Isnin, 9 Januari 2012

Miscall

Seperti selalunya hujung minggu, aku ziarah mak dan abah mertua di Taman Buah Pala, Bukit Gelugor. Sesampai di sana, aku letak talipon bimbit dan kunci kereta di atas almari. Jam 8.30 malam, baru perasan rupanya ianya dalam off  mode ketika teringat untuk bertanya Angah samada Ayu akan datang tidur di rumah kami atau sebaliknya.

Bila on semula, bertali arus miscall masuk. Miscall paling awal jam 4.07 petang. Rupanya, Angah nak beritahu Ayu dikejarkan ke hospital. Bayi dalam kandungan yang dah lengkap 36 minggu di dapati tidak bergerak.

Aduh, kasihan Angah kerana terpaksa seorang bergelut menguruskan isterinya yang sarat sedangkan aku dan ibu_suri bersantai di rumah baru mertua.

Begitu pentingnya talipon yang siap siaga di saat-saat memerlukan begini. Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa bateri talipon ini cepat kehabisan kuasa walaupun sebenarnya boleh dikira ia masih baru.

'......pssttt...... bagaimana dengan call (azan) dari Tuhan? Apatah lagi kalau ianya sudah menjadi miscall...'

Khamis, 5 Januari 2012

Saat INI Paling Berharga

Berpuasa sunat hari ini, aku. Jadinya, aku lebih banyak berada di surau bila saja waktu rehat kerja. Sendirian di surau menjadikan aku jauh berfikir. Berfikir tentang hakikat kebenaran lagu ini: Antara 2 Cinta - The Zikr

Seorang kawan yang aku kira baik dengan aku memberitahu semalam bahawa dia mempunyai hanya 300 hari sahaja lagi bekerja sebelum tiba era bersara November nanti. Mendengar itu aku tiba-tiba seperti terasa akan kehilangan sesuatu. Aku tiba-tiba terasa seperti masa-masa yang ada sekarang ini bersamanya menjadi amat berharga. Perlu diguna sebaiknya.

Aku pula dimasa yang sama teringat mak di kampung. Seperti itu juga merasa seperti alpa. Membiar masa berlalu tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk bersama mak. Bersama adik-adik. Bersama rakan-rakan dan masyarakat.

Terasa seperti terlalu rugi jika masa-masa aku atau masa-masa mereka yang masih ada ini tidak diguna sebaiknya untuk diisi dengan kebaikan; dengan kemesraan; dengan saling menolong dan berbuat kebajikan.

2012 hampir memasuki minggu ke 2. Tak lama Januari akan menginggalkan kita. Tidak lama juga 2012 akan berada di penghujungnya. Dan tidak lama, aku juga akan ikut bersara seperti kawan baik aku itu juga.

2 hari sebelum menjelangnya 2012, boss besar aku menegur dan bersalam dengan aku. Tak pernah dia berbuat begitu. Ujarnya -  Happy New Year, IM. You see aaarrr... time travel so fast. with just a .... (sambil memetik ibu jari ),  2011 gone!





Sebenarnya, SEMALAM sudah hilang. ESOK masih angan-angan. Hari INI pun belum tentu sempat kita habiskan. SAAT inilah sebenarnya yang paling berharga dan jangan disia-siakan!

Rabu, 4 Januari 2012

Ujian Untuk HambaNya

jangan cepat surender pada ujian

Hari-hari yang baru lalu adalah musim ujian yang bertimpa-timpa buat keluargaku di kampung.

Niza baru saja menjalani pembedahan bengkak di usus besar oleh doktor pakar Hospital Tuanku Bainun, Ipoh. Masih sakit, katanya semasa aku menalipon semalam. Rupanya, bukan satu bengkak yang ditemui. Sebaliknya ada lagi bengkak di usus kecil, ovari dan di hati. Gayat juga aku bila mengetahuinya. Entah dimana silapnya. Mungkin pemakanan?

Beberapa hari sebelum semalam, adik lelakiku pula kemalangan kereta. Dia menalipon aku nak buat bagaimana. Aku tahu dia dalam panik. Aku menyejukkan dia dengan memberi tips. Alhamdulillah, semalam katanya kereta dia sudah pun dihantar ke bengkel yang disaran oleh insurans Takaful Malaysia. Adik lelakiku ini adalah seorang Tabligh. Dia banyak membantu keluargaku dan keluarga adik-adikku yang lain.

Kemudian pula aku dapat tahu iparku yang tinggal di Lahat juga kemalangan. Motosikalnya dilanggar oleh sebuah kereta yang terbabas kerana mengelak motosikal lain yang ditunggang oleh seorang remaja. Iparku ini patah tulang bahunya dan mengalami 7 jahitan di kepala.

