Isnin, 20 April 2015

Nasihat

8 pagi tadi aku ambil Angah untuk ke tempat kerja. Keretanya di tinggalkan di sana udah beberapa hari kerana sebab tersendiri.

Dalam kereta aku ambil kesempatan menasihatinya walaupun ibu_suri ada di sisi. Aku kena nasihatinya kerana aku mahu dia bisa menjaga keharmonian rumah tangga berdasarkan tips pengalaman yang telah aku tempuh selama 29 tahun berumahtangga.

"Angah... Isteri ini akalnya pendek. Pandangannya juga pendek. Citarasanya berbagai. 

Ayu sekarang dah berhenti kerja. Sepenuh masa di rumah. Dia akan melihat dan mengendalikan apa sahaja yang ada di rumah 24 jam sedangkan kamu... separuh masa di tempat kerja. Bila balik, kamu letih... lepas makan dan rehat, kamu tidur.

Jadi.. jika kamu membeli kelengkapan dalam rumah macam langsir, cadar atau perabut... biarlah isteri kamu yang pilih berdasarkan warna atau bentuk yang dia mahukan. Perempuan ni selalunya cerewet pada benda-benda kecil macam warna, corak jenis kain dan lain-lainnya.

Tugas kamu ialah melihat dari sudut besar. Contohnya harga, kualiti yang sesuai dengan harga dan kesesuaian jangka panjang.

Citarasa isteri selalunya tidak sama dengan suami. Justeru kamu jangan terlalu banyak bertelagah. Berlebihkuranglah dengan citarasa Ayu selagimana dari sudut besarnya, pilihan dia itu tidak melanggar batas agama dan kemampuan.

Ayah nasihatkan kamu sebab ayah nak rumahtangga kamu berjalan dalam harmoni. Ayah ada 29 tahun pengalaman hidup bersama ibu kamu. Tak banyak sikit ayah tahu kerenah isteri.

Tugas kamu memandu perjalanan keluarga kamu. Tugas isteri ialah menguruskan hal-hal di dalam rumahtangga."

Rasanya kali ini nasihat aku terhadap Angah lebih serius dan ikhlas.


Ahad, 19 April 2015

PAI


Tadi pagi aku hadiri PAI (Perhimpunan Ahli IKRAM) di Kompleks Yayasan An Nahdhoh, Kubang Semang. Seronok dapat bertemu dengan kawan-kawan lama termasuk rakan-rakan grup nasyid Muhajir, Dr Danial dan Mohd Rashid Hasnon - TKM 1 Pulau Pinang.

Lebih 'best' sebab aku pergi sendirian; ibu_suri tinggal di rumah. Agak bebaslah aku bergerak dan ngobrol dengan kawan-kawan. 

Selain ahli IKRAM, ada juga VIP jemputan seperti dari Suaram, Chinese Town Hall, Aliran dan pihak wartawan yang semuanya dari akhbar Cina. Heran pula... tidak ada wartawan dari akhbar Melayu yang hadir.

Sudah tentulah soalan dari kawan-kawan terhadap aku ialah... apa yang aku buat sekarang dan bagaimana kesihatan ibu_suri. Dah letih menjawap soalan yang sama seperti itu sebelum ini buatkan aku menjawap ringkas sahaja.... aku tak kerja dan ibu_suri ok jer...

Ramai yang dah putih rambut mereka dan ada yang dah perlahan pergerakannya. Tetapi semangat mereka dalam usaha dakwah buat aku rasa kerdil.

Apapun... kita punyai bahagian kita masing-masing yang diberi Tuhan. Kalau tidak A kita dapat B. Yang penting kita bersyukur dengan apa yang kita terima dan berusaha mencari dan memperbaiki mana yang kurang. Yang penting kita take it easy... walaupun tak berapa easy!
.
.
.

Okey... permisi... nak sediakan minuman petang untuk ibu_suri... dia dah bagi signal tu!

Sabtu, 18 April 2015

Damai


'Jumaat adalah hari untuk abah.'... begitu status yang aku tulis dalam fb semalam di sini.

Aku berpegang kepada prinsip hidup bahawa menjaga mertua adalah sama pentingnya seperti menjaga mak dan abah sendiri. Namun ianya tidaklah semudah dan seindah menulis di fb atau wassup

Adakalanya aku rasa beruntung dengan jerihpayah aku menjaga ibu_suri sedari 2008 dia dihinggapi mood disorder hingga sekarang. Pengalaman itu membuatkan aku menjadi matang dan berguna bilamana perlu pula memberi perhatian kepada mak yang diserang stroke dan mertua yang semakin uzur. Keras hati bapa mertuaku persis ibu_suri juga. Apa yang dia inginkan mesti ditunaikan..... segera.

Kini menjadi rutin setiap Jumaat untuk bawa abah solat Jumaat. Bagi aku, apa guna ada kereta yang baik kalau tidak digunakan untuk hal kebaikan seperti ini. Aku cuba jujurkan hati ini untuk mahu berbakti kepada abah yang dulu membesarkan ibu_suri... anaknya yang kini menjadi isteriku; ibu kepada anak-anakku dan opah kepada cucuku. Peluang terbaik ini mesti aku rebut sementara mereka semua masih hidup. Biarlah apa ipar duai bercakap, aku harap Allah hadiahkan aku rasa damai dek keihlasan aku ini - bak kata Ebiet G Ade di sini.

