Rabu, 4 Januari 2017

Di Klinik 102

Tak ramai pesakit di Klinik 102 pagi semalam.

Seperti biasa, ibu_suri perlu mengambil bacaan tekanan darah dan berat badan. Periksa kali kedua apabila bacaan pertama menunjukkan 145/87. Memang beberapa kali sebelum ini samada di Klinik Kubang Semang mahupun semasa di Hospital bukit Mertajam hari  tu,bacaan tekanan darah ibu_suri agak melegakan berbanding sebelum ini yang sekitar 190~200/90~100.

Aku percaya ini mungkin disebabkan doktor FMS yang merawat ibu_suri di Klinik Kubang Semang telah menukar dos ubat. Maknanya selama ini bacaan tekanan darah yang tak terkawal itu adalah kerana ketidaksesuaian dos ubat? Bukan berpunca dari tabiat makan atau pergerakan ibu_suri?

Kali ini, yang merawat ibu_suri adalah doktor perempuan berbangsa Cina. Manis airmukanya dan fasih berbahasa Melayu. Sejuk hatiku memandang.

'Apa khabar?' 

'Okey...' sambil ibu_suri mendepang tangan. Aku yang berdiri di sebelah memegang kerusi roda ibu_suri yang kerosakan brek.

'Boleh tidur malam?'

'Makan macammana? Ada selera tak?'

Aku biarkan ibu_suri menjawap semua soalan itu. Aku rasa doktor itu lebih memahami respon dari pesakit seperti ibu_suri. Aku juga tahu, doktor itu sebenarnya bukan sangat nak tahu jawapan yang diberikan sebaliknya lebih kepada melihat reaksi, cara menjawap dan body language.

'Ada dengar suara bisik-bisik?'

'Apalah doktor ni. Mana ada dengar...'

Dulu memang aku tak faham bila doktor bertanya tentang suara bisik-bisik. Tapi bila aku sendiri alami hampir setiap malam ibu_suri kata terdengar bunyi orang bercakap di dalam bilik... mulanya bulu roma aku tegak berdiri. Ingatkan ada makhlok halus dalam rumah. Namun bila jenuh berubat 'kampung' sana sini disamping ke hosspital, juga membaca dan bertanya kawan akhirnya aku memahami salah satu karektor pesakit psikiatri adalah halusinasi.

Akhmal juga begini di awal wal keterlibatannya dengan syabu. Meracau-racau seolah terlihat makhluk halus di siling rumah dan diding bilik air. 

Agak tebal juga kertas nota yang ada di tangan doktor dan di belek-belek beberapa kali untuk mendapatkan info lalu kes ibu_suri. Aku percaya nota itu adalah  catatan oleh para doktor yang pernah merawat ibu_suri sejak 2008.

'Awak beruntung kerana mendapat suami yang menjagaa awak dengan baik' ujar doktor sambil memandang aku.

'Ya doktor... 8 tahun saya menjaga dia. It is tough job. Really need patient and strong spirit...' 

Dalam keadaan tertentu aku sengaja bercakap dalam bahasa Inggeris supaya ibu_suri tidak mengetahui.

Akhir sekali aku meminta supaya rawatan akan datang dibuat pada bulaan 8. bukan selepas 6 bulan sepertimana lazim sebelum ini.

Walaupun 6 bulan itu adalah setengah tahun tapi terasa sekejap sahaja dah terpaksa datang lagi ke sini.

Aku agak doktor puas hati dengan perkembangan kesihatan mental dan emosi ibu_suri. Aku juga akui hakikat ini. Itulah kata orang, berkat sabar dan kuat semangat. 

'Awak perlu jaga badan awak ya. Buat senaman sikit. Jalan-jalan dalam rumah pun takapa. jangan duduk sahaja ya...' pesan doktor sambil menghulurkan perskripsi ubat kepada aku.

'Tak boleh kurangkan ubat ke doktor?' tanya ibu_suri.

'Eh.... tak baguslah. Ubat awak sekarang ini adalah paling minima. Janji awak makan ikut sukatan...okey!'

Aku menolak kerusi roda ibu_suri keluar bilik. Seorang Cina membantu aku membukakan pintu.

Memang... urusan rawatan ibu_suri kali ini agak mudah dan cepat seperti sebelum ini. Parkir kereta juga mudah, mendapatkan kerusi roda dari meja urusetia juga cepat dapat. dan mendapatkan stok ubat baru serta cop untuk ubat seterusnya boleh di ambil dari Hospital Bukit Mertajam juga tak perlu tunggu lama.

