" Ini saja yang saya boleh kasi sama you. Saya akan doakan pada Tuhan supaya you selamat balik. " Ujarku dengan perasaan yang berbelah bagi dan serba salah. Tampak dari air muka Solomon riak kecewa. Kecewa kerana dia tidak mendapat bantuan kewangan yang sepatutnya untuk membeli tiket balik semula ke rumahnya di Johor Bharu.
Aku perhatikan hingga hilang kelibat Solomon dan isterinya ditelan lorong masuk ke jeti. Rasa kasihan ada. Rasa bersalah dan rasa takut di tipu pun ada.
" Saya punya dompet hilang. Saya pergi repot dekat balai polis Batu Maung. Dia orang cakap kalau boleh dapat pun, beg saja. Duit selalunya tak ada. "
" You bawa berapa dalam beg? "
" Satu ribu tiga ratus. "
" Kenapa tak simpan dalam bank? You ada kad kan? "
" Saya mau jalan-jalan. Jadi saya bawa duit dalam poket. Mana tau bila mau beli barang, duit sudah hilang. "
" You datang 2 orang saja? "
" Ya. Saya ada kena stroke dulu. Kaki tak boleh jalan. Lama duduk hospital. Sekarang sudah baik sikit. Saya berniaga goreng mee, dekat sana rumah. Ada simpan sikit duit ingat mau jalan-jalan sama isteri tengok Pulau Pinang. "
" 2 orang saja? " Aku di ketuk kehairanan dan sedikit kurang percaya. Masakan dah tau sakit kaki, dah tua dan takada pengalaman suasana di sini, tiba-tiba dia boleh datang melancong begitu saja. Dan dari gaya bercakap, tidak nampak macam orang luar Pulau Pinang.
Aku berfikir panjang juga sebelum mengambil keputusan membawa mereka ke Jeti dengan masa keluar makan ku cuma 40 minit bermula jam 1 tadi.
Aku di datangi mereka sebaik saja aku hendak masuk ke kereta setelah berjumpa Khaizul, Setiausaha JIM Seberang Perai Tengah untuk menyerahkan dokumen Laporan Mesyuarat Agong Tahunan yang perlu diposkan ke JIM Pusat seberapa segera.
Solomon adalah seorang penganut Kristian berusia 68 tahun bersama isterinya yang berusia 53 tahun datang ke sini menaiki keretapi. Sebelum bertemu aku, mereka baru sahaja pergi ke Gereja dan kemudian ke Tokong Cina Than Siang tak jauh dari Tokong Ular untuk meminta bantuan, namun hampa.
Bergantang-gantang komen kehampaan mereka terhadap sikap staf di kedua-dua rumah ibadat itu yang tidak melayani mereka sebaiknya.
Aku hanya mendengar dan berhati-hati. Disamping aku cuba mengingati kembali buah-buah silat yang pernah aku pelajari satu masa lalu. Mana tau tiba-tiba nanti mereka hulur pisau pula kat aku nanti. Ini zaman yang tidak ada perkataan mustahil!
Walau apapun, aku berdoa pada Tuhan selepas itu; kiranya benar mereka dalam kesusahan akan ada insan lain yang akan membantu mereka selepas aku menghantar mereka untuk menaiki feri ke stesyen keretapi Butterworth. Aku tak mampu nak membantu lebih dari itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan