Khamis, 30 September 2010

Jika Aku Seperti Dia

Tadi malam seperti malam-malam sebelumnya, ibu_suri gelisah di katil lantaran tidak dapat memincingkan mata. Jam 3 pagi dia gerak aku yang lena di sebelah.

"Kenapa I tak boleh tidoq?"

Soalan yang sukar untuk aku jawap.

"U dengaq tak perut I... kruk... krak... kruk.. krak..."

Aku masih pejam mata.

Balik kerja selalunya dia sudah sedia menunggu aku. Belum sempat tanggal baju dia akan minta aku memeluknya kemas-kemas.

"Dada I rasa berdebar-debar. Kenapa?"

Aku cuma diam. Dah tak ada jawapan yang nak aku fikir dan berikan. Aku tahu tindakan kimia di dalam badannya yang tidak stabil membuatkan dia jadi begitu. Itu apa yang aku faham lewat penerangan dari pakar Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang.

Semalam aku lansung tak boleh nak buat apa-apa. Sekadar mandi, basuh kain dan sediakan makan malam. Lebih dari itu aku hanya habiskan masa duduk di sisinya. Picit-picit kaki dan tangannya yang katanya lenguh.

Jauh di sudut hatiku berbisik; jika ditakdirkan aku tiada, siapalah agaknya yang mampu menjaga ibu_suri paling tidaknya sesempurna aku?

Dan jika ditakdirkan bahawa akulah yang sakit seperti dia kini, adakah dia boleh menjaga aku sesabar aku menjaga dia?

'Tuhan! Terima kasih kerana kau berikan aku keadaan yang seperti ini. Benarlah bahawa Engkau meletakkan dugaan kepada hambaMu itu sekadar yang mampu ditanggunginya.'

Selasa, 28 September 2010

Epal

Aku ada menerima satu e-mel yang di dalamnya ada diselitkan kata-kata ini. Ingin aku kongsikan bersama kalian. Muga memberi manafaat.

' Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu. Jika anda ada satu ilmu dan saya ada satu ilmu; kemudian kita tukar ilmu tersebut. Anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu. '

Ahad, 26 September 2010

Gulai Udang Kacang Buncis

Selepas Ramahdhan aku sudah jarang makan bersama anak-anak. Terasa rindu pula dengan suasana itu. Agaknya begitu juga  perasaan mak aku di kampungku terhadap anak-anaknya yang jauh termasuk aku.

Hari ini aku bertekad untuk masak sendiri. Aku beli ikan ( maaf, tak tau la pulak namanya.. ). Harga sekilo RM12. Bila ditimbang beratnya 0.5 kilo. Boleh lah beli. Sesekali makan untuk anak isteri di rumah.

Aku beli udang dan kacang buncis. Tentunya yang ini untuk dibuat gulai lemak. Aku tidak pasti sejauhmana aku boleh buat gulai lemak  udang + kacang buncis ni. Aku pun beli perencah udang. La ni serba senang. Beli je, tak perlu giling gemiling macam mak aku dulu...

"Apa hal tu ayah.... teruknya pesiang ikan?" sambil mengintai aku yang sedang mengetuk belakang pisau dengan alu lesung.. gedegung..gedegang... Keras pulak tulang ikan ni.

"Silap ayah tak suruh pekerja kedai tu potong kecil-kecil tadi," sambil aku mengesat sisik ikan yang melekat di hidung.

"Pisau ayah tu tumpul agaknya."


"Hang tu tau makan je. Bukan nak tolong ayah yang sebatang kara kat dapur ni..." keluh aku perlahan. Takut pula terdengar oleh ibu_suri yang sedang menonton Ceplos di kerusi depan. Kecik pula hatinya nanti. Tu pun dah beberapa kali dia minta maaf kat aku kerana tak boleh nak tolong aku di dapur. Jenuh juga aku memujuk.

Akhirnya siap sudah goreng ikan dan goreng telur + maiyonis. Tapi bila tiba masa untuk buat gulai udang...

Laaaa.... macam mana boleh terbeli rempah kari nih???. Sekali lagi menepuk dahi yang berdosa apa-apa. Beria-ia tadi aku beritahu ibu_suri yang aku akan memasak gulai lemak kuning. Kut-kut  akan terbuka luas sedikit selera ibu_suri yang kebelakangan ini agak tumpul.

Mau tidak mau, gulai kari pun gulai karilah!

Pendekata, makan tengahari ini kira sedaplah juga walaupu gulai lemak jadi gulai kari. Rasanya ada sikit caca merba. Sedap lagilah daripada makan lauk tunjuk-tunjuk tu.....

Hmmm... ibu_suri?  Tidur pulak dia di dalam bilik...

Sabtu, 25 September 2010

Anak Kita

Bila aku terdengar bunyi riuh di luar rumah aku segera menjengah menerusi cermin pintu. Seorang ibu sedang melaung nama anaknya yang menyelinap di celah gelap malam, entah ke mana.

Aku teringat zaman aku membesarkan anak-anakku yang 3 orang ini. Aku pernah lalui keadaan sepertimana jiranku itu. Bagi aku membesarkan anak di dalam suasana tempat tinggal di Taman berbeza dengan kampung. Di kampung aku dulu hampir semua penduduknya adalah asal membesar di situ dengan satu budaya, satu bahasa dan kebanyakannya mempunyai pertalian saudara.

Di Taman, boleh dikatakan semua penduduknya datang dari berlainan tempat, berlainan cara hidup dan berlainan pendidikan. Maka apabila bermastautin di satu kawasan, masing-masing membawa budaya itu di sini. Maka berbagai-bagai pengaruh bercampur baur dan yang menjadi bahan eksperimennya adalah anak-anak kita.

