Isnin, 9 Mei 2011

Marah

Aku balik kampung semalam. Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, Perak – tempat aku membesar dengan polis sentri, kondang-kondi, galah panjang, aci nyorok, masak-masak, baling selipar, pangkah gasing, batu seremban, tepuk gambar, biji getah, dam apit, dam aji, guli susu, ikan spilai, ikan guppy dan getah bulat.

Juga tempat aku jual botol untuk belanja sekolah, toreh getah, mendulang bijih, cari pucuk paku, pucuk ubi, timba air dari telaga, mandi sungai Kak Sitah, naik rakit batang pisang ketika bajir, rakit buluh, lemas kerana tak tahu berenang, berkelah dan mandi sungai di bulan Safar, berarak maulud dan bermarhaban.

Tak ketinggalan juga tempat aku mencari setem di tong sapah hospital, curi kacang tanah di kebun Cina tepi landasan keretapi, baling botol kaca di tiang talipon, baling gerabak penumpang keretapi dengan ketul tanah, panjat gunung Mat Sirat, pecah pot getah di kebun Kak Naha dan paling aku tak boleh lupa curi duit syiling dari poket seluar kerja abah.

Aku sempat lihat kereta Hillman, Moris Minor, Mini Cooper dan Volkswagen menjalar di jalanraya, menonotn wayang pacak dengan drama muhibbah Atap Genting Atap Rumbia, turut edar air minuman untuk kempen pilihararaya UMNO, ikut rombongan belia 4B melawat Kampong Ulu Chemor, beli tikam dengan belanja duit sekolah, beli air lamonate dengan beberapa keeping syiling 1 sen, menyambut kedatangan Tun Abdul Razak di lapangan terbang dengan memakai seragam sekolah sambil mengibar bendera Malaysia, menonton perlawanan tinju Muhammad Ali vs Joe Bugner di dewan sekolah, menghantar karya ke Radio Ipoh, majallah Bujal dan Utusan Pelajar serta menghabiskan duit raya di kedai game dekat panggung Cathay dan tonton filem Kati Patang dengan mak saudara.

Aku masih tak lupa akan jam abah jenama Titus dan Titoni. Tak pernah miss menonton cerita hitam putih walaupun tv di rumah jiran seperti Mannix, Voyage To The Bottom Of The Sea, Land Of The Giant, Lost Of the Island, Star Strek, High Chapparal, Flint Stone,  CHIPs, Potret Pekerti, The Man From UNCLE dan Planet Of The Apes.

Namun semalam di kampung, aku lebih banyak tidur dari melayani ibu_suri. Entah kenapa badan aku rasa tak selesa dan mengantuk. Hinggakan aku perasan ibu_suri marah bila beberapa kali mak aku mengajak;

Hidup ini samada YA atau
TIDAK sahaja.
“Makan le. Nasi banyak lagi.”

Dan lagi;

“IM, makan le sebelum balik ni. Lauk banyak lagi tu”

Aku jamah juga makanan walaupun tak terasa lapar. Aku duduk di sisi ibu_suri dan umpan marahnya dengan menyuap nasi tapi ibu_suri masih berkata;

“Tak mau!” …. serius.

Aku tahu, dia marah. Aku cepat-cepat mandi dan kemas beg. Janji aku untuk kerumah adik beradik dan saudara untuk mengedar kad kenduri kahwin Angah perlu disegerakan.

Dalam kereta, ibu_suri lebih banyak diam. Aku perasan sehari-dua ini aku sedikit lalai dalam memberinya makan ubat mengikut jadual. Dan beberapa kali kemahuannya aku bantah. Semacam ada kejemuan dan rasa tidak bebas di dalam diri.

Entahlah, kekadang aku ini pun satu juga. Mana boleh ada perkataan malas dalam kamus hidup. Hidup mesti sentiasa komited dan sabar! Uuuuuuu…..

Sabtu, 7 Mei 2011

Selamat Hari Ibu, Mak!

Aku perasan, Hari Ibu disambut lebih meriah berbanding Hari Bapa. Dan aku pun tak kisah kalau keluargaku tidak menyambut Hari Bapa sepertimana mereka menyambut Hari Ibu dengan membelikan kek seperti sebelum ini.

Selalunya bila aku berjumpa atau menalipon mak, aku akan cium tangan mak dan dakap susuk tubuhnya yang semakin kering. Mak seperti selalu akan bertanya; 

Mak ketika masih kuat selalu ambil tempahan jahit baju dan buat kuih tradisional
"Ape kabo kamu?"

