Selasa, 10 November 2009

Soalan Cepu Mas

Bukan sekali tapi udah acapkali ibu_suri bertanyakan soalan cepu mas ini. Soalan yang bukan sahaja sukar malah berat dan tak tahu nak menjawapnya bagaimana.

" Kalau I mati nanti, U akan kahwin lain ke? "

Bukan soalan menduga akal tapi ini soalan menduga keikhlasan dan kejujuran. Menduga kesetiaan dan kasih sayang. Silap memberi jawapan, tidak terduga akan balasannya.

" InsyaAllah kalau buat masa ini abang udah tak mahu fikir pasal kawin lain. Cukuplah abang ada satu ini. Kalau U mati, abang nak fikir perbetul jalan hidup abang sendiri. Tak mau fikir pasal kahwin dah. Serik. Letih. "

" Nanti U akan kesunyian... "

" Ah, ok. Abang tak ada masalah hidup sorang. Dah biasa urus diri sendiri sejak dari kecil dulu. " Sekadar menyejukkan hatinya, begitu yang kuharap.

" Itu, apa yang abang fikir dan hasratkan buat masa inilah. Tapi kalau Tuhan takdirkan lain, itu abang tak mahu janji lah... " Berlapik juga cakap aku ni. Takut pula nanti termakan dek sumpah. Teringat pula aku akan filem-filem horror yang pernah aku tonton. Walaupun itu mungkin cuma fiksyen tapi erkss... takut le juga kalau jadi betul-betul. Anak sungai lagikan berubah. Aku bukannya malaikat.

Tidak lama, dia minta berbaring di atas riba aku. Dia minta aku picit-picitkan kakinya.

" U demam ke? " Bila aku dapat rasakan badannya sedikit hangat.

" Tu lah... Rasa badan ni sakit-sakit... " Dan airmatanya sertamerta terjun dari kelopak. Itu dah biasa bagiku. Di celah-celah garangnya tatkala marahnya datang di luar kawalan, dia mudah merambukan airmata apabila kesyahduan menyelubungi jiwanya.

" U tak boleh cuti lagi ke? "

Aku terdiam. Mana bisa aku ambil cuti sedangkan semalam aku sudah pun ambil MC. Siang nanti ada IQA audit di ofis aku. Sepatutnya aku kena siap sedia di sana.

Uuhhhh.....

" Nanti sat. Abang fikir. Makan Panadol dulu ya. Lepas tu U pergi tidur dalam bilik. "

" Tak mau. U picit-picit dulu badan I ni... "

Aku pun tidak mau banyak soal. Terkenang aku bilamana pergi kerja siang nanti, tinggal dia kesaorangan di rumah. Masalah ni...

Aku teringat si anu, si ani dan mungkin si ana dapat menjenguk ibu_suri sementara aku bekerja. Betahkah aku ambil cuti separuh hari, hari ini?

Sebenarnya aku dapat rasakan prestasi kerja aku agak mencorot kebelakangan ini lantaran kerap cuti semata uruskan hal-hal berkaitan ibu_suri.

Tuhan, hadirlah di sisiku!

Isnin, 9 November 2009

Kak Long

Terasa bahuku digoyang. Entah bila masa aku tertidur di depan tv, aku pun tak sedar. Selepas ke klinik ambil dan makan ubat cirit birit yang melarat hingga hari ke2, aku baring-baring sambil ibu_suri menonton tv.

" Abang, I lapar la. You goreng Maggie, boleh? "

Dengan berat mata aku bangun. 2 minit je, fikirku. Jam 1:45 pagi. Terasa pula perut aku sendiri yang lapar. Sepanjang 2 hari aku di serang cirit birit, aku cuma makan moi dan roti empat segi sahaja, berselang seli. Mau nya tak lapar cepat.

Sambil memasak itu aku tertarik juga menonton sama drama tv bertajuk Srikandi Dihatiku lakonan artis veteren Fauziah Nawi.

Kisah pengorbanan seorang kakak memelihara 3 orang adik lelakinya setelah kematian emak dan bapa mereka. Kak Long sanggup tidak berkahwin semata-mata mahu memastikan masa depan adik-adiknya berjaya. Berhempas pulas membuat nasi lemak untuk jualan kemudian menoreh getah walaupun dalam kedaan demam.

Namun apabila adik-adiknya telah berkerjaya, jasa Kak Long dilupakan kecuali oleh adiknya yang bongsu. Kak Long ditemui oleh adik bongsu, kini seorang doktor dalam keadaan trauma. Apabila ingatan Kak Long sudah mula pulih, Kak Long cuma sempat beberapa minit mendakap dan menyebut nama-nama adiknya. Kak Long kemudian menghembus nafasnya yang terakhir.

Di sini tak sedar aku menitiskan airmata. Kehebatan Fauziah Nawi, pelakon airmata membawa watak Kak Long memang berkesan. Di dokongi pula oleh pelakon yang membawa watak Kak Long semasa muda.

Berlatar belakang Kak Long menoreh getah, merumput di celah-celah pokok ubi kayu, mencari kayu api dan memasak menggunakan dapur tungku serta memberus pakaian sekolah adik-adiknya. Itu semua menghimbau kenangan aku semasa di kampung. Semasa masih kecil. Semasa keluargaku susah dan aku terpaksa menjaga adik-adiku seramai 6 orang bilamana emakku pergi menoreh getah dan abah pula masih sakit diserang Schizophrenia. Justru airmataku mudah luruh kerana latarbelakang drama itu begitu dekat dan syhadu denganku.

