rasa marah kerana basah seliparnya membuat kakinya tak selesa menekan pedal minyak.

Rabu, 30 Disember 2015

Isnin, 28 Disember 2015

Ke Klinik Untuk Abah


Aku baru saja balik dari rumah mertua. Siangnya, aku menghantar abah ke Klinik Kesihatan Jalan Perak untuk rutin pemeriksaan kesihatan.

Aku dengan rela hati mengambil aleh tanggungjawap ini dari anak abah sendiri. Aku ingin merebut peluang berbakti kepada abah dengan cara begini.

Aku tahu, bukan mudah untuk mengurus abah yang tidak kuat berjalan. Kesabaran kena tinggi, Keikhlasan perlu putih. Memahami perlu sepenuh hati.

Abah adalah seorang bekas polis zaman orang putih. Justeru, sikap tegas, ego dan cerewetnya memang tebal.

Paras tekanan darah abah hari ini agak tinggi dari sebelumnya. Dua kali misi ulang membalut cuff ke lengan abah.

Bacaan berat badan memang tak diambil kerana abah tak boleh berdiri lama di penimbang.

Dr Hanani yang memeriksa abah minta abah buat analisa darah sebelum temujanji akan datang. Bulan 2 itu nanti, aku kena minitkan ke kalendar aktiviti dalam talipon bimbitku... khas untuk abah!

Ahad, 27 Disember 2015

Kunci

Jemu... usah dikatakan. Walau SABAR adalah kunci segala kekuatan namun sesekali tewas juga jiwa ini. Sesekali terlepas juga sungutan dari bibir ini.

Memang aku tidak punya pilihan selain tetap kekal di perjalanan ini. Orang lain boleh berpendapat apa sahaja. Yang pernah melaluinya sahaja yang erti.

Lewat itu, aku juga memahami keluhan ipar menjaga mertua dan keluhan adik menjaga mak. Keluhan mereka adalah sebagaimana yang ada dalam dadaku.

Hanya bezanya adalah... cara kami menerima dan menyerapkan ia ke dalam jiwa agar ianya tidak memakan diri.

Aku selalu berdoa, muga kunci yang aku pegang erat ini tidak pula aku patahkan di esok hari.

Doakan aku agar terus kekal menjagamu - ibu_suri... hingga akhir hayat ini!

Rabu, 23 Disember 2015

IWAN FALS - in collaboratioh with


Baru terima cd ini dari seorang kolektor. Terbitan PT Musica Studio's Indonesia. Diedar oleh Suria Cipta Malaysia. Karya beliau pada tahun 2003.

Iwan Fals - mungkin asing bagi rakyat Malaysia tetapi tidak di Indonesia.

Sepertimana Ebiet G Ade, Iwan Fals mencipta, menulis dan menyanyikannya sendiri lagu-lagunya yang memiliki konsep tersendiri.

Beliau lantang mengkritik birokrasi politik dan kegawatan sosial negara melalui gitarnya.

Pernah menyanyi  di hadapan presiden Indonesia ketika itu - Susilo Bambang Yudhoyono dalam rancangan debat sesama calon presiden menjelang pemilu.

Ini adalah cd kedua Iwan Fals milikku selepas Koleksi Akustik.

TERANGKAT


Aku ke rumah besanku tadi malam. Dia baru saja menerima cucu baru - lelaki... pelengkap kepada 4 cucu perempuannya yang sedia ada.

Aku hampir terkeluar pertanyaan, mana pergi suaminya sebab tak pun kelihatan sejak tadi sedangkan hakikatnya dah sebulan meninggal dunia.

Bagi aku, kedua besanku ini baik orangnya. Selalu senyum menyambut kami datang. Ada saja juadah yang dihidang.

Yang sempoi, besanku ini pandai membuat sambal belacan. Ini dipuji sendiri oleh suaminya dan diperakui pula oleh ibu_suri.

Tadi malam, kami dijamu dengan nasi tomato. Antara gadget yang paling sedap ialah sambal tomato.

Kiranya, kalau aku boleh ceduk sambal 2 kali masuk ke pinggan dan tambah nasi maknanya... memang terangkat la beb!

Bagi aku, pandai dan rajin memasak adalah antara resipi terbaik sesaorang isteri dalam memenangi hati keluarga.