Dan jawapan aku pun standard je. Baik masa tengah hujung bulan, baik tengah serabut dengan odit, baik tengan tension dengan hal-hal keluarga maupun ketika sakit yang orang luar tidak nampak; aku akan jawap; 

"Baik khabar, mak?"

Bagi aku mak adalah orang paling akhir untuk aku mengadu susah. Mak adalah orang terakhir untuk aku melampias keluh kesah. Cukuplah untuk aku membebankan perasaan mak sebelum ini. Mak sudah cukup tua untuk memikirkan puah-paih kehidupan anak-anaknya. Berilah peluang untuk mak berihat. Perjalanan meniti hari-hari tuanya ke satu takdir yang cuma Allah yang mengetahui sudah cukup mendebarkan buat mak. Sepatutnya kitalah yang kini selalu memberi khabar gembira kepadanya. Melontarkan kata-kata yang lembut dan baik ke telinganya. Bertanya khabar dan kesihatannya selalu. Dan melemparkan senyuman manis dan ketawa yang hormat kepadanya.

Berilah mak kita peluang untuk menghirup udara yang bersih dan persekitaran yang kondusif. Sesungguhnya sudah puluhan tahun mak bergelumang dengan jerih perih menungkah badai kehidupan. Letih dan lelah mak jelas terlihat di kulit dan gigi mak.

Mak yang tetap akan datang meraikan apa saja majlis kelolaan anak-anaknya walau dimana pun diadakan sekalipun dengan kepayahan berkerusi roda.

Cukuplah setakat itu buat mak. Biarlah hari ini kita berdikari mengharungi erti hidup ini. Ucaplah Selamat Hari Ibu buat mak. Walaupun sekadar ucapan, aku pasti mak sudah pasti gembira seperti juga aku gembira bilamana melihat ibu_suri dan anak-anak ketawa.

Apa-apapun, esok aku akan balik kampung jumpa mak. Secara kebetulan lansung nak pulangkan semula bekas hantaran kepada adik sekaligus mengedarkan kad jemputan kahwin Angah.

Aku cuma ada mak sahaja. Abah sudah tiada. Masa yang tinggal sedikit ini aku akan guna sebaiknya untuk mak. Aku tidak mahu lagi berasa sesal sepertimana kelalaian aku selalu menziarahi abah di kala aku tengah kalut-malut berdepan dengan ketidakbiasaanku berhadapan dengan kondisi ibu_suri yang mengalami bipolar dis-order akibat angin ahmar! Terkesan aku dengan tulisan blogger SUDAIS bila melawatinya di sini tadi.

Khamis, 5 Mei 2011

Alahai Anak Ayah!

Sekitar Majlis akad nikah (khutbah) Angah di Masjid Permatang Batu; jam 10.30 pagi; Ahad 1 Mei 2011.

Rohayu a.k.a Ayu
Cincin Hantaran
Akad
Ahmad Firdaus a.k.a Angah
Isteri Adalah Amanah Allah
Mestikah Dibatalkan Air Sembahyang?
Harap Senyuman Ini Berkekalan

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Bila dah dapat teman baru,
Ibu dan Ayah dilupa jangan..

Selasa, 3 Mei 2011

Danisa Cookies

Tatkala menghantar Along ke steyen keretapi Bukit Mertajam, aku tak habis-habis merungut dengan keadaan jalan yang berlubang-lubang di hadapan stesyen.

"Buta ke mata pengurusan KTM? Jalan lain diturap walaupun ada antaranya aku rasa masih elok tapi jalan ini dah bertahun-tahun rosaknya tak diperbaiki. Segugus masa dulu bila masuk parking ni kena bayar. Kemana pergi duit itu?"

Dan bila memandu balik ke rumah pula ibu_suri seakan mahu menangis pula. 

"I rasa sunyi la bang. Along dah balik ke KL. Angah pula tidur di rumah mertuanya."

Ya... Aku baru perasan. Hakikat sebenarnya, rumah kami sudah kurang satu penghuni. Dan Along pula dari gerakrasa aku mengatakan bahawa dia lebih berminat untuk kerja dan menetap di KL. Bermakna yang tinggal di rumah kini hanya kami berdua dengan Akhmal. Tiba-tiba terasa sedikit gentar untuk berdepan dengan realiti ini. Realiti tinggal sendirian di rumah yang dulunya terasa kecil kini terasa lapang namun 'kosong'. 

