Rabu, 30 September 2015

Ringgit Oh Ringgit


Tadi aku ke Western Union, Bukit Mertajam untuk menuntut bayaran cd dari pelangganku di Sumatera Barat. Tatkala menulis dokumen yang diperlukan di kaunter aku di tegur oleh seorang Cina muda yang juga berurusan yang sama bersebelahan.

"Wah... kita punya duit lagi jatuh, aarr..." sambil mengaleh pandangan ke arah aku.

"Ya la..."

"Kita punya PM tak buat apa-apa ka?"

"Dia sibuk jaga dia punya kerusi" jawab ku sinis.

"Dulu, masa Mahathir... at least dia ikat kita punya ringgit tak kasi turun naik... Tapi ini PM macam tak bikin apa pun..." 

Aku nyerongin saja... tak ada perkataan untuk nak membalas kata-katanya.

"Kesian sama student luar negeri sebab bila tukar duit dapat sikit..."

Betul juga, ya... fikirku. Aku mungkin tak rasa apa-apa kesan secara terus dengan kejatuhan ringgit tapi ibubapa yang punyai anak belajar di luar negeri amat terkesan.

Setelah menerima wang RM250 dari staf WU, aku permisi kepada Cina muda itu lalu beredar. Tak kurang pulak duit yang aku dapat ni... fikir ku lagi.

Seperti Merajuk Sahaja, Abah...


Semasa aku memegang stereng kereta, abah asyik bercerita tentang hal anak-anaknya. Aku faham, ketika inilah abah berpeluang meluahkan segala yang bergejolak di hatinya dengan bebas. Dan aku juga tahu bahawa aku ketika itu perlu bersikap wajar... mendengar dengan tekun dan mencuri peluang di celah-celah keluhan abah untuk memberi sedikit komen yang membina. Ya... sedikit sahaja komen, tidak boleh lebih dari sedikit itu!

Sesekali aku berasa beruntung kerana mendapat kepercayaan dari abah sebagai pelepas segala yang terbuku di dadanya. Pengalaman aku hidup selama 55 tahun dengan menempuh pelbagai dugaan dan tribulasi membuat aku arif akan perasaan seseorang yang seperti abah. Punyai anak yang ramai, punyai harapan yang tinggi terhadap anak-anaknya; akan tetapi hasilnya tidak mencapai tahap yang dia harapkan. 

Aku tahu, bukanlah sangat 100% apa yang abah cerita itu aku kena percaya kerana abah pun ada kelemahannya selaku seorang manusia. Namun yang bernama abah tetaplah seseorang anak itu kena hormati.

Aku harap, aku nanti tidak pula menerima nasib seperti abah. Muga anak-anakku kelak yang walaupun kerja dan keberadaan mereka tidaklah seberapa namun hormat mereka kepada aku, tinggi dan luhur.

Kasihan abah... sesampai sahaja di Pejabat Tabung Haji Bayan Lepas, terkial-kial abah menaiki tangga dengan tongkat berkaki empat. Pun, abah dilayan baik oleh pengawal dan staf TH untuk tujuan pengeluaran wang.

Abah nak guna untuk perbaiki rumah pusaka abah di kampung. Abah selalu kata... abah rasa lebih tenang bila dapat duduk di kampung walaupun usang daripada duduk di rumahnya sekarang ini yang walaupun nilai harga melebihi 700 ribu ringgit!

Selasa, 29 September 2015

Kerdilnya Diri Ini...


Akhirnya aku terjumpa juga grup wasap kawan lama semasa bersekolah di SRC tahun '76~'77. Bukan main rabong rupanya mereka bersembang. 38 tahun tidak berjumpa. Namun, aku memilih untuk sesekali menyampuk sahaja. Low profile, kata orang...

Ramai yang aku dah tak kenal muka, tak ingat nama. Memang betul-betul tidak ada dalam sel memori aku sebahagian besar dari identiti mereka.

Aku teringat semasa aku remaja dulu. Terdengar mak berbual dengan adik beradiknya tatkala berjumpa semasa kenduri kendara. Mereka mengeluh kerana dah lupa nama sipolan dan rupa sipolan. Masing-masing mengadu dah mula sakit sana dan lenguh di sini.

Sekarang aku pula melewati zaman mak dan abah. Zaman mak dan bapa saudara. Dunia berputar tanpa sikitpun rasa belas atau ada kata tunggu dulu. Aku bukan sahaja memerlukan bantuan kanta cembong untuk membaca malah hendak membuka penutup botol mineral pun tidak ada kederat lalu terpaksa memanggil anak.

Kerdilnya diri ini...

Isnin, 28 September 2015

Kredit Pula Habis

Entah macammanalah aku boleh lupa. Sepatutnya hari ini aku bawa abah mertua ke Tabung Haji untuk pengeluaran wang. Kesian dia, tentunya tertunggu-tunggu... 

Aku cuba talipon adik ipar yang menjaga abah, kredit talipon pulak habis. Bila masa ianya habis aku pun tak tahu. 

Inilah masaalahnya kalau guna jenis prabayar. Sebaik saja aku berhenti kerja aku tukar dari pascabayar Celcom kepada prabayar OneXOX. Tujuannya untuk mengelakkan dari terpaksa membayar hampir rm100 sebulan sedangkan aku pun tak tahu kenapa boleh jadi bil sebanyak itu. 

InsyaAllah, aku harap esok aku tak lupa bawa abah. Dia mengharapkan aku. Bab nak kemas rumah, aku buat kemudian. 

Dan sebulan lebih aku tak pedulikan hal kekemasan rumah. Baru aku perasan, bila anak-anak udah tidak lagi duduk sebumbung, rumah yang dulu terasa kecil kini menjadi besar dan tak larat nak jaga. 

Sabtu, 26 September 2015

Bila Melihat Tinggal Beberapa Kerat


Pagi tadi hingga jam 3 petang aku bersama di program Qurban masjid. Aku yang tak punya kepakaran apapun ini cuma bawa sebilah pisau. Ingat cuma nak potong-potong daging saja selepas ianya dilapah.

Tahun ini masjid dapat buat qurban sebanyak 21 ekor lembu dengan 2 diantaranya adalah untuk kenduri aqiqah. Terfikir juga aku, ada banyak-banyak daging lembu ni nanti takkan habis semuanya dibedak kepada pemanggu dan orang ramai. Lebihan itu akan di beri kepada siapa?

Ingat nak balik dalam tengahari tapi bila melihatkan seorang demi seorang angkat punggung sedangkan lembu masih belum habis di lapah dan di potong untuk pembahagian, aku tunggu hingga selesai timbang.

Bila dah selesai timbang dan solat Zohor,  kasihan pula melihat tinggal beberapa kerat ajk sahaja yang bertungkus lumus membersih dan mengemas dapur, tempat penyembelihan dan pinggan mangkuk habuan kenduri. Orang ramai memang dah surut balik ke rumah masing-masing.

Aku pun mengambil aleh mencuci cawan dan pinggan mangkuk. Naik lenguh pinggang dan kecut la tangan aku bermain air dan sabun. Tapi aku anggap ianya sebagai terapi.

Sebenarnya, badan aku masih terasa sakit... penangan mengurus qurban juga, yang aku hadiri 2 hari lalu yakni pagi hari raya di Permatang Janggus.

Dan seperti yang aku duga, memang ada puluhan bungkusan daging berlebihan di atas meja termasuk yang masih di masak di dapur masjid.