Isnin, 30 April 2012

Dari Bilik Selesa Ke Jalan Raya...

Letih balik dari KL semalam belum habis lagi. Disambung dengan menjelajah blog dan FB untuk mendengar komen dan meneliti hujah dari kedua belah pihak tentang insiden-insiden yang berlaku.

Hanya tertawa dan senyum sendiri.

Esok mesti topik ini jadi topik besar semasa rehat di kafetaria tempat kerja. Kalau boleh aku tak mahu sangat beremosi. Bagi aku, yang hanya bercakap dari bilik selesa boleh bercakap apa saja. Tapi yang turun ke Dataran...opss... ke jalan raya, dialah lebih tahu akan jerih perihnya dalam menyatakan kebenaran.


Bagi yang ikhlas dan panjang wawasannya, ini satu pertanggungjawaban. Tapi kalau bagi mereka yang hanya nafsi-nafsi... biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya! Fikir sendirilah siapa dan kemana dirinya selama ini..

Isnin, 23 April 2012

Alahai, PTPTN........!

Di ketika tv sibuk bercakap tentang PTPTN, aku teringat pengajian Along dan Angah sebelum ini. Aku sms pada mereka tadi tentang pinjaman PTPTN yang mereka kena bayar bila kerjaya mereka agak selesa kelak.

Terkejut juga aku bila Along beritahu pinjaman PTPTN semasa Diploma di Kolej Islam Antarabangsa ( IIC ) adalah RM15K dan kena bayar RM18K.  Ijazah di Kuala Lumpur Metropolitan Universiti ( KLMU ) pula adalah RM48.5K dan berapa kena bayar masih belum tahu.

Angah yang tidak sempat menghabiskan pengajian di Politeknik Ungku Omar, Kulim pula masih perlu melunaskan pinjaman sekitar RM3.5K.

 Hurrmmm… Semasa aku belajar di sekolah rendah dulu, adik-adik aku mendapat biasiswa dari kerajaan atas nama sekolah luar Bandar. Semasa aku belajar di Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur ( IKM ) pula bukan sekadar dapat belajar dengan percuma, dapat duit poket lagi sekitar RM200 sebulan.

Tak faham aku; dulu Negara kita tergolong dalam kategori negara membangun masih mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya hingga ke peringkat universiti tapi sekarang bilamana misi ke WAWASAN 2020 semakin hampir anak aku yang baru tamat belajar dan masih terkial-kial mencari kerja sudah pun ada hutang di bahunya sekitar RM60K.

Adakah ini salah aku sebagai bapa yang tidak pernah bersedia untuk menyimpan demi kepentingan pembelajaran anak-anakku hingga sanggup membiarkan anak-anakku menanggung hutang yang berpanjangan…?

Aku balas sms Along dan Angah tadi;

"Jangan lupa simpan resit pembayaran PTPTN tu. Mana tahu kalau ada rezeki nanti kita boleh klem duit kita bayaran balik tu dari kerajaan baru yang lebih prihatin, insyaAllah!”

Aku menyimpan azam untuk membantu mereka membayar semula hutang pinjaman itu bila aku sudah berada dalam zon 'free finacial'. Terasa bersalah aku membiarkan mereka terjebak dalam hutang yang aku kira akan menjadi beban seumur hidup mereka!

Khamis, 19 April 2012

Akhbar Ini!

Rabu, 11 hb April lalu aku diberi oleh sesaorang akhbar ini secara percuma;


Sebelum aku bawa masuk ke rumah dan letak atas meja rehat ibu_suri, aku buang dulu pelekat itu sebab aku tahu ibu_suri amat alergik dengan nombor itu. Bukan apa, malas nak dengar omelan ibu_suri ke telinga aku ini nanti.


Tapi akhirnya akhbar itu terletak atas meja tidak lansung berselak. Bukan sebab tak mahu tapi kerana malas membaca. Aku lebih suka baca e-paper dan ibu_suri lebih suka menonton berita dari tv di hadapannya.

Mungkin kami berdua ini antara penyumbang tertinggi kepada peratusan rakyat Malaysia yang kurang membaca.

Dulu aku memang suka membaca akhbar, majallah dan buku tapi sejak terpaksa memakai cermin mata ini, aku jadi culas. Berjam-jam menghadap komputer di tempat kerja sudah cukup untuk membuatkan mata dan minda aku keletihan!

Selasa, 17 April 2012

Roti n Pizza

Aku dan Amir Bongsu

Ahad lalu aku sempat menyertai kursus pendek membuat Roti dan Pizza anjuran MUBIN dan Kolej Komuniti Kepala Batas. Walaupun keletihan kerana baru balik dari konvo Along di PICC Sabtu sebelumnya tapi atas nama pengorbanan seorang ayah, aku gagahi juga. Kenapa aku katakan pengorbanan seorang ayah? Pendaftaran asal sebenarnya atas nama Angah tapi last minute dia tak mahu pergi. Suruh Along ganti Along pun tak mahu pergi sedangkan yuran dibayar. So....?

