Ahad, 24 Mac 2013

Masa Depan


Boleh ziarah Akhmal selepas 20hb ke atas disetiap bulan. Kebiasaannya, hanya aku dan ibu_suri saja yang pergi. Hinggakan aku pun dah kontang idea nak berbual apa dengan Akhmal bila setiap kali memegang gagang intercom.

Namun kali ini Angah dan Along akan ikut sama. Itupun setelah banyak kali ibu_suri desak. Kononnya Akhmal nak sangat berjumpa abang-abangnya dan juga Marissa. Bagi aku, ini sesuatu yang baik untuk Akhmal. Dapat juga aku 'rehat' dari berinteraksi dengan Akhmal. Biarlah abang-abangnya pula yang memain peranan.

Oh ya, aku perlu belikan baju putih seperti yang dia pesan bulan dulu. Juga beberapa majallah untuk dia baca dalam mengisi masa kosong di dalam sana. Mulanya ragu-ragu juga aku bila dia pesan hantar majallah. Setahu aku dia bukan suka membaca disebabkan sindrom Disleksianya itu. Tapi kenapa tidak aku belikan? Kalau pun mungkin hanya sehelai dua pun sudah memadai untuk dia mengasah semula minda yang terkurung di sana. Atau mungkin juga dia nak kongsikan dengan rakan-rakan selnya. Aku belikan majallah Ujang yang aku kira elok sedikit berbanding majallah Gila-Gila dan juga Mastika. 

Kalau tak ada apa aral lain, bulan 10 nanti dia akan dibebaskan. Aku tak tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Aku pun buntu memikirkan ke mana harus aku petakan masa depannya. Cuma aku percaya, Allah Maha adil dan luas rezeki terhadap sekalian hambaNya!

9 ulasan:

Kakcik berkata...

Turut mendoakan agar Akhmal akan berubah...

mario berkata...

harap bro IM tak putus asa... mungkin sambil2 surf internet tu bole tengok sekali berkenaan Disleksia dan cara mengubatinya...kalau bukan mengubati pun mungkin cara nak bg dorang ni semangat dan apa2 jela yg bole membantu dorg...

Jay Ar berkata...

Kita cuma berusaha yg terbaik, biarlah Allah yang menentukan peta masa depan anak2 kita....

smbotak berkata...

Sokongan penuh daripada keluarga dan orang terdekat sangat diperlukan...

insan marhaen berkata...

kakcik,
Terima kasih atas doa. Sama-sama kita menjaga anak dan mendoakan kesejahteraan mereka.

Mario,
Disleksia tidak ada ubat tetapi kita boleh improve. Cumanya Akhmal ini sudah tersasar jauh.

Yang perlu diubah ialah sikapnya. Ini yang IM selalu fikir bagaimana.

Jay Ar,
Kita berusaha, Allah mengizinkan.

SMbotak,
Alhamdulillah, buat masa ini keluarga IM memberi sokongan penuh. Cuma dia mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.

ujang kutik berkata...

Sdr IM,

Cerminan kasih ibu dan bapa.Kasihnya tidak ada penghujung.

Saya akan terus mengikuti catatan saudara.

nur berkata...

IM,
kami pembaca blog IM juga sentiasa doakan yang terbaik.
Semoga mendapat ilham merubah sikap Akhmal..

nur dari ALL IN ONE

Anonymous one berkata...

Semoga Akhmal berubah ke arah lebih baik

insan marhaen berkata...

Ujang Kutik,
Tkasih kerana selalu sudi membaca tulisan saya yang sesekali fikir ntah apa-apa.

Sebab itu IM selalu teringat bahawa begitulah besarnya jasa mak abah kepada kita dulu.

Nur,
Doa itu muga maqbul. Doa untuk Akhmal.

AO,
Muga begitulah hendaknya. Hidayah itu hanya milik Allah. Kita cuma boleh berusaha kemudiannya berdoa.