Aku segera teringatkan adik-adikku, emak dan abah. Teringat kawan-kawan yang pernah sama-sama bermain polis sentri, main kondang-kondi dan masak-masak.

Sambil ibu_suri makan mee, aku pula makan roti cicah teh o wangi. Perut masih kruk...krak lantaran angin yang masih berlegar-legar di dalam perut. Nasib baik doktor bagi aku cuti sakit, hari ini!

Sabtu, 7 November 2009

Meragam

Masuk kali ini, hampir 10 kali aku keluar masuk bilik air. Entah di mana silapnya perut aku ini hingga meragam sebegini sekali. Udah 2 pasang kain dan 2 pasang baju terpaksa aku basuh semula gara-gara hilang kawalan sewaktu di dalam proses 'pembuangan' itu. Dan aku tak berani tidur sehingga aku telah pasti segala keracunan di dalam perut aku ini kembali neutral.

" Apalah, ayah! Demam masa cuti. Rugi la. Tak boleh ambil MC.. " Perli Angah bila lihat aku terbaring kerana demam. Memang, aku jarang ambil MC kerana aku jarang sakit. Tapi hari ini kulit badan mula terasa panas sedangkan dalam diri aku terasa amat sejuk hingga memaksa aku memakai selimut. Di sisi, ibu_suri asyik merenung aku tanda simpati.

Jam menunjukkan 4.15 pagi. Perut aku masih tak ok lagi ni. Perut pula terasa lapar. Angah, Along dan ibu_suri sedang sedap tidur berdasarkan bunyi dan selang seli dengkur mereka yang teratur dan syahdu.

Terasa kecil pula diri ini. Kesunyian malam mengingatkan aku, insan kerdil yang kini sedang mendaki anak tangga ke 50. Hampir tiba ke puncak kehidupan. Malah sikit hari lagi aku bakal menerima calun menantu. Dan jika janji Tuhan itu benar maka beberapa tahun terdekat ini aku akan menerima anugerah paling berprestij.... DATUK!

Alahai, tak sanggup aku membayangkannya...

Aku harap sebelum aku mengakhiri kehidupan di dunia ini, aku sempat untuk kembali semula ke jalan dakwah. Jalan yang pernah aku terokai semasa aku masih muda dahulu.

Ah, perut aku masih tak ok. Namun mata dah mula mengantuk. Rumah berselerak sedangkan keluarga mertuaku akan datang esok, mungkin!

Khamis, 5 November 2009

Generasi Y

Maaf, foto ada sedikit SX
Kini ramai orang berpolemik tentang generasi Y. Apa sebenarnya Generasi Y?

Mengikut apa yang pernah aku terbaca dari media cetak, elektronik atau media siber begini:

Yang lahir pada tahun-tahun sebelum 1946 di istilahkan sebagai Silent Generation.

Lahir di antara tahun 1946 hingga 1959pula di panggil Baby Boomers.

Generasi X adalah mereka yang lahir antara tahun 1960 hingga 1979. Generasi Y pula yang lahir pada 1980 hingga 2009.

Agaknya kenapa mereka digelar Generasi Y? Lukisan oleh kartunis ini mungkin benar sebagai jawapannya.

Sebenarnya aku telah pun melihat budaya ini berkembang di Jepun pada era 90an lagi tatkala ikuti latihan industri yang dihantar oleh majikanku. Rakanku R yang sesama pergi memberitahu aku bahawa dia percaya budaya ini satu hari kelak akan menular di Malaysia. Nah, tidak salah terkaan R.

Bagaimana pula dengan generasi yang lahir pada 2010? Generasi Z? Harap-harap Generasi Z tidak pula memanjangkan budaya yang dibawa oleh Generasi Y.

Tugas kitalah Generasi X membendung kelansungan ini dari merebak melampaui batas susila fitrah manusia bertamaddun!


Isnin, 2 November 2009

Bukan Budaya

“ You tau lusa hari apa? “

Terdiam. Berfikir. Hari apa?

“ Lusa hari jadi I laa… You nak hadiahkan I apa? “

Terdiam lagi. Ligat berfikir. Nak hadiahkan apa? Uuu…hh.. Satu hal pulak nak kena fikir ni...

“ Abang nanti beli kek paling best. “

Iye ke ni? Kek apa nak bagi? Entah… tapi itu yang termampu untuk aku janjikan, rasanya. Mau juga RM 2 atau 3 puluh.

Tidak lama kemudian…

“ Angah, you nak bagi ibu hadiah apa? “

Angah melempar pandangan kepada aku. Terpinga-pinga. Aku cuma angkat kening.

Selama aku membesar di kampong, tidak pernah ada budaya ini. Keluarga miskin katakan. Mana ada masa nak ingat pasal hari jadi. Nak makan hari-hari pun tak daya nak fikir bagaimana.

Namun sebaliknya pula pabila aku mengungsi di Penang ini. Hampir kesemua adik beradik ibu_suri selalu mengadakan majlis hari jadi. Dan selalunya akulah yang dikuit supaya membacakan doa agar majlis itu nampak sedikit islamik.

Entahlah.... Kenapa orang Melayu ini mudah sangat ciplak budaya yang bukan menggambarkan identiti bangsa sendiri!