Selasa, 22 Disember 2015

TAK JADILAH


Fikir punya fikir...  akhirnya aku berkeputusan untuk tetap setia sahajalah dengan Blogspot ini.

Setuju dengan komen IryantyWordpress tidak mesra penulis. Hendak mengarang satu entri pun berbelit-belit rasanya. Terlalu banyak tetingkap.

Lagipun, blogspot yang ini dah banyak kisah aku muatkan. Tentu lebih baik jika kekal sahaja di sini.

Hah... aku nak bawa ibu_suri pergi jalan-jalan. Nanti membebel pulak dia sebab aku buat dek jer sejak dari pagi tadi. 

Oh ya... kalau sudi bolehlah singgah ke Wordpress aku tu di sini. Aku tak mahu delete. Biarlah di situ hingga ianya mereput sendiri.

Isnin, 21 Disember 2015

WORDPRESS


Sedang belajar menggunakan Wordpress untuk kesinambungan menulis blog.

Keinginan ini bermula bila membaca blog A Samad Said. Mungkin dengan menulis di medium yang baru, keghairahan menulis menjadi lebih segar.

Harap-harap aku masih istiqamah menulis. Menulis hal-hal peribadi ini kekadang diburui rasa bersalah.

Walaupun begitu, aku tetap selesa menulis tentang apa yang aku sendiri alami. Ilmuku tak cukup tinggi untuk nak menulis yang ilmiah.

Barangsiapa yang masih sudi membaca tulisanku, terima kasihlah.

Aku dah malas nak blogwalking blog-blog baru. Mana yang singgah dan komen setiap entri aku saja yang akan aku buat kunjungan balas.

Aku mengharapkan keikhlasan pembaca. Blogger yang sezaman dengan aku dah semakin ramai yang pencen!

Khamis, 17 Disember 2015

Cita-Cita Abait


Kelmarin, aku berpeluang membaca karya terbaru Abait yang tergantung di pinggir jalan tidak jauh dari lampu isyarat simpang tiga Pokok Sena.

Agaknya, benar-benar rezekiku sebelum sempat hasil tulisan Abait ini diturunkan oleh MPSP. Dapat juga aku ketahui cita-cita Abait kali ini:

' Abait mahu pergi Pulau Tioman. Nak ambil duit $45 juta. Nak buat supermarket 6 tingkat tang rumah ....... '

Memang 'hebat' hasil karya Abait ini. Penuh sindiran tentang isu-isu semasa.

Siapa si Abait ini memang sesuatu yang misteri. Dahulunya dia mungkin bukanlah sembarangan orang!

Rabu, 16 Disember 2015

Ubat Pahit


Beberapa hari ini ibu_suri kerap bercakap tentang rindunya pada Akhmal. Merengek mendesak aku supaya menziarahinya.

"Kalau pi pun, bukannya you yang turun pi tengok dia. Abang jer... "

Ntah kenapa, belum ada hati nak melihat dia buat beberapa hari ini. Kesayuan bila melihatkan wajahnya yang berambut pendek dan berpakaian ungu membuatkan hati aku menjadi berat. Seperti tandus kata-kata nak berbual tentang apa. 

Sesekali... kekerapan ulangalik ke bilik tirai besi ini terasa umpama menelan ubat yang pahit; terpaksa... demi kesembuhan.

Isnin, 14 Disember 2015

Rumah Mak

Rumah mak antara yang masih kekal dalam bentuk tradisinya

Sebelum balik dari kampung semalam, aku sempat berbincang dengan adik-adikku - Napi, Duyah, Mamat dan Darul perihal rumah mak yang kian dimamah usia. Ini adalah rentetan dari cetusan yang aku buat melalui grup wassup adik beradik yang diberi nama Sri Mersing.

Malam sebelum itu, tatkala aku sedang menonton siaran lansung final Piala Malaysia - Kedah lawan Selangor, aku didatangi oleh Matun. Agak panas juga perbincangan aku dengan Matun tentang isu yang sama. Aku seolah-olah dipertanggungjawap atas semua ini.

Secara keseluruhanya, rumah mak memang dah uzur. Ditambah dengan tapak rumah yang dulunya selalu dilanda banjir setiap kali musim hujan. Tanahanya tapak rumah menjadi lembut; tiang rumah mendap sekaligus lantai jadi tidak rata.

