Ahad, 15 Januari 2017

Jantungku...

Aku datang lewat sikit ke hospital hari ini. Pertama sekali yang aku buat bila saja sampai ke katil 4-1 ialah mengamati raut wajah ibu_suri - ceria atau sebaliknya.

'Doktor kata, esok boleh balik...'

'Ye ke?'

'Kenapa lambat datang?' 

Heh... ini memang spot question yang berlegar-legar di tempurung kepala sejak memandu tadi. Jawapannya kalau jujur takut nanti kena serapah. Nak menipu, tak elok pulak rasanya sebab dia adalah yang bernama istri.

'Bangun lambat. Basuh baju, sidai baju. Basuh pinggan mangkuk... Hmm... dah makan?'

Hah... penghujung ayat itu adalah lencongan dari soalan balas (jika ada)... 'kenapa lambat bangun?'

'Tak lalu...'

Aku membelek beg air kencing ibu_suri yang tergantung di birai katil. Terkejut juga aku sebab warna airnya merah. Selalunya kuning coklat.

Tapi aku diam saja seperti tak ada apa-apa. Kalau ibu_suri tahu nanti akan banyak bimbangnya. Bila banyak bimbangnya akan banyak soalan, akan banyak omelan.... 

'Berak tak malam tadi?'

'Tak!'

Hum... Macam mana nak berak kalau makan pun tak berapa mahu. Risau juga aku sebab setiap pagi dan petang dia akan memakan ubat. Jika dengan perut kosong tentulah sedikit sebanyak memudaratkan perut.

Aku amat mengharapkan agar Angah dapat datang dan membawa anak-anaknya melawat ibu_suri. Dengan kehadiran cucu tentunya menceriakan sedikit kejemuan ibu_suri terperap di wad.

Badan ibu_suri juga dah mula berbau jika dihidu dari dekat. Maklumlah, cuma lap muka, tangan dan kaki sahaja sepanjang 2 hari ini. Terlupa pula aku untuk membawa peralatan memberus gigi. Esok sahajalah...

Ramai pula kawan-kawan sekerja yang aku terserempak lansung mereka pun mahu melihat ibu_suri hari ini. Mereka pun ke hospital kerana ziarah saudara-mara juga. Ada seorang itu pernah bekerja sezaman dengan ibu_suri semasa tempat kerja aku bernama Hitachi. Lama dah tu... sekitar hujung 80an...

Bila berkali-kali ibu_suri menyatakan gembira akan balik esok, aku cuba memujuk dia untuk tidak menggantung harap pada berita itu. 

'Apa? You tak suka I balik cepat ke?' 

Rasanya, diam lebih baik!

'Betul ke istri saya boleh balik esok?' Soal aku pada misi di kaunter selepas aku maklumkan beg air kencing ibu_suri berwarna merah.

Misi tak menjawap sebaliknya membelek-belek fail yang menimbun di depannya.

'Air kencing merah itu mungkin disebabkan dia kurang minum. Doktor ada bagitau supaya dia cuma boleh minum dalam 600ml sehari sahaja, kan?'

Aku angguk. 

Ntahlah... aku pasrah sahaja kepada Tuhan.

'Jantung istri awak lemah dan ada rosak sedikit. Justru itu, ianya tak mampu mengepam darah secara normal ke paru-paru dimana mengakibatkan darah tak boleh diproses untuk pengambilan Oksigen. Akibatnya, bebanan air terletak di paru-paru dan merencatkan peratusan Oksigen.'

Lebihkurang begitulah terang misi. Aku pun dah lupa tentang sistem pengaliran darah dalam badan. Belajar masa Tingkatan 5 tahun '77. Pupus dah dari sel memori.

Patutlah doktor menasihatkan aku supaya membawa ibu_suri selepas ini ke Klinik Kesihatan Seberang Jaya untuk pemeriksaan jantung.


Nota:
Aku ada bina akaun facebook ke 2. Tujuan untuk berkongsi tentang lagu, cd/kaset, puisi, hobi masa sekolah seperti menyimpan setem, lencana dan keychain, catatan blog atau kata mutiara. Kalau sudi nak friend... klik  sini

Sabtu, 14 Januari 2017

Dilema

Bimbang jika ibu_suri akan membuang air besar, aku belikan lampin lupus.Mujur ada kedai (mart) di hospital ini yang menjual serba serbi barangan keperluan pesakit dan penziarah.

