Khamis, 31 Disember 2015

SELIPAR TUAN YANG BASAH

#foto sekadar hiasan#

Zohor kelmarin, Tuan membawa aku ke masjid. Walaupun masjid itu dekat sahaja, namun Tuan aku berkereta ke sana.

Selalunya Tuan lebih suka berkemeja dengan seluar panjang ke masjid tapi entah apa mud Tuan, hari ini memakai kain.

Sesampai di masjid, Tuan menanggalkan aku dan meletakkan di atas rak. Tuan menuju ke kolah untuk berwuduk. Wuduk di rumah tadi dah batal kerana terkentut semasa memandu kereta.

Tuan memang lebih suka berwuduk di kolah daripada menggunakan pili. Ambil berkat dari lebihan air wuduk jemaah sebelum ini, katanya.

Selesai wuduk, Tuan melangkah ke ruang solat.

Allahu Akbar... Tuan memulakan dengan sunat Tahyatul Masjid. Sedaya upaya Tuan menjaga khusyu' namun khusyu' tuan banyak kalinya diganggu oleh bayang-bayang dunia.

Tuan tidak ada masalah untuk ruku' dan sujud. Hanya ketika hendak bangun untuk berdiri dari sujud sahaja. Justeru itu, Tuan lebih suka mencari posisi yang berdekatan dengan tiang.

Usai solat berjemaah, Tuan berjalan keluar. Sambil itu bersalaman dengan jemaah lain yang ada di antaranya adalah jiran.

Sesampai di rak, Tuan termanggu sekejap...

'Eh... mana selipar aku. Tadi aku letak di sini?'

Beberapa kali Tuan mengingatkan kembali sambil memerhati keliling.

Laa.. macam mana boleh ada kat sana, dengus hati Tuan dengan rasa kesal. Seliparnya berada di tepi dinding tandas dalam keadaan lenjun basah.

'Agaknya ada orang guna untuk pergi tandas atau berwuduk kat pili...' teka Tuan.

Tuan pun mahu tidak mahu menyarung kaki walaupun dalam keadaan basah sambil tertanya-tanya lagi di dalam hati...

'Boleh ke kita guna selipar orang lain untuk ke tandas atau ambil wuduk tanpa minta izin? Kalau tuan selipar itu tak kisah, tak apalah. Kalau tuan selipar itu kisah?'

Tuan berjalan menuju ke kereta. Walaupun hatinya cuba untuk memaafkan sifulan yang 'meminjam' seliparnya tapi sesekali terbit juga rasa marah kerana basah seliparnya membuat kakinya tak selesa menekan pedal minyak.

Rabu, 30 Disember 2015

Isnin, 28 Disember 2015

Ke Klinik Untuk Abah


Aku baru saja balik dari rumah mertua. Siangnya, aku menghantar abah ke Klinik Kesihatan Jalan Perak untuk rutin pemeriksaan kesihatan.

Aku dengan rela hati mengambil aleh tanggungjawap ini dari anak abah sendiri. Aku ingin merebut peluang berbakti kepada abah dengan cara begini.

Aku tahu, bukan mudah untuk mengurus abah yang tidak kuat berjalan. Kesabaran kena tinggi, Keikhlasan perlu putih. Memahami perlu sepenuh hati.

Abah adalah seorang bekas polis zaman orang putih. Justeru, sikap tegas, ego dan cerewetnya memang tebal.

Paras tekanan darah abah hari ini agak tinggi dari sebelumnya. Dua kali misi ulang membalut cuff ke lengan abah.

Bacaan berat badan memang tak diambil kerana abah tak boleh berdiri lama di penimbang.

Dr Hanani yang memeriksa abah minta abah buat analisa darah sebelum temujanji akan datang. Bulan 2 itu nanti, aku kena minitkan ke kalendar aktiviti dalam talipon bimbitku... khas untuk abah!

Ahad, 27 Disember 2015

Kunci

Jemu... usah dikatakan. Walau SABAR adalah kunci segala kekuatan namun sesekali tewas juga jiwa ini. Sesekali terlepas juga sungutan dari bibir ini.

Memang aku tidak punya pilihan selain tetap kekal di perjalanan ini. Orang lain boleh berpendapat apa sahaja. Yang pernah melaluinya sahaja yang erti.

Lewat itu, aku juga memahami keluhan ipar menjaga mertua dan keluhan adik menjaga mak. Keluhan mereka adalah sebagaimana yang ada dalam dadaku.

Hanya bezanya adalah... cara kami menerima dan menyerapkan ia ke dalam jiwa agar ianya tidak memakan diri.

Aku selalu berdoa, muga kunci yang aku pegang erat ini tidak pula aku patahkan di esok hari.

Doakan aku agar terus kekal menjagamu - ibu_suri... hingga akhir hayat ini!

Rabu, 23 Disember 2015

IWAN FALS - in collaboratioh with


Baru terima cd ini dari seorang kolektor. Terbitan PT Musica Studio's Indonesia. Diedar oleh Suria Cipta Malaysia. Karya beliau pada tahun 2003.

Iwan Fals - mungkin asing bagi rakyat Malaysia tetapi tidak di Indonesia.

Sepertimana Ebiet G Ade, Iwan Fals mencipta, menulis dan menyanyikannya sendiri lagu-lagunya yang memiliki konsep tersendiri.

Beliau lantang mengkritik birokrasi politik dan kegawatan sosial negara melalui gitarnya.

Pernah menyanyi  di hadapan presiden Indonesia ketika itu - Susilo Bambang Yudhoyono dalam rancangan debat sesama calon presiden menjelang pemilu.

Ini adalah cd kedua Iwan Fals milikku selepas Koleksi Akustik.