Paling ketara, bilik mak yang berkembar dengan dapur; bumbung dan dindingnya bocor serta reput. Nak diruntuhkan dan bina yang baru...

1. Mak tak benarkan kerana rumah ini banyaknya dibina oleh abah sendiri
2. Jika pun boleh dibuat baru, kosnya mungkin tinggi kerana perlu ambil kira tambakan tanah

Perbincangan sebelum aku balik semula ke Pulau Pinang itu, Matun dan Kedek tidak ada sama. Jadi, bila ahli mesyuarat yang agak kritis ini tidak ada, mesyuarat agak cool.  Namun aku rasa tak mantap pula. Mereka berdua ini adalah adik-adik seniorku. Buah fikiran mereka selalunya lain sikit dari aku. Dalam satu-satu mensyuarat, kalau dipenuhi dengan tukang angguk sahaja, bimbang keputusan yang diambil tidak lumat dicanai..

Aku masih berfikir-fikir juga selama dalam pemanduan balik ke rumah. Cuba mengelak dari menjawap soalan yang bertubi-tubi dari ibu_suri yang mahu tahu sangat akan hasil perbincangan aku adik beradik tadi.

Tak boleh bagitahu dia 100% kerana aku faham sangat, tindakbalas dari ibu_suri kelak bukanlah akan membantu menenangkan hatiku malah sebaliknya... akan hanya menambah beban di kepala!

Ahad, 13 Disember 2015

Kenduri Kesyukuran Di Kampung

meraikan kawan-kawan lama abah

Alhamdulillah... selesai kenduri kesyukuran semalam dengan jaya. Langit pun yang walaupun ada awan hitam tapi masih kekal panasnya yang menikam kulit hingga selesai majlis.

Kat rumah mak ni memang tak susah nak buat kenduri. Nama mak dan abah yang memang dikenali dan dihormati oleh jiran kampung memang mudah didatangi jemputan. Adik perempuan dan anak saudara yang ramai lebih memudahkan memasak dan menguruskan segala kendara.

Aku sahaja yang tak banyak tolong dalam kerja-kerja kasar. Cuma sambut tetamu dan berbual-bual dengan mereka. Kebanyakan topik hanya di sekitar... kamu duduk mana? Berapa dah anak kamu?... dan kisah-kisah lama semasa remaja di kampung.

Aku masih beruntung kerana masih punyai mak dan ada antara adik-adik yang masih tinggal dan mempunyai khidmat masyarakatnya dengan kampung. Semua ini memudahkan lagi hidup bersosial dalam meneruskan legasi mak dan abah di satu satunya kampung tradisi yang masih kekal di bandaraya Ipoh ini ini.

Aku selaku anak watan berasa agak sikit kesal kerana tidak dapat menumpahkan bakti di kampung sendiri... namun rasa bersyukur dengan apa yang aku ada. Aku percaya ini semua ketentuan Allah dan punyai hikmah di sebaliknya...

Khamis, 10 Disember 2015

Al Fatihah!


Masuk hari ini, genaplah seminggu pemergian besanku Abdul Razak Mustafa menemui Ilahi. Hembusan nafas terakhirnya adalah di sekitar jam 4 pagi di Hospital Seberang Jaya setelah lebih 2 minggu menjalani rawatan.

Arwah adalah bapa tiri kepada menantuku. Seorang yang tidak banyak cakap dan lebih bersikap slow and steady.

Muga Allah merahmatimu, adikku. Kini aku kehilangan seorang saudara dalam keluarga kecilku...

Rabu, 9 Disember 2015

Bikin 'Ribut'


Seperti juga blogger 'Dari Hati Bunda' dan 'Kakcik Seroja', aku juga antara yang menerima cenderahati dari blogger 'Belajar Untuk Sabar'.  

Bila aku tunjukkan kepada ibu_suri, tentu sahaja soalan cepumasnya ialah.... siapa yang bagi? Jawapannya pun kena emas juga...

Mulanya bila posmen hon berkali-kali di depan pintu pagar rumah, benakku tertanya-tanya juga... selalunya, kalau surat, posmen akan letak sahaja ke dalam peti pos. Kalau pesanan barang, rasanya semua itu dah aku terima.

