Sabtu, 19 Jun 2010

Pahala Mudah

Beberapa malam lepas aku sempat menonton satu forum agama di tv tatkala menemani ibu_suri makan di Restoran Abang E Capati, Kulim. Seorang ahli panel wanita memberi 3 tatapan mudah untuk mendapat pahala.

Satunya ialah kerap menatap Al Quran. Al Quran adalah qalam Allah hatta menatap ia disetiap ketika akan dapat menimbulkan ketenangan apatah lagi jika membaca dan memahami maksudnya.

Kedua ialah menatap Kaabah. Walaupun mustahil untuk kita yang jauh ini menatap wajah Kaabah selalu, menatap gambarnya sahaja pun memadai. Ini akan dapat menyuburkan cita-cita untuk berusaha ke sana satu hari kelak.

Ketiga ialah menatap wajah ibu. Ibu adalah insan yang ketiga selepas Allah dan Rasul yang wajib kita taat dan menyayanginya.

Aku tiba-tiba teringat emak di kampung. Jika ibu_suri hanya mengalami serangan ahmar di saraf kepala, emak pula mengalami serangan ahmar hingga lumpuh sebelah kiri tubuh. Tetapi emak mempunyai hati yang cekal serta jiwa yang kental. Emak tidak mudah mengeluh malah semakin kuat beribadah.


"Kita balik kampung hujung minggu ni ya? Lama dah abang tak tengok mak!"

Wajah aku direnung tepat oleh ibu_suri tanpa ada sebarang riak positif atau negatif. Dalam hati berfikir bahawa alangkah ruginya kalau aku tidak mengambil kesempatan yang masih ada ini untuk menatap dan bercakap dengan mak sepuas-puasnya sebelum' janji' salah satu antara kami tiba!

Khamis, 17 Jun 2010

Ayo Dalam Mangkuk

Tergopoh-gapah aku menalipon Kak Oyah dan Kak Ina, kakak ipar yang aku kira ada juga ambil berat soal kesihatan ibu_suri. Sejak beberapa hari ini ibu_suri asyik menangis dan bertanya bila nak bawa dia berubat. Dia hendak segera sembuh seperti dulu, katanya.

Teringat juga seorang kawan baikku yang berniaga di pasar malam sekitar Seberang Perai ini. Tentu dia tahu dimana bomoh yang boleh mengubati sakit ibu_suri ini, fikirku.

"Nanti awak tanya. Ada juga sorang tu kabonya dia pandai berubat. Berubat dari jauh pun boleh."

Sejuk juga hati ini menerima tawarannya hendak menolong.

"Dia kata, kamu ambik ayo bubuh dalam mangkuk. Kamu letak di dapur. Letak di tempat elok le ye... jangan letak dekat bilik ayo pulak, keh..keh..keh..Nanti kalau dah siap kamu talipon awak balik, ye.."

Aku pun berbuat bagai yang diarah. Kurang selesa juga rasanya membuat kerja-kerja begini.


"Tok bomoh tu kata dia dah baca dah apa yang patut. Ayo dalam mangkuk tu nanti kamu suruh ibu_suri lap ke muka dan tapak tangan. Selebihnya suruh dia minum."

Lalu, lepas solat Mahgrib, aku mengarahkan ibu_suri perbuat apa yang disuruh. Lap muka, basuh tangan dan minum.

"I boleh baik ke nanti?" Soal ibu_suri. Susah aku nak menjawap hingga membuat aku menarik nafas panjang.

"Kalau Tuhan izinkan, insyaAllah, baik. Jika tak baik juga kita usaha lain le.."

Memeluk aku akan ibu_suri sambil bercucuran airmata. Aku menggosok-gosok belakangnya sambil berkata;

"Sabarlah... Tidak ada yang lebih hebat dari perkataan SABAR!"

Sebenarnya perkataan itu juga adalah untuk aku dan mereka-mereka yang bernasib seperti aku!

( Ini pengubatan ibu_suri yang pertama yang aku akan ceritakan. Entri lain aku akan ceritakan pengubatan seterusnya.. )

Rabu, 16 Jun 2010

Sejuk Hatiku

Nampaknya aku terpaksa kembali juga menggunakan template asal kerana template baru yang aku guna untuk blog aku sebelum ini terlalu lambat untuk dimuaturunkan ke skrin. Ini pasti akan menyukarkan aku dan rakan bloggersku untuk menatapnya.