Dalam kereta, ibu_suri juga nampak hepi dan tidak melarang aku memutar cd lagu sambil memandu.

Bila diajak untuk singgah ke rumah mak dan abahnya, dia tak mahu. Ajak untuk ke klinik gigi juga tak mahu. Dia mahu aku membawanya jalan-jalan, jangan balik rumah cepat sangat.

Ajak makan pun dia tak mahu!

Selasa, 3 Januari 2017

Sakit Gigi

Siang nanti tiba giliran bawa ibu_suri ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan susulan di Klinik Psikiatri - 102.

Walaupun berkali-kali aku nasihatkan supaya esok utamakan pergi keklinik gigi tapi ibu_suri tetap degil dan mahu ke HBPP juga.

Dah beberapa hari ibu_suri mengadu sakit gigi di sebelah kiri. Memang jelas nampak pipinya sedikit bengkak. Tapi nak ke klinik gigi sehari dua ini tentu saja tutup sebab cuti umum.

Untuk memilih klinik gigi mana yang sesuai untuk ibu_suri menerima rawatan memang bukan boleh sembaragan. Dah beberapa klinik aku cuba akhirnya Klinik Ameen dirasakan lebih memahami keperluan pesakit seperti ibu_suri yang obes dan tidak boleh berdikari.

Dr Ameen dan stafnya memang lemah lembut dan penyabar dalam melayani kerenah ibu_suri. 

Tapi khabarnya, Dr Ameen pun dah kian uzur. Banyak kali aku ke sana, doktor muda yang menggantikannya.

Mulanya masa keluar makan tadi aku ingatkan nak beli ubat cap kaki 3 sahaja sebagai penahan sakit. bimbang juga takut dia tak boleh tidur malam kerana menahan sakit.

Aku tahu sangatlah bahana jika sakit gigi. Tawaf pukutl 3~4 pagi depan tv. Memandu ke 7E mencari ubat tahan sakit. Serba tak kena.

Tapi ibu_suri menolak. Katanya tak perlu. Dan esok masih tetap nak ke HBPP.

Aku mengalah sahaja dan perlu bersedia untuk apa sahaja kemungkin. Memang, sesekali bila angin ketegaq dia mai, mengalah itu lebih baik bagi aku.

Aku tahu, sebenarnya ibu_suri tak mahu giginya dicabut jika rosak.
 

Ahad, 1 Januari 2017

Malam Tahun Baharu Masihi...

Seperti menjelang tahun tahun sebelum ini, ibu_suri beriya-iya mengajak aku melihat bunga api. Aku malas dengan semua ini. Menjadi sebahagian mereka yang bersorak sorai dengan datangnya tahun baharu rasa seperti manusia yang lupa diri bahawa sebenarnya diri ini semakin tua dan kusam.

Terfikir aku, tahun baharu Masihi ini diraikan cukup meriah oleh kebanyakan kita tua dan muda. Akan tetapi tahun baharu Hijrah adalah sebaliknya.

Gimanapun aku layanlah juga jika ini boleh membuatkannya ibu_suri gembira.

Aku singgah dulu di Petron tak jauh dari bulatan Jalan Tengah. Beratur panjang rupanya. Baru teringat... RON95 naik 20 sen.

'Maaf encik, kad point offline.' ujar staf kaunter sambil memulangkan kad SMILE tapi menghulurkan sebotol drinking water.

'Pandai depa. Minyak naik harga, dan dan offline. Tak nak kasi point free kat pelanggan le tu!' getus hatiku...berprasangka negatif.

Di sini pernah terjadi peristiwa pelanggan mencuri barangan. Staf di kaunter terlihat melalui skirn cctv dan terus mengejar pencuri itu hingga ke jalan raya besar. Aku sempat melihat insiden kejar mengejar itu.

Heran juga. Dah besar panjang pun mencuri juga. Bukan barang berharga sangat pun. Khabarnya cuma mencuri syampu dan yang sejenis dengannya.

Selesai isi minyak, aku terus memandu ke arah Penang Port. Selalunya di situlah antara tempat ramai orang berkumpul untuk melihat bunga api. 

