Selasa, 31 Januari 2012

Entah Bila...

Semenjak aku mendengar seorang demi seorang rakanku mendapat diabetis, darah tinggi dan kolestrol, aku membulatkan azam di tahun 2012 ini untuk tidak gagal beriadah bila-bila saja ada peluang.

Hari ini aku ambil cuti kerana tengahari nanti akan pergi ke rumah besan di Permatang Batu, Bukit Tengah untuk sesama meraikan majlis cukur rambut cucunda. Lalu pepagi ini aku sudah berada di Tasik Mengkuang untuk mengeluarkan peluh. Cantik sekali  matahari pagi yang sedang naik memanjat langit.

Selalunya insan seusia aku ini lebih baik mengamalkan jalan cepat berbanding jogging. Ia akan dapat mengelakkan kecederaan lutut disamping tidak mendera jantung dan paru-paruku dengan letih yang mendadak. Hari bekerja begini baru aku dapat lihat lebih ramai warga berumur berbanding anak-anak muda di sini. Aku juga sempat melihat 2 orang anak muda memakai kasut dan seluar sekolah walaupun berbaju pereman juga di sini. Ponteng?

selalu terserempak dengan Mini Coopers ini

Selesai jogging aku singgah makan roti canai telor dan kopi Kencang di sebuah warung kecil. Selalunya di Restoran Sri Semarak tapi hari ini tak buka. Sedap juga roti canainya. Huu.... memang kencang. Tambah menjejen peluhku ini. Dan aku singgah di Masjid Mengkuang untuk solat sunat Dhuha.

iklan lihat di sini

Begitu rutinku jika cuti. Benar kata orang, bila sudah berumur dan anak-anak sudah besar, kurang gelut di waktu pagi. Cuma yang sibuk hanya di hati!  

Maaflah, asyik-asyik cerita pasal Tasik Mengkuang je semenjak dua menjak ni... Aku dah letih sebenarnya, merengkuh tanggungjawap membesarkan anak dan tekanan kerja hampir 30 tahun. Mahu rehat dengan melakukan kerja-kerja ibadah yang aku suka pula. Tapi entah bila...

Ahad, 29 Januari 2012

Nasi Limuni

Trek yang panjang di Tasik Mengkuang. Foto salin dari sini

Hari ini usrah di Tasik Mengkuang. First time buat usrah secara outdoor. Selalunya usrah di adakan di rumah sahabat secara bergilir.

Sayangnya, cuma aku dan naqib saja yang hadir. Seorang lagi rakan sakit kepala. Seorang lagi tak dapat dihubungi. Jadi aku dan naqib ambil keputusan memilih morning walk di trek yang panjang. Sambil berjalan, bertanya khabar masing-masing. Dan selaku naqib tentunya beberapa tazkirah sempat diberikan.

Berpeluh juga dahi dan ketiak.. Bila matahari dah tinggi, naqib ajak makan dulu sebelum balik. Dia belikan nasi limuni. Aku jarang makan nasi macam ni. Sambil berbual aku sempat ceritakan perihal Akhmal semalam.

"Dia bertumbuk dengan Along. Terkejut juga ana dibuatnya. Tak sangka boleh terjadi insiden begitu dalam keluarga ana."

"Puncanya?"

"Motor. Akhmal nak pinjam motor Angah untuk keluar malam semalam tapi Along tak bagi. Ana pun faham kenapa Along tak bagi sebab Akhmal tunggang motor kasar. Boleh lingkup enjin dibuatnya."

"Motor Akhmal kenapa?"

"Katanya eksos dah keluar asap. Selalunya kalau macam tu, piston dah haus la, kan!"

"Apa plan enta untuk Akhmal ni?"

"Ingat nak sambung berubat cara kampung balik lah. Dulu stop sekejap sebab dah give up. Lagi pun bila dia pergi kerja kat Shah Alam tu dulu, ingatkan insyaAllah dah boleh ok.  Tapi rupanya tak. Banyak lagi kerja ana kena rengkuh."

Aku merenung jauh ke Hutan Simpan di hadapanku. Teringat lagi -  Akhmal seperti menyalahkan aku kerana menjadikan dia anak angkatnya. Dia membentak suruh aku hantarnya balik ke rumah mak sebenar dia di Setiawan. Luluh jantungku dibuatnya dengan sikap Akhmal ini. Tak tahu dimana silapku selama ini dalam mendidiknya.

Di depanku kelihatan remaja bermain badminton riang sesama mereka. Ini mengingatkan aku semasa bermain badminton dengan Akhmal di belakang rumahku lebih 10 tahun dulu.

Nasi limuni aku pun dah habis!

Jumaat, 27 Januari 2012

Zikra Jumaat 4 - Pertahan Keadilan

Tsunami - Peringatan yang semakin dilupakan

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّامِينَ بِالۡقِسۡطِ شُهَدَاء لِلّهِ وَلَوۡ عَلَي أَنفُسِكُمۡ أَوِ الۡوَالِدَيۡنِ وَالأَقۡرَبِينَ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقَيرًا فَاللّهُ أَوۡلَي بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُوا۟ الۡهَوَي أَن تَعۡدِلُوا۟ وَإِن تَلۡوُوا۟ أَوۡ تُعۡرِضُوا۟ فَإِنَّ اللّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرًا
(An Nisa’ : 135)

'Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.
Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.'