Aku dulu memang bercita-cita punyai anak seramai mungkin tetapi rezeki tidak ada, terima sahaja kudratNya. Pun, Tuhan itu Maha Mengetahui. Mungkin sedikit anak itu lebih baik dari ramai tetapi jauh akhlaknya.

Tiba di rumah jam 12, perut terasa lapar. Sambil BW ke blog-blog di sisipan IM, aku minum AliTea kegemaranku sambil mengunyah Cookies Danisa  yang tiba-tiba memikat citarasaku. Tin cookies ini adalah antara 17 hantaran balas pihak Ayu (isteri Angah) semalam. Sebaik saja aku terpandang, aku sorok siap-siap ke dalam almari. Cookies ini mengingatkan aku di zaman semasa kecil. Jenama ini masih bertahan hingga kini.

Isnin, 2 Mei 2011

Khutbah

Tatkala mak sampai dari kampung bersama kerusi roda, soalan pertama yang  mak tanya ialah, macamana persiapan kamu? Agaknya sebab mak tak nampak aku seperti orang sibuk. Rumah pula tenang dan kemas.

Ok mak, jawapku. Tunggu adik beradik datang je. Jam 9 kita bertolak. Kalau lambat nanti kita kena berlari le...,jawapku yang sebenarnya sedang menyembunyikan semuanya.

Untung aku kerana banyak timba pengalaman ketika menjadi penyelia di tempat kerja satu masa dulu dan menjadi pengarah program semasa giat dengan NGO. Semua tugasan saya delegate kat adik beradik, tegasku lagi pada mak.

Memang aku tak mampu nak buat semua. Titik bengik buat bunga telur, buat hantaran, buat sireh junjung, buat gubahan mas kahwin..huuu..bukan bidang aku. Ianya adalah tugasan perempuan yang bergelar isteri. Namun...

Hantaran asas suruh adikku, Niza yang buat. Dia recycle bekas hantaran tunangan adikku beberapa bulan lalu. Adikku yang di Kulim aku minta buatkan kuih bangkit dan pulut kuning. Kakak ipar yang dekat dengan rumah aku minta buatkan nasi lemak untuk sarapan pagi, bunga  peha 25 kuntum, sireh junjung dan gubahan duit mas kahwin. Kakak ipar yang di Bertam aku minta buatkan gubahan bekas buah, coklat, buku dan bunga rampai. Mak pula bawa hantaran bahulu ikan. Comel dan menjadi perhatian utama pula..

Aku cuma pecah peluh mengemas rumah. Dari hujung pagar luar hingga ke hujung pintu dapur dan bilik air. Memastikan ibu_suri memakan ubat dan juga memastikan semua yang datang punya cukup kemudahan dan makanan. Yang duduk di kerusi sambil memarahi cucu menakan yang tak boleh duduk diam walau 15 saat ialah ibu_suri. Sesekali tersunggin senyuman, sesekali ketawa keanak-anakan. Sesekali juga mengaduh kerana belikatnya yang sakit sejak akhir-akhir ini. Doktor beberapa kali menegur aku kerana tidak menjaga makan dan senaman ibu_suri sebaiknya. Lemak-lemak yang ada di bawah kulit awak telah menekan otot-otot dan urat darah awak. Tu yang menyebabkan awak badan awak sakit, tegas doktor Klinik Utama, Bukit Mertajam yang masih muda.

Foto Hiasan
Agaknya, selain Angah yang dikhutbahkan Masjid Permatang Batu, akulah orangnya yang paling gusar. Bimbang takut-takut dia jem. Soalan dan tazkiran dari Kadi tu boleh tahan juga. Ketawa sekalian hadirin bila Kadi bertanya, apa tujuan kamu kahwin? dan Angah menjawap, untuk dapatkan zuriat. Aku cuma mengetap bibir. Aku tahu khutbah Kadi itu bukan saja halanya kepada pengantin semata tetapi juga kepada rombongan yang hadir!

Apa-apapun, syukur. Dan bermula hari ini, aku sudah tiada apa-apa hak terhadap Angah kecuali menasihat dan memerhati. Tanggungjawap utama Angah adalah membina keluarganya dan aku tidak mahu menjadi unsur ke3 di dalam rumah tangganya.