Sabtu, 20 Februari 2010

Macet

Tidak tahu untuk menulis apa. Hidup ini memang macet. Macet yang tidak tahu untuk dihuraikan. Sekian lama aku hidup dan berjalan di atas kulit bumi ini. Banyak sudah bukit dan lurah aku lalui. Panas dan sejuk menjadi gebar di sepanjang perjalanan ini. Aku akur pada kata-kata emak satu waktu dulu;

" Kita ini baik sangat.... "

Ya... Agaknya aku ini baik sangat hingga menyusahkan diri sendiri. Terlalu mahu menjaga hati orang lain hingga akhirnya memenjarakan hati sendiri.

Hidup ini memang macet. Sepertimana macetnya lebuhraya PLUS Seberang Jaya dan Jambatan Pulau Pinang saban pagi tatkala melaluinya ke lokasi kerja. Alhamdulillah, buat setakat ini aku masih mampu mengawal emosi. Masih mampu menjaga batas-batas susila walaupun banyak kekadangnya terbabas. Masih juga mengingati Tuhan ketika baring dan berjalan.

Esok entah bagaimana susur galur perjalanan. Tidak nampak apa-apa. Tiada pelan apa-apa. Ada orang bertanya; esok kau mahu jadi apa?

... mahu jadi Kiyai..

Hah! Kiyai...? Sekarang pun engkau sudah berantakan.

... kenapa? Bukan mustahil kerana Tuhan itu kan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tak perlu jadi Kiyai macam Nik Aziz. Jadi Kiyai dalam diri sendiri pun sudah cukup hebat...

Hum....

Selalunya, seusai sembahyang aku akan sujud semula dan berdoa;

" Ya Allah... Selamatkanlah aku di dalam perjalanan hidup ini. Berilah aku kesempatan untuk memperbetulkan diri, jasmani dan rohani ini.... "

I was here last 31st Jan 2010, Pantai Cendering. Looking for peacefullness...

Jumaat, 12 Februari 2010

Alimsa Walleh

Ahad 7 hb lalu aku bawa ibu_suri pergi ke Pasaraya Mydin di Penang Road. Menjelang waktu Maghrib kami singgah bersembahyang di masjid ini. Aku sendiri pun tidak pernah perasan ujudnya masjid ini di sini walaupun mungkin sudah beratus kali lalu lalang di sini.

Jalan masuk ke masjid di tanam dengan pokok khurma dan pernah berbuah.


Ini masjid Alimsa Walleh. Dia seorang pendatang yang mewakafkan tanah ini.

Menurut Tok Siak yang berniaga di hadapan masjid ini, waris Alimsa Walleh cuma tinggal 2 orang. Demi menjaga ketuanan Islam di sini maka Majlis Agama Islam ( MAIPP ) telah mengambil alih tanah wakaf ini. Disamping menaiktaraf masjid, sebuah rumah pangsa juga didirikan di tanah ini. 2 unit daripadanya diberikan kepada waris Alimsa Walleh dan selebihnya diberi sewa kepada penduduk lain.

Kagum juga melihat dan mengetahui sejarah masjid ini. Aku beritahu pada Tok Siak bahawa besar harapan agar keujudan masjid ini dipertahankan dan kualiti perkhidmatan serta kebersihannya dijaga sepertimana sekarang ini.

Aku sempat mendengar bayan yang disampaikan oleh jamaah Tabligh sementara menunggu solat Isyak.

Ibu_suri sedang mendengar keterangan dari Tok Siak.

Kuburan waris Alimsa Walleh. Kubur yang bersimen keseluruhan itu dikatakan kubur Alimsa Walleh

Muazzin sedang mengazankan waktu Isyak

p/s: maaf kiranya ada diantara fakta di atas yang tidak tepat. Boleh diperbetulkan.

Selasa, 9 Februari 2010

Hidup Tak Pernah Diam

Memang sukar menjaga hati sesaorang. Apatah lagi hati seorang separa normal seperti ibu_suri. Setiap perkataan yang keluar dari mulut perlu di fikir terlebih dahulu. Kepentingan diri kekadang terpaksa dikesampingkan semata-mata kerana mahu melihat dia tidak emosional. Kalau dia emosional bukan sahaja aku malah orang lain juga akan bermasaalah.

Hari ini aku bawa ibu_suri menjalani rawatan susulan di Unit Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang. ibu_suri mendapat no giliran yang ke 107. Aku diberitahu bahawa hari ini ada 150 orang pesakit menunggu untuk dirawat. Itu tak termasuk yang datang tanpa temujanji terlebih dahulu.


