Selasa, 15 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...6

Aku hanya berjalan mengikut arus membontoti kumpulan memakai baju jingga. Dihimpit oleh bermacam saiz tubuh manusia yang berbagai ragam dan bau.

Aku dan Along tidak berminat memakai baju warna mana-mana juzuk dalam HKR - kuning (BERSIH), merah (ROYALTI), hijau (LYNAS) dan oren (FELDA). Tapi kalau ditanya aku sebenarnya lebih mirip kepada grup mana, aku akan jawap - BERSIH.

Aku lebih selesa memakai rompi yang aku beli semasa aktif dalam Kelab Remaja JIM dulu. Pada rompi itu aku jahit lencana kain Gunung Tahan tanda aku pernah mendakinya sewaktu masih bertunang dengan ibu_suri sekitar 1984.

Rupanya perarakan ini menuju ke arah Stadium Merdeka. Aku bertanya Along tatkala ternampak sepasukan polis menghadang jalan dengan blok warna merah.

"Itu jalan ke Dataran Merdeka!" jawap Along menuding ke arah papan tanda.

"Kenapa pula blok jalan ke Dataran Merdeka?"

Soalan yang tiada jawapan.

Aku menarik tangan Along menuju ke pintu masuk stadium di bahagian belakang. Bukan apa, semasa BERSIH 3.0 dulu, aku dan Along terpisah di celah-celah keributan menyelamatkan diri dari terjahan gas pemedih mata. Walaupun aku selepas itu dah kembali ke KL Sentral menunggu bas untuk kembali ke Penang, Along memberitahu aku bahawa dia masih bermain kejar-kejar dengan FRU di kawasan Masjid India. Entah macammana dia terlepas ke sana, aku pun tak sedar. Walaupun aku sedikit gusar akan keselamatannya tapi aku percaya; biarlah dia merasai susah payah pejuang dulu bertempur dengan penjajah demi kemerdekaan negara.

Kelihatan helikpter di awangan

Helikopter berlegar di udara. Aku memilih padang berbanding tangga kambing kerana ingin menikmati denyut nadi perhimpunan dengan lebih dekat. Azan berkumandang menandakan masuk waktu Zohor. Tegak bulu roma aku dalam menghayati bilah-bilah alunan azan yang keluar dari corong pembesar suara yang pastinya juga menerjah ke telinga kaum lain: India, Cina, Benggali dan Mat Saleh.

"Sembahyang sekarang?" Soalku bila melihat beberapa anak muda bergilir menuang air dari botol ke tapak tangan. Mereka angguk. Wah... Ini pertama kali aku akan merasai bagaimana auranya bersembahyang di tengah stadium berbaur hiruk pikuk manusia. Aku pernah belajar erti uzlah jika berada di tengah-tengah kesibukan. Aku tiada halangan untuk begitu sekarang.

Aku mengambil botol  air. Berwuduk ringkas tapi sempurna hanya menggunakan tidak sampai separuh dari kuantiti air dalam botol. Pengalaman semasa bermukhayyam dengan rakan-rakan JIM dulu rupanya amat relevan di sini. Aku pernah dengar sahabat OKUku  Rizal yang mengambil wudhu di Mekah hanya dengan secawan air mutlak.

Aku pun membentang rompiku di atas rumput yang berbecak untuk  melakar satu lagi sejarah dalam hidupku. Di sebelah kananku bersedia seorang makmum yang akan menunaikan sembahyang cara duduk. Di sebelah kanannya pula seorang lelaki berkaki satu. Lalu, kami pun bersama-sama....... Allahu Akbar!

6 ulasan:

abu muaz berkata...

Assalmualaikum IM,
hanya yang merasai sendiri pengalaman itu mengetahui kemanisannya.
yang tidak hadir lihat sahaja gambar-gambarnya yang beribu ribu keping itu kerana banyak dari gambar-gambar itu berbicara kepada kita.

Kakcik Nur berkata...

Allah Maha Besar...

insan marhaen berkata...

abu muadz,
Betul tu tuan. Justeru itu kalau ada kawan IM yang berada di 'sebelah sana' seolah-olah memperlecehkan usaha IM turun ke jalan raya, IM diam saja kerana mereka itu tidak rasa apa yang IM telah rasa dulu dan kini.

kakcik nur,
Yang merasai saja yang mengetahui nikmat Yang Maha Esa.

Nurul Ain berkata...

Sangat terharu bila membaca perjuangan IM.Moga Allah bersma-sama dengan orang yang sabar dan berjuang ke jalan-Nya.Allahhuakbar

Jay Ar berkata...

Pengalaman adalah guru yg tak pernah berdusta. Org yg memperkecil2kan pengalaman org lain adalah org2 kerdil yg malu kerana dia tidak alami apa yg org lain alami..

insan marhaen berkata...

nurul ain,
IM cuba buat sedaya upaya, dicelah peluang yang ada. Muga Allah berkati usaha ini...

Jay Ar,
Blog IM ini terakam seluruh peristiwa dalam hidup IM. Muga ianyanya akan menjadi biografi yang berharga buat tatapan generasi IM akan datang.