Khamis, 26 Januari 2012

Manisnya Menulis Blog




Menghadiri salah satu program tarbiyah IKRAM.
 
Bila sesekali fikir terasa amat manis bila usaha kita menulis blog mendapat respon baik dari follower. Malah yang lebih manis ialah bila pengalaman kita yang ditulis itu menjadi bahan rujukan atau panduan yang berguna pula pada mereka.

Inilah yang aku cita-citakan iaitu menjadi insan yang memberi dan bukan meminta. Kita memberi melalui apa yang kita mampu. Jika tiada harta, kita pasti ada perkataan. Perkataan itulah yang walaupun murah modalnya tapi mahal nilai timbal baliknya.

Selama aku menulis ini beberapa individu telah menghubungi aku meminta nasihat tentang permasaalahan mereka. Rupanya ramai juga yang berhadapan dengan ujian hidup yang seperti aku alami. Tak kira samaada ujian dalam menjaga isteri, menjaga anak maupun masaalah dalam diri.

Indahnya hidup ini jika kita dapat memberi bakti kepada orang lain. Aku tidak pernah menyangka bahawa menulis blog mampu memberi pulangan manis seperti ini. Namun itu yang aku percaya bahawa menulis tentang pengalaman diri sendiri mempunyai kesan lebih mendalam berbanding menyalin bahan orang lain.

Bukan semua orang suka dengan tulisan kita. Malah akan ada yang mencemuh atau memperli. Pernah aku alami bila tulisan aku di komen keras oleh anynomous hingga seminggu aku fobia menekan keyboard. Hinggakan bunyi kereta lalu dan membrek di depan rumah membuatkan jantung aku berdegup kencang.

Sebaliknya, pernah juga tulisan aku di salin dan emel ke serata rakan-rakanku di tempat kerja. Akhirnya ia menjadi buah mulut di kantin. Aku terpaksa teguh menahan malu maupun amarah.

Memang bukan semua orang boleh menulis. Bukan pula semua tulisan suka dibaca oleh semua orang. Kita perlu bertanggungjawap atas tulisan kita. Jangan baling batu sembunyi tangan.

Ada pula yang suka membuka blog aku kerana ada lagu. Sambil dengar lagu dari blog hang boleh juga buat kerja rumah, kata rakanku. Ha..ha.. Memang selain menulis aku juga meminati lagu; mewarisi darah seni arwah abahku agaknya.

Apa-apa pun, menulis tetap memberi kepuasan pada aku yang memang bercita-cita menjadi penulis besar tetapi tidak kesampaian.

Hatta menjadi penulis bilis pun dah kira beruntung. Mujur ada dunia blog. Kalau nak harap untuk menghasilkan buku atau novel agaknya; usahkan cium bau buku , melihat bayang buku pun belum tentu!

Rabu, 25 Januari 2012

Tali Pusat

Foto ihsan dari sini

Sengaja aku ajak Angah untuk bersamaku ke kantin hospital dengan alasan aku belum lagi makan. Aku arif benar. Bila kalut ke sana kemari - kedai, hospital dan rumah, makan dan mandi boleh terlupa.

Semasa makan itu aku sempat memberitahunya;

"TAHU ialah orang yang maklum tentang sesuatu perkara. PANDAI ialah orang yang selain tahu tetapi ahli dalam perkara itu. Orang yang BIJAK ialah yang menggunakan ilmu untuk kepentingan sesuatu. Akan tetapi orang yang BIJAKSANA ialah orang yang bijak menggunakan ilmu itu pada ketika dan orang yang sesuai untuk kepentingan jangka panjang."

"Jadi, ayah mahu kamu menjadi orang bijaksana. Jangan cepat melenting bila berdepan dengan orang yang datang memarahi kamu, yang komplen atau yang memberitahu sesuatu berita yang kurang baik. Tunjukkan sikap bertenang, siasat dari 2 belah pihak akan hujah mereka dan buat keputusan yang bijak serta win-win situastion."

Sebenarnya aku sedang merujuk kepada kemungkinan akan ada berbagai pandangan dan arahan dari keluarga mertuanya yang mungkin kurang biasa dengan cara aku mendidik dia. Maklumlah, bila masuk bab anak baru lahir dan isteri lepas bersalin ini, Melayu biasanya banyak dipengaruhi oleh budaya Hindu.

Contoh paling hampir ialah mengikat tali hitam ke pergelangan tangan anak. Dan yang baru aku dengar tadi ialah, tali pusat yang gugur itu perlu disimpan. Jika anak deman, rendam tali pusat itu dalam air dan bagi anak itu minum.

Nasib baik tak disuruh sapukan jelaga pelita minyak tanah ke dahi dan pipi anak atau simpan kacip pinang bawah bantal seperti aku masa kecil dulu!