Rasa puas bila semalam aku dapat membawanya pergi gunting rambut di salun kegemarannya di Jalan Datuk Keramat serta kemudiannya membawanya beli barang-barang keperluan dapur di Hujung Pasir.

Damai dan bahagia ini aku seorang sahaja yang rasai namun tidak dapat aku nak gambarkan kepada sesiapa hatta ibu_suri dengan perkataan. Sabar sahaja melayan kerenahnya dan mendengar celotehnya yang sama macam yang sebelum ini juga.

Juga, Damai dan bahagia ini sebenarnya telah dapat menawarkan sedikit resah dan jemuku menjaga ibu_suri sekian lama...


Jumaat, 17 April 2015

Entahlah

Tak tahu nak tulis apa. Hari-hari yang berjalan terasa hambar sahaja. Menjaga kerenah ibu_suri yang seakan mengongkong kebebasan aku hampir 24 jam akhir-akhir ini kekadang terasa seperti orang bodoh. Sesekali suaranya meninggi bila aku lambat sedikit menunaikan apa yang dia suruh membuat aku teringat pesan doktor. Emosinya boleh menjadi tidak stabil seperti mula dulu jika tidak dijaga dengan baik.

Semalam ada usrah gabungan di Pejabat IKRAM. Mulanya aku memberi komitmen kepada naqib untuk pergi tapi bila masa untuk pergi ibu_suri minta di tinggalkan di rumah Angah dan tak mahu ikut aku seperti selalunya. Aku cuba elak dari selalu meninggalkan ibu_suri di rumah Angah kerana mahu menjaga keharmonian hubungan dengan menantu. Maklumlah... kalau dah selalu pergi tentu nanti akan ada saja isu yang kurang enak tercetus. Akhirnya aku 'ponteng' usrah.

Tengahari semalam, semasa singgah di kedai makan Jalan Permatang Janggus, aku terjumpa Ahmad Baharudin. Dia berniaga bihum sup di pasar malam atas nama Habuna Trading. Dia memberitahu aku bahawa pihak masjid sedang mencari seorang sukarelawan untuk mengemaskini papan kenyataan masjid. Juga aku diminta untuk menolong j/kuasa PRK yang sudah mula membina bilik gerakan untuk membuat pemerosesan senarai pengundi di kawasan ini untuk culaan.

Kalau setakat kerja-kerja dokumentasi boleh la, Mad.... ujarku. Namun sebenarnya dalam hati agak bimbang juga takut tak dapat buat kerana emosi ibu-suri ini tak menentu.

Sebenarnya aku suka dengan kerja-kerja kemasyarakatan. Kerja-kerja belakang tabir. Lgipun aku tak reti nak berdiri depan mikrofon atas pentas atau mempengerusikan mesyuarat.

Sedari umur 25an hinggalah bilamana ibu_suri jatuh sakit, aku memang ligat dengan kerja-kerja semacam ini. 

Sebab itulah sekarang agaknya aku terasa sepi dan kosong bila semua itu aku tinggalkan secara drastik dan tumpu perhatian kepada ibu_suri semata.

Entahlah!

Rabu, 15 April 2015

Dunia Ini Bulat

Lama juga aku tak menulis apatah lagi ziarah blog kawan-kawan. Ntah kenapa, ghairah menulis tiba-tiba saja tumpul walaupun banyak peristiwa berlaku dalam hidup.

Aku perasan yang semangat ini semakin surut. Segala perancangan yang aku senaraikan sebaik sahaja menandatangani dokumen MSS dulu hanya hangat di permulaan tetapi bila saja dirempuh dengan pelbagai masaalah lain yang terpaksa aku depani sendirian aku menjadi kian tidak bersemangat. Mengeluh dalam diri hingga buatkan aku jadi tak berdaya mendaki.

Aku seperti bimbang pada masa depanku sendiri.

Sesekali bila melihatkan pasangan suami isteri yang tampak bahagia makan di kedai atau berjalan di pasaraya, aku jadi seperti rendah diri. Jadi seperti jauh hati terhadap takdir yang menimpa diri ini. Aku kalau boleh tidak mahu asyik merintih akan tetapi itu semua datang sendiri ke benak ini.

Ntahlah... aku sebenarnya perlu kuat bertahan, bangun dan cergas memikul segala kebejatan ini. Aku tahu tidak ada orang lain yang boleh aku harapkan untuk membangunkan diri sendiri hatta anak-anak sendiripun. Tidak menyalahkan mereka kerana mereka juga terpaksa memikul beban hidup sendiri.

Namun aku percaya... keluh kesah ini hanya sementara. Bak kata Rafizi Ramli sekejap tadi di Majlis Perasmian Gerakerja PRK.... dunia ini bulat. Adakalanya kita di atas. Adakalanya kita di bawah!