Rabu, 20 Januari 2010

Isteriku

Isteriku,
aku lega kiranya kau ketawa
walaupun aku tahu tidak kemana lamanya
sesaat pun sudah cukup bermakna
bagiku, itulah kenikmatan yang sukar dicerita
hanya Allah sahaja yang memahaminya.

Isteriku,
aku tertekan bila ketidakstabilan emosimu melanda
dunia ini seperti hilang cahaya
harta seperti tiada harga
sesaat kulalui bagaikan mengharung rimbunan api layaknya
dayaku hanya pasrah pada yang Esa
tiada kutahu esok bagaimana
walau setapak melangkah seperti tiada tenaga.

Isteriku,
tatkala menatap wajahmu di peraduan
belasku segera mengelus rawan
bak melihat anak kecil yang tidur keletihan
tidak tahu apa-apa tentang dunia fana
kerana akalnya segentel cuma.

Bila kuberbaring di sisimu
aku hanya mengharapkan cahaya pagi yang syahdu
menyinari hari-hari hadapanku
yang entah bila akan ku temu.

Tiada siapa tahu pedih deritaku
cuma sedikit oleh anak-anakku
cuma sekelumit oleh adik beradikku
cuma seketeq oleh kawan-kawanku
hatta emakku
jauh sekali........ kau, isteriku!


Bayan Lepas,
20 Januari 2010


6 ulasan:

Mybabah berkata...

Salam tuan IM. Cinta tuan yang amat mendalam kepada si isteri yang bertuah, mengalir lancar dari hati tuan ke kata-kata yang diungkap. Pabila saya membaca, ia mengalir dan meresap pula ke pembuluh darah saya hingga bergetar di jantung.

"Aku merasa apa yang kau rasa saudaraku kerana kasih, cinta dan sayangkau kepada isterimu saling tak tumpah kasih, cinta dan sayangku kepada isteriku..."

maiyah berkata...

sungguh indah.. beruntung kakak.. mesti tersenyum bila baca ni

khai berkata...

..Salam IM, sesuatu yg indah, dan rasanya apa yg ingin disampaikan telah tercapai kerana yg membacanya jadi sangat mengerti. Semoga berbahagia. amin.

rerama salju berkata...

Salam IM,

Beruntung orang rumah IM punya suami sesetia IM,Moga satu hari nanti sinar bahagia dan gembira itu bakal menjadi milik IM selamanya.AMIN

Syahazli berkata...

luahan sunyi yang mendalam......batin yang dizahirkan

al-lavendari berkata...

minta maaf bertanya kerana saya baru mengikuti blog ini. apakah penyakit yang dihidapi oleh isteri awak ? bagaimanapun saya kagum dengan ketabahan dan kasih sayang awak kepadanya.