Tapi lebih banyak kereta berpusu-pusu ke arah lebuhraya Sungai Dua. Di atas sana ada RnR yang memang menjadi port popular bagi golongan muda berpeleseran. Dari situ memang jelaslah nak melihat bunga api kerana ianya menghadap laut. Berkemungkinan ada pesta hiburan juga.

Tak lama, kedengaran bunyi lantang motor kapcai. Rasanya tak ada anak muda lainlah ni selain anak muda bangsaku sendiri.

Walaupun Pulau Pinang ini dikatakan ditadbir oleh majoritinya DAP tapi anak muda Cina tak kelihatan pun berperangai seperti ini. Mungkin lah mereka lebih terarah kepada berfoya di pub atau keramaian dalam kumpulan sendiri. Maklumlah, kebanyakan mereka beribubapakan orang kaya.

Cumanya yang jelas menimbulkan masalah sosial jalanan adalah anak bangsaku. Tak perlu pandang jauh. Kat keliling rumah aku sahaja dah boleh menggambarkannya. Malah dalam rumah aku juga...

Entah kenapa, aku terlupa sekejap pada Akhmal. Terlupa untuk mengenangkan apakah yang dia perbuat di malam seperti ini.

Dah genap seminggu dia tak balik. Dan seminggu itu jugalah aku tak dapat membelek talipon aku sendiri.

Sabtu, 31 Disember 2016

Azam

Semasa memandu ke kedai makan Nasi Malam kat Pongsu Seribu, ibu_suri sempat bertanya...

'Apa azam baru abang?'

Hah.... aku memang geli geleman bila ada orang bertanya pasal azam baru setiapkali menjelang tahun baru. Tak tahu kenapa...

Aku hanya menjawap...tak tahu.

Memang aku tak simpan azam pun. Sejak pencen ni, hasrat aku cuma nak menghabiskan sisa waktu yang ada dengan menjaga apa yang ada di sekelilingku, menambahbaik amal, menziarahi mereka yang lebih tua dari aku dan menjaga kesihatanku.

'I nak jadi isteri yang solehah...' ujar ibu_suri.

Aku hanya ukir senyum tawar. Pada aku, itu adalah ucapan yang biasa. 

Sudah 56 tahun aku hidup. Dah tahu sangat ragam sesetengah manusia. Hanya cantik di atas kertas. Namun bila waktu berlalu dengan pelbagai dugaan melanda, azam cuma tinggal nama. 

Macam aku juga...

Aku teringat mak yang tua dan hanya boleh mengesut di kampung. Kini aku semakin faham isihati, nasihat dan sikap diam mereka bila melihat sesuatu tindakan aku yang mungkin tidak selari dengan penelitian mereka dahulu.

Sekarang aku juga bersikap begitu terhadap anak dan istriku...

Jumaat, 30 Disember 2016

Susahnya...

Nasib baik aku masih simpan talipon lama NOKIA yang dibeli semasa masih bekerja dulu... 2014. 

Aku ke kedai telekomunikasi dekat rumah. Beli kad sim baru XOX. Aku pilih jenama ini kerana tempoh hayatnya yang lama - 2 tahun.

Talipon pintar ASUS aku yang diambil Akhmal itu rasanya dah jadi arwah la. Kalau ikut cara, dia tak balik hampir seminggu, talipon itu dia jual untuk mendapatkan duit poket. Kalau tak, macammana dia nak sara hidupnya yang sebelum ini bergantung duit poket dari aku.

Dulu masa laptop aku hilang pun macam nilah keadaannya. Dia hilang tanpa berita hampir sebulan. Bila datang semula mengendeng tepi rumah, aku fahamlah bahawa dia dah punya apa-apa untuk sara hidup.

Aku cuma tunggu dan lihat!

Nampaknya, memang aku tak boleh mempunyai harta bernilai di rumah ini. Dah tak boleh lagilah berwassup. Kembali semula kepada gaya hidup lama. 

Malah untuk ada laptop baru (yang aku minta Along carikan di jualan terpakai kat KL) inipun mungkin aku terpaksa minta Angah simpankan dan aku ambil bila betul betul nak guna. Payah kan?

Aku pernah katakan kepada Angah bahawa jika ayah dan ibunya ini laku di pasaran, mungkin kami pun akan dijual. 

Susah bila punyai anak yang seolah olah tak punya perasaan dan istri yang tak ketentuan emosi. Aku seorang kena hadapi mereka berdua ini saban hari.

Huu... kalau tak kuat semangat, memang boleh lari malam!