Sabtu, 9 Jun 2012

Nak Balik Kampung Jumpa Mak!

Aku harap Ahad ini aku berjaya balik untuk melihat mak. Dah lama aku tak balik. Lebih-lebih lagi bila sibuk menguruskan Akhmal. Lebih-lebih lagi bila setiap kali aku ajukan harapan nak balik, ibu_suri kata...tak mau!

Aku nak balik tengok mak aje. Kemudian nak ziarah pusara abah. Aku nak balik secara santai, tak mahu ribu-ribut. Sekalipun balik untuk beberapa jam saja, dah cukup. Tak boleh lama-lama pun demi maslahat hubungan kekeluargaan.

Aku nak pinjam kereta Viva Angah. Angah kata...ok. Aku tak peduli samada duit cukup atau tidak. Aku percaya, jika niatku ikhlas untuk balik melihat wajah mak mesti Tuhan restui perjalanan pergi balikku. Dan Tuhan bantu aku di masa-masa ke hadapan.

Rumahku sekitar 1986
Aku dah lama tak jumpa mak di kampung walaupun mak pernah ziarah aku di rumah ini. Kekadang rasa seperti kacang pula. Nauzubillah!

Kalau sempat, aku nak singgah di Restoran Tasik Raban, di belakang Stadium Hoki Sultan Azlan Shah. Aku nak ajak Akhmal dan ibu_suri makan masakan kampung yang ada di situ.

Walaupun aku bimbang kut-kut la di sepanjang perjalanan pergi dan balik kampung nanti Akhmal dan ibu_suri akan 'bergaduh' dalam kereta, aku pasrah saja kerana aku balik ini dengan niat baik...jumpa mak. Akan sabar saja dengan kerenah mereka yang kekadang macam bebudak bawah umur.

Kerana aku percaya, bila menatap wajah mak, Tuhan akan beri rahmat kepada aku. Dan muga-muga apa yang berserabut di benakku ini akan terurai bila menatap wajah mak yang semakin kurus, semakin uzur dan semakin sunyi itu.

Tak perlu mengadu apa-apa kat mak. Cuma duduk diam dan dengar saja apa-apa saja yang mak nak kata. Walaupun sebenarnya aku teringin nak makan cucur kodok atau bihun masakan mak, aku akan pendamkan saja sebab aku tahu mak dah tak mampu nak berbuat begitu lagi.

 Uuuuu.... apalah yang aku merepek di subuh sepi'e nih!


Selasa, 5 Jun 2012

Tertidur Di Kerusi


Memang letih dan bosan menunggu yang kekadang berjam-jam. Tapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuh. Selalu dia mengeluh.... 

"Ayah, lambat lagi ke. Lenguh kaki Akhmal ni!"

"Sabar aje la Akhmal. Nak buat macam mana. Bukan kita aje yang sakit."

Dia cuma letih dan bosan menunggu tetapi masih ada tempat untuk mengadu. Tetapi aku? Sendirian saja merenung bimbang dan menyerap rasa keresahan.

'Kalau dah tau letih, bosan dan sakit begini, lain kali naik lah motor tu laju-laju lagi, ya!' begitu bentak hatiku tapi tak terlontar ke telinga Akhmal. Tak tergamak.

Pendekata, hospital dan klinik seperti sudah menjadi sebahagian dari skrip kehidupanku sejak ibu_suri di hinggap mood disorder dan kini Akhmal yang perlu menerima rawatan orthopedik!

Tapi bila sesekali fikir, barangkali Tuhan tahu bahawa inilah tazkirah yang paling baik buat aku. Kalaulah aku dikelilingi dengan kemewahan kemungkinan besar aku akan lupa daratan.

Dek terlalu lama menunggu kekadang sempat aku tertidur di kerusi!

Isnin, 4 Jun 2012

Bahrulmazi

Tahu Bahrul Mazi? Aku pun hanya biasa dengar sejak mengikuti ceramah Ustaz Shamsuri satu ketika dulu. Dengar saja, tak pernah baca apatah lagi memiliki kitab itu.

Aku agak dari situlah ilham sipemilik ini menamakan bangunannya. Tentu sekali tuanpunya bangunan ini seorang yang hebat. 


Aku terserempak ketika balik dari kedai TM bersebelahan Restoran Kapitan, Bandar Perda. Wisma Bahrulmazi ini terletak di seberang jalan. Yang lebih menarik perhatianku ialah kata-kata yang tertulis di bawah papantanda;

"Kucari damai di Baitullah."

Sekali imbas macam sajak ciptaan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa dia membawa konsep Islam Hadari di zamannya sebagai PM.

Sekarang ini aku semakin kerap melihat orang-orang Islam mampu menyewa bangunan besar seperti ini untuk perniagaan. Dan tak ketinggalan sesetengahnya membeli bangunan seluruh tingkat seperti Wisma Bahrulmazi ini. 

