Ahad, 7 Oktober 2012

Pancit


Semalam aku balik kampung. Mak beria-ia benar mahu aku temani dia menyelesaikan isu tanah 3 ekar yang pajakkan oleh adiknya kepada pengusaha kelapa sawit. Kata mak, dah banyak bulan hasil perkongsian tidak dibayar.

Dalam perjalanan ke Slim River tiba-tiba tayar kereta pancit. Huu.. Memang susah hati dibuatnya sebab nak mengurus mak yang lumpuh sebelah badan dan ibu_suri perlukan kesabaran dan kekuatan. Mujurnya hal ini berlaku di stesyen minyak.

Berpeluh-peluh juga aku. Nasib baik salah seorang pekerja minyak yang aku agak dari Bangla dan seorang polis trafik membantu. Aku cuba rilekskan perasaanku kerana aku tahu perkara utama yang perlu ada dalam usaha kita menangani apa juga permasaalahan ialah ketenangan berfikir.

Alhamdulillah, dalam setengah jam proses menukar tayar gantian selesai. 

Dalam kereta aku beritahu kepada mak;

"Mujur saya tergerak hati nak tengok tayar tadi di Petronas. Kalau dibuatnya pancit masa di lebuhraya, naya kita."

"Syukur pada Tuhan." sela mak.

"Sebenarnya mak, pada pengamatan saya, adanya mak dalam kereta ini membuatkan Tuhan menggerakkan hati saya untuk singgah di Petronas dan check tayar kereta tadi. Hal begini pernah terjadi masa radiator Kancil saya bocor dulu. Masa itu saya bawa ibu-suri. Kalaulah dibuatnya radiator saya bocor tanpa saya ketahui di tengah jalan gelap....!"

Ya.. memang aku percaya Tuhan itu mengasihani hambaNya yang ikhlas berbuat sesuatu dan memberi yang terbaik. Rahmat yang diberinya kepada aku tadi bukan sangat kerana aku tapi kerana adanya mak dan ibu_suri yang kurang upaya!

Khamis, 4 Oktober 2012

Guruh


Baru balik dari usrah. Aku lihat ibu_suri wajah bersahaja duduk menonton tv. Setelah selesai meletak beg dan makan, aku membuka laptop.

"Hmmm... Tak habis-habis dengan laptop dia." Seperti merungut terhadap Angah. Ayu sibuk membasuh dan mengekap pinggan mangkuk.

Tak lama..

"Abang, simpan mug minuman ni." sambil menyua mug ke arah aku. Aku bangun lalu membasuh di singki dan meletak di rak. Kembali semula mengadap blog di laptop.

Tak lama..

"Abang, ubat I..." Aku mengangkat tangan memberi isyarat tunggu sekejap.

"Sikit-sikit tunggu sekejap. Kalau dah mengadap laptoppp..."

Malu pada menantu jika biarkan ibu-suri terus mengomel aku ambilkan ubat dan secawan air. Kemudian bersila kembali menyambung catatan di blog Hujan Petang. Tapi...

"Abang, jom masuk bilik. Main komputer dalam bilik lah.."

Susah payah aku bangun dan setting semula laptop di bilik.  Jarum jam bergerak pantas.

"Abang, baju I kat luar tak gantung balik."

Aku mula mendengus. Nak keluarkan perkataan kemarahan dari mulut memang tak boleh.

"Ooo... main komputer takpa. I suruh sikit nak marah dah..." Aku bingkas bangun. Bimbang juga akan meletup kemarahannya. Aku terpaksa pendamkan kelat di hati. Kemudian duduk semula untuk menyiapkan suntingan klip video untuk lagu sisipan blog.

"Bila nak tidur ni?"

Aku tengok jam. Memang pun.... dah 1.30 pagi. Hujan mula turun dengan lebat. Mesti tiris lagi bumbung rumah aku ini.

"Esok jangan merungut dengan I kalau lewat bangun pi kerja ya..!" 

Tajam muncung ibu_suri. Aku cepat-cepat meletak noktah pada tulisanku. Guruh berdentum sahut menyahut. Tak mahu pula nanti guruh itu hinggap di katilku ini.

Memang payah kalau punyai isteri yang terlalu banyak bergantung pada suami hatta untuk mengambil secawan air. Semasa dia sihat dahulu tak pernah aku terfikir akan ter'beban' begini!

Rabu, 3 Oktober 2012

Titik-Titik Ujian

Aku sebenarnya masih berasa kurang sihat walau sudah seminggu lebih. Sementara menunggu tiba waktu Zohor semalam, aku tidur sebentar. Nikmatnya tidur walau berbantalkan lengan; 20 minit terasa seperti lama.

Selesai Azan, aku yang sudah tawar dengan sikap bertolak-tolakan untuk menentukan imam, terus ke hadapan dan.... Allahuakbar!

Terasa nikmatnya sembahyang ketika itu walaupun sebenarnya bangun dari rukuk dan sujudku sudah tidak secergas dulu. Aku bacakan doa ( doa itu sahaja yang aku hafal pun ) dengan jelas setulus hati agar dapat didengari tiap patah ungkapan oleh makmum di belakangku.

Selepas makan beberapa ketul kuih di kafetaria diiring secawan white coffe dari vending machine, aku memasuki semula ke lokasi kerja. Dalam perjalanan itu aku ternampak seorang rakan Cinaku berjalan terhinjut-hinjut dari arah depanku.