Justeru itu jangan mengeluh atau membanding-bandingkan kehidupan kita dulu yang agak baik berbanding kehidupan anak-anak kita sekarang yang penuh dengan unsur-unsur yang kurang sihat. Bimbang, kita tidak menggunakan neraca yang adil.

Aku membahagikan tempoh usia anak kita seperti ini;

1. Usia lahir hingga Tahun 6 ( 12 tahun ) adalah usia kita berbulan madu. Apa saja yang anak kita lakukan dilihat manis belaka walaupun dia kencing dan berak di riba ayahnya.

2. Usia belasan adalah usia yang mencabar daya tabah dan minda kita. Usia ini mereka mula tiddak mahu keluar bersama kita sebaliknya lebih suka dengan kawan-kawannya yang kita sendiri tak kenal. Baju tidak lagi kita pilih sendiri sebaliknya duit kita ditagih saban hari untuk beli sendiri. Di usia ini bagi sesetangah ibu bapa adalah usia yang boleh mengalirkan airmata. Tidak nyenyak tidur malam dan hati selalu berdebar-debar.

3. Usia puluhan adalah usia di mana kita perlu berkawan dengan anak kita. Menjadikan mereka sebagai pelindung kita dan sebagai teman bicara.

Dan sikap kita mesti:

1. tabah dengah kerenah mereka

2. teguh semangat dan jangan putus asa

3. jangan maki hamun mereka sebaliknya nasihat dengan lembut menggunakan pelbagai pendekatan

4.gunakan elemen lain yang boleh membantu kita seperti kawan-kawannya, saudara mara kita atau anak-anak lain

5. hormati hak-hak mereka seperti makan pakai mereka yang sudah dewasa

6. buka sedikit ruang untuk mereka meneroka. jangan terlalu tegas dengan prinsip dan pantang kita tanpa hikmah

7. kekadang kita mengalah bukan bermakna kita kalah tetapi sebenarnya kita sedang nampak apa yang orang lain tidak nampak

8. jangan cepat melatah dengan apa saja insiden yang berlaku. tenang dan berfikir secara positif, jauh ke hadapan

9. jika terpaksa memilih antara 2 kemudaratan pilihlah satu yang kurang mudarat. Jangan di campak kesemuamya ke dalam longkang

10. jika terpaksa berdepan dengan polis atau mahkamah berdepanlah secara jujur, secara lelaki, secara manusia yang benar dan secara seorang bapa. Kalau anak kita salah akui kesalahan mereka. Rendahkan diri  meminta maaf dan menggantikan apa saja yang rugi. Percayalah, orang luar akan mengatakan kita pesimis tetapi satu hari nanti mereka jugalah yang akan mengangkat ibujari ke atas  dan  mengakui kehebatan kita yang mereka sendiri tak mampu lakukan.

11. Hargai pandangan anak dan isteri kita malah minta pandangan mereka jika kita ingin membuat sesuatu perubahan di dalam keluarga. jangan terlalu ego dengan pandangan sendiri kerana mereka mungkin tahu sesuatu ilmu yang baru lebih baik dari pengalaman lama yang kita ada. sesekali, istilah aku makan garam lebih dulu elok diketepikan.

Akhmal memang sedari  umur 7 tahun begitu menguji kesabaran, kepintaran dan kekentalan semangat ku untuk berpencak dengan tarisilatnya. Kini dia sedang meniti hujung usia belasan. Aku harap tidak lama lagi aku boleh menarik nafas lega. Dan dia akan berubah ke arah menjadi payung tempat aku berteduh.

berdiri kiri: along,angah, akhmal dan ibu_suri
lokasi: sek. tunas bakti, taiping. syawal 1430

Satu pesanku pada kalian, anak yang nakal hari ini jangan dibenci selamanya. Bukan mustahil,dialah kelak  yang akan menjadi anak yang setia menjaga hari tua kita.

Tanggungjawap ibubapa adalah menjaga mereka sedaya upaya. Allahlah yang maha mengetahui siapa mereka di hari esok.  Sedangkan nabi Noh lagikan tidak mampu mengIslamkan anak dan isteri mereka. sedangkan Nabi Muhammad tidak mampu mengIslamkan bapa saudaranya. Siapa kita?

Aku harap agar ibu itu tadi banyaaaaakkk bersabar dan teruslah didik serta doakan anaknya itu!

Selasa, 21 September 2010

Tanpa Prejudis

Sebenarnya aku jarang bermasa untuk menelusuri blog-blog cerita politik. Tapi bila kawan aku meng-emel kisah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan, aku jadi teruja untuk lebih mengikutinya. Aku memang udah maklum sebelum ini bahawa baginda dikatakan amat menghormati akan alim ulama dan kerap menjadi iman sembahyang jamaah dan amat  menyayangi masjid.



Mungkin ini berkat doa rakyat Kelantan yang inginkan sebuah Kerajaan dan Intitusi Beraja yang meletakkan Islam di atas segalanya. Berbahagialah rakyat Negeri Kelantan kerana mempunyai kepimpinan yang adil dan bersih.

Aku harap selepas ini akan ada lagi negeri-negeri yang mempunyai Raja atau Sultan yang bukan setakat berjiwa rakyat malah berjiwa Islam.

Boleh sorot berita-berita yang aku pautkan di sini untuk perkongsian bersama.

1. Allahu Akbar Ganti Daulat Tuanku

2. Apabila Tuanku Mengangkat Ulama

Aku menulis ini dari hati yang tulus tanpa prejudis terhadap politik.

p/s: harap abaikan komen negatif di bawah setiap entri pautan.