Rabu, 30 November 2011

Ingin lahirkan Satu Lagi Blog?

Perbualan aku dengan blogger Jendela Hati semasa makan di kafetaria tempat kerja semalam mengujakan aku untuk membina satu lagi blog baru. Sekarang ini aku ada 3 blog sendiri;

1. insan marhaen - catatan peristiwa benar dalam hidupku untuk tatapan generasiku.


2. sri mersing - tulisan semula kenangan aku semasa kecil di kampung.


3. hujan petang - koleksi puisiku serta puisi-puisi yang aku minati.


Blog baru yang aku rancang ini dibina dengan tujuan lebih kepada menyampaikan mesej dakwah. Isinya akan berkisar kepada unsur-unsur agama, ilmiah dan maklumat yang bermanafaat kepada yang membaca. Sudah pastinya setiap artikel atau bahan yang ditulis nanti akan berdasarkan dari sumber yang sahih, insyaAllah.

Aku harap kesemua blog aku ini nanti akan mendapat followernya tersendiri walaupun mungkin tak semeriah blog insan marhaen yang meraikan jubli gangsanya hujung tahun ini.

Nama blog baru ini belum ada lagi di kepala. Buat masa ini sedang mikir-mikir konsep keseluruhan blog - rangkabina dan gaya isiya yang bagaimana.

Mungkin akan ada yang berkata, banyak sungguh masa IM hingga boleh tumpu pada banyak blog. Hi..hi.. aku memang suka menulis sejak dari dulu. Nak hasilkan buku tak mampu. Hasilkan blog pun kira dah banyak syukur. Kalau mahu seribu daya. Kalau dah cinta, semua indah belaka. Bukanlah pandai menyusun kata, hanya sekadar berkongsi idea pada yang tak jemu membaca.

Lagipun tidak indah hidup ini kalau tidak turut sama memberi sumbangan kerdil untuk bersama rakan dakwah membangunkan agama. Nak berceramah tak pandai. nak ke sana ke sini beraktiviti tidak ada kelonggaran. Dengan sedikit pengetahuan di alam maya intai-intai peluang menulis seadanya di celah-celah  masa menjaga ibu_suri.

Semua ini kalau pun tidak sebesar jihad para sahabat nabi yang syahid di jalan Allah, cukuplah jika umpama burung ababil melontar batu kepada tentera Abrahah. ataupun sekerdil burung pipit menitiskan air ke dalam unggun api yang membakar Nabi Ibrahim!

Berdoa kepada Allah muga usaha kecil ini diiringin keikhlasan dan direstui Allah!

Isnin, 28 November 2011

Pergilah!

Akhmal semasa hadir di Kem Motivasi anjuran JKM

Bukanlah nak berkira sangat dengan duit. Lagipun dia bukan lagi kuanggap sebagai anak angkat malah seperti anak sendiri. Cuma aku bimbang jika diberi duit terlalu banyak kepada dia takut tiris di tengah jalan. Maklumlah, akal separuh masak.

"Kata nak pergi KL tapi ayah tak tengok hang bersiap apa-apa pun!"

"Nak siap apa. Beg pun tak ada. Rambut nak gunting, selipar, tiket bas nak beli pun tak ada duit!"

Hurmm... Rasa bersalah pula sebab baru bertanya. Memang perangai dia kalau bab begini tak mahu bincang hati ke hati awal-awal dengan aku. Ikut baran dia saja merampus tak tentu pasal jika hajatnya aku tak penuhi 100%.

Aku menalipon Along... berapa tiket bas ke KL?

"Dalam RM34. Kenapa? Akhmal jadi pi kerja kat KL?" Aku meng-ha kan saja.

"Habis, sementara nak dapat elaun?"

"Hmm.. ayah kena support dia le. Macam ayah kena support hang sekarang ni?" Terdiam Along.

Dah memang begini hakikatnya. Mau tidak mau aku terpaksa mengeluarkan duit saku yang bukan sedikit untuk membantu mereka berdua memulakan hidup baru.