Maaflah kerana tulisan aku ini asyik-asyik berkisar tentang kisah ibu_suri. Aku tahu ada di antara kalian yang mencebik bibir. Namun aku percaya masih ada juga yang tetap setia mengikuti perjalanan kehidupanku yang agak stereotype ini.

Pun, ibu_suri sejak 2-3 hari ini sudah mula lalu makan. Sakit gusinya beransur baik. Cumanya, teriak tangis dan mahunya aku selalu di sisinya itu masih membimbangkan.

Aku terpaksa mengambil cuti yang kerap kerana perlu bersamanya. Saudara-mara mula datang ziarah dan ada yang menawar diri untuk membawa ibu_suri berubat cara kampung. Sejuk sedikit rasa hatiku ini menerima kehadiran mereka. Walaupun aku sedikit cuak dengan istilah berubat cara kampung ini namun logik pemikiranku pun mengatakan bahawa mungkin ini juga satu cara diantara ribuan cara pengubatan yang Allah sediakan kepada makhluknya di atas muka bumi ini.

InsyaAllah, aku akan terus menulis berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang apa sahaja yang aku akan alami ini.

Besar kemungkinan aku akan rujuk semula ibu_suri ke unit Psikiatrik disamping akan mencuba perubatan Darul Syifa'.

Doaka yang terbaik buat kami berdua, amin!

Ahad, 13 Jun 2010

Bukan Kerana Jus Mate 5

Menarik juga kemaskini terbaru di dalam template Blogspot ini. Walaupun kesihatan ibu_suri masih tidak berubah, aku masih sempat mencuri-curi mencuba rekabentuk baru template blog aku ini walaupun dengan terburu-buru. Aku menggunakan mini laptop yang Along dapat pabila dia mendaftar Streamyx pakej 50 menggunakan kelayakan sebagai pelajar U. Tidak puas pula sebab skrinnya kecil.

Keadaan ibu_suri membimbangkan. Badannya menjadi lemah dan asyik berbaring. Berat badannya menurun 2 kg dalam masa seminggu. Aku pasti bukan kerana JUS Mate 5 yang dia makan sejak sebulan ini. Akan tetapi kerana ketumpulan selera makannya yang ketara. Semalam dia cuma makan separuh pinggan bihun goreng. Moi sup yang aku beli tidak disentuh.

InsyaAllah, aku cuba melakukan sebaik-baiknya untuk dia yang telah bersamaku selama lebih 24 tahun. Kekadang menyelinap fikiran dan telahan yang bukan-bukan. Malah sesekali mimpi yang bukan-bukan.

Sekejap lagi aku akan membawanya ziarah Akhmal di STB. Ini kali pertama Akhmal menemui ibu_suri dalam keadaan yang murung. Along akan pergi bersama dengan harapan suasana pertemuan akan lebih baru berbanding sebelum ini yang hanya kami berdua sahaja yang datang hingga kekadang tidak tahu apa yang hendak dipersembangkan.

Malam tadi semasa membawa Along ke Permata Hijrah di Carrefour untuk rawatan hidung, ibu_suri juga tidak boleh bertahan lama di sana lantas menggesa aku menghantarnya balik. Dan sebaik sahaja selesai makan ubat, dia terus tidur.


Jumaat, 11 Jun 2010

Kasih Erat Pabila Dalam Kesakitan

Sesampai sahaja di rumah aku akan terus mendapatkan ibu_suri. Seperti biasa dia akan duduk di kerusi depan tv di sebalik samar Maghrib. Mukanya sebek.

"Kenapa U lambat balik?"

"Tadi ziarah kawan di Hospital Pantai. Dia kena Denggi. Kenapa tak pasang lampu?"

"Tak mau. U dah cari sapa-sapa ke untuk ubat I?"

"Hmmm... tengah tanya kawan-kawan. Sabarlah... Nak makan? Ni abang beli pizza kat Pasar Tani tadi."

Ibu_suri memejam mata. Aku sentuh kakinya. Hangat. Aku sentuh tengkuknya. Tidak ada tanda-tanda demam.

