Rabu, 30 Disember 2009

Sebenarnya

Sebenarnya dalam hati ini
masih ada seberkas rasa rindu padaMu Tuhan
walaupun kerapnya ia terberancai dirakus nafsu.

Sebenarnya dalam hati ini
masih ada sesusuk doa buatMu Tuhan
walaupun adanya kemungkinan
tidak cukup syarat untuk mendapat restu dan perhatian.

Sebenarnya dalam hati ini
masih ada secawan cinta untukMu Tuhan
walaupun selalunya tidak penuh
dan sering tertumpah.

Sebenarnya dalam hatiku ini Tuhan
terasa amat ketar gementar
menyelusuri lorong masa yang bakinya makin sedikit
dan tidak pernah menoleh ke belakang.

Tuhan
Berilah aku kesempatan
dan sedikit harapan
sebelum matahari terbit dari tangan kanan
sebelum karpat pintu keampunan!


29 Disember 2009
Kedai tepi Masjid Kubang Semang.

Sabtu, 26 Disember 2009

Seek For Understand

Selesai sudah proses peminangan untuk Angah. Gadis kecil molek itu tinggal tidak jauh dari bulatan Bukit Tengah bersebelahan kilang Allagapa's. Hampir 50 orang kami datang membawa 13 dulang hantaran termasuk sebentuk cincin tanda. Hampir tidak kenal aku pada bakal menantu dek solekannya yang ....

" Abang Sham, saya rasa janggal sikit. Rupanya, lain perasaan orang yang bakal terima menantu pertama kali ni ya!"

Abang Sham yang aku amanahkan untuk menjadi orang tengah peminangan ini cuma tergelak.

Diletakkan hantaran sebanyak RM6552 selepas proses tawar menawar dibuat sekadar mencukupkan kehendak adat meminang

" RM552 itu mas kahwin, ya! " Aku sengaja menekankan untuk kepastian. Teringat aku di Selangor yang heboh pasal mas kahwin yang diumumkan oleh JAIS naik dari RM80 ke RM300. Di Penang, kadar ini adalah biasa.

" Kalau dah puas hati hati semuanya, bagaimana kalau saya minta IM bacakan sedikit doa. " sambil wakil dari pihak perempuan menuding ibu jarinya ke arah aku. Ai...nak test aku ke ni

Aku memang dah bersedia untuk itu setelah diperingatkan oleh biras aku Abang Mail sebelum ini. Perlu ada sesaorang yang boleh bacakan doa jika diminta oleh pihak perempuan.

Lalu aku pun.... Al Fatihah... tapi sayang, doakan yang memang sudah aku rangka dalam kepalaku sebelum ini hilang entah kemana. Mujur aku memang selalu diminta membacakan doa di majlis-majlis kecil maka pengalam itu membiasakan aku dan tidak menggugupkan.

Seusai jamuan dan sembang-sembang, aku minta izin untuk undur diri kepada tuan rumah. Sesampai di rumah, riuhlah keluarga sebelah ibu_suri mengagih-agihkan hantaran balas yang diberi hampir 20 talam.
" Harta rampasan perang " usik adikku Niza. Mak aku yang terpaksa duduk di kerusi roda tidak putus-putus memberikan peransang kepada aku. Aku cuma tekun mendengar.

" Mak, hari ini saya belajar satu perkara. Seek for understand... " meminjam kata-kata dari presiden Ke 2 Jamaah Islah Malaysia ( JIM ).

Di kala malam baru terasa badan teramat letih. Bayangkan, aku terpaksa melayani kerenah saudara mara yang berbagai. Terlewat datang ke rumah pengantin perempuan semata kerana menunggu kakak iparku dari Bertam. Kemudian terpaksa menjadi Marshal kepada gerombolan 6 kereta. Nasib tidak baik, sepanjang jalan dari Permatang Pauh, lampu trafik serba erah. Kereta terlalu banyak hingga menyebabkan kenderaan bergerak perlahan.

Sebagai tanda penghargaan kepada semua yang telah menolong aku tak kira dari sekecil-kecil sumbangan, aku hantar sms terima kasih.

Aku ketepikan semua perkara-perkara remeh yang berlaku seperti datang lambat, air tumpah, anak menakan yang kecil memunggah koleksi kesayangan ibu_suri, sesaorang yang aku sangkakan datang untuk mahu meraikan rupanya mempunyai niat lain untuk meminjam wang; aku cuba lupakan. Sebaliknya aku hargai kedatangan mereka, aku hargai kerjasama mereka dan aku hargai teguran dan pandangan mereka. Aku sms untuk ucap jazakallah khairan kathiro.