Tapi berbaloi juga kursus itu. Dalam Facebook, aku beri tajuk ' Belajar untuk faham dan memahami '. Ya... baru aku faham bagaimana proses membuat roti yang selama ini aku selalu beli dari gerai EDEN di Hospital Besar Pulau Pinang tatkala bawa ibu_suri untuk rawatan.

Dan kalau bukan orang yang biasa ke dapur tentu rasa kekok nak uli tepung malah untuk mengenal bahan-bahan yang digunakan. Ada 5 kumpulan yang mana satu-satunya kumpulan lelaki adalah kumpulan aku. Dan kumpulan akulah yang selalu menjadi perhatian kerana riuh rendah dan kreativiti kami membuat bentuk roti.

Sempat bawa balik ke rumah hasil dari kerja tangan aku dan kawan-kawan. Waaa... paling berebut ialah ibu_suri!

Rupanya taklah susah sangat nak buat Pizza ni. Cuma kena ada skill dan kesabaran!


Boleh lihat foto lain di Facebook

Isnin, 16 April 2012

Menguak Pintu Perjalanan Hidup Yang Realiti!



Jumaat lalu, selepas solat Subuh, aku dan ibu_suri bertolak ke PICC untuk menghadiri Majlis Konvokesyen KLMUC Along. Menaiki VIVA auto Angah dan menggunakan GPS kawanku - Yusuf memang banyak membantu melancarkan perjalananku. Hujan dan beberapa kemalangan lori tidak sangat mengganggu kosentrasiku. Paling aku berhati-hati ialah menjaga emosi ibu_suri. 

Sesampai di PICC yang sekali pandang binaannya seperti sehelai daun itu, aku ushar dulu route yang mudah untuk dilalui oleh ibu_suri. Aku curi-curi memarkir kereta di tempat paling dekat dengan lobi. Huu... penggunaan eskalator yang bertingkat-tingkat untuk sampai ke aras atas membimbangkan aku juga kerana ibu_suri tidak boleh berjalan jauh dan berdiri lama.

Di dalam dewan itu juga aku memilih untuk duduk di kerusi paling atas supaya ibu_suri tidak perlu menuruni dan kemudiannya menaiki tangga, berpusu-pusu dengan ramai orang dan akan mudah jika mahu ke bilik air. Alhamdulillah, bilik air untuk OKU ada disediakan. Mengeluh para penyambut tetamu yang berusaha menguruskan kemudahan ibubapa graduan sebaik mungkin.

"Ramai yang minta duduk di tangga atas dan kerusi tepi," keluh mereka sesama sendiri.

Dah namanya ibubapa kepada anak yang rata-ratanya berumur 20an. Tentulah mereka ini sudah tua dan tak larat untuk turun naik tangga, bisik hatiku.

Memang perjalanan ini memerlukan kesabaran dan tolak ansur dan bukan sedikit. Sebelum ini aku tidak berminat pun untuk beli jambangan bunga sepertimana adatnya sebagai tanda ucapan tahniah dan kebanggaan ibubapa yang gembira atas kejayaan anaknya tapi kali ini ibu_suri beria-ia minta. Aku pilih jambangan yang murah tapi memberi makma tersendiri. Murah.....?!! RM35 be... untuk 3 kuntum bunga Ros yang mewakili Along,  Aku dan ibu_suri; sebuah patung Pooh yang kuningnya begitu menarik dan sebuah badge logo KLMUC. Tak sangka juga kerana rupanya kuntum ros itu adalah bunga hidup.

Teringin nak ambil gambar secara famili tapi Along tak setuju. Mahal, katanya. Untuk satu set berharga RM139. Geleng kepala aku kerana aku tahu untungnya itu berlipat kali ganda.

Aku memilih untuk bermalam di Hotel Amani, Bangi dengan kadar sewaan RM118 untuk 3 katil Kira ok lah tu. Aku memilih ini kerana ada kemudahan lif. Kedai makan juga banyak tapi rata-ratanya bagi aku agak mahal. Memang terasa mahal makan yang dijual direstoran sekarang ini termasuk juga di Penang, tempat aku sendiri. Sebab itu aku lebih suka memilih untuk makan di gerai-gerai kecil sahaja.

Aku harap selepas ini Along akan mencari kerja dan mula membina haluan kehidupannya sendiri. Umur sudah mencecah 26 tahun. Aku kira dia sepatutnya sudah bersedia untuk menguak pintu perjalanan hidup yang realiti!

Foto selanjut boleh lihat di Face Book.