Semenjak aku mendengar seorang demi seorang rakanku mendapat diabetis, darah tinggi dan kolestrol, aku membulatkan azam di tahun 2012 ini untuk tidak gagal beriadah bila-bila saja ada peluang.
Hari ini aku ambil cuti kerana tengahari nanti akan pergi ke rumah besan di Permatang Batu, Bukit Tengah untuk sesama meraikan majlis cukur rambut cucunda. Lalu pepagi ini aku sudah berada di Tasik Mengkuang untuk mengeluarkan peluh. Cantik sekali matahari pagi yang sedang naik memanjat langit.
Selalunya insan seusia aku ini lebih baik mengamalkan jalan cepat berbanding jogging. Ia akan dapat mengelakkan kecederaan lutut disamping tidak mendera jantung dan paru-paruku dengan letih yang mendadak. Hari bekerja begini baru aku dapat lihat lebih ramai warga berumur berbanding anak-anak muda di sini. Aku juga sempat melihat 2 orang anak muda memakai kasut dan seluar sekolah walaupun berbaju pereman juga di sini. Ponteng?
selalu terserempak dengan Mini Coopers ini |
Selesai jogging aku singgah makan roti canai telor dan kopi Kencang di sebuah warung kecil. Selalunya di Restoran Sri Semarak tapi hari ini tak buka. Sedap juga roti canainya. Huu.... memang kencang. Tambah menjejen peluhku ini. Dan aku singgah di Masjid Mengkuang untuk solat sunat Dhuha.
iklan lihat di sini |
Begitu rutinku jika cuti. Benar kata orang, bila sudah berumur dan anak-anak sudah besar, kurang gelut di waktu pagi. Cuma yang sibuk hanya di hati!
Maaflah, asyik-asyik cerita pasal Tasik Mengkuang je semenjak dua menjak ni... Aku dah letih sebenarnya, merengkuh tanggungjawap membesarkan anak dan tekanan kerja hampir 30 tahun. Mahu rehat dengan melakukan kerja-kerja ibadah yang aku suka pula. Tapi entah bila...