Isnin, 31 Ogos 2015

Petang Di An Nahdhoh


Petang tadi aku hadiri program Lawatan Jawatan Kuasa IKRAM Pusat ke Pulau Pinang. Aku hadir awal kerana cuba untuk menjadi punctual person. Aku tinggalkan ibu_suri di rumah setelah 'bodek' dia dengan selesaikan mandi dan pakaikan dia serta membelikan makanan yang dia suka.

Aku lebih banyak duduk sendirian dari ngobrol dengan rakan seperjuangan. Entah kenapa aku lebih mahu bersaorangan. Memberi fokus kepada  apa yang nak disampaikan oleh top person dari pusat. Aku rasa, aku banyak ketinggalan info. Dan aku percaya, isu-isu terkini seperti GHB, BERSIH, pendirian serta komitmen IKRAM terhadap misi Malaysia Menuju Negara Rahmah menjadi topik interaktif. 

Di kala orang lain lebih memihak kepada kumpulan yang dia suka tetapi di masa yang sama mengkritik/melabel kumpulan yang dia tidak suka, IKRAM mengambil sikap melihat sesuatu itu melalui kacamata rahmatan lil alamin. IKRAM lebih suka melihat peluang kepada dakwah terutama pada orang belum Islam.

Perut aku semakin berkeriut kerana belum makan sejak tengahari. Sejuk di dalam dewan pula bikin kaki aku rasa bagai di gigit hawa dingin. Aku melihat-lihat jarum jam tawaf di tangan yang menghampiri jam 6 tapi soalan demi soalan teraju seperti tidak mahu ditamatkan.

Akhirnya, aku angkat kaki awal, solat dulu di tingkat bawah sebelum menuju ke warkop kegemaranku di tepi Masjid Kubang Semang. Petang-petang gini makan cucur udang dengan kopi o memang perghhh...

Tak lupa, tapau sebungkus untuk ibu_suri yang mungkin sedang cekak pinggang menunggu aku balik. Dan di sepanjang pemanduan ke rumah aku terkenang saat-saat kebersamaan dengan rakan-rakan nasyid MUHAJJIR!

Sabtu, 29 Ogos 2015

Pemerhati


Rasa terkilan juga sebab tak dapat turun sama ke KL 2 hari ini. 'Kemeriahan' turun ke jalan raya seperti yang pernah aku lakukan di musim-musim lalu persis memanggil-manggil.

Apakan daya. Bukan tak mahu, takut atau dah jemu. Aku terpaksa terima hakikat bahawa kali ini Along tak dapat balik untuk menjaga ibu_suri. Ada kerja, katanya.

Mahu tidak mahu, aku hanya ikuti sahaja seluruh perkembangan rally yang sedikit lain dari sebelum ini melalui facebook dan kinitv.

Aku harap dilain kali sekiranya ada lagi aku akan dapat turun semula. Terasa malu sendiri apabila hanya petah bercakap tetapi bila tiba masa memanggil aku tidak pun turun sebaliknya hanya menjadi pemerhati sahaja.

Jumaat, 28 Ogos 2015

Membilang Zikir


Aku terpanggil untuk menulis mengenai ini bila membaca catatan blogger Kak Zakie di blognya TITISAN NURANI. Ia mengingatkan aku kepada tulisan Astora Jabat dalam majallah Al Islam lama dulu. Semasa lensa mata masih terang dan minat membaca yang tinggi.

Tulisan-tulisan beliau memang kontroversi termasuklah tentang tasbih yang katanya berasal dari agama Yahudi. Masa itu aku memang keliru dengan tulisan sebegitu.

Setelah aku semak, benarlah tasbih telah digunakan sejak dari wujudnya agama Hindu di India. Ertinya, ia bukanlah budaya agama Islam semata sepertimana yang aku sangkakan selama ini. 

Seiring dengan itu, tarbiyah dari usrahku setiap minggu pula memberi kefahaman bahawa tidaklah salah kita mengunakannya asal dengan niat untuk kemaslahatan ibadah. 