Aku berdoa muga pemergian Akhmal ke KL untuk membina hidup baru akan benar-benar menjadi, tidak seperti sebelum ini. Dia akan mengikuti kursus selama 6 bulan dengan Syarikat Wet Trade sebagai TBM (Turn Boring Machine) dan akan diberi elaun RM500 sebulan serta tempat tinggal. Sekalipun aku kurang yakin dengan kemampuannya mengurus diri dan bermuayashah dengan rakan-rakannya, aku perlu berani biarkan ia berdikari di tempat orang. Dia anak lelaki.

Jika berjaya, dia akan bekerja membuat terowong MRT antara Sungai Buluh dan Kajang. Doa ayah selalu menyertai!

Ahad, 27 November 2011

Hijrah Juga Ni, Ya!


Aku berazam untuk menukar kebiasaan meminum Ali Tea Tarik kepada minuman yang lebih islamik. Kalau nak kata hijrah minuman pun bolehlah juga, ya!

Aku singgah ke HPA Jalan Ciku semalam untuk membeli Radix merah. Malangnya,  tiada stok. Kecewa juga aku dengan HPA ni. Memanjang je tak ada stok. Bukan itu saja malah minyak rambut Tea Tree dan Radix bijirin juga. Esok baru sampai, kata juru kaunter. Kut ya sampai..., getus hatiku.

Yang ada cuma Kopi Radix DIET . Kopi ini menggunakan daun Stevia bagi menggantikan gula. Baik untuk mereka yang bermasalah dengan kesihatan seperti kadar gula tinggi dalam darah, gout, tekanan darah tidak normal, gastrik dan obesiti.   Aku beli dan cuba sebungkus tadi. Ok juga. Boleh ganti ia sebagai minuman rutin. Aku bercadang nak beli kopi Tok Guru juga tapi tak tahu ada jual di mana.

Di rumah aku ni memang ada macam-macam yang segera. Maklum le, suami yang perlu hidup secara layan diri. Lagipun, anak semuanya dah besar. Mereka sendiri pun jarang ada di rumah. Bak kata pelawak Maidin dalam lagu humornya -  kini kami tinggal berdua...yahoooo....

Hari ini ada kenduri kahwin oleh jiran di belakang rumah. Jiranku ini juga membuat dan menjual maruku jenama Bonda secara sederhana. Besar juga kendurinya ini kalau diukur dari bentuk dan jumlah khemah. Anak tunggal katakan. Tapi ibu_suri masih tidur. Tak tahu dia akan bangun pukul berapa sebab semalaman tadi dia tak dapat picingkan mata.

Sabtu, 26 November 2011

Sabarlah Dan Teruskan Dakwah Yang Hikmah!



Susahnya membesarkan anak yang separuh masak dalam hidup. Masa kecil bolehlah kita marah atau rotan. Masa kecil bolehlah kita denda jangan keluar rumah atau tak bagi duit poket selama seminggu. Bila dah remaja begini, akal dan kaki mereka udah panjang!

Syukur juga kehadrat Allah lantaran kurniaannya kepadaku hanya 3 anak yang lelaki. Kalaulah ada perempuan, lagi letih aku dibuatnya.

Namun begitu ibarat daging. Walaupun tidak elok; dicincang, dimasak dimakan juga. Apa pun yang ditakdirkan berlaku perlu ditelan walaupun tersekat-sekat dikerongkong.

Aku percaya, dengan kesabaran dan pendekatan profesional sebagai seorang bapa dan seorang tua, lambat laun mereka akan masak juga.

Kalau dengan anak orang lain kita boleh buat program dakwah dengan senyum manis penuh hikmah kenapa tidak dengan anak-anak kita? Kalau dengan orang lain kita boleh berkata; aku tetap sabar walau aku di kata dan dihina, kenapa tidak dengan anak kita? Kalau dengan orang lain kita boleh berhabis duit dengan alasan hendak menolong atas nama ukhuwwah filllah, kenapa tidak dengan anak kita?