Muga mereka tidak akan jemu untuk datang membantu aku di majlis walimah Angah nanti malah majlis walimah Along dan Akhmal yang entah bila.

Sayang, aku tidak dapat sertakan foto-foto mereka di sini kerana menggunakan kamera adikku Mamat yang masih menyimpannya. Dia berjanji untuk muatnaikkan foto-foto ini ke dalam album Photopagesnya bila balik ke Ipoh esok.

Khamis, 24 Disember 2009

Suratan

Banyak yang telah aku pelajari selama hidup, sebenarnya. Belajar erti kesabaran. Erti kecekalan. Erti menjaga maruah. Erti menjaga hati kawan. Dan erti menghargai pemberian. Aku akui aku tidaklah pandai dalam ilmu dunia sepertimana orang lain. Jauh sekali dalam ilmu akhirat seperti orang lain juga. Aku hanyalah aku. Seorang yang tidak punya apa-apa dan tidak pandai dalam apa-apa.

Entah kenapa hari demi hari aku merasakan diri aku semakin perlu diperbaiki. Banyak yang kosong di dalam diriku. Kosong amal, kosong cita-cita dan kosong sokongan. Gimanapun aku tetap bersyukur pada Tuhan kerana masih memberi aku peluang bernafas dan meneruskan perjalanan walaupun dalam susahpayah.

Aku masih meletakkan harapan agar aku akan terus bersikap kalau pun tidak lebih baik, paling minima mempunyai sikap seperti hari ini. Punyai sikap merendah diri, menghargai perasaan orang lain dan sentiasa senyum walaupun ada airmata di dalam hati.

Sesekali aku juga hairan entah kenapa akhir-akhir ini aku lebih gemar sendirian di luar rumah. Merenung ke dalam diri dan berangan untuk masa hadapan. Aku menaruh cita-cita yang besar. Cita-cita untuk kembali semula menjadi aku yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti dahulu tanpa ada hambatan hidup yang menghalang.

Aku rindu pada puisi. Aku rindu pada sejadah. Aku rindu pada rama-rama. Aku rindu pada puncak gunung dan aku rindu pada air sungai.

Aku sudah jemu menonton hutan batu. Aku sudah jemu menjalar di jalanraya yang sibuk saban waktu.

Namun aku tahu. Suratanku jika begini maka beginilah yang mesti aku tempuhi. Tidak perlu kesal. Tidak perlu futur.

Aku beruntung kerana mempunyai anak-anak yang dapat membantu. Punya adik-adik yang amat memahami. Punya rakan-rakan yang sedia membantu.

Juga paling beruntung kerana masih mempunyai emak yang sentiasa mendoakan aku dan selalu berkata kepadaku;

" Emak dah ampunkan semua dosa-dosa kamu. Tak ada satu pun yang mak simpan dalam hati mak. Jagalah diri kamu baik-baik, ya! " Begitu murni hati seorang mak.

Tidak hairanlah jika entah kenapa aku tiba-tiba tersentak pabila semalam aku mendapat panggilan talipon dari adik;

" Yop, mak sebenarnya dah sebulan lepas doktor sahkan kedua-dua buah pinggang mak rosak. Mak sekarang ni cuma bertahan dengan memakan ubat. Mak tak bagi Uyah cerita kat sapa-sapa pun. Tapi Uyah tak sanggup. Uyah rasa paling tidak Yop sebagai abang paling tua kena tahu. "

Subhanallah!


( foto IM semasa mendaki Gunung Tahan sekitar 1985 ini adalah ihsan dari koleksi blogger Jendela Hatiku )

Ahad, 20 Disember 2009

Khemah Tengah Jalan

Cuti sekolah selalunya menjadi pilihan untuk ibubapa melansungkan majlis perkahwinan anak mereka. Di habitatku ini pun hampir setiap hujung minggu akan ada 2-3 buah rumah mengadakan kenduri kahwin. Dan selalunya bila ada kenduri akan adalah sekatan jalan dilakukan. Yang menjadi mangsa adalah pengguna jalanraya yang tak terlibat seperti aku. Jenuh berpatah balik mencari jalan lain.

Kalau di kampung aku dulu kenduri cuma sebuah dalam satu masa. Seluruh kampung akan datang bergotong royong membina pandir dan memasak. Sekarang semuanya mudah. Jiran pun kalau ada yang datang cuma duduk bersembang. Tak tahu nak tolong apa. Tuan rumah cuci tangan. Semuanya diupah. Dari A hingga ke Z.

Di kampung pun anak muda mungkin tidak ramai seperti sekarang. Pabila hendak memilih tarikh kenduri, hampi buntu untuk menentukan tarikh yang sesuai. Semua penuh. Hari itu anak menakan kenduri, hari inun adik ipar kenduri.

