Tidak ada apa yang lebih membahagiakan selain dari melakukan apa yang kita suka dan fikirkan baik untuk diri kita sendiri.
Berkali-kali aku memberitahu anak dan rakan-rakanku bahawa sebolah-bolehnya aku tidak mahu lagi menyambung kerjaku sekarang ini sebaliknya mahu bersara bila sampai waktunya. Aku ingin tumpukan kepada menjaga kebajikan ibu_suri disamping menambahbaik amal ibadahku disamping berbuat kerja-kerja kebajikan yang memang aku gemari sejak dari dulu.
Aku sudah letih dengan tekanan kerja bersekali dengan tungkahan dugaan hidup yang silih berganti. Seolahnya aku ini ditakdirkan hidup untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran sedari dari kecil hingga sekarang ini.
Apapun aku akui, jika tidak dengan dugaan itu aku tidak akan menjadi setabah ini. Semasa aku remaja, aku tergolong dalam kelompok individu yang mempunyai inferiority complex. Pun, pengalaman dan pemikiran yang positif membuat aku berdaya merubah sikap.Aku ingin berterima kasih kepada alam yang banyak membentuk aku hingga menjadi seperti sekarang ini!