Aku belikan juga waffle. Baunya yang wangi tatkala ianya dimasak oleh staf mart menerjah hidung dan menawan sanubari. Sedari pagi ibu_suri tak mahu makan kecuali minum sahaja. Alasannya itulah... akan susah nanti kalau terasa nak buang air besar. Dia tak boleh nak turun naik katil kerana badan yang besar dan berat memudaratkan. Harap-harap... waffle ini membuka seleranya.

Aku tak tahu bagaimana nak sarongkan lampin ini ke badan ibu_suri. Maklumlah, badan ibu_suri yang besar serta dia sendiri tak mampu nak memakai sendiri. 

Aku minta tolong misi. Aku agak mereka memang mahir lah. Suruh ibu_suri pusing kanan, pusing kiri...dah siap.

Kesian tengok ibu_suri, termengah-mengah menahan kepenatan. Pergerakan yang macam tu pun seperti baru tamat berlari 100 meter cungapnya.

Macam selalu juga, ibu_suri beriya pesan...jangan beritahu sesiapapun yang dia dimasukkan ke wad. Aku cuma angguk ya takada titik...

Menarik nafas panjang aku bila selesai urus ibu_suri, melambai tangan tanda mahu balik, menuruni lif lalu ke surau. Tiba-tiba sahaja aku berasa teramat syahdu, keterasingan dan sepi. Berasa ingin mendekatkan diri kepada Tuhan dan menyemak semula penjagaan kesihatan aku sendiri.

Aku teringat kepada abah dan adikku yang telah pun arwah. Kepada adikku Napi dan birasku Din yang tak sempat nak aku ziarahi di hospital.

Aku juga teringat pada kawan-kawan yang kini semakin jauh dari aku dek keadaan aku sendiri. Malah kekadang terasa jauh dari adik beradik dan saudara mara sendiri.

Di rumah... semasa aku menaip ini pun... aku terasa seperti mahu tinggalkan semua yang ada di sekelilingku dan bersendirian sahaja.

Agaknya,inilah dilema orang pencen, Atau mungkin seorang penganggur.

Padakalian yang membaca catatan aku ini mungkin merasakan boring dengan isi yang sama sahaja di setiap kali entri. Balik-balik cerita pasal ibu_suri.

Ya...kerana sejak dah tua dan tak bekerja ini... hampir 24 jam masa aku adalah berlegar dengan menjaga ibu_suri.

Oh ya... aku ada bina akaun facebook yang ke 2 dengan tujuan untuk berkongsi apa yang aku suka tentang lagu, album artis, puisi, hobi masa sekolah seperti menyimpan setem, lencana dan keychain, catatan blog atau kata kata mutiara.

Kalau sudi nak friend... boleh saja di sini

Masuk Wad Lagi

5:48 pagi. Dah nak hampir dengan azan Subuh.

Aku baru saja balik dari Hospital Bukit Mertajam. Buat kali kedua, ibu_suri dimasukkan semula ke wad 10. Kali pertama pada 6hb bulan lepas.

Kes yang sama. Paru-paru dipenuhi air hingga menyebabkan kandungan Oksigen di dalam paru-paru menyusut hingga 70%.

'Jika lambat sikit datang, peratusan Oksigen mungkin turun lagi rendah berkemungkinan istri awak mengalami maut,' terang doktor yang membuat aku rasa kecut.

'Tolong pujuk istri awak,' pinta doktor setelah memaklumkan bahawa ibu_suri enggan dipindahkan ke wad 10.

Belum sempat mendekati katil, ibu_suri dah melambai tangan tanda tak mahu.

'Oh...no...no...no...' sambil tangan kirinya memegang corong gas yang melekap di mulut dan hidungnya.

'Lebih baik duduk di wad. Doktor dan misi boleh tengokkan. Kalau kat rumah, abah boleh buat apa,' pujukku. Takkan nak katakan bahawa paras oksigennya sekarang ini boleh membawa maut bahawa jika tidak ditangani dengan cepat.

'Nanti sapa nak ambil Marissa dari tadika?' soalnya. Aduhh...

'Ayahnya ada, biarlah ayah dia yang fikirkan.' pujukku.