Kalau dulu pula sajian kenduri semata-mata nasi minyak dan 3-4 mata laukpauk. Sekarang ini ada yang menyediakan nasi hujan panas. Ada juga nasi tomato. Dan bagi yang berada sedikit menyajikan nasi beriani. Dan kerana terlalu banyak dapat kad undangan maka makan pun kena sikit-sikit supaya di kenduri lagi satu boleh makan lagi. Lantaran itu bukan setakat nasi tminyak yang tuan rumah perlu sediakan, kena ada juga juadah sampingan lseperti laksa , ais kacang, cendol atau mee goreng.

Pendekkata, kalau Opah aku masih hidup dan datang makan kenduri di zaman cicitnya sekarang ini mesti dia geleng kepala.

" Eee... membazir aje kome ni. Tak cukup nasi nasi ada mee goreng pulak.... "

atau opah akan berkata;

" Senang bebeno kome kenaghi yer... tak payah teghok-tengok basuh pengoyok belanga. Siapkan duit aje ye... Ada duit semua jalan.."

Aku harap jika diizinkan Tuhan, kenduri kahwin anak-anakku nanti aku adakan di dewan sahaja. Tak sampai hati aku melihat orang lain yang tidak berkenaan terpaksa pusing-pusing mencari jalan keluar yang lain. Mesti dalam hati mereka bergantang-gantang rasa bebal kerana kelancaran perjalanan mereka terganggu.

Lagi pun buat di dewan senang. Rumah tanggaku tidaklah serabut. Sementelah pula dengan keadaan emosi ibu_suri yang tidak mengizinkan ini. Dan bila habis kenduri, tidak perlu kemas rumah teruk-teruk.

Tapi yang tidak bagusnya kalau buat di dewan dan katering pula, mahu sekali ganda kosnya berbanding dengan memasak sendiri.

Udah begitu kehendak zaman sekarang. Apa boleh buat. Tahi kambing bulat bulat...

Muga Allah permudahkan urusanku kelak. Harap-harap, begitulah!

Sabtu, 19 Disember 2009

Lepaskan hand brake!

Lepas solat Jumaat semalam aku sempat menyertai demo di Masjid Kubang Semang anjuran Angkatan Muda Keadilan ( AMK ). Aku pun tidak mengetahui sebelum ini akan adanya demo. Bila keluar dari masjid diedarkan risalah barulah aku tahu.

Samada tidak ramai orang atau ramai tetapi berlindung di dalam masjid atau mana-mana teduhan lantaran hujan renyai-renyai, aku tidak pasti. Tetapi yang ada berdekatan tidak sampai 100 orang.

Demo ini bertujuan untuk mendesak supaya kes liwat Anwar Ibrahim dibicarakan di mahkamah syariah bukan sebaliknya di mahkamah sivil. Menurut AMK, mereka dapat menghidu bahawa perbicaraan di mahkamah sivil mempunyai niat jahat.

Seperti biasa, polis mula berada di pinggir jalan.

" Tau je depa ni bila PR buat perhimpunan. Macam juga bila ada accident geng-geng tarik kereta accident entah dari mana datangnya. Cepat sampai dan rajin pula jaga laluan kenderaan. "

Tidak lama. Sekitar 10 minit, setelah kenyataan demo dibacakan dan sedikit ucapan dari YB Mansor Othman, ADUN Penanti merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, perhimpunan bersurai sambil diringii laungan takbir dan reformasi.

Sambil aku keluar dari perkarangan masjid aku lihat YB diwawancara oleh pemberita.

Sebenarnya sudah lama aku tidak dapat rasai suasana ini. Sudah lama juga aku tidak berpeluang mendengar ceramah-ceramah politik untuk mendengar berita terkini di negeriku sendiri.

Aku teringat peri dari rakanku R yang berkali-kali bahawa untuk meneruskan hidup kita ini dengan sempurna kita mesti melepaskan hambatan yang ada di depan kita. Hambatan yang menyebabkan kita sukar melangkah, sukar berfikir.

Umpama sebuah kereta, hambatannya untuk bergerak kehadapan ialah hand brake. Maka hand brake itu perlu dilepaskan barulah perjalanan dapat dilakukan dengan lancar.

Tetapi bagaimana dengan hand brake yang ada padaku? Ini bukan sebarang hand brake.

Ataupun hand brake yang sebenarnya adalah sikapku, pendirianku atau diriku sendiri.

Aku harap Maal Hijrah 1431 ini akan dapat memberi sedikit ruang kepadaku untuk bernafas dengan bekalan oksijen yang baru...

( foto ihsan dari al-ahkam.net )