Di Pekan Penanti tak jauh dari rumahku juga begitu. Tak kiralah samada dia itu Melayu, Mamak atau Benggali Karpet asalkan Islam, aku tumpang berbangga!

Ahad, 3 Jun 2012

Dhuha

Selepas hantar Wira untuk servis, aku ke pekan Bukit Mertajam. Terasa ingin rileks sekejap sambil makan roti canai dan minum Radik di Restoran Nasi Kandar Popular. Dekat situ ada kedai cuci kereta. Boleh lah sesambil itu hantar kereta untuk cuci luar, dalam dan enjin.

Seperti kereta, hidup ini juga kena selalu di servis. Paling mustahak di servis ialah jiwa nurani. Jika jiwa kita kuat, insyaAllah jasad juga akan kuat. Jika jiwa kita pengecut, badan besar mana pun; tenaga segagah mana pun; duit setinggi gunung pun akan terjun bangunan juga jika jiwa terlalu tertekan.

Aku mutakhir ini kerap melakukan solat Dhuha. Aku percaya solat Dhuha mampu memberi ketenangan hati dan jiwa yang akhirnya akan dapat membina cara fikir yang baik dan tahan lasak. Solat Dhuha juga akan mampu mengubah cara hidup dan melapangkan rezeki dan lorong kehidupan.

ihsan dari facebooker  Rusli Hashim
Cumanya mutakhir ini pula aku jarang pergi riadah di tasik Mengkuang seperti selalu. Yalah... sejak kena hantar Akhmal ke klinik untuk dressing; masa santai aku menjadi pendek. Alhamdulillah, luka di kaki Akhmal semakin baik. Cuma tulang jarinya yang patah masih belum menampakkan perkembangan positif.

Kata Dr Hafiz Abdul Mayar di Kinik Ortho, Hospital Seberang Jaya; " Orang muda biasanya cepat sembuh luka mereka. Tapi lebih cepat sembuh jika tidak merokok. Awak merokok?"

Akhmal tersengih.

"Tulang yang patah memang lambat bercantum. Paling awal 6 bulan. Ada yang bertahun-tahun..."

Fuhh....!

Jumaat, 1 Jun 2012

Sebagai Lone Ranger

Dah sebulan Akhmal terdampar di rumah, tidak boleh berjalan kemana-mana melainkan ke klinik setiap pagi atau malam untuk dressing. Aku perasan, boringnya itu sudah mencecah tahap gaban.

Tapi ibu_suri lagi lama. Lebih 4 tahun sejak November 2007. Terperuk di rumah; tidak lagi aktif mengajar di tadika, aktiviti NGO bernama JIM dan dalam wadah politik semasa.

Tapi tentunya yang lebih hebat adalah aku yang terpaksa menjaga dan mengurus kesemua mereka. Makan minum, mandi tidur, tempat tidur dan pakai buang,   kemas rumah, rawatan hospital dan yang paling hebat ialah melayan emosi mereka yang kekadang ketidakstabilannya cukup menggegarkan kekuatan dan kesabaran seorang suami, seorang ayah hatta seorang lelaki.

Kini aku perasan, boring mereka berada di tahap gaban. Celik saja mata, ibu_suri akan bersuara... abang, boring la! Jom ronda....?

Hari ini aku cuti kerja kerana ganti hari cuti umum esok. Sepagian aku keluar dengan Wira menguruskan dressing kaki Akhmal. Balik rumah, sediakan makan, minum dan ubatnya. Kemudian aku keluar semula untuk hantar Wira untuk servis.

"Brek depan kereta ni kena tukar. Makan tak sama. mounting absorber juga elok tukar." Ujar mekanik Asia Tayar, pekan Penanti.

Selesai tiu aku ke Pekan BM untuk uruskan pembayaran hutang kawan dan bank in duit tunai yang bersepah-sepah dalam kocek, beg dan fail kotak. Tak dan nak susunatur dek kalut ke sana kemari.

kenangan dari sini
Sebelum solat Jumaat di Masjid Sheikh Abdul Kadir, Sungai Rambai; aku rileks kat Restoran Nasi Kandar Popular. Makan roti canai, minum kopi Radik sambil melayari internet dengan netbook kepunyaan Along yang dia dapat secara percuma semasa mendaftar Streamyx dulu. 

Patutlah TMnet boleh bagi free. Processor yang digunakannya adalah Intel Atom. Kata kawanku, Intel Atom ni ngarut sikit. Lembab!

Memang pun.... Harap-harap tindakan dan sikap aku tak lembab macam netbook Along ni. Sebagai Lone Ranger dalam rumah aku kena cekap, teguh dan kuat semangat..kan...kan...!