Aku sememangnya ada beberapa utas tasbih dan counter pemberian mak dan kawan tabligh. Ada satu tasbih tu yang paling aku sayang sebab biji-bijinya yang licin seumpama jed berwarna kuning keputihan serta susunan yang rapat di dalam gelungan memudahkan aku membuat bilangan. Tasbih itu kemudiannya aku sumbangkan ke surau tempat kerjaku yang untuk kegunaan jamaah. Kata orang, menyumbang dari harta yang kita sayang itu lebih baik, kan?

Gimanapun sekarang ini aku lebih selesa membilang zikir menggunakan jari. Aku dapat info ini seseorang melalui facebook. Senang dan mudah. Tidak perlu ada rasa 'tak best la...' jika terlupa bawa tasbih semasa solat di masjid ataupun mahu berzikir di dalam kereta sambil menunggu.

Khamis, 27 Ogos 2015

Ghazali Daud III


Innalillah... Dapat berita sahabatku - Waghih,  dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Ampang kerana mengalami sesak nafas.

Sebenarnya semasa aku bawa dia singgah membeli jeruk Pak Ali di Yayasan Setee Aisyah, Seberang Jaya sehari sebelum dia balik semula ke Kuala Lumpur, aku dah perasan dia kurang sihat. Mukanya yang gelap dan keletihan. 

Tambahan pula dia berbadan besar tentu cepat penat bila berjalan jauh. Mujur isterinya yang kecil molek boleh membawa kereta dan rajin menjaga kebajikan beliau.

Tapi yang mengagumkan aku, beliau ini memang kaki jalan. Katanya dalam setahun minima 2 kali dia melancung. Hampir seluruh Malaysia dia dah pergi melawat. Sekarang ini katanya, jejak langkah beliau diikuti oleh anak-anaknya.

Aku harap Waghih cepat sembuh dan teruskan kehidupan yang mencabar. Tentu sekali pelanggan nasi lemak, minyak wangi dan top up menanti-nanti kedainya dibuka semula...


Rabu, 26 Ogos 2015

Rindu


Aku memang minat dan selalu mengikuti perkembangan politik tanah air. Bagi aku, politik yang bersih dan segar perlu kekal malah disuburkan demi generasi masa depan.

Namun pergolakan dan bibit-bibit kehancuran yang semakin parah di dalam kedua-dua gabungan parti utama di tanah air ini buat aku rasa rimas dan bimbang. Apa nak jadi dengan negaraku ini dan murbawannya? Sampai bilakah akan berhenti sikap tikam menikam dan robek merobek rakan taulan dan rakyat marhaen...?

Aku rindu pada zaman Kapal Layar dulu. Aku sempat melihat dan mengibar benderanya. Namun aku lebih rindu pada zaman Pakatan Rakyat sebelum ini. Yang hangat dengan ikatan persaudaraan sesama kaum dan agama sambil meredupkan perbezaan pendapat.

Bagi aku, rakyat Malaysia perlu akui bahawa negara ini milik bersama dan perlu kita bangunkan bersama. Sepertimana aku juga dibesarkan oleh mak dengan gaji yang diterima dengan bekerja ambil upah membasuh kain di rumah taukeh-taukeh Cina di bandar. 

Sepertimana aku bila balik dari sekolah singgah dulu di kedai Cina membeli ais kepal atau air lamoned. Membeli kacang putih atau maruku dari keling yang menjaja dalam keretapi mel semasa nak balik kampung.

Namun semua itu seperti mahu di padamkan oleh tangan-tangan yang kononnya menjulang bendera perpaduan sebaliknya ekor mengipas bara perkauman.

Setiapkali balik kampung, aku cuba elakkan untuk bercakap soal politik semasa dengan mak kerana kami memang dari dulu berbeza bendera. Namun siaran di tv yang memang senantiasa berada di depan mak tak pernah mahu menitipkan semangat muhibbah sebaliknya asyik menuding jari. Yang terkadang membuat aku terpaksa memekak telinga bila mak 'meleteri' aku supaya jangan sekali-kali mencampuri hal-hal politik semasa kerana dia tidak mahu kesengsaraan semasa zaman Jepun dan orang putih dulu berulang kembali...