" Ramai yang sakit jiwa sekarang ni, ya! " keluhku kepada jururawat di kaunter. " Agaknya kerana stress. "

Ada yang aku lihat rupa paras bukan main cantik dan seksi. Tapi hampa pula bila melihat namanya dipanggil untuk memasuki bilik rawatan. Beginilah kehidupan...

Di dalam bilik yang kecil sesaiz dengan bilik tidurku itu ada empat meja dengan 3 doktor pakar wanita dan satu doktor pakar lelaki. Antara 4 doktor itu 2 doktor Melayu, satu dokor Kristian bernama Priscillia ( yang merawat ibu_suri ) dan seorang doktor Cina. 2 orang pembantu doktor lelaki yang begitu sabar dan tenang mengurus keluar masuk pesakit.

Hadir ke sini memang terpaksa berhabis masa dengan menunggu. Aku amat bimbang jika ibu_suri tidak dapat menerima hakikat kehadirannya di situ. Dia selalu bertanya kepada aku sampai bila dia perlu ulang datang ke situ. Dia merasakan dirinya sudah ok, kenapa masih perlu?

Jadi, aku nak beri jawapan yang bagaimana di saat ramai orang di sekeliling tika itu. Silap jawapan, dia akan mengeluarkan kata-kata yang mungkin tidak enak di dengar.

Kebetulan pula sambil menunggu itu berita tentang keputusan mahkamah mengenai kesahihan Menteri Besar Perak disiarkan melalui berita TV3 yang tergantung di dinding hospital.

" Itu bukan Zambry ke? Macam mana keputusannya? Sapa menang? "

Huh, nak aku jawap macam mana kalau dia asyik pok ..pek.. pada aku yang Nizar adalah MB yang sah sedari semalam. Dalam fikiran ada 2 isu yang selalu berlegar; politik dan tadika.

Jagalah kesihatan diri kita, ya! Teringat pesan adikku yang bekerja di PharmaNiaga, Shah Alam;

" Yop... Minum Teh baik untuk mengurangkan stress. Buat senaman selalu dan banyakkan berzikir kepada Allah! "

Muga Allah kuatkan semangatku dan semangat kalian untuk mendepani hidup yang tidak pernah diam!

Isnin, 8 Februari 2010

Rindu

Kasih
kemanakah kau pergi
aku kesunyian menahan rindu
cucuran airmata tak tertahankan
merindui elusan bujukanmu.

Rindu
entah kapan akan bertemu
cahayaMu yang bening
umpama kandil di malam gelap
perlunya aku untuk menerangi perjalanan.

Emak
adakah kau tahu teriak tangis hati ini
sejak bertahun lalu aku sendirian meneruskan perjalanan ini
tiada teman bicara
tiada sutera mengesat luka.

Tuhan
bilakah doaku akan kau perkenan
untuk melihat cahaya matahari di hujung jalan
untuk merasai hembusan bayu menampar pipi.
apakah dosaku tidak terampun kan lagi?

Sepi mengigit hati

Seperti tidak layak aku bergelar lelaki!


renesas, bayan lepas.
8 feb 2010

Rabu, 3 Februari 2010

Sesejuk Negeri Tok Guru

Lama tidak kemaskini. Bukan tidak mahu tapi tidak ada hati untuk menulis.

Aku baru balik dari melancong ke Kuala Trengganu pada Jumaat hingga Ahad lepas. Hari Isnin, singgah di Kota Bharu sekejap; di Pasar Siti Khadijah.

Sempatlah mendengar kuliah Tok Guru yang di pasang melalui corong pembesar suara. Mungkin dari rakaman pita. Walaubagaimanapun, sejuk hatiku bila berada di negeri Tok Guru ini. Mula-mula tiba sahaja di sempadan sudah kelihatan papan tanda besar memaparkan seorang ibu mengajar anaknya membaca Al Quran.


InsyaAllah, aku akan cuba menulis serba sedikit pengalaman berada di dua ibu negeri ini. Hajat hati hendak singgah di Masjid Rusila, Marang tidak kesampaian kerana ibu_suri lebih berminat untuk melihat kraftangan dari melayani keinginanku.

Tahun lepas semasa di Kota Bharu aku sempat melihat papan tanda besar pengacara MELODI, Farah yang memakai tudung sambil meminum secawan Nescafe. Tapi kunjunganku kali ini tidak nampak lagi papan tanda itu sebaliknya yang banyak ialah banting tentang Solat Hajat menuntut royalti minyak. Di celah-celah banting itu ada pula banner yang berbunyi;

" Wang Ehsan untuk rakyat, Royalti untuk PAS. "

Entah bilalah negeriku akan sesejuk negeri Tok Guru...