Bila posmen hulur bungkusan, aku lagi suspen.... sampul warna cokelat...??? Kalau surat bank mestilah sampul warna putih. Kalau pesanan barang biasanya sampul pos laju.

Aku cuba rasa isi di dalam... keras. Dalam kepala, fikiran mula bersangkaan buruk. Kebetulan, tv baru saja siarkan kes seseorang menerima sampul berisikan serbuk dan disangka Anthrax. 

Aku koyak bucu sampul dengan berhati-hati sambil berpuluh kali membaca Bismillah dan berdoa semuga aku diselamatkan dari yang tidak baik. Aku segera teringat kisah seorang isteri yang membuka karung berisi ular pemberian dari suaminya.

Sebaik saja terbuka, aku tersenyum sendiri. Segera teringat akan sahabat blogger Iryanty Ahamad.

Terima kasih teramat atas pemberian yang comel dan bermakna. Dan sekali lagi terima kasih kerana bikin aku jadi 'ribut'...

Selasa, 8 Disember 2015

Achtung!



Sebenarnya, punca yang menyebabkan blog aku tak boleh dibuka adalah dari widget lagu yang memang wajib ada sebagai halwa telingaku dan pembaca... (ada yang suka dengar dan ada juga sebaliknya...). 

Sebelum ini aku menggunakan widget Singingbox namun bila perkhidmatannya ditamatkan aku beraleh kepada Wikplayer.

Wikplayer tidak mandiri seperti Singingbox. Kita terpaksa impot lagu dari YouTube, SoundCloud atau mana-mana sumber lain.

Mungkin ada antara lagu yang aku impot inilah yang menyebabkan berlakunya error yang kemudiannya menggagalkan blogku dibaca (tapi masih boleh dikemaskini dengan memasuki pintu Blogger.com).

Apapun, itu cuma teori aku sahaja setakat ini. Aku masih belum pasti 100%. Sekarang aku masih guna musicbox Wikepedia dengan memasukkan lagu yang lain. Harap ianya tiada masalah lagi. Kalau masih ada masalah maknanya widget Wikepedia dah tak relevan lagi dengan blog aku ini . Kena cari widget yang lainlah nampaknya...

Memang ada widget yang lain tapi sepower Wikplayer apatah lagi Singingbox.

Isnin, 7 Disember 2015

Blogger Ladybirds Life


Bebaru ni meluas di dalam fbku berita sahabat blogku Azliza Zulaikha dimuatkan ke dalam akhbar Sinar Harian. Aku dah lama tak baca akhbar.. jadi aku tak tau sangat hinggalah dikongsikan ke fb.

Aku pun tak ingat sejak bila aku berkawan di dalam blog dengan sidia ini yang lebih aku kenal sebagai Ladybird berbanding dengan nama sebenar. Cuma yang aku tahu dia memang muda lagi. Tahu dia sejak dia belum kawin. 

Aku kategorikan dia sebagai insan yang tabah dalam hidup walaupun sesekali ada juga ketewasan dan keletihan. Biasalah tu... adat hidup di dunia...

Bila membaca blog dia, aku selalu teringatkan juga kepada blogger Maiyah. Mereka berdua sama... berkerusi roda.

Bagi aku, hebat sebenarnya mereka berdua ini. Aku ini pun belum tentu sekuat mereka jika terpaksa hidup berkaki bulat seperti ini.

Aku doakan agar Ladybird terus kental menjalaani hidup disamping sokongan suami dan motivasi dari anak. Prinsip untuk menjahit hanya abaya aku rasa amat bijak kerana ianya menepati konsep patuh syariah. 

Semuga diberkati Allah. Teruslah memandang dunia dengan senyuman....!


link: http://sweet-ladybird.blogspot.my/2015/12/jubah-abaya-fateema-masuk-paper-sinar.html

Debugging


Alhamdulillah, akhirnya aku dapat juga debug masaalah blog aku yang tak boleh dibuka sejak seminggu lalu.

Terlalu sayang pada blog ini. Isinya adalah kisah sukaduka hidupku bermula 2008. Nyaris aku give up dan akan hanya menumpu kepada penulisan di blog famili sahaja.

Banyak peristiwa selama seminggu terbengkalai tanpa dirakam secara hitam putih. Muga aku dapat menulis sedikit sebanyak tentangnya selepas ini...