Ahad, 2 Ogos 2015

Ida


Semasa aku belek-belek album gambar lama petang tadi, aku terjumpa gambar ini yang aku potong dari majallah Insight terbitan 2 kali sebulan oleh kilang tempat aku bekerja - Hitachi, dulu. Hati aku tiba-tiba terasa amat sayu mengimbau kisah lama.

1983 adalah tahun ke 2 aku bekerja di bahagian end of line HISET II yang keluaran utamanya adalah cip memori. Masa itu cip memori 250k bytes sedang diperkenalkan. Aku adalah juruteknik yang tugasnya menyelenggara mesin pengeluaran. Noraida atau Ida adalah operator baru yang ditugaskan menjaga salah satu dari banyak mesin pengeluaran yang setiap satu dianggar berharga hampir setengah juta.

Ida dikatakan antara operator yang cantik dan manis ketika itu. Perwatakannya yang pendiam, gemar berbaju kurung dan tidak gedik seperti operator lain menambah cantik peribadinya dan menjadi sebutan ramai operator lelaki atau juruteknik lain.

Aku yang masa itu memang seorang lelaki pemalu lantas tak banyak bersembang dengan operator apatah lagi yang baru datang. Namun operator lama punya kerja, mereka cuba pegu (memadankan) aku dengan Ida. Mereka suruh Ida ajak aku bawa jalan-jalan di Penang kerana Ida adalah anak Kuala Lumpur yang belum biasa dengan Penang. Rupanya, Ida adalah anak tiri kepada chief guard kilang aku - En Rahim. Ida juga seorang yang pendiam. Kalau dalam bas, kami tak cakap banyak... diam saja sepanjang perjalanan.

Panjang ceritanya.... aku pendekkan. Akhirnya aku berkawan dengan Ida (kawan saja sebab masa tu memang aku tak reti nak bercinta). Aku bawa dia balik kampung jumpa keluarga aku. Aku juga berjumpa dengan maknya yang tinggal di Jalan Pasir Belanda, Gertak Sanggul. Aku berkawan secara ikhlas. Tak reti nak kona-kona. Bila berjalan bersaing pun jauh-jauh jarak antara kami berdua. Memang segan dan tak reti...

Satu hari, masa itu aku shif malam, dapat berita Ida mengidap demam campak. Aku tak dapat nak pergi tengok dia. Masa tu aku bukan ada apa pun... tidak motor jauh sekali kereta. Aku pergi balik kerja dengan bas kilang.

Hinggalah ke satu malam aku diberitahu dia dah kembali ke rahmatullah. Masa aku keluar untuk balik kerja dan bercadang dengan beberapa kawan untuk ke rumah Ida, bapa tiri Ida menahan aku di pintu guard house.

"Saya minta maaf banyak-banyak. Masa arwah sakit, banyak kali dia sebut nama kamu. Nak jumpa kamu tapi tak tahu pasal apa... saya tak berusaha bagitau kamu."

Aku cuma diam. Tak tahu nak kata apa.

Pagi itu, aku membonceng motor kawan-kawan yang kebanyakan kerja di bahagian molding untuk ke sana. Namun bila sampai, Ida telah pun dikapankan. Mak Ida menangis menceritakan kepada aku saat-saat akhir kematian Ida yang selalu menyebut nama aku. 

Tak dapatlah aku nak tatap wajahnya buat kali terakhir. Cuma yang aku sempat dengar sipi-sipi dari entah siapa, Ida menganggap aku sebagai abangnya sebab Ida adalah anak tunggal mak dengan suaminya yang pertama yakni bapa Ida.

Cuma aku perasan... beberapa hari sebelum aku bertukar kerja shif malam, dia datang kerja dengan memakai seluar. Kawan baiknya berkali-kali beritahu aku bahwa Ida beriya-iya minta bersama dia ke pasaraya untuk membeli seluar. Dan memang kelihatan janggal di mata aku melihat dia berjalan ke kantin waktu break dengan memakai seluar. Tapi tak tergerak mulut aku untuk bertanya. Beberapa orang kawan aku juga menzahirkan pada aku akan perubahan itu dan kata mereka, Ida sebenarnya lebih manis berbaju kurung daripada memakai seluar.

Selepas aku berkahwin dengan ibu_suri, antara yang awal aku perbuat ialah membawa ibu_suri menziarahi pusara Ida yang tak jauh dari rumah bapa tirinya itu. Aku ceritakan sebahagian saja kisah aku dengan Ida kepada ibu_suri. Sebahagian lagi aku simpan dalam memori aku sendiri yang kian lama kian kabur ini...


nota:
Terima kasih Nor Azimah dan pB atas saranan supaya aurat Ida ditutup... 

6 ulasan:

JR berkata...

Sedih membacanya terutama bila aruah ingin menyatakan sesuatu yang hingga ke akhir hayat tak dapat diucapkannya... Apa pun apa yg berlaku takdir Illahi.

Semoga Ida damai di sana bersama mereka yang beriman...

iryantyismail berkata...

al fatihah...sayu pulak baca entri im kali ni :-))

saniahibrahim berkata...

sedihnya....kesian pada ida yg tak kesampaian hajat terakhirnya ..
moga rohnya sentiasa dicucuri rahmat ...aminnnn

Nor Azimah Ali berkata...

Im...kenapa tk tutupkan auratnya? Kesian dia....

pB berkata...

pertanyaan saya sama macam pertanyaan Nor Azimah

insan marhaen berkata...

Terima kasih Nor Azimah dan pB.

Foto Ida telah saya edit seadanya...