Aku perasan tentang masalah paru-paru ibu_suri ini berulang semula bila dia tiba-tiba batuk 2hari lepas.Bila terlalu kerap batuk, dia akan penat dan otot-otot perut berasa sakit. Kaki dan betisnya juga kembong. Kulit kakinya tegang seperti tiub tayar dipam.

Aku tahu bahawa kerja menjaga ibu_suri di hospital dah bermula. Kerja yang memerlukan sepenuh kepintaran saikologi, kesabaran dan kemampuan diri menyerap masa yang tak terurus.

Hasrat aku untuk balik kampung siang nanti untuk ziarah mak di kampung, adik dan biras yang juga dimasukkan ke Hospital tengku Bainun, Ipoh tak kesampaian.

'Hari Isnin nanti, I mesti keluar, ya...'

'Tengoklah, apa kata doktor nanti. Yang penting, you sihat dulu.'

'Nanti nak bagitau Angah, bukan ibu yang nak masuk hospital tapi ayah kamu yang suruh...'

Okeylah...

Rabu, 11 Januari 2017

Tak

Berkali-kali ibu_suri menyuruh aku membeli talipon baru bila setiapkali aku merungut kerana tidak boleh meneruskan promosi jualan cd aku di fb. Tidak boleh menalipon adik beradik, kawan, hospital atau koperasi kerana ketiadaan nombor talian.

'Tak...!' jawapku sambil menggeleng kepala.

'Tunggu dia balik dulu... tengok macammana.' dengan maksud merujuk kepada Akhmal yang 'melarikan' talipon pintar aku dah seminggu lebih.

'Lambat laun dia akan balik juga. Macam burung bangau.' sambil mengaleh pandangan ke arah burung bangau yang melata maupun berterbangan di sawah padi di tepi Jalan Permatang Nibong ini. Aku tak pasti samada ibu_suri faham maksud aku hubungkait bangau dan dengan kerbau seperti yang tertera dalam puisi Melayu.

Walaupun baru seminggu lebih aku ketiadaan talipon pintar, rasa macam setahun kesunyian ini. Serba tak menjadi dibuatnya. Nak menalipon, nak melihat wassup, nak melayari internet... semuanya tak kesampaian.

Nak beli baru, bukan sahaja soal modal tapi juga takut kejadian 'hilang' talipon seperti masa masa lalu akan berulang kerana aku lihat Akhmal masih tidak berubah sikap dan hatibudinya walaupun dah mencecah usia 24 tahun ini.

Biarlah di kesementaran ini aku menggunakan talipon 'cap ayam' dengan no talian yang baru; yang cuma menyimpan no talipon Angah dan Along sahaja.

Terasa amat serik!

Sabtu, 7 Januari 2017

Maafkan Aku

Semalam, aku pergi ke Digi Seberang Jaya untuk semak status nombor aku yang taliponnya diambil Akhmal sejak seminggu.

Terkejut aku bila staf Digi memberitahu, bilnya mencecah RM100+. Sedangkan aku baru saja ambil pakej internet RM30 dengan 100 minit panggilan percuma dua minggu sebelum itu. 

Budak ni dah lebeh...

Bila melihat aku mengeluh dan tak senyum sebaik saja masuk ke kereta, ibu_suri mula bertanya...

'Awat?'

Aku cuma diam. Susah nak cakap apa-apa. Aku aleh ke tajuk lain...

'Nak makan kat mana?'

Namun hati tak boleh hindar dari menggerutu, kesal, jauh hati dan bla... bla...

Termenung aku memikirkan nasib diri ini. Tak henti-henti dirudung permasaalahan yang panjang. Yang sesekali fikir... seperti tak berkesudahan.

Anak yang sulong sahaja yang boleh dikira berdikari dan jarang membebankan. Yang ke dua apatah lagi yang ketiga, masih bergantung malah meresahkan dada.

Isteri pula tidak dapat aku jadikan tempat berkongsi perasaan gundah. Malah sebaliknya, menambah resah.

Aku imbau dosa-dosa dan kesilapan masa lalu aku. Apakah tidak ada ruang untuk Tuhan mengampun semua itu? Apakah tidak ada peluang untuk aku menebusnya?

Sesekali fikir, aku ingin bersendirian sahaja. Membawa diri... menyemadi diri di masjid sepanjang waktu dan melakukan kerja sendiri yang aku gemari dan membahagiakan orang lain tanpa mereka ketahui.

Rumahku seperti bukannya Syurgaku. Tuhan...Maafkan aku!