Aku teringat perbualan aku dengan seorang kawan yang pernah aku tulis di blog ini. Kawanku yang kaki kugiran, kaki botol dan kaki judi selalu datang ke ofisku bercerita tentang sikap dia yang mahu berubah dan mahu tinggalkan semua itu tapi masih belum mampu 100%.  Katanya:

“Aku dengar semalam ceramah dalam tv. Ustaz tu gasak AJK masjid sebab tak pandai nak dekati orang-orang macam aku ni. Kalau orang macam aku ni kononnya datang masjid sebab nak bertaubat, AJK masjid tu pandang atas bawah macam tak percaya. Hendaknya lepas tu ada pulak barang masjid hilang.”

Lagi;

“Patutnya, ustaz dalam tv tu cakap, AJK masjid ni kena berbaik dengan orang-orang macam aku ni. Rapatkan diri. Nasihat elok-elok. Sembang elok-elok.”

Dan lagi;

“Nabi pun tak macam depa. Walaupun kena baling dengan taik; dengan batu tapi Nabi tetap berdoa yang baik-baik untuk umatnya.”

Hurmm…. Sebenarnya banyak kerja kita untuk mengislahkan masyarakat. Tapi selalu pula kita terlupa. Kita sibuk dengan dakwah di luar rumah tapi terlupa yang di dalam rumah. Kita sibuk melihat kelemahan orang tetapi terlupa kelemahan diri. Kita asyik masyuk dengan kehebatan kita sendiri hingga tidak menyedari bahawa kita sebenarnya sedang dalam ujub.

Aku selalu memanjatkan doa, begini:

'Ya Allah, pandanglah aku dengan senyum. Tunjuklah aku jalanMu yang lurus. Lembut dan tenangkan hati ini menerima ujianMu. Berilah aku kekuatan dan iltizam dalam melaksanakan amal ibadah terhadapMu!’

Khamis, 24 November 2011

Berfikir Dan Berdoa

Seluruh hari iniku di selubungi resah sebenarnya. Aku cuba mengekang ia dari mengganggu prestasi kerja dengan tidur sebentar di waktu rehat tengahari. 2 perkara yang berlaku sekaligus mengocak ketenangan.

Akhmal semalam telah ‘melarikan’ Kancil bersama kawannya entah kemana. Bijak sungguh dia mengesan kunci penduaku yang tersimpan dalam laci. Aku agak, jauh juga perjalanan mereka kerana tangki minyak hampir kering dengan kuantiti sebelum ini sekitar RM20.

Bukan main lagi ibu_suri mengadu padaku tiap saat. Aku hanya mendengar kerana tidak tahu nak berkata apa dan tidak mahu ianya menjadi lebih kusut.

“Itu Kancil I. Dia tak minta izin pun nak guna?” berkali-kali ibu_suri menggerutu.

Pagi ini pula aku di datangi emel dari seorang kawan. Soalnya; kenapa aku tidak dapat memahami hatinya? Aku pun tiba-tiba jadi pakum. Tak faham dan tidak tahu apa nak dijawap. Sekali lagi dia mengirim emel dan sekali lagi aku buntu.

“I respect you as a friend and try to be honest and be good to you. Up to you to judge me!”

Begitu saja yang mampu aku jawapkan kerana jika lebih dari itu aku bimbang akan tambah mengeruhkan suasana. Memang aku tahu, susah untuk mengekalkan persahabatan yang baik kerana sekira ianya retak, derainya bagai kaca. Sukar untuk dicantum balik.

Sepanjang hari ini kawanku itu tidak lagi ngobrol melalui emel seperti selalunya dan itu pertanda mungkin dia benar-benar tersinggung atau marah.


Dan aku? Berfikir dan berdoa sahaja sepanjang hari ini. Begitu lumrah laut. Bukan selalunya tenang… Aku tahu, faham dan cukup berpengalaman dengan hakikat itu!