"Apa sudah jadi dengan you punya kaki. Main bola punya pasai ka?"

"Bukanlah. Sakit sebab high uric acide."

Aku segera menukar tone suara gurau kepada suara bersahaja.

"You salah makan ke?"

"Taklah. I sudah jaga makan tapi mau sakit juga boleh buat apa!"

"Ya la... Bila I tengok you macam ni I pun naik risau. Tak tahu nasib I nanti macam mana." terangku sambil berjalan menuju ke lokasi smock.

Aku jadi insaf bila melihat rakanku tadi itu. Dulu dia seorang yang cergas dan ceria, kini seperti tempang kakinya dan matanya juga seolah-olah lebam kena tumbuk.

Bersyukur aku kerana di sebalik permasaalahan hidup yang aku lalui, aku masih mempunyai tahap kesihatan yang boleh dikira baik.

Kurang sihatku hari ini cuma setitik dari ribuan titik-titik ujian yang Allah turunkan ke atas hambaNya sebagai pengukur kesabaran dan tahap iman kita!

Selasa, 2 Oktober 2012

Makan Malam



Sementara menanti nombor giliranku naik ke skrin digital Agro Bank Taman Selat, aku berbual dengan Angah tentang masa depan Marissa. Rekabentuk dalaman Agro Bank ini memang tampak profesional dan amat aku senangi.

"Kalau boleh kamu usaha cari kerja yang jenis office hour. Sekarang ni kamu dengan Ayu balik 10 malam tiap-tiap hari. Cuti pula tak sama. Kamu hari Ahad, Ayu hari Isnin. Cuba bayangkan bila anak kamu berumur 5 tahun, 6 tahun atau belasan nanti. Dia akan terbiar di waktu siang. Jauh malam baru kamu balik. Masa kamu bersama dia pendek."

Angah seperti biasa diam mendengar.

"Satu hari nanti mau tak mau Ayu kena berhenti kerja untuk jaga anak-anak kamu. Kalau ikut kata doktor dulu maksima Ayu boleh bersalin cuma ada 3 kali secara operation. Maknanya jika ada rezeki kamu, kamu akan ada 4 orang anak."

"Paling baik cuba usahakan paling minima makan malam bersama-sama. Masa makan itulah masa terbaik untuk kamu mendengar luahan hati anak dan isteri kamu. Jangan marah-marah masa makan sebaliknya masa itu masa terbaik untuk memberi nasihat."

"Kalau pun Ayu tak sempat memasak kerana kerja, beli lauk pun tak apa. Masak nasi sendiri, hidang dan makan bersama. Jangan amal sorang makan depan tv, sorang lagi makan di dapur dan sorang lagi makan masa lain."

"Air tangan mak yang memasak untuk anak-anak lebih baik. Bila mereka besar nanti mereka boleh bercerita tentang sedapnya masakan mak mereka. Tak ada siapa yang mengatakan masakan orang lain lebih sedap melainkan masakan mak merekalah itu."

Sebenarnya, berbanding Along; Angah lebih beruntung kerana banyak nasihat dan pengalaman hidup aku, aku pindahkan kepada dia. Along itu perlu mekanisma lain pula untuk aku bercerita bila sampai masanya!

3005....Ah! nombor aku dipanggil!

Isnin, 1 Oktober 2012

Alitea


Angah mengeluh sambil meletakkan barangan dapur yang baru dibelinya dari Tesco. Walaupun aku selalu menegur akan habitnya membeli barangan di Pasaraya milik Yahudi itu namun alasannya mudah - di situ harganya murah.

"Ayah selalunya beli ni berapa harga?"

"RM17++" ujarku yang baru saja membelinya di pasaraya Billion, Seberang Jaya Sabtu lepas. Itu pun kira nasib baik aku masih ingat harga kasar pek Alitea itu sedangkan selalunya aku main cekuh dan bayar saja tanpa ambil pusing berapa harganya.

"Hah... la ni berapa ayah tau? 19 ringgit 5 kupang!" tajam muncung Angah.

Ha..ha.. Hati aku ketawa. Angah ni memang berkira sikit bab duit hatta caj seringgit bila keluarkan duit dari ATM yang berlainan nama bank dengan bankkad.

"Kan semalam baru saja pembentangan bajet. Subsidi gula dikurangkan 20 sen. Hang nampak apa yang ayah nampak?"

Aku  teruskan juga membalikkan telur mata kerbau di dalam kuali. Nak letakkan atas roti ala-ala burger, gitu. Sejak petang tadi ibu_suri tak makan kerana tidur yang lama. Lepas makan nanti baru boleh dia makan ubat sambil bermain dengan Marissa, cucu kesayangannya itu.

Kerajaan pun bijak. Diletupkan di tv akan sekalian pemberian BRIM, tambahan elaun persaraan, pemberian one off untuk yang bergaji RM3000 tetapi tidak terhadap cukai yang naik atau pengurangan subsidi pada taukeh besar yang diturunkan. Bimbang aku akan masa depan anak dan cucuku jika barangan seperti mustahil akan turun harganya sesuai dengan kemampuan pengguna.

Angah ini baru mula untuk pandai shopping barangan dapur. Dulu dia tak pernah ambil pusing melainkan Along!