Sabtu, 27 Ogos 2016

Nasib Si Ikan Curut...


Muram sahaja wajah ibu_suri pagi ini. Selesai aku mandikan, aku lap sebahagian badannya lalu bertanya tentang sarapan.

'Tak mau!'

Aku beritahu dia bahawa aku ada beli ikan basah untuk digoreng. Dan sekarang sedang menunggu nasi ditanak. 

Aku menjangkakan dia akan gembira kerana dapat makan yang aku masak sendiri di rumah setelah sekian lama asyik makan di kedai sehinggakan dah tak tahu nak makan apa lagi dek jemu. 

Namun sangkaan aku meleset. Dia bungkam!

Kalau nak goreng ikan, aku lebih suka beli ikan curut ini. Sedang aku memilih ikan di kedai tadi, seekor kucing berlegar dan mengusap kaki. Agaknya, dia lapar.

Aku ambil 7 ekor dengan hasrat ingin memberi kepadanya setelah usai pembayaran nanti, Mana tahu, lambat pulak menanti giliran di kaunter, kucing itu berlalu ke arah lain.

Lama juga aku menanti kucing itu datang sambil aku menayang ikan di tangan, tapi dia tidak datang.

'Bukan rezeki kamulah agaknya' bisik hatiku sambil berlalu ke arah kereta.

Aku berasa agak longlai. Kepala sedikit berdenyut. Agaknya kerana cuaca yang agak panas menikam diri semasa aku tekun beriadah di stadium mini, Bukit Mertajam tadi.

Memang berbaloi riadah aku ini pagi. Badan berasa longgar. Cuma yang ralatnya, aku terlupa untuk solat Dhuha seperti selalunya di surau situ. Boleh pulak aku terus memandu keluar setelah selesai mengibas lapik kaki dan memilih cd Koleksi Lagu Lagu Terbaik Sweet Charity untuk didengar.

Dengkuran halus ibu_suri dari dalam bilik menandakan dia benar-benar tidur.

Mungkin aku sahajalah yang akan menghabiskan ikan goreng ini. Kalau ada kucing yang datang mengendeng kat pintu rumah, bolehlah aku berkongsi rezeki dengannya...

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lama tak dengar perkataan "mengendeng" tu. ingatkan orang johor je yang gunakan.

Kakzakie Purvit berkata...

Kalau rumah kakak nak bagi kucing tak payah goreng IM
Rebus letak garam sikit dah.

Bearcat berkata...

Sedap ikan curut goreng. Saya suka.