Sudah sebulan ibu_suri mengadu sakit gigi. Dan sudah 3 klinik gigi aku rujukkan dia. Klinik gigi Seberang Jaya. Dia tak puas hati. Pergi pula Bhar Dental. Juga tak puas hati. Akhir pergi ke klinik gigi Ameen. Duit mengalir bagai air sungai lepas hujan.

"Gigi dia ok. Dia ada masalah gusi ni. Kena selalu kumur dengan air garam," beritahu doktor Ameen yang aku kira lebih berumur dari aku.

"Kenapa kumur dengan air garam?" sengaja aku ingin tahu.

"Memang. Kumur dengan air garam baik untuk gusi. Tok-tok kita dulu pun amalkan cara begini untuk jaga gigi."

Menjaga ibu_suri mutakhir ini memang membimbangkan. Lebih-lebih lagi sejak dia balik dari menghadiri pengkebumian bapa saudaranya di Bidor seminggu lalu. Aku pun terlupa lantaran membawanya terus ke kubur tanpa mengambil kira badannya yang 'lemah'. Sejak itu karektornya berubah 180°. Dari agresif kepada murung. Dari selalu bercerita hendak buka tadika, hendak berjumpa dengan ADUN Penanti kepada banyak mendiam diri. Huh, begitu susah. Begini pun susah hati juga aku ini.

Dia semakin kurang makan. Bila di restoran, bertanyakan makan apa yang dia mahu, jawapan yang dia beri amat lambat. Aku pula yang terpaksa memberikan cadangan pilihan.

Badannya tampak lemah. Bila berjalan aku perlu pimpin ibu_suri. Bila memasuki kereta aku perlu bukakan pintu. Setiap masa aku akan bersama dia. Malah kekadang aku tertidur bila menemaninya di katil terlalu lama.

Sudah beberapa malam aku bersembahyang Tahajjud. Memohon pada Allah agar dipelihara akan ibu_suri.

Tatkala tidur malam, ibu_suri akan memegang tanganku erat. Terasa tangannya bergetar.

"I takut!"

"Takut apa?"

"Tak tau. I sunyi. Kekadang I risau."

"Risau apa?"

"Tak tau." Lalu menghamburkan air matanya yang begitu murah. Ini yang aku tak boleh tahan ni.

Aku cuba menalipon kakak-kakaknya memberitahu keadaan ibu_suri. Respon mereka agak tidak menggalakkan. Terasa pula kesal. Dalam hidup ini, fikirku, apa sahaja permasaalahan, paling baik biarlah sendiri yang menguruskannya. Jangan mengharapkan belas orang. Orang lain pun mempunyai masalah mereka tersendiri. Begitu sesekali aku beranggapan. Malah kekadang keprihatinan dari sahabat lebih hangat daripada keprihatinan adik beradik sendiri.

Namun walaupun kekadang aku rasa tertekan, rasa lemah dan rasa ketepuan pemikiran, aku akan melemparkan senyuman dan kata-kata semangat pada ibu_suri. Aku buatkan dia seperti tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

"Kita kena positif hadapi hidup ini. Syukurlah sebab U ada abang yang masih sihat untuk jaga U. Jangan lupa berdoalah banyak-banyak pada Tuhan. Tuhan Maha Kaya."

Ya... Sesuatu yang baru aku perasan bila ibu_suri berkeadaan begini ialah aku selalu bersolat jamaah dengan dia hatta solat subuh sekalipun. Aku selalu balik awal untuk melihatnya. Dan segala yang aku perbuat, belikan dan doakan adalah dengan segala ketulusan dan keikhlasan.

Aku bimbang dengan perkembangan terkini ibu_suri. Masa inilah aku teringat kawan-kawannya dulu yang sama-sama berjuang dalam NGO dan kepartian. Aku sengaja menghantar e-mail sekadar mahu melihat sejauhmana respon mereka. Entah! Aku tidak dapat merasakan balasan kehangatan ketahap yang aku harapkan. Mungkin puncanya dari kesilapan aku atau ibu_suri juga adanya.

Bila sesekali aku merenung ibu_suri yang sejak akhir-akhir ini juga hela nafasnya agak kasar, seperti benar kata sesetengah orang;

Kasih sayang kita kepada orang yang kita sayangi akan semakin erat pabila dia di dalam kesakitan!