Aku berbisik kepada diriku sendiri bahawa inilah antara ujian yang perlu kita hadapi sesabar dan setenang mungkin. Lain orang lain bentuk ujiannya. Aku telah pun mengharungi ujian yang getir sebelum ini dan memperakui bahawa kekuatan dalam diri adalah tangkal paling penting. Usah diharap sangat pertolongan dari orang lain kecualilah Allah.

Ujian dari Allah adalah untuk meningkatkan taqwa hamba-hambaNya yang tabah. Aku bersyukur kerana aku boleh dikatakan mampu bertahan dengan ujian-ujian yang lepas. Harap adik-adikku juga begitu. Ameen….

Isnin, 2 Januari 2012

Erti Hidup Sendiri

Aku paparkan di sini foto-foto yang sempat dirakam oleh Akhmal semasa kursus pengoperasian TBM (Tune Boring Machine). Walaupun pada awalnya terlalu banyak kebimbangan dan tandatanya bermain dibenak tentang masa depan dia di Kota Kemuning, Shah Alam - tempat di mana kursus dia ini berlansung, namun aku merasakan perlu redhakan dia memilih jalan hidup sendiri jika itu baik untuk masa depannya. Tak mahu terjadi seperti Anakku Sazali. Dek kerana 'manja' yang berlebihan akhirnya ayah yang dipersalahkan.

Medan rezekinya mungkin tidak sama seperti Angah apatah lagi semacam Along. Namun jika itu ketentuan Ilahi, kenapa aku perlu kesal atau keluh kesah.

Foto-foto ini sedikit sebanyak menguatkan keyakinan aku akan halatuju masa hadapannya yang aku kira ok jika dia benar-benar mahu berubah. Secara kasar tangga gaji asasnya RM1200. Tak ke lumayan jika nak dibandingkan dia yang kerana Disleksianya itu terpaksa melalui Kelas Pendidikan Khas; tanpa apa-apa sijil malah tingkatan 1 pun tak pernah dia duduki?

Dr M merasmikan sesi kursus 6 bulan mereka

salah satu dari mesin latihan

belajar cara mengikat tali

mesin boring, agaknya!

satu lagi peralatan latihan

aparatus keselamatan

Cukup tak berkenan dengan rambut ala punk nih!

" Akhmal, ayah selalu mendoakan kejayaan dan kebahagiaan kamu. Bagi ayah, biar sepahit mana usaha ayah membesar dan memperbetulkan jalan hidup kamu, akan berbaloi jika dapat melihat sijil tamat latihan kamu. Biarlah ke hutan mana kamu akan ditempatkan kelak, ayah akan selalu mengharapkan yang terbaik buat kamu. Sekalipun jika kamu lupakan ayah bila kamu telah senang kelak, ayah tidak akan berkecil hati malah akan terus menerus mendoakan kamu! "

Ahad, 1 Januari 2012

Taufiq Dan Hidayah

ibu_suri ke Masjid Kristal - destinasi ibadah atau pelancungan?

Khutbah di Masjid Bayan Baru Jumaat lepas disampaikan oleh khatib undangan. Jarang Masjid Bayan Baru ini memberi peluang khatib lain berkhutbah. Justeru itulah agaknya, ramai jamaah yang tertidur kerana nada suara khatib yang mendatar, teks khutbah yang stereotype dan isu yang dilontarkan tidak kontemporari.

Tertarik dengan isi ucapan yang sempat aku catat ke dalam talipon bimbit aku. Kita ini, ujar khatib itu, perlu bersyukur dengan 2 nikmat yang Allah berikan pada kita. Itulah nikmat Taufiq dan Hidayah. Taufiq bermaksud keupayaan kita berbuat sesuatu. Hidayah bermaksud petunjuk yang Allah campakkan ke dalam hati kita. Ada orang yang Allah beri Taufiq tetapi dia tidak pun berbuat amal kebaikan. Ada orang yang mempunyai Hidayah tetapi tak mampu bergerak untuk membuat amal.

Aku kongsikan isi khutbah itu dengan ibu_suri dengan hasrat dia juga akan mendapat manafaatnya. Muga-muga, dengan input sebegini akan menjadi penolak kepada semangatnya untuk lebih positif dalam  menerokai dunia separa normalnya ini.

Dengan nada cuba mengusik, aku memberi cadangan;

"Ha.... apa kata kalau cucu kita itu lelaki kita suruh Angah namakan Taufiq. Kemudian jika lahir cucu kedua dan perempuan kita namakan Hidayah?"........ Diam!